Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia sumbang alat perubatan bantu Indonesia perangi Covid-19

KUALA LUMPUR, 15 SEPT: Malaysia hari ini menyerahkan sumbangan peralatan dan bekalan perubatan kepada Indonesia bagi membantu republik itu memerangi pandemik Covid-19.

Sumbangan itu diserahkan oleh Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah kepada Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono, di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang dekat sini.

Saifuddin berkata bantuan itu mencerminkan hubungan baik dan kukuh di antara kedua-dua negara, dan sebagai jiran terdekat, Malaysia dan Indonesia akan terus bekerjasama erat dalam memerangi pandemik Covid-19.

“Walaupun Malaysia sendiri masih lagi berdepan dengan pandemik Covid-19 serta kekangan-kekangan yang datang dengannya, namun ia tidak menghalang kita untuk membantu mengikut kemampuan kita.

“Di samping usaha-usaha domestik kita untuk menangani wabak Covid-19, kita juga perlu melihat kepada situasi dan kebajikan mereka yang berada di sekeliling kita, termasuk juga jiran-jiran tetangga kita,” katanya pada majlis penyerahan itu.

Sumbangan yang dihulurkan Malaysia kepada Indonesia yang berupa tangki ISO mengandungi oksigen cecair, pemekat oskigen, ubat-ubatan terapeutik serta barangan perubatan pakai buang, akan dihantar menggunakan pesawat TUDM.

Sumbangan hari ini merupakan kumpulan pertama dalam beberapa peringkat penghantaran bantuan kepada Indonesia yang dijangka selesai hujung bulan ini, katanya.

Sementara itu, Hermono berkata kerajaan dan rakyat Indonesia amat menghargai bantuan yang diberikan oleh kerajaan Malaysia.

“Sumbangan ini amat bermakna untuk kami. Meskipun Malaysia pada saat ini sedang berjuang melawan Covid-19, tapi ia masih fikirkan saudara-saudara di Indonesia dalam membantu untuk sama-sama melawan pandemik ini,” katanya.

Turut hadir Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Mastura Mohd Yazid dan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Perangi Covid-19, Hospital Ampang terima alat perubatan lebih RM100,000

AMPANG, 3 SEPT: Kerajaan Negeri melalui Selgate Corporation Sdn Bhd (Selgate) menyumbang peralatan perubatan bernilai RM174,500 kepada Hospital Ampang bagi memerangi pandemik Covid-19.

Penyelaras Parlimen Ampang Rodziah Ismail berkata sumbangan itu merangkumi tangki oksigen, picagari, mesin penumpu oksigen, “infusion pump” dan “powered air purifying respirator” yang mana masing-masing lima unit diberikan.

“Bantuan ini diberi selepas kita mendapat permohonan daripada pihak hospital dan Alhamdulillah Kerajaan Negeri bersama pihak Selgate meluluskan serta bersetuju untuk menyumbang.

“Kita harap sumbangan ini membantu Hospital Ampang memberi rawatan terbaik sekali gus dapat menyelamatkan nyawa lebih ramai pesakit Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Serahan Permohonan Peralatan Perubatan Kepada Hospital Ampang hari ini. Majlis itu turut dihadiri Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Mengulas sama ada hospital lain turut diberi bantuan serupa, Rodziah yang juga EXCO Kerajaan Negeri berkata pihaknya akan mempertimbangkan perkara tersebut.

“Insya-Allah kita akan bantu mana-mana yang memohon. Semoga kes Covid-19 juga terus menurun dan pihak petugas barisan hadapan dapat menangani pandemik sebaik mungkin,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Hospital Ampang Dr Kasuadi Hussin turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Selangor.

“Kami sangat menghargai keprihatinan Kerajaan Negeri membantu membeli peralatan perubatan ini yang sangat penting untuk merawat pesakit Covid-19.

“Usaha ini amat dihargai meskipun kadar kemasukan pesakit Covid-19 semakin berkurangan,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Bantuan perubatan Covid-19 dari Arab Saudi tiba di Malaysia

KUALA LUMPUR, 30 JULAI: Bantuan peralatan perubatan sumbangan Kerajaan Arab Saudi melalui King Salman Humanitarian Aid and Relief Center (KSrelief) untuk membantu Malaysia menangani cabaran pandemik Covid-19, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Khamis.

Agensi Berita Arab Saudi (SPA) melaporkan bantuan itu dihantar menggunakan dua pesawat yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh pada pagi Khamis.

Sumbangan peralatan perubatan itu termasuk 100 alat bantuan pernafasan, 150 alat bantuan pernafasan mudah alih, 319 pemekat oksigen, 30 alat sokongan pernafasan, 150 katil perubatan elektrik, 15 vital signs monitors, tiga juta topeng pembedahan, satu juta topeng N95, 500,000 sarung tangan perubatan dan lain-lain keperluan perubatan.

Sementara itu, Kementerian Luar Malaysia dalam satu kenyataan pada Khamis malam menyatakan bantuan itu akan diserahkan secara rasmi kepada Kerajaan Malaysia oleh duta Arab Saudi ke Malaysia pada Jumaat petang. Menteri Kanan Luar Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dijangka menghadiri acara penyerahan itu.

Menurut laporan SPA itu lagi, satu juta dos vaksin Covid-19 yang dijanjikan Arab Saudi akan diberikan melalui koordinasi dengan pejabat Menteri Luar Negeri. Vaksin itu akan disediakan oleh satu daripada pengeluar vaksin yang diluluskan Arab Saudi.

Bantuan itu disumbangkan susulan perbualan telefon antara Hishammuddin dengan Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman bin Abdulaziz baru-baru ini.

“Sumbangan ini melambangkan hubungan erat antara kedua-dua negara dan tanda keprihatinan Arab Saudi untuk membantu negara yang teruk terjejas akibat Covid-19,” kata SPA.

-BERNAMA