Categories
AGENDA NASIONAL

Agong zahir penghargaan Amerika Syarikat sumbang sejuta vaksin Pfizer

KUALA LUMPUR, 6 JULAI: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan penghargaan kepada Amerika Syarikat (AS) atas sumbangan 1 juta dos vaksin Pfizer bagi meningkatkan keupayaan proses vaksinasi di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin menerusi laman rasmi Facebook Istana Negara hari ini turut menyampaikan ucapan terima kasih Al-Sultan Abdullah kepada Duta Besar Amerika Syarikat di Malaysia, Brian McFeeters atas sumbangan itu.

“Sumbangan ini jelas membuktikan persahabatan dan hubungan baik yang terjalin sejak sekian lama antara kerajaan dan rakyat kedua-dua negara.

“Semoga sumbangan bekalan vaksin ini membantu negara memerangi pandemik Covid-19 dan memperhebatkan lagi PICK,” titah baginda menerusi laman sosial itu hari ini.

Selain itu, Seri Paduka turut menzahirkan penghargaan kepada Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Sains, Tenologi dan Inovasi merangkap Menteri Penyelaras PICK Khairy Jamaluddin dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba atas pelaksanaan kerjasama antara Malaysia dan AS dalam menjayakan sumbangan bekalan vaksin itu.

Pada masa sama, Al-Sultan Abdullah turut menyeru rakyat di negara ini supaya bersama-sama berdoa agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi daripada sebarang musibah dan pandemik Covid-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera.

Semalam, sebanyak 1 juta dos vaksin jenis Pfizer BioNTech sumbangan AS tiba di Lapangan terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada pukul 8.10 pagi menerusi penerbangan Raya Airways, sehari selepas negara itu menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-245 tahun.

Sumbangan itu adalah sebahagian daripada 80 juta dos dijanjikan oleh Presiden AS Joe Biden kepada negara-negara maju dan membangun.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Kontena dari Amerika Syarikat bukan bawa sisa plastik berbahaya

PUTRAJAYA, 30 MAC: Dua buah kontena yang tiba di Pelabuhan Klang pada 27 Mac (Sabtu lepas) dari Amerika Syarikat mengandungi barang dagangan sisa plastik jenis polietilena yang bersih, kata Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

“Sisa plastik tersebut adalah bersih, homogenous dan memenuhi kriteria seperti mana yang disyaratkan dalam lesen import sisa plastik (Approved Permit, AP) kepada pengimport,” katanya serta menambah perkara itu disahkan oleh Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN).

Beliau berkata pemeriksaan terhadap kontena berkenaan dilakukan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia, JPSPN, Lembaga Pelabuhan Klang, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan Westport Malaysia Sdn Bhd.

Tuan Ibrahim berkata selaku Competent Authority (pihak bertanggungjawab) terhadap Konvensyen Basel, JAS mengesahkan sisa plastik tersebut mematuhi kriteria B3011 Konvensyen Basel.

“Pengimportan sisa plastik B3011 ini tidak memerlukan tatacara Prior Inform Consent (PIC) dan notifikasi daripada negara pengeksport,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semakan JAS ke atas premis pengimport juga mendapati premis mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan menjalankan aktiviti kitar semula sisa plastik secara Environmental Sound Manner (ESM), katanya.

Pada 20 Mac lepas, Tuan Ibrahim dilaporkan berkata kontena dari Los Angeles akan ditahan apabila tiba di Pelabuhan Klang susulan maklumat yang diterima JAS daripada Sahabat Alam Malaysia pada 12 Mac lepas berhubung kontena dari Amerika Syarikat yang disyaki mengandungi sisa plastik.

Tuan Ibrahim berkata kerajaan amat menghargai sebarang maklumat awal yang disalurkan oleh mana-mana pihak dalam mendepani cabaran siasatan dan penguatkuasaan pergerakan sisa plastik merentas sempadan ke Malaysia.

“Sebarang cubaan untuk mengimport sebarang sisa ke Malaysia sebagaimana yang diperuntukkan dalam Seksyen 43, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 akan berdepan dengan tindakan tegas jika mereka gagal mematuhi perundangan dan prosedur pengimportan yang telah ditetapkan oleh Malaysia,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Korban Covid-19 di AS kini lepasi 250,000

NEW YORK, 19 NOV: Korban Covid-19 di Amerika Syarikat (AS) kini melepasi 250,029 orang pada Rabu dengan jumlah kes mencecah 11.4 juta, menurut Johns Hopkins University lapor Agensi Berita Xinhua.

New York melaporkan 34,173 kematian, kekal negeri paling banyak mencatatkan angka korban diikuti Texas 20,147 manakala California, Florida dan New Jersey masing-masing mengesahkan lebih 16,000 kematian.

Di Illinois, Massachusetts, Pennsylvania dan Georgia pula virus maut itu sudah meragut lebih 9,000 nyawa.

AS kekal negara paling teruk diancam dengan korban dan kes paling tinggi di dunia, menyumbang lebih 18 peratus jumlah kematian global.

Sebuah institut kesihatan di Universiti Washington meramalkan seramai 438,941 rakyat Amerika mungkin maut akibat Covid-19 menjelang 1 Mac 2021.

Pada Rabu, Datuk Bandar New York Bill de Blasio memutuskan untuk menutup sekolah kerajaan apabila bandar raya itu mencecah tiga peratus kadar kes positif dalam tempoh tujuh hari.

Pakar turut memberi amaran perjumpaan keluarga semasa percutian sempena perayaan Thanksgiving boleh menyebabkan gelombang baharu jangkitan.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Ringgit diniaga jajaran kecil minggu depan, didorong sentimen global

KUALA LUMPUR, 17 OKT: Ringgit dijangka diniagakan dalam jajaran kecil berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan dengan kecenderungan meningkat, didorong oleh perkembangan luaran, kata peniaga.

Penganalisis Pasaran FXTM, Han Tan berkata sebarang hasil positif yang mengejutkan dalam rundingan berkaitan pusingan baharu rangsangan fiskal AS akan memacu minat risiko.

Beliau berkata bagaimanapun senario seperti itu tidak mungkin berlaku buat masa ini memandangkan pilihan raya AS hanya dua minggu lagi.

“Pasaran akan menumpukan debat di antara Presiden Donald Trump dengan pencabarnya daripada pihak Demokrat, Joe Biden tidak lama lagi, terutama jika debat itu sekali lagi gagal seperti sebelum ini.

“Namun, kenyataan mengejutkan semasa debat tersebut boleh menjejaskan pasaran, walaupun pasaran telah sedia menjangkakan keputusan berpotensi bagi pilihan raya itu,” katanya kepada Bernama.

Han berkata pengumuman data China pada Isnin juga dapat menentukan keadaan bagi pasaran Asia awal minggu depan.

Beliau berkata kejutan positif daripada data Keluaran Dalam Negara Kasar, pengeluaran perindustarian dan penjualan runcit suku ketiga dalam ekonomi kedua terbesar dunia itu boleh diterjemahkan kepada peningkatan mata wang serantau.

Sementara itu, pasangan ringgit/dolar AS yang menunjukkan prestasi stabil pada minggu yang baru berakhir, tidak banyak tersasar daripada julat 4.14 hingga 4.15, dengan pasangan mata wang ini menjadi antara yang paling stabil dalam kompleks dolar/Asia dalam beberapa minggu kebelakangan ini, katanya.

Di peringkat tempatan, Indeks Harga Pengguna Malaysia bagi September, yang dijadual diumumkan pada Rabu, dijangka pada minus 1.3 peratus, yang menandakan penguncupan bagi bulan ketujuh berturut-turut.

“Trend itu boleh memungkinkan Bank Negara Malaysia mengurangkan kadar faedah sekali lagi pada awal November,” katanya.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, ringgit turun berbanding dolar AS kepada 4.1470/1520 daripada 4.1320/1400 pada minggu lepas.

Ringgit rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.0517/0556 daripada 3.0474/0542 pada Jumaat minggu lepas, dan lemah berbanding yen kepada 3.9409/9460 daripada 3.9014/9101.

Unit tempatan susut berbanding pound Britain kepada 5.3654/3735 daripada 5.3456/3576 minggu lepas dan meningkat berbanding euro kepada 4.8553/8628 daripada 4.8741/8840.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL JENAYAH

AS mohon ekstradisi dua rakyat Malaysia disyaki penggodam siber

KUALA LUMPUR, 18 SEPT: Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) memohon dua rakyat Malaysia diekstradisi ke negara itu kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram dan jenayah komputer (siber) di AS.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata kedua-dua suspek berkenaan, seorang ahli perniagaan berusia 40-an dan juruanalisa komputer berusia 30-an kini direman di Penjara Sungai Buloh.

“Kedua-dua suspek ditahan di sekitar Perak pada 8.45 pagi 14 September lepas oleh sepasukan anggota polis Bahagian D12 National Central Bureau (NCB) /Interpol, Bahagian D14 Jenayah Terancang, Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Siasatan Komersial Bukit Aman,” katanya dalam kenyataan di sini, malam tadi.

Menurut Huzir, kedua-dua suspek didapati menjalankan perniagaan penjualan artifak permainan seperti kit dan urusan kredit secara tidak sah di AS.

“Pihak berkuasa Amerika Syarikat telah menghantar permohonan ekstradisi pada 3 September lepas terhadap kedua-dua suspek dan Jabatan Peguam Negara telah bersetuju untuk melaksanakan permohonan itu,” katanya.

Huzir berkata permohonan ekstradisi berkenaan selaras dengan peruntukan di bawah Akta Ekstradisi 1992 serta perjanjian ekstradisi antara kerajaan Malaysia dengan kerajaan Amerika Syarikat.

Beliau berkata pada 11 September lepas, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur telah mengeluarkan waran pemberkasan sementara (provisional warrant of arrest) ke atas kedua-dua suspek.

“Permohonan reman dibenarkan oleh Mahkamah Majistret selama 60 hari di bawah Seksyen 16(1) Akta Ekstradisi 1992 serta Artikel 11(4) perjanjian ekstradisi antara kerajaan Malaysia dan kerajaan Amerika Syarikat,” katanya.

Huzir berkata pihak forensik juga membuat rampasan terhadap bahan bukti dan dokumen berkaitan di syarikat milik mereka di Perak.

Kelmarin, agensi media asing melaporkan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat mendakwa lima rakyat China dan dua rakyat Malaysia kerana disyaki menjalankan operasi menggodam global, mencuri identiti dan teknologi permainan video di AS dan luar negara.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA GLOBAL

Korban Covid-19 global lepasi 900,000, jumlah kes 27.6 juta

NEW YORK, 10 SEPT: Korban Covid-19 global pada Rabu sudah melepasi 900,000 orang, lapor agensi berita Xinhua.

Jumlah korban kini mencecah 900,079 manakala terdapat lebih 27.6 juta kes di seluruh dunia, menurut data Johns Hopkins University.

Amerika Syarikat kekal negara paling teruk diancam dengan 6,356,310 kes dan 190,649 kematian, menyumbang kepada lebih 20 peratus daripada jumlah keseluruhan kematian global.

Brazil mencatatkan jumlah kematian kedua tertinggi di dunia, sebanyak 127,464 diikuti India dengan 73,890 korban.

India baru-baru ini mengatasi Brazil sebagai negara yang merekodkan jumlah kes kedua tertinggi di dunia, melebihi 4.3 juta.

Negara yang mencatatkan lebih 30,000 kematian termasuk Mexico, Britain, Itali, Perancis dan Peru.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Hampir 480,000 kanak-kanak di AS dijangkiti Covid-19

WASHINGTON, 2 SEPT: Hampir 480,000 kes Covid-19 melibatkan kanak-kanak dilaporkan di Amerika Syarikat (AS) sejak wabak itu mula menular, menurut laporan terkini Akademi Pediatrik dan Persatuan Hospital Kanak-kanak Amerika, lapor agensi berita Xinhua.

Biarpun kanak-kanak hanya mewakili 9.5 peratus daripada semua kes yang dilaporkan di negara berkenaan, sejumlah 476,439 kanak-kanak diuji positif Covid-19, memetik laporan yang diterbitkan pada Isnin itu.

Kadar keseluruhan ialah 631 kes untuk setiap 100,000 kanak-kanak.

Sebanyak 70,330 kes baharu membabitkan kanak-kanak dilaporkan dari 13 hingga 27 Ogos, peningkatan 17 peratus untuk tempoh dua minggu.

Antara 0.6 hingga 4.1 peratus kanak dimasukkan ke hospital dan 0 hingga 0.3 peratus daripada jumlah semua kematian akibat Covid-19.

“Buat masa sekarang nampaknya penyakit yang disebabkan Covid-19 jarang berlaku dalam kalangan kanak-kanak.

“Bagaimanapun, laporan terperinci mengenai kes Covid-19 perlu terus dibuat untuk membolehkan jangkitan membabitkan kanak-kanak dapat dipantau,” kata laporan itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Lebih 500 banduan di penjara AS didapati positif Covid-19

LOS ANGELES, 6 OGOS: Lebih 500 banduan – hampir separuh daripada penghuni – sebuah penjara di Arizona, Amerika Syarikat (AS) diuji positif Covid-19, lapor agensi berita Xinhua, memetik pegawai penjara.

Menurut Jabatan Pemulihan Arizona, 517 banduan di penjara ASPC-Tucson Whetstone dijangkiti virus itu, mereka kini sedang menerima rawatan dan diasingkan di tempat lain.

“Mereka tidak akan dibenarkan kembali ke penjara sehingga benar-benar disahkan sembuh,” kata jabatan itu dalam satu kenyataan.

Jumlah kes Covid-19 di AS melebihi 4.8 juta iaitu 4,802,275 pada Rabu, menurut Johns Hopkins University.

Daripada jumlah kes jangkitan di Arizona, tujuh kematian dilaporkan di penjara di negara itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

AS dahului kematian Covid-19, lebih 650,000 maut seluruh dunia

NEW YORK, 28 JULAI: Angka korban Covid-19 di seluruh dunia kini mencecah 650,029 pada 2:00 (1800 GMT), Isnin, menurut data Johns Hopkins University.

Sementara itu, jumlah kes jangkitan pula meningkat kepada 16,330,977, lapor agensi berita Xinhua.

Amerika Syarikat melaporkan kes dan kematian paling ramai, masing-masing berjumlah 4,262,674 dan 147,143. Brazil, Britain, Mexico, Itali, Perancis, Sepanyol, dan India pula mencatatkan jumlah kematian melebihi 20,000.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Amerika Syarikat sah tarik diri daripada WHO

NEW YORK, 8 JULAI: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa mengesahkan Amerika Syarikat (AS) sudah memaklumkan negara itu menarik diri daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lapor agensi berita Xinhua.

Perkara itu dimaklumkan kepada Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres pada Isnin.

“Sebagai jawapan kepada pertanyaan, saya mengatakan pada 6 Julai 2020, AS sudah memaklumkan kepada setiausaha agung, negara itu menarik diri daripada WHO berkuat kuasa pada 6 Julai 2021,” kata jurucakap Setiausaha Agung PBB, Stephane Dujarric.

“AS adalah anggota WHO sejak 21 Jun 1948. Penyertaan AS itu diterima Majlis Kesihatan Sedunia dengan syarat-syarat tertentu ditetapkan AS, yang akhirnya menarik diri. Syarat itu termasuk memberi notis setahun dan memenuhi sepenuhnya bayaran kewangan yang wajib,” kata jurucakap itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Amerika Syarikat catat sejuta kes, korban 58,365

WASHINGTON 29 APRIL: Sebanyak sejuta kes Covid-19 dicatatkan di Amerika Syarikat pada Selasa, ketika negara itu mahu mengambil langkah menjalani kehidupan seperti biasa dengan membuka semula ekonominya.

AS yang mana berjuta-juta rakyatnya sudah hilang pekerjaan hilang, kini mencapai tahap mengerikan apabila mencatatkan 58,365 kematian, kehilangan nyawa yang lebih besar daripada yang dicatatkan oleh tentera AS dalam Perang Vietnam.

Di sebalik kegembiraan ke atas kelonggaran berperingkat yang akan diambil, wujud kebimbangan mengenai peningkatan kes baharu selain kemelesetan ekonomi akibat wabak Covid-19, lapor AFP.

Peningkatan jumlah keseluruhan 1,010,77 kes Covid-19 dianggap bencana kesihatan awam di AS yang boleh mengancam peluang pemilihan Presiden Donald Trump.

Tetapi beberapa negara di Eropah pula dilaporkan berlaku penurunan jumlah jangkitan, dan pemerintah setiap negara terbabit mulai membuat perancangan untuk menarik semula penutupan ekonomi.

Di Perancis, pada Selasa berkata, kedai, pasar dan ada sekolah akan dibuka semula bulan depan, dengan arahan mewajibkan pemakaian topeng muka di pengangkutan awam manakala arahan kerja daripada rumah akan dikekalkan bagi beberapa minggu lagi.

Perdana Menteri, Edouard Phillipe bagaimanapun mengakui usaha mengembalikan semula kehidupan normal secara bertahap adalah ‘berisiko’

Sepanyol pula menjelaskan, sekatan akan ditarik balik secara perlahan dalam tempoh dua bulan lagi, manakala Itali akan membenarkan aktiviti rekreasi luar rumah dan menziarahi saudara mara minggu hadapan, dengan syarat memakai topeng muka dan tidak dibenarkan bersalam dan berpelukan.

Itali, Sepanyol dan Perancis adalah tiga negara di Eropah yang terjejas teruk dengan wabak Covid-19 apabila setiap negara merekodkan lebih 23,000 kematian.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA GLOBAL

Covid-19: Korban di Amerika Syarikat lebih 20,000

NEW YORK 12 APRIL: Korban Covid-19 di Amerika Syarikat (AS) melepasi angka mengerikan 20,000 semalam apabila pandemik itu meragut sekurang-kurang 20,071 nyawa.

Negara itu kini paling terkesan di dunia daripada kedua-dua segi jumlah kematian dan kes jangkitan disahkan, lapor AFP.

Jangkitan virus itu di AS mencecah sekurang-kurang 519,453 kes, menurut satu penjumlahan oleh Universiti Johns Hopkins yang berpangkalan di Baltimore.

Itali yang muncul negara paling terjejas di Eropah dengan populasi berjumlah satu per lima daripada AS, turut menghampiri angka menggerunkan apabila mencatat 19,468 kematian, setakat ini.

Sepanyol mencatatkan 510 kematian baharu, semalam, sekali gus menyaksikan penurunan angka selama tiga hari berturut-turut.

Perancis melaporkan 635 kematian baharu, semalam, juga menurun sebanyak satu per tiga berbanding kelmarin.

Angka harian kematian di Itali juga mulai menurun, namun kerajaan menolak desakan untuk menarik balik perintah berkurung, malah melanjutkan tempoh pelaksanaannya hingga 3 Mei depan.