Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Tiada limpahan, air pasang besar di Pelabuhan Klang terkawal

SHAH ALAM, 3 FEB: Fenomena air pasang besar yang melanda pesisir pantai Pelabuhan Klang dilaporkan terkawal pagi ini, maklum Unit Pengurusan Bencana Selangor.

Menurut Penolong Pegawai Tadbirnya Muhammad Izzat Haziq Mohd Nazir, paras air laut mencatat bacaan sederhana setinggi 4.9 meter setakat jam 7.33 pagi.

Beliau berkata tiada limpahan besar air dikesan setakat ini yang boleh mengakibatkan banjir serius.

“Setakat ini tiada apa-apa yang berlaku dan keadaan semua terkawal,” katanya ketika dihubungi.

Sebelum ini, Pusat Hidrografi Nasional meramalkan air pasang besar di Pelabuhan Klang dan Sabak Bernam mulai 1 hingga 5 Februari.

Beberapa kawasan lain turut dijangka berdepan fenomena itu ialah Kuala Muda (Kedah), Bagan Datoh (Perak), Batu Pahat dan Pontian (Johor).

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Air pasang besar diramal di Sabak Bernam, Pelabuhan Klang hingga Sabtu

SHAH ALAM, 2 FEB: Pusat Hidrografi Nasional meramalkan air pasang besar di Sabak Bernam dan Pelabuhan Klang mulai 1 hingga 5 Februari.

Beberapa kawasan lain turut dijangka berdepan fenomena itu ialah Kuala Muda (Kedah), Bagan Datoh (Perak), Batu Pahat dan Pontian (Johor).

“Air pasang besar bagi Februari 2022 berlaku pada 1 hingga 5 Februari sesuai dengan data ramalan Jadual Pasang Surut Malaysia 2022 yang dikeluarkan oleh Pusat Hidrografi Nasional.

“Sentiasa berwaspada,” kata agensi tersebut di Twitter pada Isnin.

Pada 2 Januari, air pasang besar melanda beberapa kawasan di negeri ini termasuk Klang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor Norazam Khamis berkata air pasang berada pada paras ketinggian lima meter, namun situasi terkawal.

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Air pasang besar: Keadaan terkawal, tiada rumah penduduk terjejas

SHAH ALAM, 4 JAN: Fenomena air pasang besar yang melanda beberapa kawasan di negeri ini terkawal serta tidak menjejaskan rumah penduduk pada hari ketiga, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata berdasarkan laporan dan pemantauan di Klang dan Kuala Selangor, air pasang berada di paras ketinggian lima meter pada pagi tadi.

“Pemantauan di Kuala Selangor iaitu di Pantai Remis, Pantai Jeram dan jeti jambatan Kuala Selangor antara jam 6.50 pagi hingga 8 pagi mendapati terdapat peningkatan air pasang tetapi tidak membahayakan penduduk berhampiran.

“Manakala di Klang iaitu Jeti Nelayan Kampung Tok Muda dan Jeti Nelayan Jalan Kunci Air Kapar pada jam 6 pagi hingga 7 pagi mendapati air pasang berada paras lima meter dengan rumah penduduk tidak dinaiki air dan surut pada jam 6.55 pagi,” katanya menerusi kenyataan.

Norazam pada Ahad lalu memaklumkan pihaknya menempatkan enam anggota di kawasan berisiko bagi melakukan rondaan sepanjang fenomena air pasang besar.

Ia susulan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan beberapa kawasan di Kedah (Kuala Muda), Perak (Bagan Datoh), Selangor (Klang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor) dan Johor (Batu Pahat dan Pontian) akan mengalami fenomena itu bermula 2 Januari (Ahad) hingga 5 Januari (esok).

Categories
AGENDA NASIONAL

Air pasang besar diramal berlaku tiga kali sepanjang Januari hingga Februari

KUALA LUMPUR, 3 JAN: Tiga fenomena air pasang besar diramal berlaku di negara ini bermula awal bulan ini hingga awal bulan depan.

Pengarah Bahagian Pengurusan Sumber Air dan Hidrologi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Ir Azmi Ibrahim berkata ia bermula pada 2 hingga 5 Jan, diikuti 18 hingga 21 Jan dan 31 Jan hingga 3 Feb.

Beliau berkata paras air laut yang tinggi sekali gus menjadi faktor berlakunya banjir air pasang besar.

“(Air pasang besar) memang akan menenggelami kawasan-kawasan yang rendah sekiranya tidak diberi perlindungan,” katanya dalam program wawancara Malaysia Petang Ini terbitan Bernama TV hari ini.

Beliau berkata antara perlindungan yang biasa dilakukan adalah membangunkan penghadang di sepanjang pantai bagi mengelak air pasang besar yang akan menyebabkan banjir di kawasan pesisiran pantai.

“Suasana akan menjadi lebih buruk sekiranya pada masa sama air sungai itu tinggi disebabkan hujan lebat, jadi air sungai tidak dapat mengalir ke laut dan bertembung dengan air laut yang tinggi, menyebabkan berlakunya pertembungan yang boleh menyebabkan banjir,” katanya.

Terdahulu, JPS melaporkan fenomena air pasang besar dijangka berlaku selama empat hari bermula hari ini hingga Rabu melibatkan kawasan berisiko tinggi termasuk Kuala Muda di Kedah, Bagan Datuk di Perak, Klang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor di Selangor serta Batu Pahat dan Pontian di Johor.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dua ban pecah di Kuala Langat siap dibaik pulih petang ini

SHAH ALAM, 3 JAN: Kerja pembaikan dan pengukuhan ban di Kampung Labohan Dagang serta Kampung RTB Bukit Changgang, Kuala Langat siap sepenuhnya petang ini.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan empat jentera digerakkan ke setiap lokasi bagi kerja pembaikan selepas menerima laporan kejadian jam 10 pagi, lapor Berita Harian.

Menurut jabatan itu hakisan ban berukuran antara tiga ke empat meter lebar berlaku susulan hujan berterusan dan air pasang besar melanda daerah Kuala Langat semalam.

“JPS segera melakukan kerja pembaikan dan pengukuhan ban sungai berkenaan. Sehingga kini limpahan air sungai di kawasan jajaran Sungai Langat adalah terkawal.

“Kerja pembaikan ban di Kampung Labohan Dagang siap sepenuhnya manakala di Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Changgang dijangka siap dibaiki petang ini,” kata JPS.

JPS bagaimanapun meminta penduduk terutama di kawasan yang dijangka banjir berwaspada dan peka dengan arahan pihak berkuasa.

“Sila dapatkan maklumat dan amaran semasa melalui laman web publicinfobanjir.water.gov.my, facebook: Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia –Dept. of Irrigation and Drainage dan twitter @DID_Malaysia,” jelas kenyataan itu.

JPS semalam memaklumkan fenomena air pasang besar dijangka berlaku selama empat hari bermula semalam sehingga Rabu.

Antara kawasan yang berisiko tinggi adalah Kuala Muda, Kedah, Bagan Datuk, Perak, Klang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor serta Batu Pahat dan Pontian, Johor.

Categories
AGENDA NASIONAL

JPS: Air pasang besar di empat negeri mulai hari ini hingga Rabu

KUALA LUMPUR, 2 JAN: Penduduk di pesisir pantai khususnya di negeri pantai barat Semenanjung dinasihatkan supaya lebih berwaspada, berikutan fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku selama empat hari bermula hari ini sehingga Rabu.

Menurut kenyataan dikeluarkan Bahagian Pengurusan Zon Pantai, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), antara kawasan yang berisiko tinggi adalah Kuala Muda di Kedah, Bagan Datuk (Perak), Klang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor di Selangor, serta Batu Pahat dan Pontian di Johor.

“Walaupun fenomena air pasang besar kali ini berskala lebih kecil berbanding November lepas, keadaan akan menjadi lebih buruk sekiranya disertai angin kencang, ombak besar dan hujan lebat yang berlaku serentak.

“Keadaan tersebut akan menyebabkan berlakunya banjir kilat, limpahan air laut dan banjir pantai,” demikian menurut kenyataan tersebut, hari ini.

Justeru, orang ramai diminta untuk sentiasa memantau keadaan cuaca dan sekiranya hujan lebat serta air laut pasang berlaku serentak, mereka perlu bersedia untuk berpindah ke tempat selamat dan mematuhi arahan pihak berkuasa yang ditetapkan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Air pasang besar jadi lebih buruk jika bertembung angin kencang, hujan lebat

SHAH ALAM, 2 JAN: Fenomena air pasang besar yang diramal berlaku hari ini hingga Rabu boleh bertukar buruk jika disertai angin kencang dengan ombak besar dan hujan lebat secara serentak.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) mengingatkan penduduk di pesisir pantai khususnya di negeri pantai barat Semenanjung Malaysia disaran lebih berwaspada dengan fenomena berkenaan.

“Fenomena air pasang besar pada kali ini berskala lebih kecil berbanding kejadian pada November lalu, namun keadaan itu akan menjadi lebih buruk sekiranya disertai angin kencang, ombak besar dan hujan lebat yang berlaku serentak.

“Situasi itu akan menyebabkan berlakunya banjir kilat, limpahan air laut dan banjir pantai,” kata agensi tu menerusi kenyataan.

Nadma memaklumkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan memberi makluman awal yang dikemaskini dari semasa ke semasa agar semua pusat kawalan operasi bencana dapat bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

JPS menerusi kenyataan sebelum ini mengingatkan penduduk di pesisir pantai khususnya di negeri pantai barat Semenanjung Malaysia lebih berwaspada susulan fenomena air pasang besar yang dijangka melanda selama empat hari mulai hari ini.

Jabatan itu memaklumkan kawasan terlibat adalah di Kedah (Kuala Muda), Perak (Bagan Datoh), Selangor (Klang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor) dan Johor (Batu Pahat dan Pontian).

Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR

Air pasang besar: Bomba Selangor tempatkan anggota di kawasan berisiko

SHAH ALAM, 2 JAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menempatkan anggota di kawasan berisiko bagi melakukan rondaan susulan fenomena air pasang besar yang melanda beberapa kawasan bermula hari ini.

Pengarahnya Norazam Khamis berkata seramai enam anggota dari setiap balai ditempatkan di kawasan dikenal pasti berisiko seperti Sabak Bernam, Tanjung Karang, Sungai Besar, Kuala Langat, Banting, Kuala Selangor dan Sepang.

“Anggota kita sudah mula menjalankan tugas pagi tadi dengan rondaan dilakukan secara berkala. Bagi penduduk berada di kawasan ini saya nasihatkan mereka sentiasa berwaspada,” katanya kepada SelangorKini.

Norazam berharap orang ramai khususnya di kawasan terlibat agar patuh dengan arahan apabila diarah berpindah jika air naik secara berterusan.

“Segera tinggalkan rumah jika air mula masuk dengan anggota kita sedia membantu, namun biasanya situasi air pasang ia hanya sementara dan air akan surut tidak lama kemudian.

“Bagaimanapun langkah berjaga-jaga perlu diambil kerana kita khuatir jika berlaku hujan ia akan mengakibatkan banjir,” katanya.

Penduduk di pesisir pantai khususnya di negeri pantai barat Semenanjung disaran lebih berwaspada susulan fenomena air pasang besar yang dijangka melanda selama empat hari mulai hari ini.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan kawasan terlibat adalah di Kedah (Kuala Muda), Perak (Bagan Datoh), Selangor (Klang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor) dan Johor (Batu Pahat dan Pontian).

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Air pasang besar landa empat negeri, penduduk pesisir pantai disaran waspada

SHAH ALAM, 2 JAN: Penduduk di pesisir pantai khususnya di negeri pantai barat Semenanjung Malaysia disaran lebih berwaspada susulan fenomena air pasang besar yang dijangka melanda selama empat hari mulai hari ini.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan kawasan terlibat adalah di Kedah (Kuala Muda), Perak (Bagan Datoh), Selangor (Klang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor) dan Johor (Batu Pahat dan Pontian).

“Walaupun kejadian fenomena air pasang besar kali ini diramal berskala kecil berbanding November lalu, keadaan akan menjadi lebih buruk sekiranya disertai angin kencang, ombak besar dan hujan lebat yang berlaku serentak yang akan menyebabkan berlakunya banjir kilat, limpahan air laut dan banjir pantai.

“Orang ramai khususnya pengunjung pantai dinasihat lebih berhati-hati ketika menjalankan sebarang aktiviti air, riadah dan rekreasi pada tarikh dinyatakan di kawasan terbabit,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

JPS turut meminta orang ramai sentiasa memantau keadaan cuaca dan sekiranya hujan lebat serta air laut pasang berlaku serentak, mereka perlu bersedia berpindah ke tempat selamat dan mematuhi arahan pihak berkuasa.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

JPS mohon RM5.2 juta naik taraf benteng pantai

SHAH ALAM, 26 NOV: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memohon sebanyak RM5.2 juta bagi menaik taraf benteng pantai yang terjejas pada tahun hadapan ekoran fenomena air pasang besar.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata antara kawasan terjejas ialah benteng di Sabak Bernam dan Kuala Selangor.

“Fenomena air pasang besar yang pernah berlaku sebelum ini telah menjejaskan benteng di kawasan pesisiran pantai terutama di kawasan Sabak Bernam dan juga Kuala Selangor.

“Oleh demikian, JPS telah memohon sebanyak RM5.2 juta pada tahun 2022 bertujuan menaiktaraf benteng pantai di kawasan terjejas,” katanya ketika membentangkan Belanjawan #Selangor 2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR

Air pasang besar diramal awal Disember, penduduk pesisir pantai perlu waspada

SHAH ALAM, 8 NOV: Fenomena air pasang pada minggu lalu terkawal walaupun limpahan air berlaku di beberapa kawasan, kata Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor.

Penolong Pengarah Operasi Hafisham Mohd Noor berkata sepanjang fenomena bermula Rabu hingga semalam, paras air laut tertinggi direkodkan mencecah 5.6 meter.

“Ada kediaman penduduk dinaiki air namun surut semula dalam tempoh masa singkat. Susulan itu tiada pembukaan mana-mana pusat pemindahan.

“Berdasarkan pengalaman, banjir dijangka berlaku sekiranya air pasang mencecah lebih tujuh meter atau kejadian ban pecah. Jadi kita bersama agensi lain akan memantau perkara ini,” katanya ketika dihubungi SelangorKini hari ini.

Hafisham berkata air pasang diramal berlaku lagi pada awal Disember depan dengan jangkaan paras tertinggi kurang daripada enam meter.

“Jadi kita minta penduduk yang tinggal berhampiran pesisir pantai supaya mengambil maklum mengenai perkara ini, dan sentiasa waspada” katanya.

Jabatan Meteorologi meramalkan fenomena air pasang besar melanda Selangor minggu lalu melibatkan kawasan Klang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor.

Selain Selangor, fenomena itu turut melanda Kedah, Perak dan Johor dalam tempoh sama serta memburuk jika disertai angin kencang, ombak besar dan hujan lebat secara serentak.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jangan jadikan fenomena air pasang besar sebagai pesta

KANGAR, 8 NOV: Orang ramai dinasihatkan agar tidak menjadikan fenomena air pasang besar sebagai pesta untuk bersuka ria, bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata malapetaka atau bala, boleh sahaja berlaku walaupun sesuatu aktiviti itu dianggap sekadar hiburan atau riadah.

“Masyarakat kita beranggapan banjir (termasuk air pasang) itu bukan bencana kerana keghairahan untuk bermain air. Kita (masyarakat) seharusnya peka dengan keadaan sekeliling kerana apa yang pasti kita sebagai penduduk di kawasan itu lebih tahu keadaan sekeliling.

“Sebagai contoh, kita tinggal di suatu kawasan penempatan, kita tahu apa risiko yang ada sekiranya terjadi bencana, jadi elak berbuat demikian,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Katanya, antara insiden yang boleh dijadikan iktibar ialah kejadian meragut nyawa seorang anggota bomba Allahyarham Mohd Diya Che Jusoh pada 20 Okt lepas, apabila wira negara yang lengkap dengan peralatan untuk menyelamat mangsa itu, turut terkorban.

Mohammad Hamdan berkata pihaknya sendiri tidak boleh melarang mana-mana individu untuk melakukan tindakan sedemikian, namun apa yang pasti nasihat boleh diberikan dan perlu cegah sebelum terlambat.

Terdahulu, beliau menyampaikan sijil penghargaan kepada 68 anggota dan pegawai yang menerima pingat kebesaran jabatan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2020.

Beberapa negeri termasuk Kedah, Perak, Selangor dan Johor sebelum ini dilaporkan mengalami fenomena air pasang besar sejak Khamis lepas (4 Nov) dan dijangka berakhir semalam.

– BERNAMA