Categories
AGENDA NASIONAL

Rumah dilanda bah, pengantin harung air ke masjid langsung majlis nikah

HULU TERENGGANU, 26 FEB: Seorang pengantin perempuan terpaksa mengharungi banjir beberapa meter untuk menuju ke Masjid Kampung Matang di sini bagi melangsungkan majlis pernikahannya pagi tadi.

Zaleha Ahamad, 25, berkata majlis pernikahan itu sepatutnya diadakan di rumahnya di Kampung Matang di sini, namun terpaksa bertukar lokasi ke masjid itu kerana rumahnya dinaiki air lebih satu meter sejak semalam.

“Mengikut perancangan asal, selepas bernikah, saya dan suami Sayed Khalil Khusairi Tuan Hamzah (26 tahun) terus bersanding di rumah namun apakan daya, ia terpaksa dibatalkan.

“Tak sangka majlis pernikahan yang sepatutnya menjadi kenangan indah seumur hidup bertukar menjadi begini. Namun, saya fikir positif bahawa pengalaman mengharung banjir ini akan menjadi sesuatu yang manis untuk kami kongsikan kepada anak cucu nanti,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Kampung Matang adalah antara kampung yang sering terjejas banjir di daerah Hulu Terengganu kerana lokasinya terletak di kawasan yang agak rendah berhampiran Sungai Telemong.

Anak keempat daripada enam beradik itu berkata dia tidak menyangka banjir akan berlaku kali ini kerana kebiasaannya banjir di daerah itu hanya terjadi dalam tempoh November hingga awal Januari sahaja.

“Majlis ini dirancang sebulan lepas kerana kedua-dua keluarga pengantin beranggapan banjir sudah selesai. Walaupun tidak dapat melalui pengalaman sepertimana pengantin lain, saya dan suami tetap bersyukur kerana telah menghalalkan ikatan perhubungan.

“Khemah untuk jamuan semua tetamu pula terpaksa dialihkan ke atas jalan kerana halaman rumah dinaiki air,” katanya yang mengenali suami sejak sekolah menengah.

Ketika ini, seramai 493 penduduk daripada 156 keluarga terjejas banjir di daerah Hulu Terengganu dan ditempatkan di 14 pusat pemindahan sementara (PPS) daerah itu.

— BERNAMA

 

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Jais: Hanya enam slot majlis akad nikah di masjid, surau sehari

SHAH ALAM, 8 NOV: Majlis akad nikah di semua masjid dan surau negeri ini dibenarkan hanya enam slot sehari, menurut Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Perkongsian info grafik di Facebook menyatakan seramai 20 orang ditetapkan boleh hadir iaitu 10 daripada pihak lelaki dan 10 lagi pihak perempuan.

Individu yang hadir ke majlis yang diadakan pada sesi pagi dan petang itu juga perlu lengkap menerima dos vaksin.

Sementara itu, pelaksanaan majlis akad nikah di Jais dan Pejabat Agama Islam Daerah hanya dibenarkan tiga orang iaitu wali, pengantin lelaki serta pengantin perempuan.

Berkuat kuasa 1 November lalu, Jais membenarkan semua masjid dan surau di Selangor mengadakan majlis akad nikah dengan mematuhi beberapa syarat.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor benarkan akad nikah di masjid dan surau, terhad 20 orang

SHAH ALAM, 1 NOV: Semua masjid dan surau di negeri ini dibenar mengadakan majlis akad nikah mulai 1 November dengan mematuhi beberapa syarat.

Antaranya hanya enam slot nikah sehari iaitu tiga pada sebelah pagi dan selebihnya sesi petang, maklum pengarah Jabatan Agama Islam Selangor.

Sementara bilangan orang ramai yang hadir ditetapkan seramai 20 orang iaitu 10 daripada pihak lelaki dan 10 lagi pihak perempuan.

“Semua yang hadir perlu lengkap menerima dua dos suntikan vaksin,” kata Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, beliau berkata pengurusan jenazah bukan Covid-19 dalam kalangan kariah dibenarkan di masjid dan surau dengan kehadiran waris, keluarga terdekat dan ahli kariah tidak lebih 100 orang.

Selain itu, katanya, mesyuarat jawatankuasa kariah masjid dan surau mesyuarat agung tahunan turut dibenarkan termasuk jamuan secara hidang bagi meraikan penceramah.

“Jamuan untuk jemaah yang lain boleh disediakan dalam bentuk bungkusan,” katanya lagi.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jais benar akad nikah di masjid, surau terpilih bermula 4 Oktober

SHAH ALAM, 4 OKT: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) membenarkan majlis akad nikah di masjid dan surau yang diberi kebenaran untuk solat Jumaat mulai hari ini.

Berdasarkan infografik Jais di Facebook, jumlah kehadiran mengikut lokasi dengan majlis pernikahan di masjid dan surau boleh dijalankan pada setiap hari.

Sekiranya diadakan di Jais ataupun Pejabat Agama Islam Daerah (Paid), bilangan kehadiran adalah seramai tiga orang iaitu pengantin lelaki, pengantin perempuan dan wali sahaja.

Manakala bagi akad nikah di masjid dan surau, pihak yang dibenarkan ialah pengantin lelaki, pengantin perempuan, wali dan tiga orang lain yang ditentukan pihak berkenaan.

Jurugambar bagaimanapun tidak dibenarkan hadir majlis akad nikah.

Jais juga mengingatkan pihak hadir ke lokasi akad nikah perlu lengkap vaksin, namun bagi yang tidak lengkap wajib menjalani ujian polimeras masa nyata (RT-PCR) tiga hari sebelum majlis berlangsung.

Ketua pendaftar perkahwinan, penceraian dan rujuk atau pegawai tadbir agama boleh menangguhkan atau membatalkan upacara nikah jika melanggar syarat berkenaan.

Sebelum ini Jais hanya membenarkan pelaksanaan majlis akad nikah secara bersemuka mulai 1 Julai di pejabat pihak berkuasa agama itu dan Paid dari Isnin hingga Ahad.

Pasangan perlu mendapatkan tarikh janji temu terlebih dahulu dan kehadiran adalah terhad kepada pengantin lelaki, perempuan serta wali.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Pengantin, wali belum lengkap vaksin wajib buat ujian Covid-19

SHAH ALAM, 14 SEPT: Hanya pasangan pengantin di negeri ini yang belum lengkap suntikan vaksin diwajibkan menjalani ujian Polimerase-Transkripsi Terbalik (RT-PCR).

Arahan berkuat kuasa esok turut dikenakan ke atas wali dalam tempoh 72 jam atau tiga hari dari pelaksanaan upacara akad nikah di pejabat agama Islam daerah dan masjid.

Dalam lampiran di Facebook, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) memaklumkan keputusan ujian perlu diserahkan kepada pendaftar perkahwinan sebelum majlis berlangsung.

Ketua pendaftar perkahwinan, penceraian dan rujuk atau pegawai tadbir agama boleh menangguhkan atau membatalkan upacara nikah jika melanggar syarat berkenaan.

Dalam lampiran sama, agensi itu memaklumkan akad nikah dilaksanakan dengan kehadiran fizikal di Jais, pejabat agama dan masjid sahaja pada setiap hari.

Kehadiran terhad kepada pengantin lelaki dan perempuan serta wali sahaja manakala individu lain tidak dibenarkan hadir termasuk jurugambar.

Individu lengkap suntikan vaksin berdasarkan kad atau sijil digital perlu memenuhi kriteria berikut:

1. Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac: Melepasi 14 hari dari tarikh suntikan kedua
2. Johnson & Johnson dan CanSino: Melepasi 28 hari dari tarikh suntikan kedua

Foto Facebook Jais
Categories
AGENSI SELANGOR

Jais: Pasangan lulus permohonan dibenar langsung majlis akad nikah

SHAH ALAM, 6 JULAI: Pasangan yang telah mendapat kebenaran bernikah dibenar melangsungkan upacara itu mengikut tarikh ditetapkan Pejabat Agama Islam Daerah (Paid) masing-masing.

Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) memaklumkan bagaimanapun bagi permohonan yang baharu hendak dimajukan ke Paid tidak dapat diproses berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Namun, pengecualian diberi bagi Sabak Bernam yang mana daerah terbabit tidak dikenakan PKPD.

“Justeru, pasangan yang telah mendapat tarikh bagi janji temu di daerah terlibat PKPD akan dijadualkan semula dan tarikh baharu akan diberi selepas tamat tempoh berkenaan,” katanya.

Jais memaklumkan secara purata antara 2,500 sehingga 3,000 permohonan sebulan yang mendapat kebenaran bernikah tertangguh ekoran pejabat ditutup ketika PKPD.

Sebelum ini Jais membenarkan pelaksanaan majlis akad nikah secara bersemuka mulai 1 Julai yang hanya boleh dilaksanakan di pejabat Jais dan Paid dari Isnin hingga Ahad.

Jais juga mengingatkan pengantin lelaki, perempuan serta wali wajib menjalani ujian tindak balas berantai polimeras masa nyata (rt-PCR) dalam tempoh 72 jam sebelum pelaksanaan majlis dan mengemukakan keputusan ujian kepada pendaftar.

Untuk sebarang pertanyaan boleh menghubungi 03-5514 3400/3600 atau emel [email protected].

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Jais benarkan majlis akad nikah dalam tempoh PKPD, ikut SOP

SHAH ALAM, 3 JULAI: Pelaksanaan majlis akad nikah di Selangor tetap diteruskan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang bermula hari ini.

Perkara itu dimaklumkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menerusi Facebook, semalam.

Katanya, majlis itu diteruskan seperti ketetapan pada 24 Jun lalu dengan mengikut tatacara operasi piawai (SOP).

Info terkini akan dimaklum dari masa ke semasa dengan sebarang pertanyaan boleh menghubungi 03-5514 3400/3600 atau emel [email protected]

Sebelum ini Jais membenarkan pelaksanaan majlis akad nikah secara bersemuka mulai 1 Julai yang hanya boleh dilaksanakan di pejabat Jais dan Pejabat Agama Islam Daerah (Paid) dari Isnin hingga Ahad.

Pasangan perlu mendapatkan tarikh janji temu terlebih dahulu dan kehadiran adalah terhad kepada pengantin lelaki, perempuan serta wali.

Jais juga mengingatkan pengantin lelaki, perempuan serta wali wajib menjalani ujian tindak balas berantai polimeras masa nyata (rt-PCR) dalam tempoh 72 jam sebelum pelaksanaan majlis dan mengemukakan keputusan ujian kepada pendaftar.

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Jais tangguh semua upacara akad nikah hingga hujung bulan

SHAH ALAM, 1 JUN: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menangguhkan segala bentuk dan cara pelaksanaan upacara akad nikah di negeri ini mulai hari ini hingga 30 Jun depan.

Menerusi hantaran di Facebook @Jabatan Agama Islam Selangor hari ini, perkara tersebut diputuskan setelah ia diperhalusi serta mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah demi membantu keberkesanan dasar semasa serta kepentingan banyak pihak.

“Jais membuat ketetapan bahawa pelaksanaan upacara akad nikah dalam apa juga bentuk dan cara adalah ditangguhkan mulai 1 Jun (hari ini) hingga 30 Jun 2021,” menurut hantaran itu.

Sebarang pertanyaan boleh dikemukakan melalui talian 03-55143400/ 03-55143600 atau e-mel ke [email protected].

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Semua khidmat Jais termasuk akad nikah ditangguh sehingga 14 Jun

SHAH ALAM, 31 MEI: Majlis akad nikah serta semua perkhidmatan di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ditangguhkan sepanjang tempoh pelaksanaan Sekatan Pergerakan yang dilaksanakan di seluruh negara, bermula esok hingga 14 Jun.

Dalam hantaran di Facebook hari ini, Jais berkata semua pelanggan Jais disaran untuk sentiasa mengikuti laman rasmi http://www.jais.gov.my atau platform rasmi media sosial Jais untuk sebarang pemakluman rasmi dan terkini.

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan, pelanggan boleh e-mel ke [email protected].

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Akad nikah di masjid negeri PKP dibenarkan, kehadiran 20 orang

SHAH ALAM, 18 FEB: Kerajaan membenarkan upacara akad nikah di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijalankan di pejabat agama dan masjid dengan kehadiran had maksimum 20 orang, tidak termasuk jurunikah serta saksi.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata bagaimanapun, urusan akad nikah ini di bawah bidang kuasa pejabat agama negeri  yang memerlukan kelulusan pihak berkuasa agama negeri.

“Kita bersetuju dengan cadangan had maksimum seramai 20 orang,” katanya sambil menambah sebelum ini, hanya lima orang dibenarkan hadir bagi upacara akad nikah.

Bagi kawasan PKP Bersyarat (PKPB), beliau berkata upacara pernikahan dibenarkan dengan kehadiran had maksimum 50 peratus mengikut keluasan premis dengan penjarakan satu meter dan untuk kawasan PKP Pemulihan (PKPP), kehadiran tetamu adalah mengikut keluasan premis dengan syarat penjarakan fizikal satu meter.

Ismail Sabri berkata bagi pernikahan dan majlis resepsi untuk bukan Islam, perkara itu akan diumumkan Kementerian Perpaduan.

Aktiviti bengkel, kursus, latihan, ceramah dan aktiviti berkaitan mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) masih tidak dibenarkan di kawasan PKP manakala di kawasan PKPP dan PKPB, ia dibenarkan beroperasi pada had 50 peratus kehadiran peserta berdasarkan kapasiti premis serta mematuhi syarat penjarakan fizikal satu meter.

Majlis rasmi dan tidak rasmi kerajaan serta swasta, dan majlis sosial seperti perkahwinan, pertunangan, resepsi, akikah, tahlil dan sambutan kelahiran di kawasan PKP masih tidak dibenarkan manakala di kawasan PKPB, ia dibenarkan dengan had kehadiran tetamu sebanyak 50 peratus mengikut kapasiti premis dan mematuhi penjarakan fizikal, sementara di kawasan PKPP adalah dibenarkan dengan syarat ada penjarakan fizikal.

“Bagi majlis perkahwinan di kawasan terbuka seperti di kampung contohnya, yang disyaratkan adalah mesti ada penjarakan fizikal dan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) Majlis Keselamatan Negara termasuk memakai pelitup muka, menyediakan QR Code dan buku kehadiran tetamu,” katanya dalam sidang media di Putrajaya.

Berhubung aktiviti pelancongan dan kebudayaan, Ismail Sabri berkata aktiviti pelancongan seperti zoo, akuarium dan taman rekreasi di kawasan PKPB dan PKPP dibenarkan beroperasi pada kapasiti 50 peratus keluasan premis namun bagi kawasan PKP dan PKP Diperketatkan (PKPD), aktiviti pelancongan keluar masuk di kawasan terbabit adalah tidak dibenarkan.

“Semua peniaga dinasihatkan merujuk laman sesawang Majlis Keselamatan Negara serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan pada dasarnya, banyak aktiviti di kawasan PKPB dan PKPP telah dibenarkan untuk dibuka,” katanya.

Beliau juga berkata berkaitan sektor pendidikan dan sukan, Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Pendidikan akan membuat pengumuman berhubung aktiviti dan SOP masing-masing sepanjang pelaksanaan PKP, PKPB dan PKPP.

PKP di Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang dilanjutkan bermula esok hingga 4 Mac ini.

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Jais laksana akad nikah menerusi sidang video sepanjang PKP

SHAH ALAM, 13 JAN: Majlis akad nikah di Selangor dilaksanakan menerusi sidang video sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan syarat mendapat kebenaran pihak berkuasa agama.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berkata bakal pengantin perlu memohon janji temu akad nikah daripada Pejabat Agama Islam Daerah (Paid) atau pengurusan masjid.

“Akad nikah akan dilakukan pendaftar yang berada di Paid manakala pengantin, wali dan dua saksi pula berada di rumah,” kata Datuk Mohd Shahzihan Ahmad menerusi kenyataan semalam.

Sementara itu, beliau berkata Jais membuka 10 kaunter talian telefon di One Stop Centre Bangunan Sultan Idris Shah untuk urusan nikah, cerai dan rujuk.

“Orang ramai boleh menghubungi talian 03-55143600 atau 03-55143400 sepanjang waktu pejabat Isnin hingga Jumaat untuk khidmat nasihat dan janji temu.

“Sebarang pertanyaan mengenai perkhidmatan juga boleh diemailkan ke [email protected]. Hotline Penguatkuasaan dibuka bermula 8.00 pagi hingga 12.00 malam,” katanya.

PKP dilaksanakan di Selangor, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan), Melaka, Johor dan Sabah selama 14 hari bermula hari ini sehingga 26 Januari.

Categories
AGAMA AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

39 masjid pengurusan negeri dibenar langsung majlis nikah – Jais

SHAH ALAM, 2 JAN: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) membenarkan majlis akad nikah dijalankan di 39 masjid pengurusan negeri mulai Isnin (4 Januari) ini.

Agensi berkata kebenaran itu tertakluk kepada beberapa syarat antaranya tidak lebih lima pasangan dinikahkan dalam sehari dari jam 9 pagi hingga 5 petang.

Katanya, setiap majlis juga tidak boleh melebihi 20 tetamu termasuk jurugambar namun ia tidak melibatkan jumlah penolong pendaftar perkahwinan serta saksi.

“Tetamu dari zon merah tidak dibenarkan hadir. Semua perlu merekodkan kehadiran, suhu, memakai pelitup muka, penjarakan fizikal serta mematuhi SOP (tatacara operasi piawai) Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara.

“Majlis juga hanya dibenarkan di ruang atau bahagian bersesuaian yang diputuskan pegawai tadbir agama daerah atau imam besar,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Bagaimanapun agensi berkata pindaan lokasi akad nikah dari kawasan zon merah luar Selangor tidak dibenar dilangsungkan dalam masjid terbabit.

“Pasangan ini hanya boleh nikah di Pejabat Agama Islam Daerah (Paid) dengan kehadiran maksimum tiga individu sahaja,” katanya.