Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri sedia tutup sekolah tahfiz tidak berdaftar

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 18 MAC: Kerajaan Negeri mengambil perhatian titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mengarahkan semua sekolah swasta tahfiz yang tidak berdaftar dengan Jabatan Agama Islam (JAIS) ditutup dan ditamatkan perkhidmatan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudn Shari berkata, Kerajaan Negeri sudah menjalankan operasi pendaftaran sekolah tahfiz swasta sejak dua tahun lalu ketika di bawah pentadbiran Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dengan kerjasama JAIS serta Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS).

“Kita belum mengambil tindakan menutup sebab dua tahun kebelakangan ini saya bersama Dato’ Seri Mohamd Azmin ketika menjadi Dato’ Menteri Besar mengarahkan semua sekolah tahfiz untuk mendaftar dan kita bekerjasama dengan PITAS serta JAIS untuk mendaftarkan operasi mereka.

“Kerajaan Negeri turut menjadi pemudahcara untuk pengusaha sekolah tahfiz mendaftarkan bangunan mereka supaya mempunyai aspek keselamatan terutama kecemasan ketika kebakaran supaya mereka memenuhi kemudahan ditetapkan. Sekarang, kita sudah daftarkan lebih 200 sekolah tahfiz dan bakinya tidak banyak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui selepas selesai Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor (DNS) Kali ke-14 Tahun 2019.

Katanya, hanya sedikit sekolah tahfiz yang belum berdaftar kerana tidak mampu memenuhi kriteria ditetapkan, namun mereka masih mempunyai peluang terakhir untuk melengkapkannya.

“Kita akan ambil tindakan seperti titah tuanku serta memberikan peluang terakhir satu atau dua bulan kepada mereka untuk melengkapkan kriteria sebelum mengambil tindakan sewajarnya.

“Isunya bukan kita nak halang (operasi). Kita nak pastikan mereka mempunyai ko-kurikulum sempurna selain kemudahan yang tidak membahayakan kerana sebelum ini berlakunya kejadian kebakaran dan tanah runtuh disebabkan ketiadaan kemudahan lengkap,” katanya.

Sultan Sharafuddin dalam titahnya turut mengarahkan penutupan sekolah swasta tahfiz yang tidak mempunyai ko-kurikulum dan sistem pendidikan moden.

Secara keseluruhan terdapat 15,000 pelajar tahfiz di 263 sekolah swasta tahfiz yang berdaftar dengan JAIS.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Tien Chee pemimpin dedikasi, kehilangan besar buat Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 20 JUL: Pemergian Ahli Dewan Negeri (ADN) Balakong, Ng Tien Chee dianggap satu kehilangan besar kepada kepimpinan Kerajaan Negeri.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menyifatkan, wakil rakyat itu sebagai pemimpin berdedikasi dan sentiasa menyumbang idea kepada pembangunan ekonomi negeri.

Katanya, Tien Chee sentiasa komited menyuarakan pandangan di Dewan Negeri Selangor sepanjang tempoh dua penggal menjadi ADN, bermula 2013.

“Dari awal saya mengenali mendiang, beliau tidak lekang dengan senyuman dan sentiasa sedia membantu sesiapa sahaja yang memerlukan pertolongan.

“Beliau juga giat aktif dalam Pakatan Harapan Selangor menerusi Unit Tindak Parti Tindakan Demokratik (DAP).

“Pemergian Saudara Eddie sudah pasti kehilangan yang amat besar buat Pakatan Harapan dan kekosongan yang ditinggalkan beliau sudah pasti turut dirasai oleh penduduk di kawasan Balakong dan rakyat Selangor,” katanya dalam kenyataan.

Tien Chee dilaporkan meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya, di Cheras, awal pagi ini.

Perkara itu disahkan Setiausaha Akhbar, Dato’ Menteri Besar Selangor, Fareed Asharee.

Sumber polis mendedahkan, kemalangan itu berlaku di kilometer 12, Lebuhraya Cheras- Kajang.

Dilaporkan, kenderaan mangsa dipercayai dipandu dari arah Kuala Lumpur menghala ke Kajang.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, Tien Chee yang bertanding atas tiket KEADILAN menang dan berjaya mengekalkan kerusi DUN Balakong dengan perolehan undi sebanyak 41,768 undi, dalam saingan tiga penjuru.

Categories
KENYATAAN MEDIA

Perutusan Hari Raya Aidilfitri – Amirudin Shari

‘Eid fitr, mengingatkan kita untuk kembali kepada fitrah yang suci sebagai manusia yang berada di alam yang fana ini sebagai hamba Allah. Ramadhan telah memberikan peluang untuk kita muhasabah dan mempupuk kekuatan untuk kita memiliki _hablu min Allah_ (hubungan dengan Allah) dan _hablu mina an-nas_ (hubungan dengan manusia).

Setelah sebulan berpuasa menahan lapar dan dahaga, juga dipenuhi dengan ibadah di malam hari maka tibalah satu Syawal yang menjadi hari untuk kita mengungkapkan rasa syukur dan puji-pujian kepada Allah S.W.T.

Kegembiraan pada syawal kali ini juga lebih besar untuk rakyat Malaysia kerana kejayaan di dalam Pilihan Raya Umum 14 baru-baru ini untuk menumbangkan pemerintahan yang zalim buat pertama kalinya selepas Merdeka.

Kesatuan hati dan kesatuan amal yang dimiliki oleh majoriti masyarakat Malaysia itu adalah satu petanda yang baik bahawa kita mahukan perubahan yang lebih baik untuk tanah air tercinta kita, Malaysia ini.

Di sini juga, saya bersama isteri dan keluarga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan mohon maaf zahir dan batin kepada seluruh umat Islam di negara ini khususnya di Negeri Selangor Darul Ehsan dan DUN Sungai Tua.

Semoga Allah memberkati negeri kita dan tanah air kita ini dan memberikan kekuatan untuk kita bersama berganding bahu melakukan perubahan yang kita inginkan.

_Taqabalallahu minna wa minkum, shiyama wa shiyamakum, wa ja’alana Allahu minal ‘aidin wal faizin_
“Semoga Allah menerima amalan dan puasa kita, dan menjadikan kita orang yang kembali (kepada fitrah) dan orang-orang yang berjaya”

Y.B Amirudin Shari @ Shah Alam, Malaysia

Categories
SELANGOR

Naik taraf Stadium Hoki PJ siap Disember

Oleh : NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 25 JUN: Stadium Hoki Petaling Jaya bakal menerima nafas baru menerusi projek naik taraf prasarana kemudahan sukan itu awal bulan hadapan.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, berkata stadium tersebut mampu digunakan sepenuhnya hujung tahun ini.

Stadium Hoki“Kontraktor baru dilantik oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan kerja membaikpulih mengambil masa empat bulan dari tarikh mula tugas.

“Kita jangka hujung tahun ini, stadium tersebut boleh digunakan sepenuhnya malah mampu menjadi vanue untuk sebarang pertandingan,” katanya kepada Selangor Kini.

Sebelum ini Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan sejumlah RM2.5 juta bagi membaikpulih Stadium Hoki Pandamaran Klang dan Stadium Hoki Petaling Jaya.

Kedua-dua kemudahan sukan itu dilaporkan berada dalam keadaan teruk dan tidak boleh digunakan untuk latihan.

“Stadium hoki Pandamaran memerlukan kerja baikpulih yang banyak berbanding di Petaling Jaya dan kita masih belum memutuskan tender kepada mana-mana kontraktor ekoran terdapat sedikit kesulitan sebelum ini.

“Bagaimanapun, tawaran tender baik pulih masih dibuka,” katanya.

Oktober lalu, Amirudin telah melawat Stadium Hoki Pandamaran bagi meninjau sendiri kerosakan dan keperluan yang perlu diberi perhatian dalam memastikan kemudahan sukan itu kembali berfungsi.

Stadium berusia 20 tahun itu memerlukan kerja menambahbaik kemudahan, bumbung, kerusi dan karpet padang.

Sejak dibina pada 1984, Stadium Hoki Pandamaran hanya berganti karpet padang pada 1998.

EZY

Categories
SELANGOR

Exco: Pembangunan sukan wanita diberi perhatian

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 11 MEI: Kerajaan Selangor sedia mempertimbangkan keperluan penganjuran piala bola sepak wanita sekiranya terdapat permintaan tinggi.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Keusahawanan, Amirudin Shari berkata pembangunan sukan wanita turut diberikan sokongan tanpa mengira isu perbezaan gender.

bola“Kita sedia mempertimbangkan sekiranya terdapat permintaan tinggi, begitu juga dengan kejohanan futsal yang dilihat berkembang baik di Selangor.

“Bagaimanapun, kita sentiasa memberi sokongan kepada program sukan wanita seperti Piala Cardiff City baru-baru ini,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau berkata pembangunan sukan di Selangor adalah bersifat menyeluruh dan Kerajaan Negeri sedang merangka sistem pembangunan jangka panjang.

“Kita percaya jika program kita berjalan baik kita mampu mengekalkan prestasi terbaik Selangor di peringkat kebangsaan.

“Melalui sistem yang baik, kita yakin dapat lahirkan lebih banyak atlit berkualiti, bukan dari satu keluarga sahaja atau gender tertentu,” katanya.

EZY