Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Nilai barangan dirampas antara RM900j hingga RM1.1 bilion

KUALA LUMPUR 27 JUN: Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh mengumumkan jumlah keseluruhan nilai barangan dirampas di kediaman berkaitan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ialah antara RM900 juta hingga RM1.1 bilion.

Beliau mendedahkan jumlah itu pada sidang media hari ini menyatakan pada 21 Mei hingga 25 Jun lalu, JSJK sudah buat pengiraan dan pemeriksaan barang dirampas.

“Pengiraan dan pemeriksaan ambil masa lama kerana angka adalah besar.

“Lapan pasukan khas terdiri daripada pakar dan pegawai terbabit dalam pengiraan dan pemeriksaan membabitkan 150 anggota,” katanya.

Beliau berkata, 25 beg daripada 72 beg mengandungi barang kemas seperti cincin, berlian, gelang dan subang yang keseluruhannya sebanyak 12,000 barang.

“Jumlah pasaran barang kemas yang dirampas berharga kira-kira RM880 juta.

“Cincin sebanyak 2,200 unit, subang 2,800 unit, broch 1,600 unit, tiara 14 unit.

“Barang paling berharga adalah seutas rantai emas white diamond berharga RM6.4 juta,” katanya.

Amar Singh berkata, sebanyak 567 beg tangan membabitkan 37 jenama seperti Hermes, Prada dan Chanel berharga kira-kira RM51.3 juta.

Katanya, sebanyak enam beg mengandungi 423 utas jam tangan bernilai RM78 juta membabitkan lebih 100 jenama.

FOTO: ASTRO AWANI

 

JURNAL BERITA – Turunkan harga kereta: PKR ulangi desakan hapus cukai eksais

Sinopsis

1. MB: Dua pegawai PKNS ditukar sementara untuk siasatan dalaman –

2. Isu PKNS: SUK minta semua pihak tidak sebar khabar angin –

3. Selangor sasar bina 35,000 rumah mampu milik dalam tempoh 4 tahun –

4. LZS kutip zakat RM517.4 juta, sasar RM530 juta pada 2014

5. Anwar dihalang masuki Jepun, Kerajaan Jepun patut mohon maaf, tidak ulangi kesilapan

6. AMK hantar memo bantahan ke Kedutaan Jepun

7. PKR ulangi desakan hapus cukai eksais bagi turun harga kereta

8. Chegubard buat laporan polis terhadap fitnah Amar Singh

9.Tuduhan DAP sabotaj BN, mentaliti menteri kekampungan

10.AKTIVITI YB: Ziarah, agih limau mandarin sekitar Bangi

Categories
NASIONAL

Chegubard buat laporan polis terhadap fitnah Amar Singh

Oleh : AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 20 JAN: Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin membuat laporan polis terhadap Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh berhubung fitnah mengaitkan namanya sebagai penganjur himpunan yang didakwa ingin menggulingkan kerajaan, pada 31 Disember lalu.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Chegubard berkata, tindakan undang-undang terpaksa diambil selepas pihaknya sudah menghantar surat kepada Amar untuk berbincang namun sehingga kini tiada maklum balas, pada 4 Januari lalu.

Katanya, fitnah yang dibuat dalam satu sidang media pada 28 Disember lalu dilihat bertujuan untuk mewujudkan kebencian dan kekacauan awam.

badrul sharin“Selepas memfitnah saya selaku penganjur himpunan menggulingkan kerajaan, polis melalui laporan Buletin Utama TV3 juga kononnya menemui bom tangan buatan sendiri dan membuat tangkapan di Ampang.

“Tangkapan itu cuba dikaitkan dengan saya dan difitnah sebagai penganjur himpunan menggulingkan kerajaan,” katanya kepada media di depan Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihak polis didesak untuk mendedahkan siapa yang ditahan dan status kes berkenaan disebabkan kejadian sama juga berlaku semasa Himpunan Bersih.

Katanya, polis juga perlu menyiasat fitnah kononnya terdapat anggota polis cedera dipukul pada Himpunan Turun dan sebaran gambar palsu yang turut disiarkan dalam laman sosial rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Gambar palsu itu jelas dikutip daripada media sosial pro-parti kerajaan. Bagaimana ini berlaku, adakah media PDRM mengikut telunjuk media propaganda parti kerajaan.

turun“Ini jelas berlaku ketika Himpunan Bersih 3.0 apabila saya sendiri dipukul kerana membalas dendam terhadap rakan mereka yang kononnya mati. Berita kematian palsu ini dimulakan oleh media pro kerajaan yang menyebabkan ratusan polis tertipu,” katanya.

Selain itu, beliau turut mendesak polis mencari pemain siber yang menyebarkan fitnah kononnya artis Najwa Latif diraba pada sambutan malam tahun baru.

Kenyataan itu dimuat turun menerusi akaun Twitter Najwa Latif, namun beliau sendiri menafikan perkara berkenaan melalui rancangan Melodi.

Selain isu penganjuran Himpunan Turun ‘Bantah Kenaikan Harga Barang’, Chegubard turut dipanggil memberikan keterangan di IPD Dang Wangi berhubung kehadiran pada malam pelancaran kempen ‘Faham GST, Tolak GST’ yang berlangsung di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru.

Dalam keterangan tersebut beliau menyatakan, kehadirannya atas jemputan sebagai pengacara majlis dan beliau merasakan program berkenaan tidak menimbulkan sebarang masalah dan berlangsung aman.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Jingga 13 akan ambil tindakan ke atas Amar Singh

Oleh : AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR 3 DIS: Jingga 13 akan tetap akan mengambil tindakan terhadap fitnah yang dilemparkan Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh atas dakwaan pertubuhan itu antara empat kumpulan yang merancang menimbulkan kekecohan termasuk menggunakan bahan letupan, pada sambutan tahun baru lalu.

Koordinator Jingga13, Fariz Musa, menjelaskan pertubuhan itu dalam proses perbincangan dengan peguam mereka bagi menentukan tindakkan yang bakal diambil ke atas Amar Singh.

Fariz Musa“Kami dengan tegas ingin memeberitahu Jingga 13 akan tetap mengambil tindakkan terhadap tuduhan itu. Kita sedang berbincang dengan peguam bagi memutuskan untuk membentuk tindakan yang bakal diambil dan akan kemukakan saman,” katanya.

Fariz berkata, walaupun Amar Singh sebelum ini menafikan membuat kenyataan mengaitkan pertubuhan itu dengan keganasan, namun beliau tidak membuat permohonan maaf.

“Beliau ada nafikan, tetapi tidak ada permohonan maaf. Selepas penafian itu, polis pula kata ada bukti mengaitkan kami dengan keganasan berkenaan dan kita cabar mereka kemukakan bukti kononnnya Jingga 13 merancang untuk gulingkan kerajaan dengan keganasan sepeti yang disebut,” katanya.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh dalam satu kenyataan yang dipetik media sebelum ini menyatakan, empat pertubuhan termasuk Jingga 13 merancang menimbulkan kekecohan termasuk membawa bom tangan dalam himpunan rakyat bagi mendesak penurunan harga barangan.

-NFN-