Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Kemasukan pesakit di pusat kuarantin Kelantan meningkat selepas Aidiladha

KOTA BHARU, 28 JULAI: Kemasukan pesakit di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di negeri ini meningkat sejak beberapa hari lepas, selepas Hari Raya Aidiladha.

Pengarah PKRC Kelantan Dr Mohd Zurairie Mohd Zubir berkata berikutan itu sebanyak 11 PKRC di seluruh negeri itu telah mencapai kapasiti penggunaan katil antara 80 hingga 98 peratus.

“Secara keseluruhan sehingga kini terdapat sebanyak 2,300 katil di seluruh PKRC dan ada antara PKRC iaitu PKRC Pusat Tarbiah Islam Kelantan di Pengkalan Chepa dan juga PKRC Jubli Perak, Kota Bharu telah mencapai kapasiti penggunaan katil mencecah 98 peratus.

“Malah, pada Jumaat ini juga kita akan membuka semula PKRC Sekolah Menengah Kebangsaan Salor selain kita juga sedang mengenal pasti satu lokasi baharu di luar daerah Kota Bharu untuk dijadikan PKRC,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di Unit Pengangkutan Covid-19 di pekarangan Pejabat Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia Kelantan di sini hari ini.

Semalam Kelantan merekodkan sebanyak 592 kes baharu Covid-19 dengan enam kluster baharu dilaporkan.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Zurairie berkata bagi mengelakkan berlaku kesesakan pesakit di PKRC, pihaknya telah mengambil kaedah untuk discaj pesakit menerusi penilaian klinikal.

Menurut beliau bagi pesakit kategori satu yang tidak mempunyai gejala, mereka akan dipantau sekurang-kurangnya dalam tempoh 24 jam sebelum dibenarkan pulang bagi menjalani Perintah Pengasingan di Rumah (HIO) berbanding sebelum ini mereka dikuarantin selama 11 hari di PKRC.

“Bagi pesakit kategori dua dan ke atas yang bebas daripada sebarang gejala pula mereka akan dibenarkan pulang untuk HIO selepas dipantau secara klinikal selama tempoh 48 hingga 72 jam,” katanya.

Bagaimanapun katanya, kebenaran pesakit untuk melakukan HIO bergantung kepada kriteria rumah yang bersesuaian selain pesakit dan penjaga juga mempunyai akses melalui telefon bagi memudahkan pemantauan.

“Bagi mereka yang dibenarkan pulang untuk menjalani HIO, kita memohon agar berdisiplin ketika berada di rumah dan dengan kenaikan kes Covid-19 di negeri ini sekarang, kita perlukan kerjasama semua pihak,” katanya sambil menambah, golongan berkenaan juga akan didaftarkan di Pejabat Kesihatan Daerah sebagai pesakit HIO.

– BERNAMA

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

1,174 pek daging korban diagih untuk penduduk Gombak

GOMBAK, 21 JULAI: Sebanyak 1,174 pek daging lembu korban diedarkan kepada penduduk sekitar Gombak sempena sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini.

Dato’ Menteri Besar berkata setiap bungkusan daging seberat satu kilogram (kg) diagih hasil sembelihan 14 ekor lembu sumbangan Kerajaan Selangor melalui pusat khidmat masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua.

Menurutnya sebahagian besar penerima adalah penduduk Sungai Tua melalui agihan 26 surau di lapan kampung serta empat ahli majlis selain turut memanfaatkan golongan asnaf dan fakir miskin.

“Selebihnya disumbangkan kepada penduduk di DUN Gombak Setia dan Hulu Kelang,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika ditemui selepas meninjau proses suntikan dos kedua di pusat pemberian vaksin (PPV) Dewan Sri Siantan di sini hari ini.

Amirudin yang juga wakil rakyat Sungai Tua berkata aktiviti ibadah korban dijalankan di pusat sembelihan diluluskan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Kerajaan Selangor menetapkan hanya tiga premis dibenar melaksanakan aktiviti sembelihan ibadah korban sempena perayaan Aidiladha mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ketat.

Premis dibenarkan adalah rumah sembelih veterinar atau rumah sembelihan swasta serta ladang ternak yang berdaftar dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor dan masjid bawah Jais.

Selain itu, hanya lima petugas dibenarkan terlibat dalam proses sembelihan pada satu-satu masa dan sebaiknya menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin bagi mengelak jangkitan wabak.

Categories
AGENDA NASIONAL

30 warga asing, seorang wanita tempatan ditahan hadiri jamuan raya

KUALA LUMPUR, 20 JULAI: Polis menahan 30 warga asing dan seorang wanita tempatan yang menghadiri satu jamuan Hari Raya Aidiladha di sebuah rumah di Taman Selayang Utama, Batu Caves hari ini.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Zainal Mohamed Mohamed berkata kesemua mereka yang terdiri daripada 29 lelaki dan dua wanita berusia 20 hingga 40 tahun itu ditahan dalam serbuan kira-kira 10 pagi selepas pihaknya menerima maklumat mereka mengadakan jamuan di rumah berkenaan.

“Daripada 30 warga asing ini, empat orang mempunyai dokumen perjalanan yang sah manakala enam memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang tamat tempoh dan 20 lagi tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah.

Mereka didapati telah melakukan kesalahan gagal mematuhi SOP dengan berkumpul dan gagal mengamalkan penjarakan fizikal, memiliki PLKS yang tamat tempoh dan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata kesemua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak untuk siasatan lanjut dan semua warga asing yang ditahan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang bagi permohonan reman esok.

Zainal Mohamed berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki pas atau permit yang sah untuk tinggal di Malaysia dan Seksyen 15(1)(c) 1959/63 iaitu tinggal di Malaysia melebihi tempoh yang dibenarkan.

Beliau berkata wanita tempatan yang ditahan itu pula dikenakan kompaun RM4,000 di bawah Peraturan 16 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan cuai yang mungkin merebak ke jangkitan apa-apa penyakit yang berbahaya kepada nyawa dan Peraturan 16 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021,” katanya.

-BERNAMA

Categories
ADN SELANGOR

Wakil rakyat Morib bantu 70 keluarga susah sempena Aidiladha

SHAH ALAM, 20 JULAI: Seramai 70 keluarga sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Morib menerima bantuan makanan asas dan basah sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.

Ahli Dewan Negerinya Hasnul Baharuddin berkata sumbangan melalui Misi Ziarah Kasih Aidiladha untuk membantu masyarakat Kampung Bandar yang memerlukan.

“Misi kali ini menggunakan kenderaan roda tiga bagi memudahkan bantuan diberi kepada penerima yang umumnya tinggal berhampiran satu sama lain.

“Usaha ini diharap dapat meringankan beban keluarga yang mempunyai punca pendapatan atau sumber kewangan isi rumah rendah,” katanya menerusi Facebook semalam.

Hasnul yang juga Timbalan Speaker Dewan Negeri mengagihkan bantuan bersama Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Bandar Abdullah Sani Sahbudin .

Beliau berkata gandingan bersama pusat khidmat masyarakat dan pihak MPKK juga memainkan peranan penting dalam menyampaikan sumbangan kepada penerima.

“Selain membantu, kita juga dapat mendengar luahan penduduk mengenai situasi semasa,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB, keluarga rai Aidiladha secara sederhana di rumah

SHAH ALAM, 20 JULAI: Dato’ Menteri Besar meraikan sambutan Hari Raya Aidiladha secara sederhana bersama keluarga di kediaman rasmi di Seksyen 7 di sini.

Dato’ Seri Amirudin Shari melaungkan takbir raya bersama isteri Datin Seri Masdiana Muhamad, bapa mentua dan anak-anak sebelum mengimamkan solat sunat.

Beliau kemudian menyampaikan khutbah bertajuk ‘Persaudaraan Umat Islam: Pengalaman Ibadah Haji dan Korban’ dikeluarkan unit khutbah Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Selangor.

Dalan khutbah berkenaan, Amirudin menyeru umat Islam mengambil pengajaran daripada pengalaman ibadah haji dan korban untuk mengukuhkan persaudaraan.

“Semoga kita sentiasa berada dalam ikatan persaudaraan yang kukuh, hidup dengan aman damai dan harmoni agar dapat menjadi benteng daripada serangan musuh Islam,” katanya.

Amirudin juga menggesa umat Islam terus berdisiplin dan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan ketika menunaikan solat berjemaah bagi memutuskan rantaian Covid-19.

“Solatlah secara berjemaah bersama-sama ahli keluarga masing-masing, mudah-mudahan kita mendapat ganjaran pahala daripada Allah SWT,” katanya.

Usai solat, Amirudin yang segak berbaju melayu biru merakam gambar kenangan di pagi Aidiladha dan saling bermaafan.

Beliau dijadual menghadiri aktiviti penyembelihan lembu di Masjid Bukit Antarabangsa dan Masjid Jamilhuda, Kampung Melayu Ampang hari ini.

Categories
PERSONALITI RENCANA

Covid-19 uji ketakwaan kepada Allah

Dato’ Menteri Besar mengingatkan umat Islam betapa cabaran masyarakat sepanjang pandemik Covid-19
bukan sekadar menguji daya tahan fizikal tetapi ketakwaan kepada Allah.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ketakwaan itu boleh dicapai dengan mematuhi perintah-Nya termasuk ibadat korban terutama ketika wabak melanda.

Berikut perutusan penuh sempena sambutan Aidiladha:

Pejam celik pejam celik, sudah empat hari raya kita lalui pada zaman pandemik ini. Ini bererti telah lebih setahun kita bersama-sama menghadapi saat-saat yang cukup mencabar ini, dengan sama-sama melalui dua hari raya Aidilfitri dan dua hari raya Aidiladha, termasuk yang akan kita sambut tidak lama lagi, dalam keadaan “lockdown”.

Dalam pada itu, berita dari Arab Saudi sungguh menghibakan umat Islam di seluruh dunia, memandangkan hanya rakyat mereka sahaja yang diberi izin untuk melaksanakan ibadat Haji pada tahun 2021/1442 Hijrah ini.

Covid-19 ternyata menduga bukan sahaja daya tahan jasad kita, tetapi turut menguji keimanan kita  serta ketakwaan kita untuk terus mengabdi kepada Yang Maha Mencipta dalam suasana yang sangat berbeza.

Amirudin Shari menyertai ibadah korban ketika Program Sumbangan Lembu, Ziarah Korban, Majlis Kenduri Rakyat Hari Raya Aidiladha 2019 di sekitar surau DUN Sungai Tua. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Kita sedia maklum bahawa Hari Raya Aidiladha cukup sinonim dengan tema korban dan pengorbanan. Kita mengenang kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS, Nabi Ismail AS dan Siti Hajar. Kita turut mengenang peristiwa korban yang dipersembahkan oleh Habil dan Qabil.

Dalam surah al-Maidah, ayat 27, ketika al-Quran membicarakan kisah ini, ditegaskan bahawa Allah hanya menerima korban dan amalan daripada orang yang bertakwa. Mesej sebegini turut ditemui dalam surah al-Hajj, ayat 37:

“Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu.”

Ternyata, pengorbanan memerlukan syarat ketakwaan. Malah, tiada nilai pada pengorbanan tanpa ketakwaan.

Namun, dalam konteks kita sebagai warganegara yang baik, apakah erti ketakwaan? Ketakwaan bererti melakukan perkara baik dan bermanfaat serta menjauhi perkara buruk.

Allah menyebut beberapa sifat orang bertakwa, antaranya yang disebut dalam al-Baqarah, ayat 177, ialah “seseorang yang mendermakan harta yang disayanginya kepada sanak saudara, anak-anak yatim, orang miskin, orang yang terputus belanja ketika dalam perjalanan mengerjakan sesuatu yang murni.”

Ini merupakan nilai universal yang cukup penting buat manusia dan kemanusiaan. Ketakwaan inilah yang mahu dicapai dalam pelbagai perintah dan arahan Tuhan termasuklah ibadat korban, lebih-lebih lagi di zaman buruk akibat pandemik ini.

Seperti mana kisah agung pengorbanan Nabi Ibrahim AS serta anakandanya Nabi Ismail AS bermula dengan berita “buruk” tentang arahan penyembelihan sebelum akhirnya mendapat Rahmat dan Maghfirah daripada Tuhannya, begitu juga diharapkan agar di hujung perjalanan panjang Covid-19 ini, Allah Yang Maha Mengetahui akan membuka hijabnya serta akhirnya memahamkan kita akan HikmahNya dalam RencanaNya yang sempurna sesuai dengan IradatNya.

Meskipun kesempurnaan hanya milik Yang Maha Sempurna, Kerajaan Negeri beriktikad untuk terus memberikan khidmat yang terbaik dan berkorban sebaik mungkin demi kemaslahatan rakyat, yang terbaharu menerusi Pakej Kita Selangor 2.0.

Dengan matlamat mencapai ketakwaan, saya berpesan kepada diri sendiri dan seluruh rakyat Malaysia terutamanya warga Selangor untuk kita berusaha sedaya mungkin berkorban dan saling membantu saat amat mencabar ini.

Marilah pada yang mampu, bersama-sama mengorbankan sedikit kesenangan untuk dikongsikan kepada yang memerlukan.

Saya cukup terharu dengan kisah-kisah yang berlegar di sekeliling kita. Sekiranya anda memerlukan bantuan atau mengenali sesiapa yang dalam kesempitan, jangan bertangguh untuk hubungi kami. Kerajaan Negeri akan berusaha keras memastikan tiada orang yang tertinggal pada saat ini kerana kita sama-sama jaga kita. Marilah kita saling cakna, bertanya khabar dan meminjamkan telinga untuk mendengar rintihan teman-teman terdekat agar tiada sesiapa yang menghadapi tekanan perasaan atau terjejas kesihatan mentalnya.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua umat Islam di Selangor.

Dengan tema “Pengorbanan Wahana Penyempurnaan”, semoga kita semua warga Selangor terus tabah menghadapi dugaan ini dan tidak pernah berhenti berkorban demi mencapai penyempurnaan pengabdian kita kepada Allah Azza Wa Jalla.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan titah sambut sederhana Aidiladha, jangan balik kampung

SHAH ALAM, 19 JULAI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor sekali lagi menasihatkan umat Islam menyambut Hari Raya Aidiladha secara sederhana dan tidak pulang ke kampung.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah supaya Aidiladha disambut kediaman masing-masing bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19 yang tidak terkawal.

“Baginda amat bimbang sekiranya masih ada yang berdegil untuk pulang ke kampung di luar daerah sempena musim perayaan ini.

“Baginda masih berdukacita kerana perayaan umat Islam yang sepatutnya disambut dengan semangat kesatuan ummah bagi mengeratkan ukhwah terpaksa diadakan dalam keadaan yang terhad dan waspada,” menurut kenyataan Selangor Royal Office di Facebook.

Sultan Selangor turut berharap setiap aktiviti membabitkan ibadah korban dilaksanakan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

“Baginda mahu supaya umat Islam terus memanjatkan doa setiap kali selepas solat agar sekalian rakyat terus dilindungi dan dijauhkan daripada musibah wabak Covid-19 dan kematian,” menurut kenyataan lagi.

Pada 13 Julai, Sultan Selangor menasihatkan umat Islam menyambut Hari Raya Aidiladha secara sederhana di kediaman masing-masing dan tidak merentas daerah.

Categories
AGENDA NASIONAL

Orang ramai digesa jangan curi-curi balik kampung

SHAH ALAM, 18 Julai: Kerajaan menasihati orang ramai tidak “curi-curi” pulang ke kampung dan kekal berada di rumah supaya penularan Covid-19 dapat dikekang.

Timbalan Perdana Menteri berkata ia susulan 4,839 kenderaan diarah berpatah balik kelmarin dipercayai cuba merentas negeri tanpa kebenaran untuk menyambut Aidiladha di kampung.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata jumlah berkenaan adalah yang tertinggi dicatatkan semenjak Pelan Pemulihan Negara (PPN) dilaksana sejak bulan lalu.

“Semalam, polis melaporkan sebanyak 381,952 kenderaan diperiksa di sekatan jalan raya (SJR) seluruh negara.

“Kerajaan menasihati orang ramai supaya tidak curi-curi pulang ke kampung dan kekal duduk di rumah supaya tidak dijangkiti dan menjangkiti orang lain,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ismail Sabri juga memaklumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di lima lokaliti seluruh negara termasuk CLQ Gamuda Garden, Kundang Jaya, Rawang tamat mulai esok.

Katanya, PKPD di CLQ Gamuda Garden yang bermula 30 Jun dan kemudian dilanjutkan pada 14 Julai ditamatkan pada 19 Julai seperti yang dijadualkan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Individu cuba rentas negeri sambut Aidiladha berdepan tindakan tegas

KUALA LUMPUR, 17 JULAI: Polis akan mengambil tegas terhadap mana-mana individu yang cuba merentas negeri untuk pulang ke kampung bagi menyambut Hari Raya Aidiladha, Selasa ini.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata kebenaran rentas negeri hanya diberi kepada mereka yang mempunyai urusan kecemasan.

“Saya percaya semua sekatan jalan raya (SJR) yang diaturkan oleh ketua polis negeri (masing-masing) dan (semua) ketua polis daerah telah bersedia untuk mengawal rentas daerah dan negeri.

“Rakyat perlu mematuhi arahan kerajaan, mana yang degil, tindakan undang-undang akan diambil,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan orang awam yang dikatakan merentas negeri bagi tujuan untuk pulang sempena sambutan Aidiladha kali ini.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar berkata keadaan aliran trafik di SJR di Plaza Tol Bentong menghala ke Kuantan ketika ini berada dalam keadaan terkawal dan tiada kesesakan.

“Mereka yang melalui SJR ini mempunyai dokumen sama ada untuk urusan pengambilan vaksin atau pun mereka yang mempunyai surat (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri – Miti).

“… dan sekiranya berlaku sedikit kesesakan, adalah perkara biasa disebabkan petugas kami akan buat pemeriksaan secara lebih terperinci melibatkan dokumen yang mereka miliki,” katanya kepada Bernama selepas membuat tinjauan di Plaza Tol Bentong, Pahang.

Di Kota Bharu, Timbalan Ketua Polis Kelantan SAC Abdullah Muhammad Piah berkata keadaan semasa trafik yang memasuki negeri itu adalah terkawal walaupun berlaku peningkatan lima peratus jumlah kenderaan seperti dilaporkan semalam.

Beliau menjelaskan peningkatan itu hanya berlaku di pintu sempadan di Jeli iaitu kenderaan yang datang dari arah utara, manakala situasi trafik di Gua Musang dan Pasir Puteh sama seperti hari biasa dalam tempoh pelaksanaan Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara, ketika ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

50 dibenar solat Aidiladha di masjid, mesti lengkap 2 dos vaksin

SHAH ALAM, 17 JULAI: Selangor membenarkan pelaksanaan solat sunat Aidiladha pada pagi 20 Julai ini dengan kapasiti 50 jemaah termasuk pentadbirnya di masjid-masjid negeri ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal negeri Mohd Zawawi Ahmad Mughni menerusi hantaran dalam Facebooknya memaklumkan kebenaran tersebut turut diberikan kepada surau kebenaran solat Jumaat dengan kapasiti 40 jemaah termasuk pentadbir.

Mohd Zawawi berkata kategori masjid yang dibenar melaksanakan solat sunat Aidiladha ialah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah; Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong; Masjid Raja Fi Sabilillah Cyberjaya; masjid pengurusan; institusi dan kariah manakala surau kariah tidak dibenarkan melaksanakan solat sunat berkenaan.

“Pentadbir masjid dan surau kebenaran solat Jumaat hanya dibenarkan menjemput jemaah yang merupakan ahli kariahnya dan mereka sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin,” katanya menerusi Facebook @Zawawi Mughni, hari ini.

Mohd Zawawi berkata umat Islam di negeri ini disarankan untuk melakukan solat sunat di rumah mereka susulan ketetapan mengehadkan bilangan jemaah dan panduan ringkas pelaksanaan solat sunat berkenaan boleh didapati dalam laman sesawang, Facebook dan Instagram rasmi Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Selain itu katanya, aktiviti menziarahi tanah perkuburan dan takbir hari raya dari rumah ke rumah adalah tidak dibenarkan dalam usaha membendung penularan Covid-19.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO: Ibadah korban di Selangor kekal dilaksana dengan SOP ketat

SHAH ALAM, 15 JULAI: Ibadah korban di Selangor sempena sambutan Aidiladha kekal dilaksana empat hari berturut bermula 20 Julai dengan tatacara operasi piawai (SOP) ketat.

EXCO hal ehwal agama Islam berkata hanya lima petugas dibenarkan terlibat dalam proses sembelihan tersebut pada satu-satu masa.

“Sebaiknya mereka yang terlibat nanti sudah menerima satu dos vaksin dan patuh SOP untuk mengurangkan jangkitan Covid-19,” kata Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Beliau berkata demikian selepas Program Sumbangan Pek Keperluan Dapur untuk penduduk Taman Sri Andalas di Restoran D’Rakit Taman Rakyat, di sini, hari ini.

Mohd Zawawi mengagihkan Sumbangan Pek Keperluan Dapur untuk penduduk Taman Sri Andalas. 15 Julai 2021. Foto : Facebook N49 DUN Sungai Kandis.

Mohd Zawawi yang juga Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis berkata agihan daging korban pula akan diagih rumah ke rumah dan penerima tidak dibenar hadir ke masjid atau tempat sembelihan.

“Biasanya masjid akan ada senarai penerima, justeru saya nasihatkan mereka yang menerima hanya tunggu di rumah dan tidak perlu datang ke masjid,” katanya.

Hanya tiga premis di Selangor dibenar menjalankan sembelihan ibadah korban iaitu rumah sembelih veterinar atau rumah sembelihan swasta serta ladang atau kandang ternak berdaftar dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor (JPVS) dan masjid di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL SELANGOR

670 lembu, 1,000 kambing untuk sumbangan korban sempena Aidiladha

SHAH ALAM, 7 JULAI: Sebanyak 670 ekor lembu dan 1,000 ekor kambing diperuntuk Kerajaan Selangor bagi program Sumbangan Korban Negeri Selangor pada Aidiladha kali ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sumbangan berjumlah RM5.05 juta itu ditaja sembilan anak syarikat Kerajaan Negeri.

“Ada sedikit perbezaan pada tahun ini, jika sebelum ini kita peruntuk 1,200 ekor lembu kali ini pula sebanyak 670 ekor lembu dan 1,000 ekor kambing.

“Semua 450 masjid di Selangor masing-masing akan menerima sumbangan seekor lembu dan kambing,” katanya pada sidang media di Bangunan Sultan Salahudidin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Lembu dan kambing korban itu juga akan diedar kepada Dato’ Menteri Besar, Speaker, EXCO, Timbalan Speaker, Ahli Dewan Negeri, Penyelaras Dewan Undangan Negeri, Ahli Parlimen dan Penyelaras Parlimen.

Selain itu Dato’ Menteri Besar berkata tatacara operasi piawai (SOP) ibadah korban akan dimaklumkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dalam tempoh terdekat.

“Saya telah meneliti sebahagiannya tetapi keputusan terakhir adalah bidang kuasa Jais khususnya dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku,” katanya.

Syarikat Kerajaan Negeri yang menyumbang adalah Perbadanan Kemajuan Pertanian (PKPS), Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan), Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB).

Worldwide Holdings Berhad (WHB), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Central Spectrum Sdn Bhd (CSSB), Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) dan KDEB Waste Management (KWM).