Categories
KENYATAAN MEDIA NASIONAL SELANGOR

SAMM: Pembebasan Azilah, Sirul sudah dijangka

azilah11

SHAH ALAM, 23 OGOS: Penangguhan pembicaraan kes pembunuhan penterjemah warga Monggolia, Altantuya Shariibu yang sepatutnya dibicarakan sebelum PRU13 lalu sudah diduga keputusannya berikutan pembebasan Azilah dan Sirul oleh Mahkamah Rayuan hari ini.

Kenyataan media SAMM di sertakan.

Pembebasan Azilah dan Sirul Sudah Dijangka, Beri ‘Motivasi’ Kepada Pihak Tertentu Untuk Terus Membunuh.

Sememangnya dari awal kes pembunuhan Altantuya menyaksikan perbicaraan melibatkan Azilah dan Sirul ditangguh dan ditangguh sehingga selepas pilihanraya untuk memberi laluan Barisan Nasional menang PRU tersebut. Kemenangan ini membolehkan kedua-dua ‘pak sanggup’ ini dibebaskan, hari ini.

Perihal ini sudah disebut dan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) sudah menjangka keputusan mahkamah Rayuan yang membebaskan anggota Unit Tindakan Khas, Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar, daripada pertuduhan membunuh penterjemah Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Apabila BN kekal, rakyat bukan sahaja tidak mengetahui apakah motif pembunuhan dan siapa yang arah pembunuhan Altantuya, malah pembunuhnya juga dibebaskan.

Walaupun dalam kes yang berprofile tinggi, walaupun sudah mengaku melakukan pembunuhan malah menyebut diri sebagai ‘kambing hitam’ kerana menjadi pembunuh upahan, namun akhirnya dibebaskan. Apakah ia satu keputusan menang-menang demi saling melindungi? Lihatlah bagaimana keadilan tidak berada di tempatnya, tetapi berada di tangan pemerintah.

Keputusan ini juga seharusnya memberikan ‘motivasi’ besar kepada pihak tertentu untuk terus menjalankan kerja ‘black-ops’ dengan jaminan dibebas sekiranya tertangkap dan dibicarakan. Pihak tertentu termasuk kemungkinan melibatkan anggota polis yang mengikut telunjuk atasan mampu berbuat apa sahaja kerja jahat, pasti akhirnya terlepas hukuman dan dibebaskan. Maka tidak hairanlah jika selepas ini lebih banyak kes pembunuh upahan. Konspirasi akhirnya berjaya apabila si pembunuh, individu yang mengarah pembunuhan, orang tengah, semuanya selamat. Rekod imigresen Altantuya terus hilang, bersama rekod bahan letupan yang diseludup keluar.

Pendedahan mengenai kematian tragis Altantuya telah di buat oleh SAMM dan banyak pihak lain khususnya apabila melibatkan skandal penyelewengan pembelian kapal selam Scorpene. che’GuBard sebelum ini pernah menulis dan menerbitkan sebuah buku yang bertajuk ‘Siapa Arah Bunuh Altantuya’. Buku tersebut telah menyebabkan che’GuBard ditahan sebanyak enam kali dan rumah che’GuBard beberapa kali digeledah, namun tiada dakwaan terhadap che’GuBard. Malah ketika buku ini dilancarkan, rumah che’GuBard dibaling dengan bom botol.

Justeru itu, apakah konklusi paling tepat mengenai pembunuhan altantuya? Negara hari ini menjadi kartun apabila membayangkan ‘sebenarnya’ Altantuya membunuh dirinya sendiri, kemudian bangun dan meletupkan pula dirinya menggunakan bom C4 demi menghilangkan bukti.

*CHE’GUBARDPengasas

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)