Categories
AGENDA NASIONAL

Pemansuhan Akta Hasutan tidak boleh terburu-buru

KUALA LUMPUR, 21 NOV: Pemansuhan Akta Hasutan tidak boleh dilakukan secara terburu-buru, menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Beliau berkata, sebaliknya Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu mengambil kira implikasi pindaan berbangkit kepada perundangan lain sekiranya pemansuhan akta ini berlaku.

Mohd Azis menjelaskan terdapat peruntukan di bawah akta itu yang bersangkutan dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan serta perundangan dan akta lain.

“Komitmen kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) ialah kita akan memansuhkan akta ini, bagaimanapun kita kena pastikan tiada kelompangan undang-undang berlaku sekiranya akta ini dimansuhkan.

“Kita tidak mahu apabila akta ini dimansuhkan kita tercari-cari (solusi lain) dan ini akan menimbulkan masalah,” katanya sebagai menjawab soalan tambahan Fahmi Fadzil (PAKATAN-Lembah Pantai) yang bertanya tentang tempoh masa bagi pemansuhan akta berkenaan ketika sesi jawab lisan.

“Jawatankuasa khas sedang giat bersidang termasuk dalam soal memastikan Akta Hasutan ini selaras dengan janji manifesto kita untuk mansuhkan, tetapi saya tidak dapat beri tempoh masa yang khusus tentang bila akta ini akan dimansuhkan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kes Wan Ji: Kaji semula kes hasutan jika ada representasi

KUALA LUMPUR, 12 JUL: Jabatan Peguam Negara (AGC) akan mengkaji semula setiap kes di bawah Akta Hasutan yang masih berjalan di mahkamah pada bulan Mei 2018 berdasarkan fakta kes tersebut, kata Peguam Negara, Tommy Thomas.

Beliau berkata, jabatan itu hanya boleh bertindak berdasarkan representasi bertulis yang diterima daripada tertuduh atau peguam belanya dan ia sebagai langkah menjamin ketelusan dan kebertanggungjawaban.

Bagaimanapun, katanya, dalam kes penceramah bebas Wan Ji Wan Hussin, tertuduh tidak membuat sebarang representasi kepada ACG berhubung kes hasutannya.

”Peningkatan jumlah ucapan berbaur kebencian terutama dalam talian berkaitan perkauman, agama dan insitusi raja dalam masyarakat majmuk bermakna kebebasan bersuara dan ekspresi telah disalahgunakan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Cabaran bagi jabatan ini adalah untuk mengimbangi kebebasan bersuara yang semakin meningkat selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dengan peningkatan ucapan berunsur kebencian yang menyakiti perasaan rakyat, katanya.

Apabila pendakwaan dijalankan, jabatan ini akan bertindak berpandukan Kanun Keseksaan namun dalam keadaan tiada alternatif di bawah undang-undang, dalam kes-kes bersesuaian, jabatan ini tidak dapat menolak kemungkinan menggunakan Akta Hasutan sehingga ia dimansuhkan, katanya.

Mengulas kes Wan Ji, Tommy berkata, dia dituduh di bawah Seksyen 4(1) (c) Akta Hasutan 1984 di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 10 September 2014 kerana menerbitkan perkataan menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Kenyataan bersifat menghasut itu diterbitkan oleh tertuduh dalam akaun Facebooknya, wanji.attaaduddi pada 5 November 2015 dan jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dkenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun.

Tommy berkata, tertuduh telah memohon untuk dibicarakan dan pada 9 April 2018, Mahkamah Sesyen mendapati tertuduh bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara sembilan bulan.

”Teruduh menfailkan rayuan terhadap sabitan dan pada 9 April, 2018, Pendakwa Raya memfailkan rayuan balas terhadap hukuman,” katanya.

Kedua-dua rayuan dan rayuan balas telah disebut di Mahkamah Tinggi Shah pada 30 April 2019.

Bagaimanapun, katanya, tertuduh dan peguamnya tidak hadir ke mahkamah pada hari tersebut dan susulan itu, Mahkamah Tinggi mengarahkan pihak-pihak terbabit memfailkan hujahan bertulis dan menetapkan 9 Julai 2019 untuk keputusan.

Pada hari penghakiman tersebut, Tommy berkata, Mahkamah Tinggi membenarkan rayuan balas pendakwaan dan menolak rayuan terhadap sabitan dan hukuman Wan Ji serta menambah hukuman penjara sembilan bulan kepada setahun.

“Permohonan penangguhan hukuman penjara secara lisan dilakukan oleh tertuduh tetapi ditolak oleh Mahkamah Tinggi yang mengarahkan supaya permohonan secara bertulis dilakukan.

“Oleh itu tertuduh mula menjalankan hukuman pada 9 Julai namun permohonan rasmi penangguhan hukuman difailkan semalam dan Mahkamah Tinggi membenarkannya hari ini,” katanya.

“Pendakwa Raya tiada bantahan terhadap permohonan penangguhan hukuman tersebut dan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu pendengaran rayuan,” katanya.

Tommy berkata, berdasarkan kronologi kejadian, adalah jelas bahawa rayuan balas oleh pihak pendakwaan telah dibuat sebelum PRU-14.

“Tiada representasi bertulis dikemukakan oleh tertuduh mahupun peguamnya dan secara peribadi tidak sedar tentang kes ini sehingga Mahkamah Tinggi membuat keputusan Selasa lalu dan diketahui umum,” katanya.

Beliau berkata, perkara tersebut adalah tidak menghairankan kerana terdapat ratusan kes jenayah dan sivil di dengar di seluruh negara pada mana-mana hari bekerja.

“Oleh demikian, adalah mustahil untuk sesiapa sahaja mengetahui secara peribadi walaupun sebahagian kecil kes tersebut. Maka, pengagihan dan desentralisasi kuasa adalah penting,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sedang meneliti pilihan yang ada berhubung rayuan Wan Ji di Mahkamah Rayuan namun dengan mengambil kira sabitan Wan Ji di dua mahkamah sebelum ini, kuasa budi bicara dari pihaknya adalah sangat terhad.

Tommy menegaskan, kes Wan ji sekali lagi memberi tumpuan kepada penggunaan Akta Hasutan 1948 dan salah tanggapan mengenai akta tersebut.

“Faktanya, pertama, Akta Hasutan adalah antara akta Parlimen yang akan dimansuhkan seperti janji dalam manifesto Pakatan Harapan, kedua, Jemaah Menteri belum memaklumkan kepada pihaknya sebarang keputusan untuk memansuhkan atrau memindanya,” katanya.

Menurutnya, di bawah sistem kerajaan sedia ada, Jemaah Menteri yang memutuskan bagi pihak Eksekutif sama ada untuk menggubal, memansuh atau meminda undang-undang untuk dibentangkan di Parlimen.

“Jabatan Peguam Negara berperanan membantu dalam menggubal undang-undang baharu,” katanya.

Selain itu, katanya, fakta ketiga adalah Jabatan Peguam Negara tidak menerima arahan Jemaah Menteri menghalang jabatan itu daripada menggunakan Akta Hasutan.

“Arahan seperti itu dalam apa jua keadaan sekalipun adalah tidak sah di sisi undang-undang kerana bercanggah dengan kuasa budi bicara di bawah Perlembagaan Persekutuan kepada Peguam Negara untuk memutuskan perkara berkaitan pendakwaan sesuatu kes bagi pihak kerajaan,” katanya.

Katanya, selepas mula memegang jawatan Peguam Negara pada Jun 2018, beliau telah memutuskan untuk mengambil kira undang-undang alternatif dalam naskah-naskah undang-undang (termasuk peruntukan dalam Kanun Keseksaan) untuk menggunakan Akta Hasutan sebagai jalan terakhir.

Oleh kerana Akta Hasutan adalah undang-undang sah, ia tidak boleh diketepikan secara langsung dan ia hanya boleh berlaku sekiranya Akta Hasutan dimansuhkan oleh Parlimen, katanya.

Bagaimanapun, katanya, sejak PRU14, tiada seorang pun dituduh di bawah Akta Hasutan. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Setiausaha Agung BN akan disiasat di bawah Akta Hasutan

KUALA LUMPUR, 26 FEB: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyiasat Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz di bawah Akta Hasutan berhubung kenyataannya dalam satu ceramah politik di Semenyih, Sabtu lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, satu laporan polis telah diterima setakat semalam berhubung kes itu.

“Siasatan berhubung kes terbabit sedang dilakukan dan kita akan turut memanggil beberapa individu untuk dirakamkan keterangan mereka.

“Sebaik dilengkapkan, kertas siasatan akan dikemukakan kepada timbalan pendakwa raya secepat mungkin bagi tindakan seterusnya,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis peringatan ulang tahun Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) ke-63 di sini, hari ini.

Katanya, kes terbabit kini disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Semalam, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) mengecam kenyataan Mohamed Nazri dalam satu ceramah di Semenyih, yang dianggapnya bertujuan mencetuskan kebencian perkauman dan perasaan tidak puas hati bagi tujuan memenangi Pilihanraya Kecil Dewan Undangan Negeri Semenyih.

Pengerusinya, Tan Sri Razali Ismail dilaporkan berkata demikian berhubung kenyataan yang dibuat oleh Mohamed Nazri berkaitan pelantikan Ketua Hakim, Peguam Negara dan Menteri Kewangan dalam kalangan bukan kaum Melayu.

SUMBER: BERNAMA

Categories
SELANGOR

GHAH bantah rayuan AG kes Akta Hasutan SETPOL MB

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 22 FEB : Gerakan Hapus Akta Hasutan (GHAH) membantah tindakan Peguam Negara (AG), Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang mengemukakan rayuan bersabit peruntukan Akta Hasutan terhadap Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Shuhaimi Shafiei.

Pengerusinya, Amir Abd Hadi berkata, keputusan mahkamah membebaskan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sri Muda terhadap pendakwaan itu sebelum ini bersifat adil sekaligus menjamin hak kesaksamaan dijamin Perlembagaan.

“Mengapa Peguam Negara perlu merayu bagi keputusan yang membuat undang-undang lebih baik, yang mana menjadikan perbicaraan lebih adil kepada tertuduh kerana ia memerlukan pihak pendakwa membuktikan ‘niat’ seperti dalam semua perbicaraan jenayah?

“Kami menyeru Peguam Negara untuk menarik balik rayuan dibuat dalam kes Mat Shuhaimi,” katanya dalam kenyataan.

Pada bulan November 2016, Mahkamah Rayuan dalam kes Mat Shuhaimi mendapati bahawa Seksyen 3(3) Akta Hasutan, yang menganggap ‘niat’ seseorang tidak relevan dalam kesalahan hasutan sebagai tidak berperlembagaan.

Mahkamah mendapati peruntukan tersebut menjadikan ‘sekatan yang tidak seimbang’ pada kebebasan bersuara dan penghinaan kepada kesaksamaan dan perbicaraan adil yang dijamin didalam Perlembagaan Persekutuan.

Menyambut baik keputusan itu, GHAH juga mengulangi tuntutannya agar akta lapuk itu dimansuhkan selaras tuntutan demokrasi Perlembagaan negara ini.

Terdahulu, Shuhaimi Shafie didakwa di bawah seksyen 4 (1) C Akta Hasutan 1948 di Mahkamah Sesyen berhubung penulisan dalam yang blog.

Shuhaimi didakwa menerbitkan satu penerbitan menghasut di berjudul ; “pandangan saya berasaskan undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959” tentang pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Kemenangan Safwan Anang kemenangan rakyat

SHAH ALAM 20 DIS: Gerakan Hapus Akta Hasutan (GHAH) menyambut baik keputusan mahkamah hari ini yang membebaskan Safwan Anang dari pertuduhan bawah akta hasutan seterusnya mengenepikan hukuman ditetapkan oleh mahkamah sesyen dan mahkamah tinggi.

Penyelaras Gerakan Hapus Akta Hasutan (GHAH), Amir Abd Hadi berkata, GHAH sejak dari awal lagi berpendapat pertuduhan ini tidak berasas.

Katanya, keputusan mahkamah ini tepat dan GHAH berharap ia menjadi penanda aras yang baik buat kes di bawah Akta Hasutan yang dibicarakan selepas ini.

“‘Kecenderungan menghasut’ boleh ditafsirkan dengan terlalu luas, serta diguna sewenang-wenangnya untuk mengintimidasi aktivis dan menyekat kebebasan rakyat berfikir.

“Mahkamah rayuan pada 25 November telahpun memutuskan Seksyen 3 (3) sebagai tidak sah,” katanya.

Beliau berkata GHAH mendesak agar semua pertuduhan dibawah Akta Hasutan digugurkan serta-merta dan Akta lapuk ini dimansuhkan segera.

=EZY=

Categories
NASIONAL

GHAH : Tindas rakyat, mansuhkan Akta Hasutan segera

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 28 SEPT: Gerakan Hapus Akta Hasutan (GHAH) kecewa dengan keputusan Mahkamah Sesyen hari ini ke atas Ahli Parlimen Batu, Tian Chua.

Penyelarasnya, Amir Abd Hadi, berkata menyatakan pendapat tidak seharusnya dijadikan jenayah walau mungkin pendapat itu kadang kala berbeza dengan yang lain.

“Selepas hampir empat tahun berlalu hingga kini tiada yang terhasut, malah tiada kacau bilau berlaku.

“Hal ini membuktikan ‘kecenderungan menghasut’ di dalam akta hasutan itu sendiri terbuka kepada tafsiran terlalu luas,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mahkamah Sesyen hari ini menjatuhkan hukuman tiga bulan penjara dan denda RM1,800 ke atas Tian Chua yang didakwa menghasut rakyat menggulingkan kerajaan Barisan Nasional (BN) selepas pilihan raya umum (PRU) ke 13.

Keputusan dibuat Hakim Zulqarnain Hassan selepas pihak pendakwa berjaya membuktikan tuduhan ke atasnya.

Tian Chua didakwa di bawah Seksyen 4(1)(b) yang boleh membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga lima tahun, apabila dikatakan berucap pada sebuah program di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor pada 13 Mei 2013.

Begitupun, keputusan itu tidak menjejaskan kelayakan Tian Chua sebagai wakil rakyat.

14520375_1372561289423888_3572185202898846008_nTurut sama dihadapkan ke mahkamah ialah Hishammuddin Rais, Adam Adli, Safwan Anang, Tamrin Ghafar dan Haris Ibrahim.

Amir berkata, akta drakonian itu digubal penjajah British sebulan selepas darurat diisytiharkan pada 20 Jun 1948 yang membuatkan hampir 30,000 rakyat Tanah Melayu ketika itu ditangkap dan dipenjara.

“Jelas menunjukkan akta ini diguna penjajah menutup kritikan dan menindas rakyat dan kita tak memerlukannya. Mansuh akta hasutan segera,” katanya.

EZY

Categories
KENYATAAN MEDIA

Akta Hasutan: Cubaan lenyapkan suara rakyat

OLEH NURUL IZZAH ANWAR

Hari ini mencatatkan satu lagi sejarah hitam buat negara apabila ahli dewan rakyat YB Tian Chua, Ahli Parlimen Batu disabitkan bersalah .

Mengikut seksyen 4(1) (b) Akta Hasutan, hakim menyatakan bahawa Naib Presiden KEADILAN merujuk perkataan “bangkit” dan “turun ke jalan raya” adalah bersifat menghasut.[1]

Pada 11 Julai 2012, Najib mengumumkan kerajaan telah mengambil keputusan untuk menguatkuasakan secara serta-merta semua akta baru dan memansuhkan Akta Hasutan 1948 serta digantikan dengan suatu rang undang-undang yang dikenali sebagai Akta Keharmonian Nasional.[2]

Saya juga pernah bangkitkan pada tahun 2013 berkenaan dimana janji PM untuk memansuhkan akta hasutan. [3]

14520375_1372561289423888_3572185202898846008_nSehingga hari ini, terdapat lebih 30 ahli parlimen pembangkang yang didakwa di bawah Peaceful Assembly Act (PAA 2014) dan Akta Hasutan yang dibebankan kepada Ahli Parlimen, aktivis-aktivis politik dan kartunis.

Pada Oktober 2015, saya telah menulis kepada IPU untuk mengeluarkan kenyataan berkenaan 8 orang ahli parlimen daripada Keadilan, 9 orang daripada DAP, 2 orang daripada Amanah, dan seorang daripada PSM. [4]

Data ini menunjukkan bahawa kerajaan BN tetap akan menggunakan dasar-dasar untuk menekan pembangkang dan sesiapa sahaja yang lantang bersuara mempersoalkan urus tadbir negara.

Minggu lalu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengeluarkan syor-syor untuk yang dikenalpasti memberikan impak negatif kepada kawasan yang dimenangi oleh pembangkang.

Minggu ini, kita dikejutkan dengan sabitan hukuman kepada YB Tian Chua yang kononnya menghasut 3 tahun yang lalu dalam satu forum.

Justeru, keseluruhan keputusan yang diambil oleh kerajaan ini jelas menunjukkan mereka terdesak untuk mengekang suara rakyat dan mana-mana pihak yang dilihat sebagai ancaman kepada mereka.

Ahli-ahli parlimen pembangkang akan disibukkan dengan isu dan kes mahkamah, dalam masa yang sama agensi-agensi kerajaan digunakan untuk menjadi tangan-tangan ghaib untuk menyelamatkan kerajaan.

Menghasut rakyat untuk menegakkan hak bersuara dan demokrasi dalam kes YB Tian Chua rupa-rupanya satu kesalahan.

Tetapi menghasut rakyat dengan provokasi dan ancaman huru-hara dalam kes Jamal dan Ali Tinju bukan kesalahan? Atau saya silap. Kes mereka masih dalam siasatan? [5]

Harus berapa tempang lagi sistem kehakiman dan keadilan negara sehingga melenyapkan suara rakyat.

Pada 26 September 2016 yang lalu, saya telah memfailkan satu surat pindaan usul di bawah akta 27 (1) menggantikan akta hasutan kepada akta keharmonian nasional.

Usul ini adalah juga merupakan satu unjuran peringatan kepada janji YAB PM untuk memansuhkan Akta Hasutan pada tahun 2012.

Kita nantikan pelunasan pemansuhan akta yang bakal memberi cek kosong kepada BN untuk terus menindas rakyat menerusi dasar-dasar menekan tanpa suara wakil rakyat pembangkang sebagai penimbang tara.

* Nurul Izzah Anwar adalah Ahli Parlimen Lembah Pantai dan Naib Presiden Dan Pengarah Pilihan Raya KEADILAN

[1] http://www.malaysiakini.com/news/357159
[2]http://www.sinarharian.com.my/…/pm-mansuh-akta-hasutan-guba…
[3]http://www.sinarharian.com.my/…/izzah-mahu-pm-tunai-janji-m…
[4]http://www.thestartv.com/…/opposition-highlights-malaysian…/
[5] http://www.freemalaysiatoday.com/…/tian-chua-didapati-bers…/

Categories
NASIONAL

Pendakwa perlu buktikan niat tertuduh Akta Hasutan – Surendran

OLEH NAZLI IBRAHIM

PUTRAJAYA, 1 JUN: Seksyen 3(3) Akta Hasutan boleh dibatalkan jika keputusan Mahkamah Rayuan hari ini menerima hujah peguam bela, N Surendran ketika dalam pembelaannya terhadap anak guam, Ahli Dewan Negeri (ADN) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei.

Surendran berkata, jika ini berlaku semua tuduhan yang dikenakan di bawah Akta Hasutan perlu membuktikan niat tertuduh terlebih dahulu sebelum disabitkan kesalahan.

surendran pc 01“Akta Hasutan yang ada sekarang tiada elemen niat, maknanya niat tidak diperlukan. Cabaran kita untuk menyatakan niat tidak perlu itu adalah tidak berpelembagaan. Jadi, kalau mahkamah setuju Seksyen 3(3) itu dibatalkan dan selepas ini semua kes hasutan mesti buktikan niat.

“Mahkamah sudah mendengar hujah kami dan menetapkan keputusan akan dibuat pada tarikh ditetapkan pada masa akan datang dan implikasinya sangat penting kerana mereka yang dikenakan tuduhan boleh buktikan apakah niat kenyataannya itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di ruang legar Mahkamah Rayuan, di sini, hari ini.

Surendran berkata Seksyen 3(3) Akta Hasutan ketika ini membolehkan seseorang disabitkan kesalahan tanpa mengambil kira apakah niat sebenar tertuduh.

“Inilah sebabnya kami mencabar isu ini. Ia akan membawa perpezaan besar dan operasi Akta Hasutan akan menjadi lebih adil,” katanya.

Shuhaimi yang diwakili Surendran, Latheefa Koya dan dua peguam lain turut hadir dengan ditemani beberapa rakan beliau.

Shuhaimi didakwa menerbitkan artikel mengandungi ayat menghasut di laman blognya pada 30 Disember 2010.

-AA-

Categories
SELANGOR

Kes Hasutan Rahim Thamby Chik dibicara 20 September

SHAH ALAM, 23 MEI : Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan empat hari bermula 20 September untuk perbicaraan kes bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik yang didakwa menyiarkan penerbitan menghasut terhadap Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah sebagai murtad di akaun Facebook miliknya.

Hakim Slamat Yahya menetapkan tarikh itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar, lapor BERNAMA.

Mohd Dusuki memaklumkan bahawa kedua-dua pihak bersetuju supaya kes itu dibicarakan bermula 20 sehingga 23 September ini.

Tamby ChikBeliau turut memberitahu mahkamah bahawa kira-kira 10 saksi pendakwaan akan memberi keterangan menerusi pernyataan saksi mengikut Seksyen 402B Kanun Prosedur Jenayah.

Peguam Ahmad Al-Hady Abdul Razak yang mewakili Abdul Rahim pula memaklumkan pihaknya masih belum memuktamadkan jumlah saksi pembelaan yang akan dipanggil memberi keterangan.

Abdul Rahim, 65, didakwa melakukan kesalahan itu melalui akaun Facebooknya, Rahim Tamby Chik, di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini pada kira-kira 8 pagi, 25 September lepas.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4 (1)(c) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4 (1) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Abdul Rahim turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pilihan menggunakan akaun Facebook miliknya untuk membuat dan memulakan penghantaran komen yang jelik sifatnya berhubung dakwaan sama dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain di tempat, masa dan tarikh sama.

Bagi pertuduhan ini, beliau didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) Akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

EZY

Categories
KENYATAAN MEDIA

Akta Hasutan tinggalan zaman penjajah

OLEH : Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali

Saya mengalu-alukan keputusan Hakim Mahkamah Sesyen George Town, Ibrahim Osman yang membebaskan Ahli Parlimen DAP Ng Wei Aik daripada dakwaan di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948.

Seperti yang saya sebutkan sebelum ini, dakwaan-dakwaan hasutan ini bermotifkan politik dan dilaksanakan bagi mengekang kebebasan bersuara serta kritikan daripada masyarakat sivil dan pemimpin-pemimpin politik yang kritikal terhadap kerajaan.

Akta HasutanPentadbiran Najib perlu menerima hakikat bahawa selain daripada jaminan kebebasan bersuara oleh Perlembagaan, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri juga bertanggungjawab dari sudut moral untuk bersuara demi menegakkan kebenaran dan keadilan.

Undang-undang hasutan adalah tinggalan zaman penjajah dan tiada tempat lagi dalam satu sistem yang utuh sebagai demokrasi berperlembagaan dengan kedaulatan undang-undang.

DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI

Categories
NASIONAL

Mansuhkan dan gugurkan pendakwaan Akta Hasutan

SHAH ALAM 16 MEI : Akta Hasutan mesti dimansuhkan dengan semua semua baki dakwaan di bawahnya perlu digugurkan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata beliau mengalu-alukan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang mengenepikan hukuman penjara sembilan bulan terhadap Hishamuddin Rais.

Katanya beliau sewajarnya tidak disabitkan langsung sejak dari mula lagi semata-mata kerana bersuara mempertahankan kebebasan dan keadilan.

Isham1-650x340“Beliau sekadar menggunakan hak asasinya termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan sewaktu menggesa pilihan raya baru diadakan ekoran keputusan Pilihan Raya Umum 2013 yang tempang dengan kontroversi.

“Jauh sekali daripada bersifat jenayah, seruan yang sama bagi menuntut pilihan raya yang bersih dan adil sewajarnya dibuat mana-mana rakyat Malaysia yang waras dan peduli terhadap kedaulatan undang-undang,” kata Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden KEADILAN dalam kenyataan media.

Beliau berkata hak ini wajib dipertahankan jika Malaysia mahu kekal dianggap sebagai sebuah negara demokrasi.

“Saya menyanjungi usaha Hishamuddin dan BERSIH yang tidak mengenal penat lelah dalam menyuburkan demokrasi di negara ini.

“Pejuang demokrasi perlulah bebas bersuara, namun Akta Hasutan yang menindas ini kekal menjadi penghalang kepada kebebasan bersuara ini,” katanya.

EZY

Categories
KENYATAAN MEDIA

Azmin: Mansuhkan dan gugurkan pendakwaan Akta Hasutan

OLEH : DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI

Saya mengalu-alukan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang mengenepikan hukuman penjara 9 bulan terhadap Hishamuddin Rais.

Namun, saya ingin menegaskan yang beliau sewajarnya tidak disabitkan langsung sejak dari mula lagi semata-mata kerana bersuara mempertahankan kebebasan dan keadilan.

Akta HasutanBeliau sekadar menggunakan hak asasinya yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan sewaktu beliau meggesa pilihan raya baru diadakan ekoran keputusan Pilihan Raya Umum 2013 yang tempang dengan kontroversi.

Jauh sekali daripada bersifat jenayah, seruan yang sama bagi menuntut pilihan raya yang bersih dan adil sewajarnya dibuat mana-mana rakyat Malaysia yang waras dan peduli terhadap kedaulatan undang-undang.

Hak ini wajib dipertahankan jika Malaysia mahu kekal dianggap sebagai sebuah negara demokrasi.

Saya menyanjungi usaha Hishamuddin Rais dan BERSIH yang tidak mengenal penat lelah dalam menyuburkan demokrasi di negara ini.

Pejuang demokrasi perlulah bebas bersuara, namun Akta Hasutan yang menindas ini kekal menjadi penghalang kepada kebebasan bersuara ini.

Ia juga berulang kali disalahguna bgi melindungi sebuah kerajaan yang takut kepada kritikan yang sah.

Undang-undang zaman penjajah ini wajib dimansuhkan dan semua baki dakwaan di bawahnya perlu digugurkan.