Categories
AGENDA NASIONAL

Sultan minta pemimpin tidak bertelagah, fokus bantu rakyat

SHAH ALAM, 11 DIS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menyeru agar pemimpin politik tidak bertelagah sesama sendiri sebaliknya fokus dalam membantu rakyat pasca Covid-19.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah pandemik telah menjejaskan kesihatan rakyat, mencetuskan kelembapan ekonomi dan ketidakstabilan politik tiga kali ganda di negara ini, lapor The Star.

“Mereka terlalu sibuk bergaduh sesama sendiri dan mengabaikan usaha untuk mengatasi masalah yang disebabkan oleh pandemik. Ini yang berlaku.

“Mungkin beta silap, beta harap, tetapi beta rasa rakyat tidak dapat mendekati wakil rakyat kawasan mereka,” titah baginda.

Tuanku juga mengakui ada kalangan rakyat yang terdesak menghubunginya sendiri bagi meminta bantuan kerana merasakan wakil rakyat mereka tidak dapat membantu.

“Sebelum ini surat kepada beta ditulis tanpa nama, kita biasa panggil surat layang. Kini, mereka menulis nama, nombor MyKad, alamat dan juga nombor telefon bimbit mereka.

“Ini bermakna mereka terdesak,” titahnya sambil menambah hanya badan bukan kerajaan (NGO) yang turun padang membantu rakyat yang terjejas.

Sultan Sharafuddin turut menegur wakil rakyat yang tidak menjalankan tugas kepada penduduk di kawasan mereka dengan memberi contoh kes banjir kilat yang berlaku di negeri ini beberapa bulan lalu.

“Jadi beta bertanya, ‘Di mana wakil rakyat? Mana ADN (Ahli Dewan Negeri), mana ahli parlimen?’ Ahli parlimen banyak bercakap di media sosial dan di Parlimen tetapi hakikatnya, mereka tiada buat apa-apa,” titahnya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA JENAYAH

Ahli politik Selangor tidak diberi tauliah mengajar agama Islam

SHAH ALAM, 26 OGOS: Tauliah mengajar agama Islam tidak akan diberi kepada mana-mana individu berstatus ahli politik di Selangor, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata keputusan itu dibuat Jawatankuasa Tauliah Majlis Agama Islam Selangor (Mais) pada 6 April lalu dan mendapat perkenan Ahli Dewan di Raja Selangor dalam sidang Mesyuarat Dewan di Raja Selangor ke-151 pada 4 Mac 2019.

“Mana-mana ahli politik yang mempunyai tauliah mengajar dan masih berkuatkuasa dikekalkan hingga tamat tempoh sah tauliah dengan syarat ahli politik yang menyampaikan ceramah tidak menyentuh isu kepartian, mengaibkan individu tertentu, menyebar fitnah dan menjaga akhlak serta menjaga kemuliaan masjid dan surau sebagai pusat ilmu dan dakwah setempat.

“Buat masa ini tafsiran yang digunakan Jawatankuasa Tauliah Mais, ahli politik adalah mereka yang jelas menganggotai mana-mana ahli politik. Jumlah ahli politik yang masih memegang tauliah mengajar agama Islam di Selangor ialah seramai 31 individu,” katanya.

Amirudin menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri Taman Medan Syamsul Firdaus Mohamed Supri berhubung individu berstatus ahli politik tidak akan diberikan tauliah mengajar agama Islam pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Beliau berkata satu cadangan pindaan juga telah dicadangkan kepada Mais bagi memberi tafsiran ahli politik di dalam Peraturan Tauliah yang diwujudkan.

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kagumi Dr Khoo, Sultan Selangor ingatkan ahli politik fahami sejarah

SHAH ALAM, 11 JULAI: Ahli politik diingatkan memahami sejarah negara dengan betul ekoran masih ramai memandang remeh kepentingannya, demikian titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Dalam kenyataan dikeluarkan Selangor Royal Office, baginda membangkitkan perkara itu kerana melahirkan rasa kagumnya kepada mendiang Prof Emeritus Tan Sri Dato’ Dr Khoo Kay Kim yang banyak menyumbang idea terutama berkaitan sejarah tempatan.

“Ini termasuk menyemarakkan kembali semangat cintakan sejarah dalam kalangan anak muda serta pembangunan arena sukan tempatan iaitu bola sepak.

“Semangat ditonjolkan mendiang dalam mengutamakan fakta sejarah turut dikagumi walaupun ada segelintir memutar belitkannya,” titah baginda menerusi Facebook.

Pada masa sama, baginda berharap jasa dan sumbangan Dr Khoo terus dikenang seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa sebagai simbol semangat perpaduan Malaysia sebenar.

Pada 9 Julai lalu, Sultan Selangor berkenan terima menghadap balu tokoh Sejarahwan Negara itu, Puan Sri Rathi Khoo dan dua anak mereka.

Difahamkan, pertemuan itu sebagai tanda penghargaan di atas perkenan baginda mengabadikan nama mendiang di salah sebuah jalan di Petaling Jaya, iaitu Jalan Prof Khoo Kay Kim.