Categories
NASIONAL

Rakyat Pelbagai Bangsa, Agama Bangkit Sokong Bantah Lynas

KUALA LUMPUR, 25 NOV :Rakyat memberikan sokongan padu kepada peserta pejalan kaki anti Lynas Kuantan – Kuala Lumpur di sepanjang 300 Kilometer apabila pelbagai pihak tanpa mengira bangsa dan agama menunjukkan keprihatinan terhadap kesan loji Lynas.

Pengerusi Angkatan Rakyat Merdeka (AKAR), Ahmad Nizam Hamid berkata walaupun ramai peserta berjalan kaki itu adalah majoritinya daripada masyarakat Tionghua namun sebenarnya ia adalah isu kepentingan semua tanpa mengira bangsa.

“Kehadiran teman-teman kalangan orang muda Melayu khususnya cukup ramai dan ia isu radiasi ini tidak mengenal agama dan bangsa serta tidak mengenal warna kulit dan bahasa yang akan terkesan.

“Apabila para peserta berhenti untuk bermalam di kawasan orang-orang Melayu, mereka bersedia memberikan mereka tempat penginapan,” ujarnya.

Beliau berkata, penyertaan meluas rakyat dalam himpunan itu memberikan isyarat jelas kepada Kerajaan Barisan Nasional (BN) bahawa  rakyat menentang pembinaan loji nadir Lynas.

“Yang lebih penting ialah solidariti kita semua rakyat Malaysia menzahirkan rasa tidak puas hati kepada pembinaan kilang itu,” katanya.

Menurut Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin yang ditemui TVSelangor berkata, penyertaan kira-kira 15,000 rakyat pelbagai bangsa dalam himpunan itu membuktikan rakyat Malaysia bersedia membuat perubahan total.

“Hari ini Malaysia sudah bersedia atas nama Rakyat Malaysia yang sebenarnya untuk bangkit dalam membawa isu yang cukup besar merentasi sempadan bangsa,” kata beliau.

Ujarnya, kebangkitan yang ditunjukkan dalam himpunan itu bukan bersifat perkauman seperti yang didakwa sesetengah pihak.

“Akhbar berbahasa Malaysia terus memperbodohkan rakyat kerana itu orang Melayu agak sedikit jauh berkenaan isu Lynas ini.

 “Tetapi kita yakin dengan usaha berterusan maka orang Melayu pun sedar dan bersama dengan kebangkitan ini dan ia menyebabkan Barisan Nasional terus tidak jumpa tarikh untuk mengadakan pilihanraya,” kata Badrul Hisham.

Beliau berkata himpunan itu akan memberikan imej kepada dunia bahawa kerajaan pimpinan BN terus semakin hilang sokongan daripada rakyat.

Peserta jalan kaki Anti-Lynas Kuantan – Kuala Lumpur yang memulakan perjalanan mereka 13 hari lepas sejak 13 November tiba di Dataran Merdeka pada kira-kira 5.30 petang.