Categories
AGENDA NASIONAL

Cadangan gabung KEADILAN, Amanah mampu lonjak sokongan rakyat

SHAH ALAM, 30 NOV: Cadangan untuk menggabungkan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dan Parti Amanah Negara (Amanah) wajar diteliti serta dipertimbang pemimpin kedua-dua parti itu.

Bekas Ketua Angkatan Muda KEADILAN Selangor Mohd Najwan Halimi berkata kedua-dua parti memiliki citra politik sama iaitu mengangkat agenda reformasi, mendukung prinsip keadilan sosial serta membela hak dan kebajikan rakyat.

“Penggabungan Amanah ke dalam KEADILAN melonjakkan dukungan serta membina keyakinan rakyat khususnya pengundi Melayu di luar bandar dalam dalam pilihan raya umum akan datang.

“Penggabungan akan menguatkan jentera akar umbi serta menyelesaikan isu pembahagian kerusi pilihan raya yang selama ini menjadi cabaran kedua-dua pihak,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Najwan berkata penggabungan mewujudkan ruang kepada pimpinan serta anggota Amanah untuk memperkukuh struktur kepimpinan KEADILAN yang mengalami vakum di peringkat pusat, negeri dan cabang sejak Langkah Sheraton.

Jelas Najwan yang juga Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik, penggabungan parti bukan perkara baharu di negara ini.

“Sejarah merakamkan penggabungan beberapa buah parti politik menjadi sebuah entiti misalnya Parti Rakyat Malaysia ke dalam Parti Keadilan Nasional pada 2003 dan juga gabungan Semangat 46 ke dalam Umno pada 1996,” katanya.

Pada Sabtu penganalisis politik Wong Chin Huat mencadangkan penggabungan kedua-dua parti itu selepas keputusan Pilihan Raya Negeri Melaka tidak memihak Pakatan Harapan (HARAPAN).

 

Categories
AGENDA NASIONAL

MB: Hubungan KEADILAN dan AMANAH di Selangor utuh

SHAH ALAM, 3 MAC: Hubungan antara Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dengan Parti Amanah Negara (AMANAH) di Selangor masih utuh walaupun terpalit isu pemimpin lompat parti, kata pengerusi negeri.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata prinsip perjuangan dan agenda reformasi menjadi kunci keteguhan pentadbiran Pakatan Harapan (PAKATAN) yang terus dijunjung pentadbiran negeri.

“Sekiranya berlaku sedikit ketegangan dalam parti atau PAKATAN, ia perkara biasa dan seingat saya pada 2008 kita hampir berpecah namun akhirnya kita kembali menyusun serta menjunjung mandat rakyat.

“PAKATAN Selangor akan mempertahankan hubungan antara parti serta tidak terperangkap dengan permainan politik,” kata Dato’ Menteri Besar ketika melawat Pusat Operasi Pintar C5i Selangor (SSOC) di Dewan Jubli Perak hari ini.

Sebelum ini, lima Ahli Dewan Negeri (ADN) AMANAH termasuk tiga dari Johor bertindak keluar parti dan berhasrat untuk menyertai KEADILAN.

Mereka ialah ADN Senggarang, Khairuddin A Rahim; ADN Serom, Faizul Amri Adnan serta ADN Mahkota, Muhamad Said Jonit.

Selain tiga ADN dari Johor, turut didakwa bertindak keluar parti adalah dua ADN dari Selangor.

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad menyifatkan tindakan ADN terbabit menyertai KEADILAN tidak seserius berbanding jika mereka menyertai Perikatan Nasional (PN).

Categories
AGENSI SELANGOR

Amanah yakin pengundi Cina pilih PAKATAN pada PRU15

SHAH ALAM, 26 JULAI: Parti Amanah Negara (Amanah) yakin sokongan pengundi Cina kembali kepada Pakatan Harapan (PAKATAN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) meskipun kajian menunjukkan trend itu menurun baru-baru ini.

Pengarah Sumber Manusia Amanah Selangor Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar mengakui sokongan merosot atas faktor tertentu, namun pengundi cenderung memilih parti yang dapat membantu.

“Mungkin benar ada penurunan sokongan dan ia berlaku atas faktor tertentu, namun masyarakat Cina membuktikan mereka memilih pihak yang dapat membantu.

“Pilihan raya kecil (PRK) tidak boleh dijadikan kayu ukur sama ada PAKATAN mendapat sokongan kaum bukan Melayu atau tidak kerana PRK tidak mengubah kerajaan sedia ada. Oleh itu, saya yakin sokongan beralih kepada PAKATAN semula,” katanya kepada SelangorKini.

Kelmarin, media melaporkan kajian Merdeka Center mendapati sokongan kaum Cina terhadap PAKATAN turun kepada 44 peratus berbanding 95 peratus pada pilihan raya umum lalu.

Categories
SELANGOR

Petrol percuma buat penunggang motosikal di Kepong esok

KUALA LUMPUR, 2 JUN: Penunggang motosikal di sekitar ibu kota boleh mendapatkan pengisian petrol secara percuma di Stesen Minyak Caltex, Batu 8 Jalan Kepong di sini, bermula 12 tengah hari hingga 4 petang, esok.

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng dalam kenyataan hari ini, berkata program itu diadakan dengan kerjasama Parti Amanah Negara (AMANAH) Kepong, dalam usaha menghargai penduduk di kawasan itu untuk meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri beberapa hari lagi.

Sementara itu, Ketua Penaja AMANAH Kepong, Datuk Mohd Noor Ali Bakar berkata pengisian petrol percuma itu tertakluk kepada motosikal di bawah 150cc sahaja.

“Program ini kita lebih fokus kepada golongan B40 sebagai tanda terima kasih menjadi masyarkat Kepong dan kita berharap pemberian minyak petrol ini dapat meringankan beban mereka dalam perjalanan pulang ke kampung bagi menyambut Syawal,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Mohd Noor berkata, program tersebut adalah kesinambungan daripada kejayaan program pengisian petrol percuma yang diberikan kepada hampir 300 penghantar makanan bermotosikal pada bulan lepas.

– BERNAMA

 

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Kerajaan PAKATAN tekad pertahan kedaulatan, perkasa perlembagaan

MUAR, 1 JUN: Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) tetap akan mempertahankan Raja-Raja Melayu, kedudukan orang Melayu dan kedaulatan Islam biarpun terdapat dakyah-dakyah yang disebarkan menerusi aplikasi Whatapps menggunakan isu perkauman dan agama untuk kepentingan politik.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Salahuddin Ayub berkata, kerajaan pimpinan PAKATAN sentiasa mempertahankan kedaulatan dan perkara asas yang termaktub dalam perlembagaan negara.

“Jangan dengar dakyah dan fitnah yang sentiasa disebarkan dalam ‘whatapps group’ kononnya kerajaan tidak lagi menganggap Islam, bangsa Melayu, Raja-Raja Melayu sebagai asas perjuangan kita.

“Sebagai anggota jemaah menteri yang mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong, saya memegang taat setia kepada negara ini, dan kita perlu pertahan hatta dengan nyawa sekali pun,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri dan Berbuka Puasa anjuran AMANAH Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, di Batu 3, Bakri di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi AMANAH Johor, Aminolhuda Hassan.

Salahuddin berkata, rakyat seharusnya menjadikan kekacauan yang berlaku di negara jiran baru-baru ini selepas pilihan raya umum dan pemilihan presiden sebagai iktibar untuk mengelakkan pecah belah.

“Kita perlu elakkan seperti yang berlaku di negara itu sehingga mengakibatkan korban nyawa kerana isu yang dimainkan ekstreme agama dan bangsa.

“Kita adalah negara Malaysia yang aman sejahtera, pada tahun lalu menyaksikan proses peralihan kuasa kerajaan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 berlaku dengan lancar dan tanpa pertumpahan darah, yang kalah menerima hakikat dan yang menang membentuk kerajaan dan ini adalah tanggungjawab kita untuk pertahankan keharmonian negara ini,” katanya.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Bekas Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor sertai AMANAH

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 12 SEPT: Kerjasama PAS dan Umno dalam dua pilihan raya kecil (PRK), baru-baru ini akhirnya mendorong bekas Pengarah Pilihan Raya Pemuda PAS Selangor, Hairul Nizam Tohar meninggalkan parti itu dan memilih menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH).

Katanya, keputusan itu diambil ekoran kecewa dengan PAS menjalin hubungan bersama Umno yang bertanggungjawab merosakkan negara dalam pelbagai aspek.

“Keputusan ini saya buat kerana prinsip tidak boleh bersama kemungkaran dan kezaliman, tambahan pula kita tahu Umno sudah lama merosakkan negara, justeru bila PAS semakin akrab serta intim bersama parti itu, saya tidak gembira.

“Desas-desus PAS mahu bersama Umno sudah lama saya dengar dan kaji. Akhirnya bila PRK DUN Sungai Kandis, ia jadi kenyataan, maka sampailah masa saya meninggalkan PAS,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau yang juga bekas Ketua Pemuda PAS Kuala Langat berkata, PAS juga dilihat semakin selesa apabila duduk sepentas bersama pimpinan Umno, pada PRK DUN Seri Setia serta secara jelas menyokong MCA yang sebelum ini terang-terangan turut menentang hudud.

Hairul Nizam turut menjangkakan langkah terbaru PAS itu menyebabkan ramai dalam kalangan ahli PAS merasa tidak selesa dengan suasana terbabit dan ia dapat dibuktikan apabila ramai ahli parti itu tidak turun mengundi.

“Pemuda PAS Kota Raja juga memohon penjelasan daripada pimpinan berkenaan langkah bergandingan dengan Umno.

“Saya rasa mungkin ramai lagi akan meninggalkan PAS sama ada untuk bersama parti lain atau sekadar duduk diam,” katanya.

 

Categories
NASIONAL

Pemuda AMANAH sokong had layak mengundi 18 tahun

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 25 JUN: Pemuda AMANAH menyokong sepenuhnya cadangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menurunkan hak umur layak mengundi kepada 18 tahun, berbanding 21 tahun ketika ini.

Ahli Dewan Negeri Taman Templer merangkap Ketua Pemuda, Mohd Sany Hamzah berkata, cadangan itu sangat ideal untuk dipraktik berdasarkan perubahan kematangan berfikir golongan muda.

“Cadangan itu dilihat seiring peredaran zaman yang menuntut kepada perubahan dan pembaharuan semasa.

“Rakyat khususnya golongan muda perlu menceburkan diri untuk mencorakkan masa depan negara secara tidak langsung apabila mereka mempunyai hak memilih kepimpinan yang ingin diberi mandat mentadbir negara,” katanya dalam kenyataan.

Tun Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PAKATAN) sebelum ini menyifatkan cadangan itu timbul selepas melihat kesedaran politik kuat ditunjukkan pengundi muda, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bulan lalu.

Mohd Sany berkata, sekarang adalah peluang terbaik untuk melaksanakan perkara itu selepas rakyat memberikan mandat kepada PAKATAN.

Katanya, mengundi pada umur 18 tahun juga bukanlah perkara asing, sebaliknya dilaksanakan di negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia dan turut dipraktikkan negara di Asia Tenggara seperti Thailand, Indonesia serta Filipina.

“Malaysia sebagai nama besar di Asia Tenggara sewajarnya mengikut pembaharuan dilakukan negara jiran dan usaha mempertingkatkan kualiti demokrasi.

“Kami yakin, cadangan ini turut disokong dan didokong penuh parti lain di dalam PAKATAN dan badan bukan kerajaan yang sekian lama memperjuangkannya dalam usaha menyuburkan demokrasi di negara ini,” katanya.

Categories
NASIONAL

Ambil iktibar ‘kemusnahan’ Umno

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 25 JUN: Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu mengingatkan pimpinan parti itu untuk mengambil iktibar terhadap kejatuhan Umno yang sedang berlaku.

Beliau berkata, kelalaian pimpinan Umno terhadap amalan politik wang menjadi punca keruntuhan parti ketuanan Melayu itu.

“Kita menang kerana kita tiada duit, Umno kalah kerana mereka ada duit.

“Sekarang ketika kita memegang tampuk pentadbiran, jangan pula kita menjadi seperti mereka.

“Jadikan kejatuhan mereka itu sebagai iktibar untuk kita,” katanya ketika berucap pada Rumah Terbuka AMANAH, di Stadium Shah Alam, semalam.

Hadir sama, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan pimpinan Exco Kerajaan Negeri, iaitu Ir Izham Hashim, Haniza Talha dan Dato’ Abdul Rashid Asari.

Mohamad Sabu turut mengulas isu perpecahan yang berlaku dalam GERAKAN, yang juga parti komponen Barisan Nasional (BN).

Katanya, kemusnahan itu membuktikan penolakan berterusan rakyat terhadap parti berkenaan.

“Dulu Umno kuat, ada parti itu, parti ini. Sekarang bila GERAKAN sudah keluar dan tidak lagi bersama mereka, kita perlu jadikan iktibar perkara ini,” katanya.

Terdahulu, GERAKAN sebulat suara mengumumkan keluar dari BN untuk menjadi parti bebas menerusi mesyuarat Jawatankuasa Pusat GERAKAN (CGC).

Categories
SELANGOR

MB rai kemeriahan ‘jingga’ Aidilfitri

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 24 JUN: Sekitar 20,000 masyarakat Selangor hadir ke Rumah Terbuka Parti Amanah Negara peringkat Selangor, di Stadium Shah Alam, petang ini.

Lebih istimewa, sambutan itu turut dimeriahkan dengan kehadiran Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari yang hadir menyantuni pengunjung yang hadir ke rumah terbuka itu, sejak awal pagi ini.

Ketibaan Dato’ Menteri Besar itu disambut pimpinan tertinggi Exco Kerajaan Negeri; Ir Izham Hashim, Dr Siti Mariah Mahmud, Haniza Talha dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Anggerik, Najwan Halimi.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu yang juga Menteri Pertahanan Malaysia.

Selain pelbagai hidangan tradisi dan juadah raya disediakan, Majlis Rumah Terbuka itu turut dimeriahkan dengan persembahan daripada penyanyi tempatan, Yasin Sulaiman.

Tinjauan SelangorKini mendapati, kemeriahan Rumah Terbuka itu turut dihadiri lapisan masyarakat daripada pelbagai bangsa dan agama.

Sementara itu, Ir Izham Hashim selaku Pengerusi Amanah Selangor berkata, sambutan menggalakan masyarakat itu membuktikan sokongan berterusan rakyat terhadap kepimpinan parti itu.

“Kita jangkakan 20,000 akan hadir, tetapi dengan mengambilkira faktor kunjungan orang awam yang tidak henti-henti sejak dari pagi lagi, mungkin sasaran ini lebih tinggi.

“Ini membuktikan rakyat Selangor menerima baik pentadbiran Malaysia Baru sekarang,” katanya.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Mat Sabu menang bergaya, majoriti 71,142

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 10 MEI: Presiden AMANAH, Mohamad Sabu menang bergaya di Parlimen Kota Raja (P111) dengan majoriti besar iaitu 71,142 undi.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu memenangi undian 90,697 mengalahkan calon PAS, Mohamed Diah Harun 19,555 undi.

Manakala calon Barisan Nasional (BN), V Gunalan pula 17,874 undi.

Keputusan itu dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Shukri Mohamad Hamin secara rasminya kira-kira jam 1.15 pagi.

Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) itu menyaksikan 129,412 keluar mengundi daripada 149,021 yang layak mengundi bagi Parlimen itu.

Manakala, 977 undi ditolak dan 320 undi tidak kembali.

Pada PRU12, Parlimen Kota Raja menyaksikan kemenangan bergaya Dr Siti Mariah Mahmud dengan majoriti 20,751 undi iaitu sebanyak 38,630 undian.

Manakala, PRU13, Mariah mengekalkan kemenangan dengan majoriti 29,395 undi iaitu sebanyak 59,105 undian.

Sejumlah 2,078,311 bilangan pemilih layak mengundi di Selangor.

Manakala, 149,021 jumlah pengundi di Parlimen Kota Raja, jumlah itu meningkat berbanding PRU13 iaitu 105,909.

Terdapat tiga DUN di bawah parlimen itu dengan jumlah pengundi sebanyak 51,454 (N48 Sentosa), 50,800 (N49) dan 46,777 (N50 Kota Kemuning).

Categories
NASIONAL

Janji ambil alih ikut perlembangaan

OLEH NORHAYATI UMOR

HULU KELANG, 6 MEI: Pakatan Harapan (PAKATAN) berjanji akan mengambil alih negara secara demokrasi dan berpelembagaan sekiranya memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu berkata, tidak timbul huru hara dalam peralihan kuasa kerana PAKATAN sentiasa memelihara demokrasi.

“Saya ingin berpesan pada Ketua Polis Negara, Ketua Turus Angkatan Tentera dan Pegawai Tinggi Kerajaan yang lain supaya menghormati demokrasi.

“PAKATAN akan mengambil alih mengikut demokrasi, berpelembagaan dan tidak timbul huru hara,” katanya.

Beliau berkata demikian di Malam Semarak Tsunami Rakyat di Padang AU2, Keramat, di sini.

Beliau yang juga calon P111 Kota Raja turut mendakwa Barisan Nasional (BN) kini diibaratkan seperti ais yang semakin mencair.

Katanya, ia berlaku lebih drastik apabila Tun Daim Zainudin, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Tan Sri Rafidah Aziz menyokong kepimpinan PAKATAN.

“Kita pergi roadshow ke seluruh negara dan kita melihat tsunami rakyat berlaku, di Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang.

“Juga negeri-negeri lain, kita dibanjiri lautan manusia yang sangat luar biasa,” katanya.

Categories
SELANGOR

KEADILAN letak calon di 21 kerusi

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LANGAT, 20 APR: KEADILAN akan bertanding di 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) depan.

Pengarah Pilihan Raya negeri, Dr Xavier Jayakumar berkata, calon lain diikuti 16 (DAP), 10 (AMANAH) dan 9 (BERSATU).

“Calon yang akan bertanding ini memenuhi permintaan daripada calon muda, wanita dan calon lama.

“Kita akan menampilkan calon baru dan calon lama. Ada yang dikekalkan kerusi dan ditukarkan kerusi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui.

Terdahulu, PAKATAN mencapai kata sepakat memuktamadkan pengagihan kerusi Dewan Negeri Selangor (DNS) bagi memberikan perkhidmatan cemerlang dan terbaik untuk merealisasikan aspirasi rakyat Selangor.

Dalam kenyataan bersama, PAKATAN yakin perpaduan pimpinan akan melonjakkan sokongan rakyat untuk mengekalkan pentadbiran dalam Kerajaan Selangor bagi meneruskan pembangunan ekonomi dan agenda peduli rakyat.

PAKATAN akan memberi fokus sepenuhnya kepada gerak kerja pilihan raya dan memantapkan jentera.