PETALING JAYA, 1 FEB : Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini menerima kunjungan ketua Biro Politik Hamas, Dr Walid Alamoudi serta Menteri Kesejahteraan Sosial Dr Ahmad Alkurd sempena lawatan kerja mereka ke Malaysia.
Pertemuan hampir satu jam ini membincangkan beberapa perkara berkaitan situasi semasa yang berlaku di Gaza dan Palestin selain mengeratkan lagi hubungan dua tokoh Islam ini.
Turut dibincangkan bantuan pembinaan semula Masjid Nur Muhammadi di Gaza yang mampu menempatkan 4,000 jemaah.
“Kami mengecam keganasan, serangan dan pengeboman Israel terhadap negara kejiranan Arab termasuk Syria.
“Saya percaya kerajaan baru Pakatan Rakyat akan terus menyatakan sokongan padu terhadap mereka (Pembebasan Palestin).
“Saya lihat (serangan) ini sebagai rancangan kejam Israel. Malangnya mereka lakukannya tanpa halangan kerana kegagalan komuniti antarabangsa termasuk Amerika Syarikat untuk memberhentikan (serangan) Israel,” katanya ringkas.
Selain Dr Walid Alamoudi, turut hadir sama wakil daripada Tajammu Almuassasah Alkhairiyah, Abdul Nabi Al-Rantisi, Dr Nasim Sh Yasin serta Duta Aqsa Shariff, Afdlin Shauki.
Dalam pada itu, Dr Walid Alamoudi memuji Anwar sebagai tokoh Islam yang terkenal dalam hal ehwal politik dan Islam meskipun tidak mendapat liputan media.
“Datuk Seri Anwar memantau dengan penuh rapi sebenarnya program pembinaan semula Gaza sejak lama selain menghantar wakil-wakilnya kesana.
“Kami bersama tuan-tuan, tuan-tuan bersama kami. Terima kasih diatas bantuan kamu,” katanya.
Sementara itu, Aqsa Shariff memaklumkan bahawa USD 700,000
(RM 2.14 juta) berjaya dikutip bagi pembinaan Masjid Nur Muhammadi.