Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Jumlah di AS terus meningkat melebihi 100,000 kes

WASHINGTON, 28 MAC: Jumlah jangkitan Covid-19 di Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat kini melebihi 100,000 kes, lapor agensi berita Anadolu.

Data yang dikumpul Universiti Johns Hopkins mendedahkan 100,717 jangkitan disahkan di seluruh negara, termasuk 1,544 kematian manakala 860 pesakit sembuh.

AS pada Khamis mengatasi Itali (86,498 kes) dan China (81,897 kes) , muncul negara paling ramai dijangkiti virus maut itu.

Di seluruh dunia, terdapat 590,594 kes disahkan dan kira-kira 27,000 kematian. Dianggarkan 130,000 yang lain pulih.

Presiden Donald Trump sebelum ini menandatangani pakej rangsangan bernilai US$2.2 trilion untuk membantu negara berdepan kesan ekonomi.

Bandar raya New York, pusat kewangan AS menjadi pusat wabak menyaksikan 366 kematian.

Diikuti Washington dengan 109 kematian dan New Jersey 82 korban.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Trump isytihar darurat seluruh Amerika Syarikat

WASHINGTON 14 MAC: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengisytiharkan darurat di seluruh Amerika Syarikat (AS) susulan penyebaran Covid-19, sekali gus membuka ruang untuk bantuan berskala besar di peringkat persekutuan.

Keadaan ini memaksa penutupan sekolah dan premis perniagaan, pelaksanaan langkah drastik oleh pihak kerajaan, penangguhan acara sukan global dan larangan lebih ketat ke atas setiap individu.

“Untuk membolehkan kerajaan persekutuan memperoleh kuasa penuh, saya dengan ini mengumumkan darurat nasional, dua perkataan yang membawa makna sangat besar,” kata Trump dalam ucapannya di Rumah Putih, lapor Reuters.

Langkah terbaharu itu dibuat dua hari selepas Trump mengumumkan larangan perjalanan dan menyekat semua pintu masuk ke AS ke atas sebahagian besar penduduk dari benua Eropah.

Walaupun setakat ini Britain dikecualikan dari larangan itu, beliau berkata keputusan berkenaan mungkin diubah selepas mengambil kira jumlah jangkitan Covid-19 yang semakin meningkat di negara terbabit.

Jumlah kematian akibat Covid-19 meningkat kepada 46, setakat Jumaat selepas enam lagi kematian dilaporkan di Washington.

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Tiga lagi anggota kongres AS jalani kuarantin

WASHINGTON, 10 MAC: Anggota Kongres Matt Gaetz, Doug Collins dan Julia Brownley mengkuarantin diri mereka selepas berhubung dengan individu yang disahkan dijangkiti virus Covid-19, lapor agensi berita Anadolu.

Individu itu dijangkiti virus Covid-19 selepas menyertai satu persidangan yang turut dihadiri ketiga-tiga anggota Kongres berkenaan.

Collins dan Gaetz, kedua-duanya mengatakan mereka berada dalam keadaan sihat dan tidak menunjukkan sebarang gejala, namun akan menjalani kuarantin selama 14 hari.

Gaetz telah menjalani ujian untuk mengesan virus itu, keputusan dijangka diperoleh dalam waktu terdekat.

Brownley dimaklumkan mengenai perkara itu pada Ahad, selepas berunding dengan pakar, risiko beliau dan kakitangannya dijangkiti Covid-19 sangat rendah.

“Bagaimanapun, saya memutuskan untuk menutup pejabat di DC pada minggu ini,” katanya.

Beliau berkata setakat ini beliau dan kakitangannya tidak menunjukkan gejala.

Sebelum ini pada Ahad, Senator Ted Cruz dan anggota Kongres Paul Gosar turut mengkuarantin diri mereka.

-BERNAMA

Categories
GLOBAL

Wabak koronavirus: AS mula saringan di tiga lapangan terbang

WASHINGTON 18 JAN: Amerika Syarikat (AS) memulakan saringan di tiga lapangan terbangnya untuk mengesan pengembara dari Wuhan, China, yang mungkin mengalami simptom wabak koronavirus baharu.

Menurut Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit (CDC), saringan itu dilaksanakan di lapangan terbang San Francisco, New York dan Los Angeles dengan memfokus mereka yang datang dari Wuhan, lapor REUTERS

Setakat ini, virus itu sudah menular dari China ke Jepun serta Thailand, dan pegawai CDC menjangkakan lebih banyak kes dilaporkan di luar China, namun risiko terhadap AS dianggap rendah.

Pengarah Bahagian Kuarantin dan Migrasi Global CDC, Dr Martin Cetron, berkata CDC akan menghantar kira-kira 100 kakitangan tambahan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles, Lapangan Terbang Antarangsa San Francisco dan Lapangan Terbang Antarabangsa John F Kennedy di New York.

Bawah prosedur saringan terbabit, pengembara dari Wuhan akan dibawa ke tempat berasingan di lapangan terbang di mana mereka perlu menjawab soal selidik dan menjalani pemeriksaan demam.

Mereka yang mempunyai simptom akan ditanya soalan tambahan berkaitan dan jika perlu, dirujuk ke fasiliti kesihatan untuk pemeriksaan lanjut.

Menurut CDC, pihaknya mungkin menyesuaikan prosedur saringan selaras dengan pelaksanaan siasatan terhadap wabak itu.

Categories
AGENDA GLOBAL

Iran bedil 12 roket ke markas udara AS di Iraq

WASHINGTON 8 JAN: Iran melepaskan sekurang-kurangnya 12 roket ke pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) dan tentera bersekutunya di Ain al-Asad dan Irbil, di Iraq, hari ini.

Timbalan Setiausaha Pertahanan dan Hal Ehwal Awam Amerika Syarikat (AS), Jonathan Hoffman, dalam satu kenyataan berkata serangan itu menyasarkan dua markas yang menempatkan tentera AS dan pasukan bersekutu di Iraq.

“Kira-kira jam 5.30 petang (2230 GMT), Iran menembak berdozen misil balistik ke markas tentera AS dan tentera sekutu di Iraq,” katanya.

Setakat ini belum ada laporan mengenai mereka yang maut susulan serangan roket itu.

Agensi berita Iran, Mehr pula melaporkan serangan itu dilakukan IRGC berikutan kematian komander tertinggi IRGC, Qasem Soleimani, dalam serangan dron AS Jumaat lalu.

Timbalan ketua rangkaian tentera Hashed al-Shaab Iraq, Abu Mahdi al-Muhandis, yang dianggap ketua pasukan tentera bertindak sebagai proksi Iran di wilayah terbabit, turut terbunuh dalam serangan itu.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, sedang memantau laporan serangan roket terhadap lapangan terbang di barat Iraq, yang menempatkan tentera AS dan tentera bersekutu.

Jurucakap Rumah Putih, Stephanie Grisham, berkata pihaknya maklum mengenai serangan itu dan Presiden sudah diberi taklimat.

“Presiden bersama pasukan keselamatan kebangsaan sedang memantau rapat perkembangan di sana,” katanya dalam satu kenyataan.

SUMBER: Agensi

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PM: Pendirian AS ke atas penempatan Israel tidak masuk akal

KUALA LUMPUR, 20 NOV: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata perubahan pendirian Amerika Syarikat (AS) terhadap penempatan Israel ke atas wilayah Palestin yang diduduki adalah tidak masuk akal kerana ia bagaikan mengizinkan rampasan tanah oleh sesebuah negara jiran.

Mengulas laporan yang memetik Setiausaha Negara AS Mike Pompeo yang mengumumkan pentadbiran Presiden Donald Trump tidak menganggap penempatan Israel di Tebing Barat sebagai haram, Dr Mahathir berkata ia satu tanggapan yang secara terang-terangan tidak mengendahkan undang-undang antarabangsa dan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.  

“Kita tidak lagi selamat. Jika sesebuah negara mahu masuk ke negara kita dan membina penempatan mereka, itu adalah sah di sisi undang-undang.  Kita tidak boleh buat apa-apa,” katanya yang dipetik daripada kenyataan akhbar Pejabat Perdana Menteri, malam tadi.

Dr Mahathir juga melahirkan perasaan bimbang kerana  pengumuman yang dibuat pentadbiran Trump itu akan menggalakkan lagi kekejaman pasukan tentera Israel yang kini sedang ghairah melakukan pembunuhan kejam dan serangan ganas ke atas Gaza dengan laporan-laporan yang mendedahkan kanak-kanak antara yang terkorban.   

“Anda mengumumkan bahawa penempatan haram mereka adalah sah semasa mereka sedang melakukan serangan ke atas Gaza tanpa alasan … tidakkah ia bagai menggalakkan mereka untuk terus membunuh kanak-kanak dan orang awam dan mereka tidak akan dihukum.   

“Sebaliknya mereka akan mendapat ganjaran dengan mendirikan penempatan di atas tanah orang yang mereka bunuh,” kata perdana menteri. 

Langkah pentadbiran Trump itu menimbulkan kemarahan antarabangsa kerana perubahan pendirian AS itu melencong daripada ketetapan pentadbiran AS pada 1978 bahawa kewujudan penempatan itu tidak selari dengan undang-undang antarabangsa. 

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Perang dagangan China-AS tidak jejas Malaysia

KUANTAN, 13 OKT: Perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang berlanjutan sehingga kini tidak menjejaskan hubungan dagangan Malaysia dengan China yang merupakan kuasa besar ekonomi di Asia.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, Malaysia tidak mempunyai masalah dengan kedua-dua negara besar dunia itu dan sejak dahulu negara berpendirian untuk berkecuali daripada kemelut tersebut.

“Kita tidak bergaduh dengan sesiapa dan kita berkawan baik dengan China mahupun AS…walaupun kedua-dua negara berhadapan perang dagangan, kita tetap mahu meningkatkan perdagangan dengan China.

“… daripada segi perdagangan, China juga merupakan rakan perdagangan nombor satu Malaysia… malah dalam beberapa perkara China memberi kerjasama yang amat baik kepada kita,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Foto 45 Tahun Kegemilangan Malaysia-China di TMG Mall Bandar Indera Mahkota, di sini, hari ini.

Sebagai contoh, Saifuddin, yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota, berkata China telah bersetuju untuk mengadakan rundingan semula berhubung kos Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sehingga mencapai persetujuan yang baik kepada Malaysia.

Selain itu, China juga memenuhi permintaan Malaysia untuk membeli minyak kelapa sawit dengan lebih banyak apabila negara Eropah melancarkan kempen memboikot produk tersebut, katanya.

Pada perkembangan lain, Saifuddin berkata Wisma Putra sentiasa memantau perkembangan rusuhan di Hong Kong dan meminta rakyat Malaysia yang bekerja atau melancong ke sana supaya berhati-hati.

“Kita sudah mengenal pasti kawasan yang berlaku rusuhan dan rakyat diminta agar mengelakkan diri ke sana,” katanya.

Beliau juga menasihatkan rakyat Malaysia yang berada dan ingin ke Jepun, untuk mengikuti nasihat perjalanan yang dikeluarkan berkaitan taufan Hagibis yang melanda Tokyo, awal hari ini.

Mengikut laporan media, seramai 10 orang maut manakala 16 lagi dilaporkan masih hilang selepas bandar raya itu dibadai taufan paling kuat dalam tempoh beberapa dekad serta melumpuhkan sebahagian besar bandar raya berkenaan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Sekatan Jepun boleh jejas rantaian bekalan global

SEOUL, 24 JUL: Langkah Jepun mengenakan sekatan eksport ke atas Korea Selatan dan merancang memperluas sekatan itu, boleh menjejaskan rantaian bekalan global dan pada jangka panjang akan memberi kesan buruk kepada sektor perkilangan dunia, lapor agensi berita Yonhap memetik Persatuan Perdagangan Amerika Syarikat (AS), hari ini.

Dalam sepucuk surat yang diutus kepada Menteri Perdagangan Korea Selatan, Yoo Myung Hee dan rakan sejawatannya dari Jepun Hiroshige Seko, Persatuan Industri Semikonduktor bersama persatuan lain menggesa kedua-dua negara segera mencari resolusi ke atas masalah itu.

“Industri pembuatan serta Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) bergantung kepada rantaian bekalan global yang bersepadu,” kata persatuan terbabit dalam satu kenyataan bersama.

Surat itu antara lain mengatakan perubahan itu tidak telus dan sepihak dalam dasar kawalan eksport, boleh menyebabkan gangguan rangkaian bekalan, kelewatan penghantaran dan akhirnya dalam jangka panjang mengakibatkan kerugian kepada syarikat dalam dan di luar sempadan serta pekerja yang berkhidmat dengan mereka.

Persatuan perdagangan AS mengesa Tokyo agar tidak membuat sebarang “tindakan yang boleh meningkatkan ketegangan untuk mengelakkan kerosakan jangka panjang terhadap industri ICT dan pembuatan global.”

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Jepun mengenakan sekatan ke atas eksport tiga bahan utama yang digunakan syarikat cip Korea Selatan.

Jepun juga merancang dalam beberapa minggu akan datang, negara itu akan memperluaskan sekatannya dengan mengeluarkan Korea Selatan dari senarai putih pengimport.

Sementara itu, Yoo yang berada di Washington untuk bertemu pegawai AS mengatakan sekatan Tokyo akan mengganggu rantaian penawaran global dan memberi kesan negatif terhadap perusahaan AS.

Kerajaan Korea Selatan hari ini membantah kedua-dua langkah itu, mendesak Jepun menarik balik sekatan terhadap negara kuasa ekonomi keempat terbesar di Asia.

– BERNAMA

Categories
GLOBAL

Pelan damai AS sekadar “menjual ilusi” – Presiden Palestin

RAMALLAH, 28 MEI: Presiden Palestin, Mahmoud Abbas menyifatkan pelan damai “perjanjian abad ini” yang dicadangkan Amerika Syarikat (AS) dan bengkel ekonomi di Bahrain pada bulan depan, sekadar “menjual ilusi”, lapor agensi berita Xinhua.

“Mereka menjual ilusi dan ia tidak akan membawa kita ke mana-mana, kita tidak memerlukan bantuan mereka kerana rakyat Palestin mampu membina negara sendiri,” kata Abbas pada satu majlis di Ramallah.

Kenyataan itu merujuk kepada persidangan ekonomi anjuran AS yang akan diadakan di Manama, Bahrain pada 25 Jun.

“Siapa yang mahu menyelesaikan isu Palestin mesti menerusi politik,” katanya.

“Langkah demi langkah kita sedang ke arah mewujudkan negara Palestin yang bebas dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara,” kata presiden Palestin itu.

Hubungan antara kepemimpinan Palestin dan AS terputus selepas Presiden Donald Trump mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel pada Disember 2017.

Pada Mei 2018, Washington memindahkan Kedutaan AS di Israel ke Baitulmaqdis.

– BERNAMA

Categories
GLOBAL

AS sentiasa terbuka berunding dengan Korea Utara

WASHINGTON/SEOUL, 25 MEI: Amerika Syarikat (AS) sentiasa terbuka untuk berunding, meskipun Korea Utara menggesa satu “kaedah baharu” diwujudkan bagi memecahkan kebuntuan mengenai isu nuklear, lapor agensi berita Yonhap.

Kenyataan Jabatan Negara AS itu sebagai mengulas pendirian Pyongyang bahawa perbincangan tidak akan diteruskan kecuali Washington mengemukakan kaedah baharu.

Jabatan Negara AS berkata, pentadbiran presidennya, Donald Trump berpegang kepada perjanjian yang disepakati ketika rundingan di Singapura, mewujudkan keamanan berkekalan dan Semenanjung Korea yang bebas nuklear.

Perbincangan nuklear antara Washington dan Pyongyang menemui jalan buntu sejak sidang kemuncak kedua di Hanoi berakhir tanpa perjanjian.

-BERNAMA

Categories
GLOBAL

Trump temu Moon dalam sidang kemuncak di Korea Selatan pada Jun

WASHINGTON, 16 MEI: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump akan melawat Korea Selatan bulan depan untuk mengadakan sidang kemuncak dengan Presiden Moon Jae-in, antara lain untuk membincangkan mengenai isu Korea Utara dan hubungan dua hala.

Menurut agensi berita Yonhap, memetik pengumuman kerajaan Korea Selatan dan AS, kunjungan Trump itu juga bersempena lawatannya ke Jepun bagi menghadiri sidang kemuncak G20 yang dijadual pada 28 hingga 29 Jun.

Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan kaedah untuk mewujudkan rejim damai yang kekal di Semenanjung Korea serta mengukuhkan hubungan dua hala, menurut jurucakap pejabat presiden Korea Selatan, Ko Min Jung.

Sementara itu, setiausaha akhbar Rumah Putih, Sarah Sanders dalam satu kenyataan berkata, kedua-dua pemimpin akan meneruskan perbincangan mengenai usaha mewujudkan Korea yang bebas senjata nuklear.

Kali terakhir Trump ke Korea Selatan pada November 2017 di tengah-tengah ketegangan dengan Korea Utara.

Tahun lepas juga menyaksikan tiga sidang kemuncak diadakan antara Moon dengan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un serta pertemuan bersejarah antara Trump dan Kim.

Sidang kemuncak pertama Trump dan Kim berlangsung di Singapura pada Jun 2018, disusuli sidang kemuncak kedua di Vietnam pada Februari lalu yang berakhir tanpa sebarang kata sepakat.

Ketegangan terbaru tercetus selepas Korea Utara melancarkan satu siri projektil roket, termasuk peluru berpandu jarak dekat, ke Laut Timur pada 4 dan 9 Mei.

AS pula pada minggu lepas mengumumkan buat pertama kali, pihaknya merampas sebuah kapal kargo Korea Utara, disyaki membawa eksport arang batu dan melanggar sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dikenakan ke atas rejim itu.

– BERNAMA

 

Categories
GLOBAL

Trump mahu Brazil jadi negara sekutu utama luar NATO

WASHINGTON, 9 MEI: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan pada Rabu beliau berhasrat menjadikan Brazil sebagai negara sekutu di luar NATO, lapor agensi berita Anadolu memetik kenyataan Trump kepada Kongres.

“Ia sebagai pengiktirafan terhadap komitmen Brazil baru-baru ini dalam meningkatkan kerjasama pertahanan dengan AS,” kata Trump.

Bagi membolehkan taraf negara sekutu di luar NATO diberikan kepada sesebuah negara, Trump perlu menunggu 30 hari selepas memaklumkan kepada Kongres.

Tujuh belas negara lain memegang status sekutu di luar NATO termasuk Israel, Jepun dan Korea Selatan.

Sekiranya ia menjadi kenyataan Brazil akan menjadi negara Amerika Latin pertama menyertai NATO. Kesemua 29 negara anggota NATO dari Amerika Utara dan Eropah.

– BERNAMA