Categories
AGENDA SUKANKINI

Peserta termuda Super Randonneur sasar sertai kayuhan jarak 1,200km

PETALING JAYA, 14 MAC: Peserta termuda Super Randonneur, Ahmad Uzair Ahmad Syauqi menyasarkan untuk menyertai pertandingan kayuhan jarak jauh 1,200 kilometer (km) yang bakal berlangsung di Paris pada 2023.

Ia susulan kejayaan remaja autisme berusia 13 tahun itu melengkapkan kayuhan bagi kategori 200 km, 300 km; 400 km dan 600 km pada tahun lalu.

Bapa remaja itu memaklumkan mereka kini sedang berlatih untuk menamatkan kategori 1,300 km yang akan dilakukan Jun ini.

Menurutnya, kayuhan akan bermula dari Seremban melalui Bukti Fraser, Johor, Pantai Timur dan kembali semula ke lokasi pertama.

“Kita lihat sejauh mana tenaga dan pencapaian Uzair pada tahun ini dan jika berpeluang, kami ingin menyertainya bersama pasukan.

“Bagi ibu bapa yang mempunyai anak autisme, jangan berasa kecewa kerana anak ini mempunyai keistimewaannya tersendiri,” kata Ahmad Syauqi Ahmad Said pada Majlis Serahan Malaysia Book of Record di The Club, Bandar Utama, semalam.

Beliau juga memaklumkan sepanjang tempoh anaknya itu berbasikal hingga kini, dia juga sudah mempunyai pasukannya sendiri iaitu Cycle.Uzair.Cycle yang sentiasa membantu bagi mencapai kejayaan.

 

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Kayuh 12,000km, anak autisme catat rekod dunia

Sebagai kanak-kanak yang disahkan menghidap autisme dan Sindrom Kurang Daya Tumpuan (ADHD) sejak berusia tiga tahun, Ahmad Uzair Ahmad Syauqi kerap berkelakuan hiperaktif.

Mengamuk tidak tentu hala, menjerit tidak tentu masa, memanjat dan melompat pagar jiran, menghantuk kepala ke lantai bahkan mengotorkan dinding rumah dengan najis antara gelagat Uzair.

Tapi itu dulu. Sebelum Uzair diperkenal sukan berbasikal. Sejak aktif melakukan kayuhan, perwatakannya jauh lebih tenang – semakin fokus, mendengar kata dan tidur waktu normal.

Kayuhannya pula bukan calang-calang. Setara bahkan melebihi keupayaan dengan sesetengah orang dewasa. Malah, Uzair menjadi orang paling muda di dunia melengkapkan siri kayuhan dalam Audax Brevet de Randonneur Mondizux (BRM), kejohanan tertua basikal Perancis yang turut popular di negara ini.

Kayuhan 200km hingga 600km dalam satu tahun menjadi Uzair layak tersenarai dalam Malaysia Book of Records sebagai Super Randonneur termasuk di negara ini, bahkan di dunia.

Mula berbasikal

Anak ketiga dari empat beradik kepada pasangan Ahmad Syauqi Ahmad Said dan Munirah Hanim Ahmad Jahudi, kedua-dua 38 tahun, mula dibawa kayuh sekitar rumah pada 2019. Keesokannya Uzair mahu lagi dan lagi.

Sebelum ini, usaha memperkenalkannya kepada sukan lain – bola sepak, renang dan tenis – tidak berhasil. Riak Uzair juga ceria apabila diajak berbasikal.

Namun, Syauqi perlu membantu menukar gear kerana anaknya tidak mahir berbuat demikian. Justeru, beliau melengkapkan basikal itu dengan gear elektronik yang disambung dengan basikalnya menggunakan alatan tanpa wayar. Hanya perlu berada dalam jarak 10 meter.

Kumpulan Cycle Uzair Cycle yang ‘menjaga’ dan menyokong minat anak istimewa ini. Foto ARKIB SELANGORKINI

Uzair mula kayuh jarak jauh, bahkan mencecah 600km. Anaknya juga melengkapkan kayuhan acara BRM. Pencapaian itu melayakkan Uzair disenarai dalam Malaysian Book of Records sebagai Super Randonneur termuda Malaysia, juga dunia.

Selepas hampir dua tahun, kelajuannya mencapai purata 28km/jam, tahap individu normal. Tahun lalu, anaknya telah kayuh keseluruhan 12,000km. Uzair kian dikenali hingga tertubuhnya kumpulan Cycle Uzair Cycle. Mereka turut sama ‘menjaga’ anak kecil itu. Bukan mudah kerana Uzair berbeza daripada kanak-kanak lain.

“Sesiapa yang kayuh bersama Uzair perlu beri tumpuan 100 peratus. Uzair tidak boleh minum sambil kayuh atau ada masalah teknikal pada basikal atau topi keledar. Kami perlu sentiasa perhatikan lenggoknya ketika kayuh.

“Uzair kini makin faham. Selalunya seminggu sebelum bermula, kami terangkan kena fokus, tunjukkan laluan, di mana berhenti dan sebagainya. Lama-kelamaan, Uzair boleh faham. Sampaikan bila dipakaikan jersi, dia tahu hari ini kita ada misi,” kata Ahmad Syauqi.

Pengorbanan

Membesarkan Uzair bukan mudah. Ibu bapanya melalui tempoh sukar lantaran anak ketiganya tidak berupaya bertutur dengan baik. Sukar memahami apa yang dimahukan anak itu.

“Pernah Uzair panjat pagar rumah, lompat ke rumah jiran berulang kali. Memang tidak tahu penat. Dulu tidur pada jam 4 pagi. Kami kena peka supaya tidak datangkan bahaya.

“Menjerit sebagai cara menyatakan kemahuannya. Kami lali dengan pandangan jelik orang ramai kerana Uzair buat bising,” kata Munirah.

Ahmad Syauqi Ahmad Said (kiri) menyokong penuh minat anaknya yang aktif berbasikal yang menjadikannya semakin fokus dan mendengar kata. Foto ARKIB SELANGORKINI

Mereka juga membawa Uzair ke kelas terapi pertuturan dan program pendidikan awal untuk murid berkeperluan khas. Pernah, Uzair dibawa ke kelas terapi di Kedah hanya untuk kelas selama sejam.

Meski penat, mereka tempuhi jua. Mahu perkembangan Uzair setara dengan kanak-kanak lain. Namun, hanya empat doktor di negara ini yang ada kepakaran sedemikian. Mereka menunggu berbulan-bulan untuk janji temu pertama. Namun, mereka tidak sesekali berputus asa.

“Melihat Uzair sekarang, banyak kata saya beruntung sebab anak saya ‘behave’ (jaga kelakuan). Tapi mereka tidak nampak Uzair yang dulu. Yang mengamuk lima enam kali sehari, yang kotorkan dinding rumah, yang cederakan diri sendiri.

“Uzair yang sekarang selepas kami harungi tahun-tahun meletihkan. Namun, saya percaya anak autisme mampu berkelakuan normal jika diberi perhatian sebaik-baiknya,” kata Munirah.

Harapan mereka Uzair mampu menyara kehidupan sendiri hasil minatnya dalam berbasikal. Mungkin membuka bengkel sendiri kelak. Siapa tahu ia boleh jadi kenyataan.