Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

43 penjaja dapat alatan niaga, cari semula rezeki pascabah

SHAH ALAM, 26 JAN: Seramai 43 penjaja bawah Persatuan Peniaga Pasar Malam Bumiputera Shah Alam dan Klang yang terjejas bah bulan lalu menerima bantuan alatan niaga semalam.

Bantuan meliputi kanopi, penunu dapur masak, balang air, lampu bulat, tong nasi dan mesin pengisar bagi menggantikan kelengkapan yang rosak, kata Pengerusinya Kamarul Nizam Razak.

“Kami berbesar hati dan berterima kasih atas keprihatinan pihak berkaitan termasuk pejabat EXCO Hal Ehwal Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni yang membantu peniaga bangkit kembali,” katanya.

Kamarul Nizam Razak

Perkakas sumbangan Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) dan Dewan Perdagangan Malaysia China diserahkan di Wisma Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (Kohijrah) Berjaya Park di sini.

Sementara itu, Presiden DPIM Mohammad Sahar Mat Din berharap peniaga dapat memanfaatkan alatan tersebut sebaiknya selain berusaha memajukan perniagaan pada masa hadapan.

“Peniaga antara kumpulan yang perlu diberi perhatian kerana mereka tidak terkecuali ditimpa musibah. Diharap mereka dapat kembali berniaga menggunakan barang baru dan berkualiti,” katanya.

Bagi penerima bantuan Ahmad Bakri Din, 53, dua kanopi dan tiga meja yang diperoleh meredakan kehampaan selepas stor yang menempatkan alatan itu hanyut dalam banjir pada 18 Disember tahun lalu.

“Saya bersyukur dapat alatan ini. Sekurang-kurangnya ringankan beban dan teruskan semula perniagaan ayam dan daging di pasar malam,” kata bapa sembilan anak yang menetap di Kampung Tengah, Puchong.

Fatimah Nani, 53, pula berkata sumbangan mesin pengisar mampu menjimatkan perbelanjaan berikutan modal yang ada sekadar cukup untuk membeli perkakas jualan char kuetiau.

“Seronok bila dapat bantuan ini, tidak perlu bazir wang beli sendiri. Paling tidak, wang yang ada boleh guna beli barang basah,” katanya yang juga peniaga pasar malam Seksyen 32 sejak empat tahun lalu.