Categories
AGENDA SELANGOR

Ikuti pembentangan Belanjawan #Selangor2022 pada 26 November

SHAH ALAM, 15 NOV: Belanjawan #Selangor2022 yang dijadual dibentang di Dewan Negeri Selangor pada 26 November bakal memberikan tumpuan kepada usaha bantu rakyat merancakkan semula ekonomi pasca wabak Covid-19.

Pembentangan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari boleh diikuti secara langsung melalui saluran SelangorTV (selangortv.my) dan menerusi media sosial https://www.facebook.com/MediaSelangor

Liputan berita majlis penting itu yang bermula jam 3 petang boleh diikuti melalui portal Selangorkini (selangorkini.my) dan tiga edisi lain, termasuk Mandarin (selangorkini.my/zh-hans/) serta Tamil (selangorkini.my/ta/).

Edisi Inggeris boleh dicapai melalui pautan selangorjournal.my

Maklumat pantas dan infografik berhubung isi menarik dan program utama Kerajaan Negeri akan dimuatkan di media sosial Media Selangor pada petang Jumaat tersebut.

Akhbar Selangorkini edisi Belanjawan #Selangor2022 juga diterbitkan dan mula diedar pada 27 November.

Amirudin sebelum ini berkata usaha yang bakal ditekankan dalam belanjawan kali ini antaranya menambah hasil dan bantuan kepada penduduk terjejas akibat Covid-19.

Categories
AGENDA NASIONAL

Peniaga minuman disaman MBSA terkejut dihubungi MB

SHAH ALAM, 12 OKT: Seorang peniaga minuman terkejut apabila dihubungi Dato’ Menteri Besar selepas kisahnya yang disaman Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) tular di media sosial.

Zulqarnain Ibrahim yang juga mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam berkata Dato’ Seri Amirudin Shari memberinya kata-kata semangat berhubung situasi berkenaan.

“Menteri Besar hubungi saya menerusi Twitter serta sempat memberi kata-kata semangat dan motivasi. Memang saya sangat terkejut kerana pemimpin nombor satu negeri menghubungi saya sendiri.

“Tak sangka beliau amat prihatin dengan keadaaan yang menimpa saya. Bagaimanapun, saya berlapang hati menerima saman berkenaan kerana kakitangan MBSA juga melakukan tugas mereka,” katanya kepada SelangorKini.

Remaja berusia 22 tahun itu berkata sebelum ini dia dan rakan hanya menjalankan perniagaan secara dalam talian.

“Saya tidak pernah menjalankan perniagaan di tempat lain, semalam pertama kali kami berniaga di taman dengan meletakkan air jualan di bahagian belakang kereta, itupun untuk habiskan stok sahaja.

“Tetapi tak sangka pula kena saman, apapun kami tetap akan bayar saman berkenaan atas dasar tanggungjawab,” katanya.

Menuntut dalam bidang Pengurusan Perkhidmatan Makanan, Zulqarnain mula berniaga sejak Mei dengan menjual minuman dari Thailand menerusi Instagram @aroibanghq dan mampu menjual kira-kira 4,000 botol air dalam tempoh sebulan.

Semalam, beliau memuat naik video disaman MBSA ketika berniaga di sebuah taman dan kisahnya mendapat perhatian Amirudin.

Amirudin menerusi Twitter berkata beliau telah menghubungi Zulqarnain untuk mendapatkan maklumat lanjut.

“Saya juga telah menghubungi MBSA untuk membantu memudahcara urusan beliau untuk berniaga di sekitar Shah Alam.”

Categories
SELANGOR

Tarik pelabur: Buang kerenah birokrasi, SOP remeh – MB

GOMBAK, 14 JAN: Penjawat awam di Selangor perlu membuang kerenah birokrasi dan prosedur operasi standard (SOP) remeh yang boleh menjejaskan kehadiran pelabur kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penjawat awam negeri ini perlu meletakkan kedudukan mereka pada standard tinggi serta profesional dalam setiap urusan yang dilakukan.

“Dalam sesetangah perkara, kita jangan susahkan urusan yang sepatutnya boleh dilakukan dengan mudah. Isu tentang SOP ini saya selalu tekankan.

“Janganlah kita lakukan SOP yang menyusahkan sebaliknya pendekkan atau permudahkan SOP. Semua perkara ini akan mempengaruhi kehadiran pelabur,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Gombak di sini hari ini.

Amirudin berkata amalan sebelum ini yang memerlukan kelulusan antara 365 hingga 400 hari proses memperoleh kebenaran merancang dan urusan pembangunan tanah perlu dibuang.

“Sebab itu Kerajaan Negeri memperkenalkan Dasar Kelulusan 100 Hari untuk menarik kemasukan pelaburan.

“Kerajaan negeri tidak boleh tawarkan benda murah dan percuma contohnya tanah murah atau tanah percuma kerana ia akan jejaskan pendapatan negeri,” katanya.

Categories
SELANGOR

Penjawat awam diingatkan terus berusaha, tidak merasa selesa

GOMBAK, 14 JAN: Penjawat awam di Selangor diingatkan tidak merasa selesa dengan kejayaan yang dicapai sekarang kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari sebaliknya berkata penjawat awam di negeri ini perlu sentiasa berusaha ke arah lebih baik serta menjadi contoh kepada penjawat awam di negeri lain.

“Kita mahu penjawat awam negeri ini menjadi contoh serta dihormati. Malah, kalau boleh penjawat awam negeri ini juga disegani sampai ke luar negara.

“Selain itu, kita mahu penjawat awam negeri ini mampu bersaing di peringkat global serta menjadi panduan kepada negara lain,” katanya berucap pada Majlis Perasmian Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Gombak di sini hari ini.

Amirudin berkata penjawat awam di negeri ini perlu meningkatkan kemampuan diri serta bersedia berdepan dunia yang semakin mencabar.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor wajibkan MB, EXCO isytihar harta

SHAH ALAM, 11 NOV: Dato’ Menteri Besar dan EXCO Selangor diwajibkan mengisytiharkan harta masing-masing bagi memastikan integriti dan akauntabiliti dijunjung sekali gus semua komponen Kerajaan Negeri mengamalkan budaya kerja yang bersih, telus serta kompeten.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, Kerajaan Negeri juga menerima cadangan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya Ahli Dewan Negeri (ADN) turut mengisytiharkan harta masing-masing.

“Ini dapat dilihat melalui kolaborasi bersama SPRM melalui penandatanganan Ikrar Bebas Rasuah melibatkan semua Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada Perhimpunan Bulanan Penjawat Awam yang diadakan pada 19 Ogos 2019 lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri berpendapat cadangan terbabit adalah praktikal untuk dilaksanakan sekiranya ada keperluan.

Katanya, Kerajaan Negeri juga mengambil kira sebahagian besar ADN tidak terlibat dalam kuasa eksekutif.

“Maka cadangan ini akan terus diteliti dan dilaksanakan berdasarkan aspek praktikal dan kesesuaian supaya pelaksanaannya bersifat holistik,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

RM29.7 juta untuk pelajar luar negara

SHAH ALAM, 8 NOV: Kerajaan Negeri menerusi agensinya telah menyalurkan sebanyak RM29.7 juta bantuan pendidikan kepada pelajar di Universiti Asia Barat dan Timur Tengah sejak diperkenalkan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, seramai 293 pelajar tajaan telah menerima manfaat berkenaan yang terdiri daripada 173 pelajar di Mesir.

Katanya, Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyalurkan bantuan pendidikan kepada mahasiswa luar negara dalam kalangan asnaf fakir, miskin, mualaf dan fisabilillah.

“Antara bantuan yang disalurkan adalah Bantuan Dermasiswa Luar Negara membabitkan Timur Tengah, selain Timur Tengah, Bantuan Umum Pelajaran kepada pelajar luar negara dan bantuan sumbangan keperluan pembangunan pendidikan luar negara.

“Bagi Bantuan Dermasiswa Luar Negara Timur Tengah membabitkan kuota 50 pelajar untuk tiga buah negara iaitu Mesir, Jordan dan Morocco dengan nilai peruntukan setiap tahun RM4 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Mohd Zawawi Ahmad Mughni (PAKATAN-Sungai Kandis) pada Sidang Dewan Negeri, di sini.

Amirudin berkata, bantuan berkenaan diberi keutamaan kepada keluarga berpendapatan tidak melebihi had kifayah RM7,000.

Manakala, katanya, bagi Bantuan Umum Pelajaran pelajar luar negara diberikan sumbangan ‘one off’ setahun sekali.

“Selain itu, bantuan sumbangan keperluan pembangunan pendidikan luar negara diberikan kepada pelajar menerusi institusi, agensi Islam luar negara yang bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Selangor, Jabatan Agama Islam Selangor dan LZS,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Selangor bangga operasi anak syarikat negeri jadi ikutan

SHAH ALAM, 7 NOV: Selangor layak berbangga apabila kepakaran serta pengalaman yang dimiliki anak syarikat Kerajaan Negeri menjadi ikutan bagi beberapa negeri lain dalam negara.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, ini terbukti dengan memorandum persefahaman dan persetujuan dalam projek penggantian paip usang di Kedah oleh Kumpulan Perangsang yang ditandatangi pada 6 November lalu.

“Kita berbangga kaedah kita, cara kita telah menjadi model kepada negeri lain. Selangor adalah model kepada negeri lain.

“Pada masa ini juga ada dua negeri yang menguruskan program yang hampir sama dengan program KISS iaitu Kasih Ibu Darul Aman dan satu lagi di Perak sedang diuruskan anak syarikat kita SELCARE,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2020 di Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Katanya, sebelum ini Selangor turut menjadi perintis kepada banyak program yang kemudiannya menjadi ikutan negeri lain seperti perkhidmatan bas percuma, pemberian 20 meter padu air percuma dan banyak lagi.

Categories
AGENDA NASIONAL

Selangor sedia teroka projek pemasangan paip di Jakarta

SHAH ALAM, 7 NOV: Selangor sedia meneroka peluang melibatkan diri dengan projek pemasangan paip di Jakarta melalui anak syarikat Kerajaan Negeri.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, Gabenor Jakarta sebelum ini pernah menyatakan perasaan kagum terhadap sistem bekalan air yang terdapat di Selangor.

“Saya juga sedia meneroka cadangan Gombak Setia supaya anak syarikat kita bergerak ke serantau dan ini antara butiran yang saya bincangkan dengan Gabenor Jakarta sewaktu pertemuan.

“Mereka cukup tertarik dengan tiga elemen yang kita ada iaitu Negeri Pintar yang juga sedang dirancang di Jakarta, pembangunan perumahan oleh anak syarikat kita, PKNS yang berpengalaman 55 tahun dan perancangan bekalan air yang diuruskan di Selangor

“Perancangan bekalan air yang diuruskan di Selangor walaupun ada kelemahan tetapi kalau kita bandingkan dengan Jakarta sebagaimana disebut Gombak Setia yang mana bekalan airnya sekitar bawah 60 peratus daripada keseluruhan,” katanya,

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2020 di Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Amirudin berkata, walaupun masih diperingkat awal tetapi tidak mustahil boleh dilaksanakan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Rakyat sengsara banjir, kerajaan rugi lewat siapkan projek

SHAH ALAM, 19 SEPT: Lebih 1,000 penduduk tempatan di Dewan Undangan Negeri Paya Jaras menanggung sengsara akibat banjir gara-gara kelewatan Projek Tebatan Banjir Sungai Kedondong disiapkan.

Dato’ Menteri Besar Amirudin Shari berkata, Kerajaan Negeri juga terpaksa menanggung kos tambahan kira-kira RM2 juta disebabkan kelewatan projek itu disiapkan apabila penduduk yang mendiami penempatan haram di atas tanah rizab sungai enggan berpindah.

“Isu ini melibatkan kawasan dan lokaliti yang lebih besar, turut melibatkan kawasan Merbau Sempak dan Paya Jaras terkesan dengan banjir lebih parah jika projek ini tak diteruskan pada masa hadapan.

“Ini permohonan beberapa Organisasi Bukan Kerajaan mereka yang sendiri hubungi saya termasuk ketua mereka bernama Azroy, mereka cuma minta tangguh hingga sampai UPSR dan kita penuhi sehingga tahap itu.

“Bagaimanapun kita ada hadnya sebab kalau kita tangguh lagi, setiap bulan atau dalam tempoh tertentu kita kena tambah kos RM2 juta yang akan ditanggung Kerajaan Negeri kerana gagal mengambil tindakan dan menyebabkan kontraktor gagal siapkan projek tebatan banjir di Sungai Kedondong ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada Majlis Pelancaran Akademi Kepimpinan Wanita di Shah Alam Convention Centre di sini, hari ini.

Amirudin berkata, berdasarkan rekod, tidak kurang tiga kali dalam tempoh kurang setahun setengah kawasan Paya Jaras dilanda banjir.

Terdahulu, Ahli Dewan Negeri Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman berkata, sekurang-kurangnya empat kampung di Paya Jaras sering dilanda banjir iaitu Kampung Paya Jaras Hilir, Paya Jaras Dalam, Paya Jaras Tengah dan Paya Jaras Hulu.

Selain itu, Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya telah dua kali dipanggil Jabatan Audit Negara disebabkan kelewatan projek ini disiapkan.

Amirudin menggesa semua pihak melihat isu perobohan kediaman haram berhampiran Sungai Kedondong dengan lebih menyeluruh dan bukannya mengambil kesempatan menangguk di air yang keruh.

Categories
NASIONAL

FORSEA pelawa orang ramai jaya Festival Demokrasi

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KUALA LUMPUR, 9 FEB: Angkatan Pembaharuan Asia Tenggara (FORSEA) mempelawa orang ramai di sekitar Lembah Klang hadir menggamatkan Festival Demokrasi yang bakal berlangsung di MAP Publika, pada 13 hingga 17 Februari ini.

Ahli Lembaga Pengarahnya, Hishamuddin Rais berkata, festival julung kali diadakan di rantau ini bagi meraikan proses demokrasi pertukaran kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

“Kami membawakan delegasi tersohor dari 11 negara Asia Tenggara termasuk Profesor Amerika Syarikat, Noam Chomsky, yang akan berkongsi pandangan berkaitan isu politik Asia Tenggara.

“Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga akan berkongsi pentas sama bagi menyampaikan ucap utama acara, manakala Dato’ Menteri Besar Selangor, Amiruddin Shari akan menyampaikan ucapan alu-aluan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran ARCA Pembebasan Suara Demokrasi, di The Square Publika di sini, semalam.

Turut hadir, Amirudin, Ahli Dewan Negeri (ADN) Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin dan ADN Balakong, Wong Siew Ki.

Sebagai gimik perasmian festival berkenaan, Amirudin turut melepaskan burung merpati dan memegang plakad yang berlatarbelakangkan ARCA Pembebasan itu.

Hishamuddin yang juga aktivis politik berkata, kegiatan itu juga membabitkan pameran, festival kesenian dan festival penentangan dengan menampilkan seniman serta artis dari negara Asia Tenggara.

“Persidangan ini antaranya akan membicarakan pengalaman serantau, termasuk isu Rohingya, pengalaman pertukaran rejim secara berdarah Indonesia pada 1965 dan pengalaman Kemboja di era Pol Pot,” katanya.

 

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Jaga hak kaum lain demi kemakmuran negeri – MB

OLEH NADIAH ZAMLUS

BATU CAVES, 21 JAN: Menjaga hak kaum lain tanpa mengira batas agama menjadi tunjang kemakmuran dan kesejahteraan Selangor, kata Dato’ Menteri Besar, Amiruddin Shari.

Beliau berkata, kemakmuran negeri itu juga adalah untuk semua kaum termasuk Melayu, Cina, India, Sikh dan yang lain termasuk Orang Asal.

“Saya orang Islam tetapi saya sudah berjanji saya akan menjaga hak semua kaum tanpa mengira batas kaum dan agama.

“Oleh itu, kita rakyat Selangor jangan berpecah belah, kita mesti bersatu hati dan perhatian kita mestilah ditumpukan kepada usaha untuk melonjakkan ekonomi negeri dengan itu kita akan menjadi kuat dan negeri kita akan bertambah kaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan Perasmian Sambutan Thaipusam Peringkat Negeri Selangor di Kuil Sri Subramaniyar, di sini, malam tadi.

Turut hadir, EXCO Pemberdayaan, Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang, Suliman Abd Rahman dan Pegawai Daerah Gombak, Dato’ Amirul Azizan.

Amirudin berkata, beliau berbangga apabila sambutan Thaipusam di Selangor berlangsung dengan lancar sehingga ke hari ini.

Katanya, sambutan dianjurkan sejak 2008 itu memberi erti yang besar kepada rakyat Selangor khususnya masyarakat Hindu.

“Komitmen Kerajaan Negeri adalah menjamin keadilan buat semua selagi warganegara berpayung di bawah perlembagaan nasional.

“Kerajaan Negeri sentiasa berfikir untuk membantu masyarakat dan ia menjadi keutamaan, ini kerana Kerajaan Pakatan Harapan sudah belajar daripada sejarah dan tidak akan melakukan kesilapan seperti Barisan Nasional.

“Kita jamin orang Melayu, India dan Cina akan duduk seimbang serta bahagia, oleh itu marilah kita tinggalkan perkara dan sangkaan buruk,” katanya.

Categories
SELANGOR

Reformasi Sungai Tua, Amirudin optimis tingkat fasiliti awam

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 1 MEI: Kejayaan dua penggal pentadbiran Amirudin Shari di kawasan Dewan Undangan Negeri Sungai Tua (dulunya Batu Caves) tidak menghentikan iltizam Calon Pakatan Harapan (PAKATAN) N16. Sungai Tua itu untuk mencipta lebih banyak perubahan di kawasan itu.

Beliau optimis, jaringan fasiliti awam dan kemudahan infrastruktur di kawasan itu akan diperluas secara konsisten bagi menambah baik keperluan pembangunan sedia ada.

“Ada beberapa perkara yang kita komited untuk selesaikan. Kalau tempoh terdahulu, sasaran kita lebih tertumpu kepada masalah banjir, milikan tanah, pembaikan jalan dan sebagainya.

“Sekarang sudah sampai masanya untuk kita memperbesarkan kemudahan awam di sini, terutamanya pembinaan lebih banyak lagi dewan-dewan komuniti yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat.

“Tidak ketinggalan saya juga ingin menambah baik fasiliti padang awam di kampung Sungai Tua memandangkan wujudnya perubahan yang signifikan terhadap aspek pembangunan di kawasan ini,” katanya.

Beliau bercakap kepada SelangorKini selepas meneruskan aktiviti turun padang mendekati masyarakat di kawasan perumahan Taman Amaniah dan Taman Selayang, semalam.

Tinjauan SelangorKini di kawasan berkenaan mendapati, terdapat banyak perubahan kualiti fasiliti penduduk di kawasan itu

Antaranya, kemudahan dewan serbaguna, padang awam, akses jaringan perkhidmatan Bas Smart Selangor dan sistem saliran perparitan yang ditambah baik.

=EZY=