Categories
SELANGOR

HIJRAH bantu ‘otai’ tulisan khat

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 27 DIS: Sabar, teliti dan ekpresi mendalam antara kesukaran tetap dirasai untuk menghasilkan karya dalam seni kaligrafi khat Jawi yang halus, indah dan berkualiti tinggi.

Bagaimanapun, minat mendalam terhadap seni kaligrafi khat atau tulisan Jawi mendorong Ahmad Dini Juri atau Pak Dini, 71, menceburi perniagaan berasaskan hasil seni itu.

Pak Dini yang terkenal kerana kerap berlakon dalam sesebuah filem dan drama kini rancak membangunkan Gallery Dinie Juri Enterprise, di Rumah Kartun dan Komik Malaysia (RKKM), terletak di Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur.

Memegang prinsip ‘kita perlu mencintai apa yang kita buat’, beliau turut mengakui minat dan kebolehannya bukan sahaja dapat menyumbang kepada kegemilangan tulisan Jawi, bahkan mampu memberi pulangan lumayan jika dilakukan bersungguh-sungguh.

Pak Dini berkata, demi mencetuskan aliran baharu dalam tulisan Jawi, beliau bertekad mendapatkan bantuan pembiayaan daripada Yayasan Hijrah Selangor (HIJRAH) dengan pinjaman pertama sebanyak RM10,000.

Katanya, menerusi bantuan itu, beliau dapat menambah peralatan baharu termasuk bahan mentah dengan kuantiti yang lebih banyak dan harga lebih murah.

“Saya menganggap pinjaman HIJRAH adalah sebagai satu amanah untuk memperbesarkan lagi perniagaan, malahan menumpukan pinjaman ini untuk menjalankan projek memartabatkan kembali tulisan Jawi.

“Alhamdulillah, melalui HIJRAH saya rasa ‘segar’ dalam memperjuangkan karier kerana pinjaman ini tidak mempunyai sebarang kadar faedah dan tidak menekan peminjam,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, bapa kepada 19 anak itu turut memasang cita-cita mewujudkan sebuah galeri khas bagi tujuan pembelajaran seni tulisan khat Jawi, terutama kepada anak Melayu.

“Untuk pinjaman HIJRAH, saya menumpukan ke arah projek membangunkan kembali tulisan Jawi yang memerlukan bahasa al-Quran, selain terus melukis kartun dan potret.

“Hal ini kerana ramai anak Melayu masih lemah dalam penguasaan tulisan Jawi, oleh sebab itu saya mahu membangunkan sebuah galeri supaya mereka dapat diajar dan dididik dengan tulisan Jawi melalui seni kaligrafi.

“Sesiapa sahaja yang berminat untuk bersama memperjuangkan kembali tulisan Jawi, mereka boleh belajar dan pada masa sama boleh menjual dan memasarkan hasil seni daripada galeri ini,” katanya.

Selain itu, Pak Dini juga pernah menyertai beberapa pameran dalam karya tulisan Jawi yang dilukis pada kanvas bersaiz 4×5 dan 4×6, mengikut standard pameran antarabangsa.