Categories
AGENDA NASIONAL

PAKATAN Selangor anggap Ain mangsa sistem, desak KPM wujudkan suasana selamat

SHAH ALAM, 10 MEI: Ahli parlimen dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Pakatan Harapan (PAKATAN) Selangor mendesak Kementerian Pendidikan mengkaji semula sistem pendidikan bagi memastikan persekitaran pelajar kondusif dan selamat.

Kesemua 11 ahli parlimen dan 27 ADN itu kecewa apabila kementerian berkenaan berdiam diri dalam memberi sokongan kepada aktivis pelajar Ain Husniza Saiful Nizam dalam isu ketidaksamaan gender di sekolah.

“Penanganan kes Ain meninggalkan satu titik hitam dalam demokrasi kerana kerana kita seolah-olah memberi amaran kepada pemuda kita bahawa mereka yang bersuara dianggap sebagai pembangkang, penghasut dan lebih teruk lagi sekarang dilabelkan sebagai syaitan.

“Kami mendesak Kementerian Pendidikan untuk mengkaji semula sistem pendidikan dan mengambil tindakan tatatertib  tegas terhadap pengetua, sekiranya dia didapati menulis komen negatif tersebut dan terhadap guru yang mengambil tindakan terhadap pemberi maklumat,” kata mereka menerusi kenyataan media bersama hari ini.

Antara ahli parlimen yang menandatangani kenyataan itu ialah bekas Timbalan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, bekas Menteri Kesihatan yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad dan Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming.

Turut sama ialah wakil rakyat Bukit Lanjan, Elizabeth Wong, diikuti Jamaliah Jamaludin (DAP-Bandar Utama) dan Mohd Sany Hamzan (Parti Amanah Negara-Taman Templer).

Ahli politik PAKATAN itu juga berkata Ain adalah mangsa terhadap kegagalan sistem yang tidak memahami serta menyokong hak wanita tetapi sebaliknya lebih menyokong guru dan pelajar yang mempromosikan budaya rogol dan keganasan.

Mereka turut menggesa supaya kementerian melaksanakan polisi kesaksamaan gender dan membina hubungan hormat menghormati lelaki dan wanita menerusi Rancangan Malaysia ke-11 bagi mewujudkan negara lebih baik.

“Kecenderungan sekarang adalah meremehkan isu keganasan serta memberi keizinan kepada budak lelaki untuk merogol perempuan berumur ’18 tahun ke atas’.

“Oleh itu, seseorang hanya dapat menyimpulkan jenaka rogol itu mengandungi mesej mungkin berbahaya dan tersirat iaitu sekiranya anda melakukan hubungan seks dengan wanita berumur 18 tahun ke atas, anda boleh memberi alasan perbuatan seks tersebut dilakukan atas persetujuan bersama dan melepaskan diri daripada hukuman,” kata mereka.

Pada 8 Mei lalu, tular komen di Facebook didakwa milik seorang pengetua memanggil Ain sebagai hipokrit dan anak syaitan yang memakai tudung.

Pada 24 April lalu, Ain menerusi aplikasi TikTok mendedahkan gurunya memberitahu pelajar lelaki di kelas jika mereka melakukan ingin melakukan pemerkosaan, mereka harus melakukan kepada mereka yang berumur 18 tahun ke atas.

Isu tersebut menimbulkan kemarahan pelbagai pihak termasuk gesaan untuk mengambil tindakan terhadap guru tersebut bagi memastikan penambahbaikan sistem pendidikan.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Selangor teliti bantu pembelajaran remaja isu jenaka rogol

SHAH ALAM, 4 MEI: Kerajaan Negeri bersedia meneliti cadangan bagi membantu sesi pembelajaran Ain Husniza Saiful Nizam termasuk persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Dato’ Menteri Besar berkata remaja berusia 17 tahun yang membuat pendedahan berhubung jenaka rogol oleh gurunya itu wajar dipuji kerana menegakkan hak pelajar perempuan.

“Saya ada kongsikan isu Ain Husniza ini kepada beberapa orang dan ada yang ingin mengambil dia sebagai anak angkat, beri pendidikan tetapi perkara ini perlu dibincang dahulu dengan keluarganya.

“Keberanian Ain Husniza dalam mengetengahkan isu ini juga wajar diberi penghargaan malah saya dimaklumkan Ain tidak ke sekolah hari ini sedangkan dia bakal menduduki SPM,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau ditemui selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Biasiswa antara Wanita Berdaya Selangor dan Universiti Terbuka Malaysia di pusat pentadbiran negeri hari ini.

Pada masa sama, Amirudin berkata Kementerian Pendidikan Malaysia perlu memandang serius isu yang boleh merosakkan minda pelajar sekolah itu jika tidak diambil tindakan.

“Kita sudah jadi masyarakat maju, negeri maju perangai pun sepatutnya berubah, hormat wanita. Malah, Kementerian Pendidikan dan semua pihak berwajib perlu ambil serius isu ini,” katanya.

Malah, Ain Husniza menceritakan gurauan itu disambut gelak tawa pelajar lelaki sedangkan gurauan itu menimbulkan rasa trauma dalam kalangan pelajar perempuan.

Baru-baru ini tular di media sosial apabila Ain Husniza mendedahkan gurauan keterlaluan seperti menggalakkan pelajar melakukan perbuatan rogol menerusi medium Tik Tok.