Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 13,000 permohonan rebat RM20 ke pusat vaksin diterima

SHAH ALAM,10 SEPT: Lebih 13,000 permohonan rebat RM20 bagi perjalanan ke pusat pemberian vaksin (PPV) menggunakan perkhidmatan e-panggilan Grab diterima sehingga 3 September lalu.

Ketua tanggungjawab sosial korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berkata daripada 13,795 permohonan itu sebanyak 10,204 sudah diluluskan bagi tempoh sama.

Menurut Ahmad Azri Zainal Nor setakat ini rebat yang telah ditebus sebanyak 8,391 melibatkan peruntukan RM80,714.

“Berlaku sedikit penurunan permohonan iaitu 20 hingga 50 sehari berbanding sebelum ini sebanyak 300. Ini mungkin disebabkan ramai telah menerima vaksin Covid-19.

“Ia masih dibuka dan kita menggalakkan orang ramai yang belum disuntik terutama secara tanpa janji temu memohon,” katanya kepada SelangorKini.

Permohonan rebat menggunakan perkhidmatan Grab yang dibuka mulai 20 Jun sah bagi perjalanan ke PPV seluruh Selangor dan Kuala Lumpur antara 1 Julai hingga 30 September.

Sebelum ini, inisiatif yang terkandung dalam Pakej Kita Selangor 2.0 dikhususkan untuk penduduk berusia 50 tahun ke atas tetapi akhirnya diperluas ke semua peringkat usia.

Pendaftaran boleh dibuat melalui rebatpengangkutangrabvaksin.borangmbiselangor.com.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

7,000 peserta tuisyen Selangor terima internet percuma mulai Oktober

SHAH ALAM, 28 JULAI: Kira-kira 7,000 peserta Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) bakal menikmati kemudahan data internet percuma selama setahun bermula Oktober ini.

Ketua tanggungjawab sosial korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berkata program Data Internet Selangor menawarkan pakej Life dikuasakan Digi dan Celcom dengan kuota sebanyak 15 gigabit serta Unifi (45 gb) sebulan.

“Kita beri keutamaan kepada peserta PTRS, jadi sekarang dalam proses mengumpul data dan mendaftar nama mereka. Peserta boleh memilih salah satu daripada tiga penyedia telekomunikasi (Telco) tanpa perlu menukar nombor sedia ada.

“Yuran langganan data dibiayai sepenuhnya MBI Bisnes Amal dan caj akan dikenakan jika penggunaan melebihi kuota diperuntukkan pada bulan semasa,” kata Ahmad Azri Zainal Nor.

Beliau ditemui selepas menyampaikan sumbangan tablet kepada pelajar Sekolah Agama Menengah (SAM) Tinggi Tengku Ampuan Jemaah, Seksyen 11 di sini hari ini.

Menerusi Pakej Kita Selangor 2.0, Dato’ Menteri Besar mengumumkan program Data Internet Selangor yang akan memanfaatkan 70,000 golongan sasar termasuk penjaja kecil, pelajar, ibu tunggal, pemandu teksi, warga emas dan pekerja ekonomi sampingan.

Dato’ Seri Amirudin Shari turut mengumumkan Skim Internet Selangor Kategori M40 (SISM40) membabitkan kerjasama MBI dan Telekom Malaysia (TM) selepas menyedari kesulitan dihadapi rakyat negeri ini dalam mendepani cabaran Covid-19.

 

Categories
AGENSI SELANGOR

MBI sumbang 50 tablet, mudahkan urusan PdPR pelajar

SHAH ALAM, 24 JULAI: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menyumbang 50 tablet sepanjang tahun ini kepada pelajar terpilih.

Ketua tanggungjawab sosial korporat (CSR)nya berkata sumbangan itu mengutamakan pelajar dari golongan sasar bagi memudahkan proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Pemberian ini menerusi permohonan diterima dari NGO (pertubuhan bukan kerajaan), pejabat Ahli Dewan Negeri atau Parlimen.

“Susulan penularan Covid-19 hingga menyebabkan sekolah ditutup, kita lihat sumbangan ini dapat membantu urusan pembelajaran lebih selesa,” kata Ahmad Azri Zainal Nor kepada SelangorKini.

Pada Khamis, beliau menyerahkan empat tablet kepada lapan beradik yang menjadi yatim piatu selepas ibu bapa mereka, Noraini Ibrahim dan Benyajeed Bernie meninggal dunia akibat Covid-19 minggu lalu.

Categories
AGENDA NASIONAL

Persatuan kebajikan polis sedia kerjasama dengan MBI laksana program bantuan

HULU LANGAT, 20 JULAI: Persatuan Tabung Kebajikan, Sukan dan Sosial Cawangan Khas Polis Bukit Aman berhasrat bekerjasama dengan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dalam menjayakan lebih banyak program bantuan kepada rakyat terkesan Covid-19.

Timbalan Pengerusinya Superintendan Hisham Mohd Den berkata kemahuan itu mengambil kira faktor jaringan bersama ketua komuniti yang peka terhadap keperluan penduduk di sesebuah kawasan.

“Kita sedia bila-bila masa sekiranya MBI berbesar hati beri sumbangan. Hubungan baik dengan ketua komuniti, badan bukan kerajaan (NGO) sentiasa dijalin dan mereka biasanya memiliki senarai penduduk susah.

“Kita simpati terhadap nasib penduduk khususnya di pangsapuri kos rendah dan projek perumahan rakyat (PPR). Mereka ini golongan berpendapatan rendah (B40) yang memerlukan bantuan,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis serahan pek makanan asas kepada 50 keluarga di Pangsapuri Ghazal, Balakong di sini semalam bersama Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) MBI Ahmad Azri Zainal Nor.

Hisham berkata seramai 200 keluarga sekitar Puchong, Rawang, Gombak dan Cheras mendapat bantuan makanan sejak inisiatif bersama MBI dilaksana minggu lalu.

“Rata-rata penduduk amat terkesan dan melihat riak wajah, mereka sangat menghargai sumbangan ini,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

6,000 permohonan rebat RM20 ke pusat vaksin diterima

HULU LANGAT, 19 JULAI: Kira-kira 6,000 permohonan rebat RM20 bagi perjalanan ke pusat pemberian vaksin (PPV) menggunakan perkhidmatan e-panggilan Grab direkodkan sehingga semalam.

Ketua tanggungjawab sosial korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berkata daripada jumlah itu, dianggar lebih 5,000 diluluskan sejak dibuka 20 Jun lalu.

Ahmad Azri Zainal Nor menjelaskan dalam tempoh sama antara 300 hingga 400 individu pelbagai peringkat usia menebus rebat untuk ke PPV sekitar Lembah Klang.

“Kebanyakan pemohon adalah lingkungan 20 hingga 40 tahun memandangkan mereka celik teknologi dan memiliki akaun Grab.

“Kita berharap seluruh rakyat Selangor yang layak supaya memanfaatkan inisiatif dijangka berakhir 30 September ini. Insya-Allah permohonan cukup syarat akan diluluskan,” katanya selepas menyerahkan pek makanan asas kepada penghuni Pangsapuri Ghazal Balakong di sini hari ini.

Ahmad Azri berkata program tersebut menarik perhatian umum apabila permohonan dari mereka yang tidak layak seperti dari luar Selangor, ekspatriat dan pelajar antarabangsa juga diterima tetapi terpaksa ditolak.

Mereka yang menerima tarikh vaksin boleh memohon dengan mendaftar di www.platselangor.com dan tekan butang Inisiatif MBI Bisnes Amal.

Permohonan rebat yang dibuka 20 Jun lalu sah bagi perjalanan ke PPV seluruh Selangor dan Kuala Lumpur mulai 1 Julai hingga 30 September.

Sebelum ini, inisiatif dengan peruntukan RM1 juta yang terkandung dalam Pakej Kita Selangor 2.0 dikhususkan untuk penduduk berusia 50 tahun ke atas tetapi diperluas ke semua peringkat usia.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Lebih 1,000 permohonan rebat RM20 ke pusat vaksin diterima

SHAH ALAM, 7 JULAI: Lebih 1,000 permohonan rebat RM20 bagi perjalanan ke pusat pemberian vaksin (PPV) menggunakan perkhidmatan e-panggilan Grab diterima sejak diperluas ke semua peringkat usia.

Ketua tanggungjawab sosial korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berkata permohonan itu diterima sejurus Dato’ Menteri Besar mengumumkannya semalam sehingga jam 12 tengah hari tadi.

“Dijangkakan 95 peratus daripadanya akan diluluskan kerana maklumat diberikan memenuhi kriteria.

“Syarat memohon rebat mudah antaranya mempunyai akaun Grab, beralamat di negeri ini dan tarikh menerima vaksin hingga 30 September,” kata Ahmad Azri Zainal Nor ketika dihubungi.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak memohon pada tarikh sama dengan janji temu vaksin hingga menyebabkan permohonan ditolak kerana proses kelulusan perlu dibuat dalam tempoh 24 jam.

Semalam, Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan rebat perjalanan ke PPV menggunakan Grab berjumlah RM20 dibuka kepada semua rakyat Selangor tanpa mengira usia.

Sebelum ini, inisiatif dengan peruntukan RM1 juta yang terkandung dalam Pakej Kita Selangor 2.0 dikhususkan untuk penduduk negeri berusia 50 tahun ke atas.

Permohonan rebat yang dibuka pada 20 Jun lalu sah bagi perjalanan ke PPV seluruh negeri dan Kuala Lumpur mulai 1 Julai hingga 30 September.

Orang ramai boleh melayari pautan www.platselangor.com dan tekan butang Inisiatif MBI Bisnes Amal untuk mendaftar.

Categories
AGENSI SELANGOR

MBI tempah kerusi roda untuk kanak-kanak alami masalah saraf

SHAH ALAM, 14 JUN: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau (MBI) hanya mengambil masa seminggu bagi proses menyalurkan bantuan kepada kanak-kanak, Nur Imaylia Zara Abdul Khaliq yang mengalami masalah saraf untuk memperoleh kerusi roda.

Ketua tanggungjawab sosial korporatnya berkata tempoh itu bagi membolehkan pihaknya menjalankan siasatan sebelum bertindak selanjutnya bagi menyalurkan sumbangan kepada kanak-kanak berusia tujuh tahun itu.

“Kita datang bersama Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan keperluan yang mendesak pada waktu itu adalah kerusi roda jenis ‘custom made’ serta mencari syarikat yang mampu buat barangan tersebut.

“Kemudian kita tempah dan hari ini datang menyerahkannya. Kos kerusi roda ini berjumlah RM5,000,” kata Ahmad Azri Zainal Nor hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan bantuan itu kepada ibu bapa kanak-kanak terbabit iaitu Aidayatul Kamal, 45, dan Mohd Feeza Abdullah, 45, di Seksyen 13 di sini.

Ahmad Azri berkata bagaimanapun sumbangan itu hanya dapat diberikan hari ini kerana tempoh menyiapkannya mengambil masa lebih sebulan selain MBI juga sedang mengusahakan bantuan LZS bagi memastikan Imaylia Zara dibantu menjalani rawatan fisioterapi.

“Di pihak CSR MBI kita sentiasa menerima pelbagai aduan mengenai golongan yang perlu dibantu dan kita akan lawat, tapis sebelum bantuan diberikan,” katanya.

Nur Imaylia Zara mengalami ‘metachromatic leukodystrophy’ atau masalah saraf selepas terjatuh tangga pada Mac tahun lalu dan lama kelamaan kanak-kanak terbabit tidak lagi mampu berjalan serta mengalami masalah pertuturan.