Categories
AGENDA NASIONAL

52 suspek kes tembak PGA direman bawah SOSMA

KANGAR, 8 DIS: Seramai 52 suspek yang ditahan sebelum ini berhubung siasatan kes tembak sehingga mengorbankan seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di sempadan Malaysia-Thailand, direman 28 hari di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad berkata 22 suspek yang tamat tempoh reman disambung lagi hari ini manakala 30 orang akan direman esok di bawah akta SOSMA untuk siasatan lanjut.

“Seorang suspek pula dibebaskan dan akan menjadi saksi pendakwaan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini hari ini.

Beliau berkata kesemua 52 suspek berumur 20 hingga 65 tahun itu akan dituduh di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan kerana melakukan jenayah terancang.

Mengenai tiga suspek warga Thailand yang ditahan di negara itu, Surina berkata pihaknya masih menunggu maklum balas daripada kerajaan Thailand supaya membenarkan polis membawa masuk suspek utama kes itu ke negara ini.

Beliau berkata terdapat beberapa lagi tangkapan akan dibuat bagi memastikan semua suspek terlibat dibawa ke muka pengadilan.

Pada 24 Nov, seorang anggota PGA, Sarjan Baharuddin Ramli, 54, terkorban manakala rakannya Sarjan Norihan a/l Tari, 39, cedera parah selepas berbalas tembakan dengan sekumpulan penyeludup, kira-kira 600 meter dari pos kawalan TS9 di Padang Besar.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

SOSMA akan jadi lebih baik lepas kajian semula – Muhyiddin

PONTIAN, 8 NOV: Kajian semula dan pindaan yang akan dilakukan terhadap Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), bakal menjadikan pelaksanaannya lebih baik dalam menjaga keselamatan dan keamanan negara.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kajian itu melibatkan pelbagai perkara dan banyak pihak berkepentingan tinggi, dalam meningkatkan lagi tahap keselamatan dan keamanan negara.

“Dari pandangan saya dan setakat hari ini, saya dapati keputusan yang telah dibuat Pakatan Harapan (PAKATAN) termasuk apa yang termaktub dalam manifesto kekal. Kita tidak akan mansuhkan SOSMA. Kita akan pinda.

“Ini memang dah disetujui, dan maklum di Parlimen berapa kali. Langkah dimulakan, kabinet ada pandangan lain, untuk kita perhalusi lagi. Libat urus, engagement, termasuk ahli parlimen, majlis peguam, ahli akademik. Lepas tu bawa balik ke kabinet, supaya dapat keputusan muktamad. Jadi ada beberapa perkara yang mungkin minta kita berikan tumpuan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat Balai Polis Pekan Nanas, kira-kira 30 minit dari Pontian hari ini.

Muhyiddin sebelum ini dilapor berkata kerajaan dijangka meminda undang-undang ‘drakonian’, termasuk SOSMA pada sidang Dewan Rakyat di Parlimen, Mac tahun depan.

Katanya kertas pindaan masih belum selesai dan beberapa proses perlu dilakukan termasuk membawanya kepada perbincangan Kabinet, sebelum dibawa ke Parlimen pada Mac depan.

Dalam sidang media itu juga, Muhyiddin menegaskan antara perkara yang diambil kira adalah soal tempoh tahanan reman SOSMA yang disifatkan terlalu panjang.

“Semalam pun saya dimaklumkan seperti ada kata tempoh reman SOSMA itu agak terlalu panjang, 28 hari. Agak menyeksakan. Pandangan itu kita ambil kira tapi kita juga ambil pandangan pihak polis yang kuatkuasakan undang-undang keganasan.

“Cukup tak tempoh. Ada yang kata tak memadai, ada yang akta cukup. Kita ada beberapa cadangan sebagai contoh ini pandangan, kita mulakan dengan 14 hari siasat, tapi nak sambung 14 hari sambung ke mahkamah minta bersetuju, baru lanjut. Jadi ada proses semak dan imbang,” jelasnya.

Muhyiddin berkata apa yang dilakukan kerajaan ketika ini bukan berkaitan ancaman pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) sahaja, tetapi jenayah dan keganasan merentasi sempadan yang perlu ditangani secara bersama.

“Jadi kita perlukan kerjasama di peringkat antarabangsa. Kita perlu pertingkatkan lagi penguatkuasaan kita. Teknologi baru, kita kongsi maklumat dengan negara yang sependapat dengan kita, jadi banyak langkah. Kita tidak boleh main-main dengan soal ini,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KDN nafi tahanan SOSMA didera

PONTIAN, 2 NOV: Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini menafikan dakwaan berlakunya kejadian tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) didera dan diseksa sepanjang ditahan.

Menterinya Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau sudah menyemak dakwaan tersebut dengan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador dan pegawai terlibat, dan mendapati dakwaan terbabit tidak benar.

“ Bila mereka (tahanan) dibawa keluar dengan peguam mereka berhadapan dengan hakim dalam kamar dan sebagainya… tidak ada yang buat aduan mengatakan bahawa mereka dipukul dan sebagainya,” katanya yang ditemui pemberita selepas proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, di sini hari ini.

Muhyiddin mengulas laporan portal yang mendakwa berlakunya kes lima daripada 12 tahanan SOSMA yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas LTTE didera dan diseksa.

Muhyiddin berkata beliau tidak boleh menerima dakwaan itu ‘bulat-bulat’ dan siasatan terperinci mengenainya akan dilakukan selanjutnya oleh polis.

Menurutnya sekiranya benar berlakunya kejadian seperti didakwa kelima-lima tahanan itu, maka, mereka berhak membuat laporan polis untuk tindakan seterusnya.

“Tetapi setakat semalam saya diberi laporan (tiada penderaan). Sebab ada suara tuntut saya berhenti (letak jawatan) supaya saya bertanggungjawab, yes saya bertanggungajwab. Tetapi, jangan ambil tindakan hanya apabila seorang dua berkata begitu, dan buat andaian.

“Mesti siasat, sebab ini tuduhan yang berat. Saya tidak pandang ringan dan minta Ketua Polis Negara buat siasatan secara lebih terperinci,” tambah.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Nurul Izzah: SOSMA tidak patut keatas pimpinan

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 21 NOV: Tindakan menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA) 2012 disifatkan sebagai salahguna kuasa kerajaan kerana undang-undang sedia ada mampu menangani keganasan.

Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar berkata, SOSMA tidak sepatutnya digunakan terhadap Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah, atau pun mana-mana pihak termasuk terhadap Datuk Jamal Yunos sekalipun.

“Terus terang saya katakan, tidak kira betapa saya benci Jamal Yunos dan kata-katanya, saya tidak suka sesiapa pun tertakluk di bawah SOSMA.

“Undang-undang keselamatan yang menindas itu tidak sepatutnya digunakan terhadap pengganas kerana sudah ada undang-undang sempurna untuk menangani keganasan dalam negara,” katanya.

18 November lalu, Maria ditangkap kerana didakwa melakukan aktiviti memudaratkan kepada demokrasi berparlimen di bawah Seksyen 124(c) Kanun Keseksaan, dan kemudian ditahan di bawah SOSMA.

Beliau kini ditahan dalam kurungan di lokasi yang tidak didedahkan dengan mentol lampu dipasang 24 jam.

Izzah berkata, tidak seharusnya ada sesiapa pun sepatutnya ditahan di bawah SOSMA.

“Ada cara yang sesuai dan kedaulatan undang-undang untuk menangani perkara ini.

“Meskipun ada indivitu berpotensi sebagai pengganas, dakwa sahaja mereka di mahkamah,” katanya.

-nR-