Categories
AGENDA NASIONAL

Pascabanjir: Mesin rawat jantung RM200,000 antara alatan berjaya dibaiki

SHAH ALAM, 28 DIS: Mesin rawatan jantung bernilai RM200,000 antara 200 barang elektrik milik mangsa banjir yang berjaya dibaiki secara percuma dalam program seliaan seorang aktivis masyarakat.

Pengasasnya Hisham Misripin berkata alatan dari sebuah klinik di Seksyen 13 itu dihidupkan semula pensyarah mekatronik dari Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Petaling Jaya.

“Saya diberitahu mesin itu bernilai RM200,000, itulah kerugian bakal dialami pemiliknya jika tidak dapat digunakan semula selepas ditenggelami banjir.

“Hampir 90 peratus daripada 200 barangan elektrik milik mangsa banjir dihantar berjaya dibaiki, sekurang-kurangnya mereka tidak rugi besar,” katanya dihubungi semalam.

Hisham berkata program tersebut akan diteruskan di Dewan Azalea, Sri Muda di sini selama lima hari mulai hari ini dengan kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam.

“Kali ini kami mungkin ke rumah penduduk untuk bantu mereka yang sukar ke dewan dengan penyertaan dari kumpulan Facebook Tukang Apa Hari Ini,” katanya lagi.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan digesa agih bantuan secara terus kepada aktivis seni budaya

SHAH ALAM, 10 DIS: Kerajaan digesa menyalurkan bantuan kewangan secara terus kepada aktivis seni budaya di lapangan bagi merancakkan perkembangan sektor itu seperti di Taiwan.

Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara 2011 (SEA Write) berkata amalan penyaluran dana kepada agensi atau badan tertentu seperti sekarang hanya membantutkan usaha memeriahkan seni budaya.

Menurut Syed Mohd Zakir Syed Othman yang lebih dikenali sebagai SM Zakir, ini kerana tidak semua dana itu digunakan bagi menjalankan program dan menerbitkan buku kerana perlu menampung bayaran pengurusan.

“Bayangkan 80 peratus daripada dana disalur untuk pengurusan, berapa yang tinggal bagi menjalankan aktiviti?

“Lebih baik sekiranya dana disalur terus kepada aktiviti yang mempunyai jiwa dan raga untuk bergerak, sudah tentu hasilnya lebih baik,” katanya pada Program Hati dan Minda Sasterawan sempena Pesta Buku Selangor semalam.

Tambah SM Zakir, Taiwan yang mengamalkan pemberian terus bantuan kepada aktivitis yang bergerak aktif di bawah tanpa melalui orang tengah berjaya menghidupkan seni budayanya.

“Industri di sana hidup sebab bantuan terus kepada aktivis, mereka ini yang bergerak dengan menerbitkan buku dan karya-karya untuk bacaan masyarakat.

“Di sana cukup meriah hingga ada kedai buku dibuka 24 jam kerana ada permintaan,” katanya.

Categories
NASIONAL

Aktivis perubahan iklim perlukan dana RM3,000

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 11 NOV: Seorang pejuang aktivis perubahan iklim memerlukan bantuan dana RM3,000 untuk mewakili Malaysia ke Conference of Youth (COY) 14 dan Conference of Parties (COP) 24 United Nations Framework Convention On Climate Change (UNFCCC), di Katowice, Poland.

Liyana Yamin, 25, antara salah seorang peserta Malaysian Youth Delegation (MYD) dijangka menghadiri persidangan itu selama 20 hari mulai 26 hingga 16 Disember ini, bersama empat lagi rakan seperjuangannya.

“Secara keseluruhannya, kos perbelanjaan sepanjang keberadaan di Poland adalah RM7,000 dan setakat ini, RM4,000 sudah berjaya dikumpul, manakala baki RM3,000 masih diperlukan bagi menjayakan misi terbabit.

“Anggaran bajet ini meliputi penginapan (RM1,500), tiket kapal terbang dua hala (RM4,000), makanan (RM1,000), pengangkutan darat (RM350) termasuk insuran perjalanan (RM150),” katanya kepada SelangorKini.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Pembantu Penyelidik di Universiti Malaya berkata, COP bertindak dalam solidariti bersama komuniti baris depan yang mengalami kesan ekoran perubahan iklim, di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Katanya, COP juga bertujuan menggalakkan penyertaan belia dalam persidangan iklim antarabangsa #YouthClimateAction, selain menyokong hal sedemikian.

“Ini kerana perubahan iklm adalah isu global yang kritikal dan perlu diambil berat semua lapisan masyarakat, terutama generasi muda masa kini,” katanya.

Justeru, orang ramai yang mahu memberi bantuan kewangan boleh salurkan menerusi akaun bank CIMB Liyana Yamin (7012414426).

Untuk pertanyaan, hubungi Liyana di talian ‪019-2009889‬ atau melalui email: [email protected].

Categories
NASIONAL

Mahkamah ganti hukuman penjara, denda Adam Adli RM5,000

SHAH ALAM, 18 FEB : Aktivis, Adam Adli Abdul Halim terlepas hukuman penjara 12 bulan atas sabitan kesalahan hasutan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil sebaliknya menggantikan hukuman itu dengan mengenakan denda sebanyak RM5,000.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua menerusi laman twitternya, berkata keputusan berkenaan diputtuskan setelah hakim mendapati tiada reaksi negatif disebabkan ucapan Adam Adli.Tian Tweet

Adam Adli disabitkan kesalahan hasutan kerana menuntut perubahan dalam kerajaan melalui cara yang tidak demokratik dalam ucapannya pada 2013.

-nR-

Categories
NASIONAL

Anwar: PR Kekal Sertai Himpunan Blackout 505

anwar Blckout 505

KUALA LUMPUR, 20 JUN: Pakatan Rakyat kekal untuk menyertai Himpunan Blackout 505 Sabtu ini dan mengajak seluruh kepimpinan parti, aktivis, penyokong dan rakyat untuk turut serta dalam perhimpunan ini.

Perkara ini dinyatakan Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media di Ibu Pejabat PAS selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat.

Ulang Anwar, perkara asas yang menjadi bukti kelemahan pilihan raya adalah penggunaan dakwat kekal yang dijanjikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hasil dari ketetapan Jawatankuasa Pilihan Parlimen (PAC) mengenai penambahbaikkan SPR.

Perkara ini dijanjikan kepada rakyat Malaysia dan dimaktub dalam Akta Pilihan Raya.

“Pakatan Rakyat bersama majoriti rakyat akan berkumpul di Padang Merbok pada Sabtu, 22 Jun jam 2 petang,” katanya.

Dalam sidang media sama Anwar turut memaklumkan, Konvensyen Pakatan Rakyat akan diadakan pada Ahad, 23 Jun bertempat di De Palma, Ampang.