Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MBI peruntuk RM1 juta baik pulih kemudahan sekolah, aktiviti pelajar 

GOMBAK, 24 FEB: Sejumlah RM1 juta diperuntuk Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI bagi menjayakan program melibatkan sekolah dan pelajar pada tahun ini.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Ahmad Azri Zainal Nor berkata peruntukan itu merangkumi RM500,000 untuk pembangunan infrastruktur sekolah dan RM500,000 untuk program Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

“Peruntukan khusus ini pertama kali dilaksanakan selepas menerima banyak permintaan dalam kalangan pihak sekolah dan PIBG.

“Sebelum ini kita ada pelbagai kategori cuma tahun ini kita lebih spesifik, maknanya sebelum ini sudah ada peruntukan untuk sekolah. Apabila kita lihat ada permintaan, jadi lebih baik buat secara khusus untuk sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Rendah Agama An Nasihin, Kampung Sungai Kertas dan Sekolah Kebangsaan SK Taman Samudra di sini, hari ini.

Ahmad Azri berkata pihaknya turut menerima permohonan bantuan baik pulih melibatkan sekolah yang terjejas banjir.

“Jika ada pembaikan bumbung, pagar atau sebagainya boleh mohon untuk pembangunan infrastruktur manakala untuk program PIBG pula melibatkan pelajar seperti sukan juga boleh mohon.

Tahun lalu, MBI memperuntukkan RM30 juta bagi menjayakan pelbagai program antaranya Data Internet Selangor, Program Tuisyen Rakyat Selangor, rebat pengangkutan ke pusat pemberian vaksin, Program Kembali ke Sekolah serta bantuan sempena sambutan Deepavali dan Krismas.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

MBI peruntuk RM5 juta laksana program kemasyarakatan

PETALING JAYA, 23 JAN: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI akan memperuntukkan sehingga RM5 juta bagi menjayakan pelbagai program melibatkan masyarakat tahun ini.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporatnya Ahmad Azri Zainal Nor berkata perbelanjaan itu merangkumi program komuniti, latihan dan kursus, sukan, alam sekitar serta ihya Ramadan.

“Mana-mana pihak termasuk golongan anak muda yang perlukan dana untuk lakukan sebarang program boleh hubungi kami. Penglibatan semua pihak dialu-alukan,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyerahkan bantuan bakul makanan dan wang ringgit kepada anak yatim serta komuniti Apartment Lestari, Damansara Damai di sini hari ini.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat MBI Ahmad Azri Zainal Nor menyampaikan barang keperluan asas kepada komuniti dan anak yatim di Apartment Lestari, Petaling Jaya pada 23 Januari 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Tahun lalu, anak syarikat Kerajaan Negeri itu membelanjakan RM28 juta bagi melaksanakan program kebajikan dan inisiatif memerangi Covid-19.

MBI turut mengagihkan RM2.8 juta bagi membantu mangsa banjir negeri ini melalui program tanggungjawab sosial korporat dan sumbangan kepada Tabung Ikhtiar Selangor Bangkit.

Categories
AGENSI PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

3,000 kad SIM diagih, mahasiswa Selangor terima manfaat internet percuma

PETALING JAYA, 23 JAN: Sebanyak 3,000 kad modul pengenalan pelanggan (SIM) akan diagih kepada mahasiswa di negeri ini dalam masa terdekat.

Ketua tanggungjawab sosial korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berkata melalui inisiatif Data Internet Selangor itu penerima dapat menikmati langganan percuma selama setahun.

Jelas Ahmad Azri Zainal Nor, pemberian diutamakan kepada pelajar Universiti Selangor (Unisel) dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis).

“Kita akan jalin kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pendidikan bagi memudahkan proses agihan,” katanya selepas menyerahkan bantuan kepada penduduk Apartment Lestari, Damansara Damai di sini hari ini.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Sementara itu, Ahmad Azri berkata pihaknya mempertimbangkan pemberian kad SIM itu kepada lebih ramai pelajar susulan bah besar yang melanda pada Disember tahun lalu.

“Setakat ini seramai 9,000 pelajar Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) sudah terima kad SIM. Jumlah ini lebih 2,000 dari peruntukan awal kerana kita lihat manfaat besar kepada golongan pelajar,” katanya.

Pada 4 Ogos tahun lalu, Dato’ Menteri Besar memaklumkan seramai 70,000 rakyat negeri ini bakal menerima kad SIM dilengkapi data internet percuma selama 12 bulan.

Selain pelajar PTRS, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu menyasar peminjam Yayasan Selangor, mahasiswa Unisel dan Kuis.

Turut menerima manfaat ialah pelajar Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor, peniaga dalam talian bawah e-Bazar Selangor, petani dan ibu tunggal.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

MBI peruntuk RM1.68 juta bantu hampir 17,000 pelajar sekolah rendah

SUBANG, 21 JAN: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memperuntuk RM1.68 juta menerusi Program Kembali ke Sekolah (Back To School) tahun ini.

Ketua tanggungjawab sosial korporatnya berkata sumbangan berbentuk baucar itu dijangka memanfaatkan seramai 16,800 pelajar daripada sekolah rendah.

“Baucar persekolahan ini untuk 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) supaya diagih kepada 300 penerima yang berkelayakan dan memenuhi syarat.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor bercakap kepada Media Selangor selepas menyampaikan komputer riba kepada pasangan kembar siam, Ahmad dan Muhammad Rosli di Kampung Tengah Puchong, Subang Jaya pada 21 Januari 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Peruntukan untuk tujuan ini telah diberikan kepada setiap DUN dan kita jangka agihan kepada penerima selesai pada Mac depan,” kata Ahmad Azri Zainal Nor.

Beliau ditemui selepas menyampaikan bantuan dua unit komputer riba kepada Ahmad Rosli dan Muhammad, pasangan kembar yang pernah mencuri perhatian rakyat Malaysia pada 2001 di Kampung Tengah Puchong hari ini.

Tahun lalu, MBI memperuntukkan RM30 juta bagi menjayakan pelbagai program antaranya Data Internet Selangor, Program Tuisyen Rakyat Selangor, rebat pengangkutan ke pusat pemberian vaksin, Kembali ke Sekolah serta bantuan sempena sambutan Deepavali dan Krismas.

Peruntukan itu tidak hanya fokus kepada bakul makanan dan manusia sahaja tetapi juga kepada alam sekitar, haiwan selain untuk program keagamaan.

Categories
AGENSI SELANGOR

MBI hulur bantuan makanan kepada Gurdwara Sahib Petaling Jaya

SHAH ALAM, 26 DIS: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI tampil menghulurkan bantuan keperluan asas kepada Gurdwara Sahib, Petaling Jaya.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporatnya Ahmad Azri Zainal Nor berkata sumbangan itu merangkumi 2,400 tin susu pekat dan 1,200 pek mi segera.

“Bantuan segera diberi selepas pemilik akaun Twitter @Tashny Sukumaran menulis status di medium itu yang mengatakan mereka kekurangan bekalan tersebut,” katanya kepada Selangorkini.

Sementara itu, Tashny menerusi Twitter berterima kasih dan menghargai sumbangan disalurkan MBI, sekali gus mampu menggerakkan usaha membantu mangsa terjejas banjir sekitar kawasan terbabit.

“Terima kasih CSR @MbiSelangor atas sumbangan susu pekat dan mi segera! Setinggi-tinggi penghargaan kepada En Ameir yang membantu memunggah (barangan) dari van dan @zackwan2118 yang menghubungi saya melalui mesej terus (DM),” tulisnya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MBI belanja RM20,000 bantu artis veteran, bekas atlet

SHAH ALAM, 13 NOV: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI membelanjakan RM20,000 setakat ini bagi membantu artis veteran atau bekas atlet yang berdepan masalah termasuk kesihatan.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporatnya Ahmad Azri Zainal Nor berkata pihaknya turut menghubungkan mereka dengan agensi tertentu seperti Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Majlis Agama Islam Selangor bagi tindakan susulan.

“Sekarang kita terima berita berkenaan penyanyi Shima. Kita akan dapatkan maklumat lanjut untuk hulur bantuan diperlukan,” katanya kepada SelangorKini.

Pada 2019 pelantun lagu Teringin dan Setelah Aku Kau Miliki itu dikategorikan sebagai golongan asnaf oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Berikutan itu kerajaan menawarkan Shima atau Ku Nazhatul Shima Ku Kamaruzzaman, 52, kediaman Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 2 menerusi Inisiatif Perumahan Komuniti Seni Harapan.

Sebelum ini MBI menghulurkan sumbangan kepada Ali XPDC, Gmie Screen, pemain bola sepak Selangor Azhar Sharif; pemain gitar kumpulan Search Kid dan pelawak Hamid Gurkha.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Lebih 10,000 tebus rebat RM20 ke PPV setakat 22 Oktober

SHAH ALAM, 27 OKT: Sebanyak 10,416 rebat RM20 bagi perjalanan ulang-alik ke pusat pemberian vaksin (PPV) menggunakan perkhidmatan e-panggilan Grab ditebus setakat 22 Oktober lalu.

Ketua tanggungjawab sosial korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berkata manakala seramai 14,307 individu memohon rebat itu bagi tempoh sama.

Menurut Ahmad Azri Zainal Nor, daripada jumlah itu sebanyak 10,610 permohonan dilulus dengan peruntukan bernilai RM101,254.

“Sambutan memberangsangkan dan kita mengalu-alukan orang ramai yang belum menerima vaksin ambil peluang ini sebelum tarikh tutup pada 30 November depan,” katanya kepada SelangorKini.

Rebat RM20 bagi perjalanan ke PPV itu adalah usahasama dengan Grab dan permohonan boleh dibuat ibu bapa bagi kegunaan anak-anak.

Sebelum ini inisiatif dengan peruntukan RM1 juta yang terkandung dalam Pakej Kita Selangor 2.0 dikhususkan untuk penduduk negeri ini berusia 50 tahun ke atas dibuka mulai 20 Jun lalu.

Namun pada 6 Jun, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan rebat perjalanan tersebut dibuka kepada semua rakyat Selangor tanpa mengira usia.

Permohonan rebat yang dibuka 20 Jun lalu sah bagi perjalanan ke PPV seluruh Selangor dan Kuala Lumpur mulai 1 Julai hingga 30 September.

Pendaftaran boleh dibuat melalui rebatpengangkutangrabvaksin.borangmbiselangor.com

Categories
AGENSI SELANGOR

Ibu bapa digesa manfaat rebat pengangkutan, bawa anak ke pusat vaksin

KLANG, 11 OKT: Golongan ibu bapa di negeri ini digesa memanfaatkan rebat pengangkutan ke pusat pemberian vaksin (PPV) untuk membawa anak berusia 12 hingga 17 tahun menerima suntikan pelalian Covid-19.

Ketua tanggungjawab sosial korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berkata rebat RM20 bagi perjalanan pergi dan balik menggunakan perkhidmatan e-panggilan Grab boleh dipohon sehingga 30 November ini.

Ahmad Azri Zainal Nor menjelaskan kira-kira 100 permohonan diterima sejak inisiatif dalam Pakej Kita Selangor 2.0 itu diperluaskan kepada remaja di Selangor.

“Masih banyak peruntukan untuk kemudahan ini dan saya minta ibu bapa tidak melepaskan peluang diberikan. Kalau ada tiga anak (layak divaksin), mereka boleh mohon banyak kali,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyerahkan pek makanan tengah hari kepada petugas di PPV Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi di sini hari ini.

Sebelum ini inisiatif itu dikhususkan kepada penduduk Selangor berusia 50 tahun ke atas.

Bagaimanapun pada Julai lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan rebat itu dibuka kepada semua rakyat Selangor tanpa mengira usia.

Rebat tersebut sah bagi perjalanan ke PPV seluruh Selangor dan Kuala Lumpur.

Permohonan boleh dibuat melalui pautan
https://rebatpengangkutangrabvaksin.borangmbiselangor.com/.

Categories
AGENSI SELANGOR

MBI sumbang RM50,000 kepada pusat jagaan haiwan terbiar

AMPANG, 23 SEPT: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI semalam menyumbang RM50,000 kepada Persatuan Mencegah Kekejaman Terhadap Haiwan (SPCA) Selangor.

Ketua tanggungjawab sosial korporatnya berkata pemberian itu untuk menjayakan program Stray Free Selangor (SFS) yang dinaungi Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin sebagai usaha memelihara haiwan terbiar seperti kucing dan anjing.

Menurut Ahmad Azri Zainal Nor, bantuan pihaknya tidak hanya tertumpu kepada manusia sahaja sebaliknya juga untuk haiwan serta alam sekitar.

“Kita berbangga kerana dapat bersama-sama menjayakan program SFS. Ini juga merupakan sumbangan pertama MBI kepada haiwan.

“Kita ada merancang untuk mendermakan sejumlah wang kepada haiwan terancam seperti tapir yang ada di Zoo Negara sebagai langkah memelihara spesis itu,” katanya.

Beliau ditemui selepas melawat SPCA serta menyerahkan sumbangan kepada Pengerusi SPCA, Christine Chin.

Sementara itu ahli jawatankuasa SPCA Nancy Lee berkata wang itu digunakan untuk perbelanjaan selain menambah baik kemudahan pusat jagaan terbabit.

“Setiap bulan SPCA terima 300 ekor anjing dan kucing dari orang awam. Jadi kos makanan serta perubatan haiwan ini agak besar.

“Kita juga rancang gunakan derma ini untuk menambah bilik dan ruang bagi menempatkan kedua-dua haiwan yang ada,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

MBI peruntuk RM30 juta bantu pelbagai pihak sepanjang tahun ini

AMPANG, 22 SEPT: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memperuntukkan RM30 juta bagi menjayakan pelbagai program bermanfaat sepanjang tahun ini.

Ketua tanggungjawab sosial korporatnya berkata setakat September hampir RM20 juta dibelanjakan melibatkan beberapa program besar antaranya Data Internet Selangor, Program Tuisyen Rakyat Selangor dan rebat pengangkutan ke pusat pemberian vaksin.

“Hujung tahun ini kita jayakan Program Back To School selain bantuan sempena sambutan Deepavali dan Krismas.

“Peruntukan yang sudah digunakan tidak hanya fokus kepada bakul makanan dan manusia sahaja tetapi juga kepada alam sekitar, haiwan selain untuk program keagamaan,” kata Ahmad Azri Zainal Nor.

Beliau ditemui selepas menyampaikan sumbangan RM50,000 kepada Persatuan Mencegah Kekejaman Terhadap Haiwan (SPCA) Selangor hari ini.

MBI sebelum ini turut membantu beberapa pihak termasuk bekas atlet dan selebriti berdepan kesusahan.

Antaraya Ali XPDC, pelawak Hamid Gurkha, bekas pemain bola sepak Selangor Azhar Sharif, pemain gitar kumpulan Search, Kid dan bakal membantu bintang legenda negara Datuk Jeffrydin.

Sepanjang Januari hingga Julai, MBI juga membelanjakan sebanyak RM800,000 bagi menyediakan bakul makanan kepada golongan terkesan Covid-19.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

MBI sumbang RM10,000 baiki surau di Sungai Air Tawar

SABAK BERNAM, 18 SEPT: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memberi sumbangan RM10,000 kepada pentadbiran Surau Haji Hashim Simpang Tiga, Kampung Tengah di sini untuk kerja-kerja pembaikan.

Ketua tanggungjawab sosial korporatnya berkata sumbangan itu dipersetujui setelah mesyuarat jawatankuasa dijalankan dengan mempertimbang keadaan surau yang agak daif.

“MBI mempunyai peruntukan zakat wakalah dan mana-mana masjid serta surau boleh menggunakannya untuk kerja pembaikan,” kata Ahmad Azri Zainal Nor.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan bakul makanan MBI di Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar, Sabak Bernam di sini semalam.

Ahmad Azri berkata pihaknya turut menerima dua lagi permohonan pembaikan dua masjid di DUN sama.

“Bagi permohonan ini, kita sudah selaraskan ke pejabat Dato’ Menteri Besar untuk peruntukan lebih besar kerana pembaikan memerlukan kerja berat iaitu berlaku hakisan tanah melibatkan Jabatan Pengairan Saliran dan majlis daerah.

“Bagaimanapun perkara ini dibawa ke perbincangan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Data internet percuma, MBI pertimbang rayuan 2,000 pelajar

KUALA SELANGOR, 11 SEPT: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI akan membantu 2,000 lagi pelajar Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) mendapat kad modul pengenalan pelanggan (SIM) percuma.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Ahmad Azri Zainal Nor berkata ketika ini seramai 7,000 daripada 9,000 pelajar PTRS layak menerima manfaat tersebut.

“Kuota penerima SIM hanya 7,000 sedangkan keseluruhan pelajar PTRS seramai 9,000. Kita akan cuba bantu baki yang tidak mendapat inisiatif ini menerusi proses rayuan.

“Setakat ini 500 permohonan rayuan diterima dan keutamaan MBI mahu pastikan semua pelajar PTRS dapat SIM supaya proses pembelajaran berjalan lancar,” katanya selepas melawat bekas jaguh olahraga para kebangsaan Mohd Raduan Emeari.

Lawatan disertai Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar Juwairiya Zulkifli turut menyerahkan bantuan wang tunai serta bakul makanan.

Hujung bulan ini pelajar yang menyertai program Data Internet Selangor akan menikmati kemudahan data internet percuma selama setahun.

Pada 4 Ogos, Dato’ Menteri Besar memaklumkan seramai 70,000 rakyat negeri ini bakal menikmati SIM dilengkapi data internet percuma selama 12 bulan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu menyasar pelajar Program Tuisyen Rakyat Selangor, peminjam Yayasan Selangor, mahasiswa Kolej Universiti Islam Selangor dan Universiti Selangor.

Turut menerima manfaat ialah pelajar Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor, peniaga dalam talian bawah e-Bazar Selangor, petani dan ibu tunggal.