Categories
NASIONAL SELANGOR

Ibu Tunggal Anak Lapan Dapat Simpati Presiden PKR

Wan Azizah melawat ibu tunggal 03

KLANG, 14 JAN : Kesusahan ibu tunggal, Aishah Mohammad,42, yang hanya berpendapatan RM300 sebulan untuk menyara lapan orang anak mendapat perhatian daripada Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Wan Azizah bersama delegasi pimpinan PKR Cabang Klang yang diketuai Yew Boon Lye mengunjungi rumah Aishah yang terletak di Rumah Flat Taman Pendamar Indah 2 di sini bagi menyampaikan bantuan.

Wan Azizah melawat ibu tunggal 01Sementara itu, menurut Wan Azizah yang ditemui TVSelangor berkata, PKR akan membantu Aishah dalam memberikan latihan agar beliau dapat menyara keluarganya dengan sumber pendapatan yang mencukupi.

“Kita datang bertemu dengan Aishah menyampaikan bantuan supaya dapat melegakan penderitaan dan keperitan yang dialaminya.

“Di peringkat PKR banyak program untuk ibu tunggal dan kita mengadakan program turun sendiri bagi melihat kesusahan agar ia dapat memberikan kita keinsafan yang lebih mendalam,” kata Wan Azizah.

Wan Azizah melawat ibu tunggal 02Aishah yang ditemui mengucapkan terima kasih di atas bantuan yang diberikan yang prihatin dengan kesukaran hidup yang dihadapinya.

“Saya hanya bekerja sebagai pengasuh dengan pendapatan RM300 sebulan, dengan pendapatan yang tidak seberapa ini sukar dan setakat ini belum mendapat bantuan daripada mana-mana pihak,” katanya.

Dalam pada itu juga Wan Azizah berkesempatan beramah mesra bersama-sama kira-kira 30 orang ibu tunggal di Dewan JKKK Kampung Pendamar di sini.

Ia bersempena Program Bicara Hati Ke Hati Santai Sepetang Bersama Kak Wan.

Wan Azizah juga menyampaikan bantuan berupa beras dan makanan dalam program itu kepada ibu tunggal.