Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Penjara hingga 20 tahun ke atas pemandu cuai dikuat kuasa esok

PUTRAJAYA, 22 OKT: Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 yang membawa hukuman lebih berat untuk kesalahan lalu lintas khususnya berkaitan Seksyen 41 hingga 45, akan berkuat kuasa pada 23 Oktober ini, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Wee berkata kementeriannya menerima pemberitahuan penetapan tarikh pemulaan kuat kuasa akta itu daripada Jabatan Peguam Negara semalam dan beliau selaku menteri telah menandatanganinya semalam.

“Kami harap pindaan terbaharu ini akan meningkatkan kesedaran dalam kalangan pengguna jalan raya untuk mematuhi undang-undang lalu lintas bagi memastikan jalan raya di negara kita selamat untuk semua,” katanya dalam kenyataan semalam.

Antara pindaan tersebut ialah Seksyen 41 yang melibatkan kesalahan menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu dan membahayakan iaitu hukuman penjara selama lima hingga 10 tahun dengan denda RM20,000 hingga RM50,000.

Pindaan juga dibuat terhadap Seksyen 44 mengenai kesalahan menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu atau membahayakan yang dibahagikan kepada dua kategori iaitu kes yang menyebabkan kecederaan dan yang mengakibatkan kematian.

Mereka yang menyebabkan kematian semasa memandu akan dipenjara antara 10 dan 15 tahun serta didenda antara RM50,000 dan RM100,000 selain hilang kelayakan lesen selama 10 tahun untuk kesalahan pertama.

Pindaan ini juga membawa hukuman penjara 15 hingga 20 tahun, denda tidak kurang daripada RM100,000 serta denda maksimum RM150,000 selain hilang kelayakan lesen untuk tempoh 20 tahun, bagi kesalahan berikutnya.

Wee berkata Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 turut mengambil kira pandangan orang ramai melalui kaji selidik melibatkan lebih 345,000 responden yang dilakukan Kementerian, dengan 94 peratus bersetuju hukuman lebih berat dikenakan bagi yang memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Utamakan kebajikan keluarga mangsa dalam pindaan Akta Pengangkutan Jalan

KUALA LUMPUR, 25 JULAI: Kerajaan diminta tidak terburu-buru dalam meminda Akta Pengangkutan Jalan (Akta 333) sebaliknya perlu dilakukan secara menyeluruh terutama membabitkan kebajikan keluarga mangsa.

Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan dan Antarabangsa, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Abdul Halim Sidek berkata rasa kebertanggungjawaban perlu ada dalam individu yang disabit kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol, dadah atau secara berbahaya.

“Jika setakat meminda undang-undang dan menaikkan hukuman denda dan penjara, ia tidak menyelesaikan masalah sebenar.

“Kita kena selidik dengan mendalam dan menyemak undang-undang tersebut lalu dimanfaatkan. Sebab itu, jangan terburu-buru hendak meminda undang-undang. Isu yang timbul apabila ia membabitkan kematian dan perkara ini langsung tidak dibincangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam program Suara Profesor Negara: Pasca Covid-19: Pemandu Mabuk dan Kemalangan: Pendidikan atau Hukuman Berat? yang disiarkan secara langsung di laman Facebook Bernama TV, semalam.

Mengulas lanjut, Abdul Halim berkata kebajikan keluarga mangsa perlu menjadi keutamaan dalam pindaan undang-undang tersebut agar individu yang menyebabkan kecederaan parah atau kematian sedar bahawa kesalahannya telah mengakibatkan kehilangan nyawa.

“Ini (kebajikan keluarga mangsa) adalah lebih penting tetapi tiada peruntukan mengenainya. Betul, kita hendak menghukum, tetapi apa jadi dengan kebajikan mangsa dan keluarganya?

“Kita tidak nafikan hak untuk meminum minuman keras tetapi perlu ada tanggungjawab dan kita juga perlu bangkitkan serta tanamkan kesedaran itu dalam diri masing-masing,” katanya yang juga Profesor Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, Universiti Malaysia Kelantan.

Pada 15 Julai lepas, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong memberitahu persidangan Dewan Rakyat bahawa pindaan Akta Pengangkutan Jalan membabitkan Seksyen 41 hingga 45 berkaitan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol, dadah dan memandu secara melulu untuk membolehkan hukuman lebih berat dikenakan, akan dibentang pada sesi yang sedang berlangsung.

Wee juga dilapor berkata kerajaan akan mengusulkan had kandungan alkohol dalam darah, air kencing dan nafas yang dibenarkan menurut Akta Pengangkutan Jalan bagi pemanduan di bawah alkohol diturunkan selaras dengan piawaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

-BERNAMA