Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Ringgit diniaga 4.1385/1435 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 2 APRIL: Urus niaga ringgit melantun semula ke paras 4.13 berbanding dolar AS ketika dibuka pagi ini, dirangsang oleh pengukuhan harga minyak mentah di tengah-tengah hasil bon AS dan dolar AS yang mereda.

Data pembuatan tempatan yang semakin baik dengan menyaksikan Indeks Pengurus Pembelian Pembuatan (PMI) IHS Markit Malaysia mengembang kepada 49.9 pada Mac daripada 47.7 bulan sebelumnya tahun ini, turut menyokong pengukuhan mata wang tempatan.

Pada jam 9 pagi, unit tempatan disebut harga pada 4.1385/1435, lebih tinggi berbanding dolar AS daripada 4.1440/1470 pada penutupan urus niaga petang Khamis.

Ketua Strategi Pasaran Global Stephen Innes berkata penurunan hasil AS dan pemulihan yang menyaksikan pengukuhan semula harga semalaman minyak mentah seharusnya dapat membantu pergerakan nilai matawang tempatan minggu ini.

Sementara itu, Ambank Research dalam nota penyelidikannya berkata data PMI pembuatan untuk bulan Mac menandakan pemulihan ketara keadaan operasi di keseluruhan sektor pembuatan dan ini akan terus dapat merancakkan urus niaga ringgit.

Menurut IHS Markit, bacaan PMI bulan Mac iaitu 49.9 adalah yang tertinggi sejak Julai 2020.

“Mengenai tinjauan ringgit untuk hari ini, kami menjangkakan bahawa unit tempatan itu akan diniagakan pada paras sokongan antara 4.1208 dan 4.1311 manakala halangan atau rintangan antara 4.1591 dan 4.1701,” katanya.

Ketika ini, minyak mentah penanda aras Brent meningkat 3.38 peratus kepada US$64.86 setong.

Pada pembukaan urus niaga pagi ini, ringgit bagaimanapun disebut harga rendah berbanding mata wang utama yang lain.

Unit tempatan itu menyusut berbanding pound Britain kepada 5.7277/7350 daripada 5.7063/7112, turun berbanding euro kepada 4.8706/8781 daripada 4.8646/8690 dan jatuh berbanding yen kepada 3.7405/7454 daripada 3.7387/7418.

Ringgit turut lega berbanding dolar Singapura kepada 3.0776/0816 daripada 3.0774/0803.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA EKONOMI NASIONAL

Kajian: Ekonomi Malaysia dijangka tumbuh 5.2-5.9 peratus pada 2021

KUALA LUMPUR, 15 FEB: Ekonomi Malaysia diunjur pulih pada tahun ini dengan pertumbuhan sekitar 5.2 peratus hingga 5.9 peratus, demikian menurut AmBank Research pada Isnin.

Dalam nota penyelidikannya, ia berkata ini didorong oleh peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan perdagangan global, langkah-langkah bantuan rangsangan, usaha membendung penularan Covid-19 serta pelaksanaan langkah pemvaksinan.

Jumlah pelaburan secara keseluruhannya juga diunjur meningkat dengan prospek sama turut dialami sektor-sektor utama dalam ekonomi, katanya.

“Oleh itu, peningkatan perbelanjaan modal dijangka berlaku pada tahun ini. Bagaimanapun, pertumbuhan bagi 2021 akan dijejaskan oleh peningkatan kes Covid-19 serta pelaksanaan langkah kawalan pergerakan pada Januari,” katanya.

Menurut AmBank Research, impak yang dapat dilihat pada suku pertama 2021 bagaimanapun kurang ketara berbanding kesan pelaksanaan kawalan pergerakan pada April 2020.

“Namun, kami masih bimbangkan keadaan perniagaan mikro, kecil dan sederhana. Atas alasan itu, KDNK tahun penuh 2021 dijangka sekitar 5.2 peratus hingga 5.9 peratus.”

AmBank Research berkata seperti dijangkakan, KDNK susut pada suku keempat 2020 — prestasi lebih rendah pada suku sebelumnya akibat peningkatan kes Covid-19 dan langkah kawalan bagi membendung penularannya.

Penguncupan KDNK suku keempat 2020 pada 3.4 peratus bagi tahun ke tahun sememangnya dalam jangkaan firma penyelidikan berkenaan iaitu sekitar -3.2 peratus dan -3.5 peratus berikutan semakan semula -2.6 peratus tahun ke tahun bagi suku ketiga 2020.

“Berikutan pertumbuhan negatif bagi tiga suku berturut-turut dengan (angka) terbesar pada suku kedua 2020 pada -17.1 peratus tahun ke tahun, KDNK bagi tahun penuh susut 5.6 peratus yang merupakan peningkatan daripada unjuran kami pada -5.5 peratus,” katanya.

Ini merupakan penguncupan terbesar pernah dicatatkan berbanding -7.4 peratus sewaktu krisis kewangan Asia pada 1998.

Selain itu, penurunan nominal KDNK sebanyak 6.3 peratus itu juga disebabkan oleh impak deflasi.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Prestasi eksport Malaysia mampu meningkat – Ambank

KUALA LUMPUR, 30 JUN: Prestasi eksport Malaysia mampu meningkat di masa depan didorong oleh pemulihan sederhana sektor semikonduktor pada masa sama, demikian menurut AmBank Research.

Dalam nota penyelidikan hari ini ia berkata pandangan optimis itu sebahagiannya menyusuli keputusan kerajaan untuk membenarkan lebih banyak industri menyambung semula operasi dengan ada di antaranya mencecah kapasiti penuh sejak 4 Mei lepas.

Ini jelas dipaparkan menerusi peningkatan Indeks Pengurus Pembelian Pembuatan (PMI) Malaysia pada Mei lepas yang menjadi petunjuk awal bahawa kelembapan ekonomi akibat pandemik Covid-19 berkemungkinan mulai reda.

PMI IHS Markit Malaysia meningkat kepada 45.6 pada Mei 2020 berbanding paras terendah pada 31.1 menerusi tinjauan pada April 2020.

Syarikat-syarikat di negara lain juga bertindak meningkatkan operasi perniagaan di tengah-tengah penularan pandemik tersebut.

Lebihan dagangan Malaysia meningkat semula pada Mei kepada RM10.4 bilion iaitu kenaikan sebanyak 14.7 peratus bagi tahun ke tahun, didorong oleh penyusutan ketara import berbanding eksport dan merupakan peningkatan besar berbanding defisit sebanyak RM3.4 bilion pada April.

Malah, lebihan dagangan pada Mei itu adalah angka bulanan tertinggi dicatatkan sejak Mei 2008 dan kali keempat bagi Malaysia merekodkan lebihan melebihi RM10 bilion tahun ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Ringgit dibuka rendah 4.2900/2970 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 29 JUN: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pagi ini dalam situasi berhati-hati dengan mata wang dolar kekal kukuh di celah-celah kebimbangan akan berlakunya gelombang kedua Covid-19.

Pada 9.08 pagi, ringgit disebut harga pada 4.2900/2970 berbanding dolar AS daripada 4.2890/2930 ketika ditutup pada Jumaat lepas.

Ambank Research dalam nota penyelidikannya berkata penurunan ringgit, yang baru-baru ini merosot 0.29 peratus kepada 4.291, sebahagiannya adalah disebabkan oleh semakan semula S&P Global Ratings ke atas tinjauan ekonomi Malaysia.

“Agensi pada Jumaat telah menaraf turun tinjauan ekonomi domestik Malaysia kepada negatif daripada stabil, sekali gus mencerminkan peningkatan risiko kemerosotan seterusnya dalam pengaturan fiskalnya yang berkaitan dengan pandemik Covid-19.

“Kami menjangka ringgit diniagakan antara paras sokongan 4.2730 dan 4.2811 sementara paras halangan pada 4.2943 dan 4.3014,” katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama yang lain kecuali euro.

Ia menokok berbanding dolar Singapura kepada 3.0788/0849 daripada 3.0827/0865, dan meningkat berbanding yen kepada 3.9985/0054 daripada 4.0114/0155 Jumaat lepas.

Mata wang tempatan juga tinggi berbanding pound Britain pada 5.2986/3085 daripada 5.3124/3190, tetapi susut berbanding euro kepada 4.8177/8268 daripada 4.8118/8167 sebelumnya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Kadar pengangguran boleh cecah enam peratus tahun ini – Ambank Research

KUALA LUMPUR, 16 JUN: Kadar pengangguran Malaysia boleh mencecah enam peratus atau lebih tinggi pada tahun ini, sekali gus mengatasi krisis kewangan Asia pada 1997 dan kemelesetan pada 2008 yang masing-masing mencatat 3.2 peratus dan 3.7 peratus, demikian menurut Ambank Group Research.

Menurut cabang penyelidikan Ambank Group itu, data pasaran buruh terbaharu menunjukkan keadaan pasaran kerja juga jauh lebih terjejas selepas kadar pengangguran pada April meningkat kepada lima peratus yang tertinggi sejak 1990, daripada 3.9 peratus pada Mac lepas.

Dalam nota penyelidikan hari ini, Ketua Ahli Ekonomi dan Penyelidikannya Dr Anthony Dass berkata langkah penutupan sebahagian besar operasi ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) juga mengurangkan pekerjaan dan menyukarkan mereka yang berusaha mencari kerja.

Berikutan itu, jumlah penganggur meningkat 48.8 peratus tahun ke tahun kepada 778,800 orang pada April manakala bilangan mereka yang tidak bekerja dalam empat bulan pertama tahun ini berjumlah 2.4 juta orang.

Memetik dapatan survei Jabatan Perangkaan, beliau berkata terdapat seramai 2.59 juta orang yang mengendalikan perniagaan sendiri pada April.

Menurutnya, mereka kebanyakannya adalah peniaga termasuk peniaga kecil (pasar tani/pasar malam/katering/gerai/ operator pelancongan dan lain-lain).

“Kumpulan ini terdedah kepada risiko pekerjaan serta kehilangan pendapatan berikutan PKP. Dapatan survei itu turut menunjukkan PKP itu menjejaskan seramai 4.87 juta pekerja yang tidak bekerja pada April 2020.

“Kelompok ini tidak dikategorikan sebagai tidak bekerja kerana mempunyai pekerjaan,” katanya.

Dass berkata tekanan terhadap jumlah pekerjaan terus kekal dan banyak bergantung ke atas kemampuan perniagaan untuk mengharungi persekitaran tidak dijangkakan serta tempoh mencabar.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Ringgit dibuka tinggi 4.2350/2410 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 11 JUN: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS pada awal dagangan hari ini, disokong oleh minat belian susulan pengumuman pihak Rizab Persekutuan AS (Fed) mengenai dasar monetari, kata peniaga.

Pada 9 pagi ini, ringgit disebut harga pada 4.2350/2410 berbanding dolar AS daripada paras 4.2485/2555 yang dicatatkan pada penutupan dagangan, semalam.

Dalam nota penyelidikannya, AmBank Reseach berkata dolar AS susut sebanyak 0.38 peratus yang menandakan penurunannya dalam masa tiga bulan selepas pihak Fed bertindak mengekalkan kadar faedahnya pada 0.25 peratus seperti dijangkakan.

“Pihak Fed juga berikrar untuk mengekalkan kadar tersebut pada paras semasa dan meneruskan program pembelian aset sehingga ekonomi pulih daripada impak penularan Covid-19,” katanya.

Pada masa sama, firma penyelidikan itu menjangkakan ringgit akan diniagakan pada paras sokongan antara 4.2237 hingga 4.2364 manakala paras rintangan pada 4.2706 hingga 4.2804.

“Tumpuan utama hari ini termasuk indeks harga pengeluar AS bagi Mei dan kadar pengangguran manala di Malaysia membabitkan indeks pengeluaran pembuatan untuk April,” katanya.

Pada pembukaan dagangan hari ini, ringgit kebanyakannya tinggi berbanding kelompok mata wang utama kecuali yen yang menyaksikannya susut kepada 3.9568/9636 daripada 3.9565/9641 pada Rabu.

Ringgit juga mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0631/0690 daripada 3.0662/0723 semalam, meningkat berbanding euro pada 4.8220/8305 daripada 4.8259/8342 dan tinggi berbanding pound Britain kepada 5.3935/4035 daripada 5.4177/4275.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ambank Research: Pasaran buruh akan mencabar tahun ini

KUALA LUMPUR, 10 FEB: Ambank Research menjangkakan pasaran buruh akan terus mencabar pada tahun ini, selepas disokong oleh prospek ekonomi yang agak sederhana walaupun kadar pengangguran pada tahun lepas disimpulkan pada kadar yang sihat sebanyak 3.3 peratus.

Kadar pengangguran dijangka naik antara 3.4 – 3.6 peratus pada tahun ini.

Firma penyelidikan itu dalam satu nota makluman berkata pasaran buruh kekal sihat dengan kadar pengangguran Disember berada pada 3.3 peratus, tinggi sedikit berbanding 3.2 peratus yang dicatatkan semasa November.

“Kenaikan ini adalah disebabkan oleh penurunan dalam aktiviti penciptaan pekerjaan, ia susut kepada 29,000 daripada 49,400 pada November dan kenaikan dalam pengambilan pekerja sebanyak 3,100 berbanding hanya 1,800 orang pada November.

“Tetapi kadar penyertaan tenaga buruh meningkat 68.9 peratus pada Disember, yang tertinggi sejak Oktober 2013, daripada 68.8 peratus yang dicatatkan pada November,” katanya.

Sementara itu, di luar tenaga buruh seperti suri rumah, pelajar, pesara dan mereka yang tidak aktif mencari pekerjaan, ianya menurun kepada 0.1 peratus dari tahun ke tahun pada Disember daripada 0.3 peratus dari tahun ke tahun pada November.

Firma penyelidikan itu juga meramalkan bahawa pada suku keempat 2019, pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar berlegar sekitar 4.3-4.5 peratus, mencerminkan pertumbuhan penuh tahun antara 4.5 dan 4.6 peratus, berdasarkan purata pengeluaran perindustrian sebanyak 1.3 peratus dalam suku keempat 2019 dari tahun ke tahun.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ambank Research unjur KDNK 2019 tumbuh sekitar 4.5 peratus

KUALA LUMPUR, 13 JAN: Ambank Research hari ini mengekalkan unjuran bahawa Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi tahun penuh 2019 akan berkembang sekitar 4.5 peratus.

Dalam satu nota penyelidikan hari ini, Ketua Pakar Ekonomi dan Penyelidik Kumpulan AmBank Dr Anthony Dass berkata purata pertumbuhan Indeks Pengeluaran Perindustrian bagi dua bulan pertama suku keempat 2019 (4Q2019) berada pada 1.2 peratus tahun ke tahun yang menunjukkan kemungkinan KDNK untuk tempoh berkenaan diunjurkan sekitar 4.5 peratus.

Menurutnya pada November lepas, indeks pengeluaran (IP) menokok sebanyak dua peratus tahun ke tahun dan melepasi konsensus pasaran pada satu peratus, didorong oleh peningkatan dicatatkan oleh pengeluaran perlombongan sebanyak 0.5 peratus tahun ke tahun daripada -5.6 peratus tahun ke tahun pada Oktober, didorong oleh pengeluaran pembuatan (+2.5 peratus tahun ke tahun) dan elektrik (+1.6 peratus tahun ke tahun).

Sementara itu, pengeluaran perlombongan untuk pertama kalinya merekodkan pertumbuhan selepas mengalami penguncupan selama empat bulan berturut-turut.

Pengeuaran gas asli jujga kembali meningkat sebanyak 3.7 peratus tahun ke tahun pada November daripada -6.3 peratus pada Oktober.

“Bagi tempoh 2020, KDNK diunjurkan berkembang sekitar 4.6 peratus didorong oleh penggunaan swasta, pembentukan modal tetap kasar daripada pengembangan sederhana Belanjawan 2020 serta sumbangan eksport,” katanya.

– BERNAMA