Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Penggiat seni perlu hasil karya menarik ikut peredaran semasa

SHAH ALAM, 11 OGOS: Penggiat seni perlu terus menghasilkan lebih banyak karya menarik mengikut peredaran semasa bagi menyampaikan mesej kepada masyarakat.

Dato’ Menteri Besar berkata ini kerana seni merupakan sebahagian norma kehidupan yang harus diterjemah dalam pelbagai sudut menarik supaya orang awam terhibur dengan jenaka dan melankolik yang hidup melalui sastera, budaya, muzik, gambar serta lukisan.

“Ketika Covid-19 contohnya, kita memerlukan orang merakam (karya) yang bukan hanya melihat satu sudut. Mungkin (Covid-19) orang hanya akan melihat PPE (pakaian perlindungan diri), hospital dan individu meninggal.

“…tetapi sebenarnya meletakkan bagaimana pelajar berusaha mendapatkan internet dan penduduk di kawasan bandar terpaksa hidup terkongkong yang kebiasaannya bebas. Jadi, ia (karya) perlu diletakkan dalam pelbagai komuniti serta masyarakat supaya kita boleh maju ke depan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata demikian pada program ‘Bedah Buku Muhammad’ yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook rasminya malam tadi.

Program sejam turut menampilkan karyawan dan penyanyi hip hop tersohor tanah air Altimet selain dua penterjemah buku tersebut, Al-Mustaqeem M Radhi dan Farhan Affandi.

Amirudin berkata artis dan seniman tanah air yang menceburi dunia politik juga diminta terus menghasilkan karya sebagai elemen perubahan.

“Kalau orang seni masuk politik akhirnya mereka akan menjadi penceramah politik berbanding menulis muzik, filem serta karya besar untuk menolak dan mengangkat idea.

“Sebab itu saya minta mereka mengekalkan bentuk karya sebagai elemen perubahan,” kata Amirudin.

Categories
AGENDA NASIONAL

IBDE bakal terbit terjemahan biografi Rasulullah, Salahuddin al-Ayubi

SHAH ALAM, 25 MEI: Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) akan menerbitkan dua terjemahan biografi Rasulullah SAW dan tokoh Islam terkenal Salahuddin al-Ayubi.

Ketua pengarangnya, Al-Mustaqeem M Radhi berkata buku Muhammad. His Life Based on the Earliest Sources karangan Martin Lings dan Saladin karya John Man disifatkan biografi terbaik pernah ditulis.

“Kisah Nabi Muhammad menjadi salah satu buku sejarah Islam terlaris sepanjang masa yang ditulis berdasarkan sumber terawal sejarah Islam dan dianggap sebagai biografi nabi terbaik pernah ditulis dalam bahasa Inggeris.

“Kisah Salahuddin pula diceritakan cukup terperinci termasuk bagaimana beliau mendapat kuasa, kesukaran untuk menyatukan fraksi dalam agama, pertempuran mengambil kembali Jerusalem dan menghalau kuasa Kristian dari tanah Arab,” katanya kepada SelangorKini.

Al-Mustaqeem berkata biografi Rasulullah, terbit pada 1983, terpilih sebagai biografi nabi terbaik dalam bahasa Inggeris pada persidangan Sirah Nasional di Islamabad, Pakistan pada tahun sama.

Beliau berkata buku itu yang dicetak hingga sekarang turut diterbitkan dalam pelbagai bahasa antaranya Perancis, Itali, Sepanyol, Turki, Belanda, Arab, Jerman, Urdu dan Indonesia.

Al-Mustaqeem berkata IBDE berazam meneruskan tradisi keilmuan dengan mengetengahkan banyak lagi khazanah Islam kepada masyarakat di negara ini, khususnya penduduk Selangor.

Baru-baru ini, IBDE menerbitkan tiga terjemahan termasuk karya pemenang Hadiah Nobel kategori kesusasteraaan pada 1988, Naguib Mafouz, berjudul Khianat. Dua lagi ialah biografi Amir Abdul Kadir: Sang Pendamai, Wali dan Pahlawan karangan Ahmed Bouyerdene dan Surat Kepada Penyair Muda (Rainer Maria Rilke).

IBDE menerusi program Siri Pencerahan Selangor menerima sokongan Kerajaan Selangor bagi menghasilkan terjemahan berkualiti adikarya dunia, sebahagiannya karangan berusia ribuan tahun, meliputi bidang agama, sejarah dan falsafah.

Pada 1 Mac lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata buku terjemahan dapat menggamit masyarakat Melayu mentelaah pemikiran besar tokoh dunia melalui pembacaan.