Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Skim baharu Hijrah Selangor bantu usahawan luas perniagaan

SHAH ALAM, 9 FEB: Usahawan negeri ini berpeluang mengembangkan perniagaan masing-masing melalui skim baharu ditawarkan bawah Hijrah Selangor, kata Dato’ Menteri Besar.

Inisiatif diperkenalkan pada Oktober tahun lalu merupakan manifestasi keazaman Kerajaan Negeri untuk menyokong perniagaan di Selangor, jelas Dato’ Seri Amirudin Shari.

“Tahun ini Kerajaan Negeri memperuntuk RM120 juta kepada Hijrah untuk membiaya usahawan. Sektor keusahawanan sangat penting bagi merancakkan semula ekonomi negeri.

“Kepercayaan ini turut disokong testimoni kejayaan oleh ramai usahawan Hijrah,” katanya dalam kenyataan ringkas di Facebook rasminya hari ini.

Menurut infografik yang dikongsikan, skim i-Lestari menawarkan modal tambahan antara RM51,000 hingga RM100,000 manakala i-Agro untuk usahawan industri tani dari RM1,000 hingga RM50,000.

Skim i-Bermusim pula dikhaskan kepada peniaga bazar Ramadan, perayaan serta buah-buahan.

Pada 27 Oktober tahun lalu, Amirudin melancarkan tiga skim berkenaan berkonsepkan islamik bagi membantu usahawan memulih dan memulakan semula perniagaan terjejas susulan Covid-19.

Individu berminat boleh memohon melalui laman sesawang www.hijrahselangor.com atau hubungi pegawai pembiayaan di 20 cawangan Hijrah.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Pinjaman boleh ubah RM9 juta bantu anak Selangor lanjut pelajaran

SHAH ALAM, 8 FEB: Kerajaan Negeri menyediakan RM9 juta melalui pinjaman boleh ubah bagi membantu anak Selangor melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Dato’ Menteri Besar berkata bantuan pinjaman tanpa faedah antara RM3,000 hingga RM7,000 seorang diberikan kepada pelajar yang layak mengikut kursus ditawarkan.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan manfaat itu untuk pengajian dalam negara dan akan diberikan kepada lebih ramai termasuk yang melanjutkan pelajaran ke luar negara.

“Hari ini kita serah kepada 117 penerima yang merupakan sebahagian daripada pemohon. Semua penerima menjalani sesi temu duga Januari lalu untuk dinilai supaya bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar layak,” katanya ditemui di Dewan Jubli Perak hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyatuni pelajar selepas menyerahkan Surat Tawaran Boleh Ubah Dalam Negara di Dewan Jubli Perak, Shah Alam pada 8 Februari 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Amirudin menambah kesemua pelajar itu juga layak mendapat kad modul pengenalan pelanggan (SIM) dilengkapi data internet percuma selama setahun bagi memudahkan proses pembelajaran.

“Ada yang belajar di peringkat sijil, diploma dan ijazah. Kerajaan Negeri yakin usaha ini dapat membantu urusan pelajar,” katanya lagi.

Maklumat lanjut berkenaan pinjaman boleh ubah Selangor boleh didapati melalui pautan https://tkwbns.selangor.gov.my/portal/index.php.

Pada 4 Ogos 2021, Amirudin memaklumkan seramai 70,000 rakyat negeri ini bakal menerima kad SIM meliputi pelajar Program Tuisyen Rakyat Selangor, peminjam Yayasan Selangor dan mahasiswa.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Selangor tidak tutup sektor ekonomi, tumpu pematuhan SOP

SHAH ALAM, 8 FEB: Selangor tidak akan menutup mana-mana sektor susulan kenaikan kes Covid-19 ketika ini, sebaliknya keutamaan mengingatkan masyarakat untuk mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jangkitan wabak masih boleh dikawal selain kadar suntikan vaksin populasi dewasa dan remaja yang tinggi di negeri ini.

Beliau menjelaskan jumlah penggunaan katil di hospital juga terkawal berbanding September dan Oktober tahun lalu serta menasihati individu yang dijangkiti segera menjalani kuarantin.

“Penguatkuasaan terhadap SOP harus kembali dijadikan keutamaan. Penutupan bukan pilihan untuk kita lakukan dalam mana-mana sektor kecuali situasi parah.

“Dulu kematian hampir cecah 190 hingga 200 orang, sekarang dalam sembilan orang. Isunya sekarang bagaimana untuk ingatkan rakyat supaya mematuhi SOP,” katanya selepas menyerahkan surat tawaran pinjaman boleh ubah dalam negara di Dewan Jubli Perak di sini hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin menyuarakan kebimbangan terhadap penularan jangkitan dalam kalangan individu yang menggunakan sijil digital vaksin Covid-19 palsu.

“Susulan itu, kita minta Kementerian Kesihatan Malaysia semak sama ada mereka turut terjangkit dan kesannya kerana individu lengkap dos terima kesan minimum,” katanya lagi.

Jumlah jangkitan baharu Covid-19 di seluruh negara hari ini merekodkan lonjakan ketara sejak pertengahan minggu lepas sehingga 13,944 kes, jumlah tertinggi tahun ini.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin sebelum ini menjangka kes harian Covid-19 dalam negara mencecah 15,000 kes tidak lama lagi susulan gelombang Omicron.

Categories
AGENDA NASIONAL

Senarai hitam doktor jual sijil vaksin palsu, komplot sebar penyakit

SHAH ALAM, 3 FEB: Kerajaan Negeri menyarankan Kementerian Kesihatan Malaysia menyenarai hitam pengamal perubatan terbabit kegiatan penjualan sijil vaksin palsu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dianggarkan 5,000 individu sedang disiasat dan bakal didakwa di mahkamah kerana menipu serta berkomplot menyebarkan penyakit berjangkit dalam negara.

“Agak malang kes ini berlaku di Selangor. Walaupun bermula di Terengganu namun menerusi komputer riba yang dirampas mendapati ada ribuan kes mendapatkan vaksin secara tidak sah di Selangor.

“Kita sedang kenal pasti adakah mereka mengambil vaksin atau sekadar mengemas kini MySejahtera tanpa menyuntik vaksin,” katanya pada sidang media di Bilik Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor di sini hari ini.

Beliau turut menasihatkan rakyat Malaysia khususnya di Selangor supaya tidak terpengaruh dengan sindiket penjualan sijil vaksin tersebut.

Sementara itu, Amirudin berkata kempen pemberian dos penggalak akan dipergiat bagi mengurangkan kesan jangkitan Covid-19 terhadap masyarakat.

“Sebanyak 150,000 dos disediakan Kerajaan Negeri dengan 60,000 daripadanya telah diagihkan,” katanya.

Pada 29 Januari lalu, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menzahirkan rasa dukacita susulan kegiatan tidak bermoral segelintir pengamal perubatan yang menawarkan serta menjual sijil digital vaksin Covid-19 palsu kepada orang ramai.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj meminta pihak berkuasa negeri ini menyiasat, menangkap dan mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang didapati menyalahguna kuasa sebagai pengamal perubatan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

40,000 pelajar terkesan bah dapat bantuan sekolah RM100

SHAH ALAM, 3 FEB: Kerajaan Selangor mengagihkan bantuan persekolahan kepada kira-kira 40,000 pelajar negeri ini yang terkesan banjir besar pada Disember tahun lalu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan agihan baucar bernilai RM100 akan diberikan berperingkat mulai minggu ketiga Februari.

Menurutnya, bantuan baju, seluar, kain, stokin dan kasut melibatkan pelajar sekolah rendah, menengah dan sekolah Jabatan Agama Islam Selangor.

“Insya-Allah mereka dapat sumbangan bernilai RM100 untuk ditebus di pusat penyampaian yang akan diumum nanti antara 18 hingga akhir Februari,” katanya.

Bercakap dalam sidang media Bilik Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor hari ini, Amirudin berkata bantuan itu diselaras dengan bantuan lain oleh badan tertentu.

“Sekarang kita sedang kenal pasti dan menyemak semula senarai (murid) dari Jabatan Pendidikan Daerah dan pejabat Pusat Khidmat Masyarakat,” katanya lagi.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Antara yang terkesan teruk ialah Taman Sri Muda, Shah Alam apabila seramai 4,276 mangsa banjir diselamatkan dengan 4,080 dihantar ke 18 pusat pemindahan sementara.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Permohonan bertindih dan perlu semakan, negeri sudah agih bantuan lebih 55,000 keluarga

SHAH ALAM, 3 FEB: Walau berusaha keras menghulur bantuan banjir secepat mungkin, Kerajaan Selangor memohon maaf atas kelewatan akibat banyak permohonan bertindih dan memerlukan semakan.

Setakat ini, Kerajaan Negeri mengagihkan RM55.425 juta Bantuan Selangor Bangkit (BSB) kepada 55,425 ketua isi rumah dengan jumlah RM1,000 setiap keluarga.

Manakala seramai 13 waris korban bencana menerima RM10,000 menjadikan keseluruhan bantuan disalur berjumlah RM55.555 juta.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kira-kira 77,000 permohonan diterima dari keluarga mangsa bencana melibatkan Klang sahaja.

“Kerajaan Negeri mendapati terdapat kes tambahan (permohonan) tinggi di Klang dan Petaling serta permohonan lebih sekali oleh ahli keluarga selain ketua isi rumah.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada sidang media berkenaan isu semasa di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 3 Januari 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Secara keseluruhan kita menerima 109,000 permohonan yang memerlukan RM109 juta bagi BSB. Kita terpaksa buat saringan tertentu dan insya-Allah dapat diselesaikan,” katanya.

Bercakap pada sidang media di Bilik Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor hari ini, Amirudin berkata pemberian BSB akan diusahakan secepat mungkin dan disalur selewat-lewatnya akhir bulan ini.

Beliau turut menjangka agihan di Petaling selesai akhir minggu hadapan manakala seramai 3,800 lagi keluarga di Klang akan menerima bantuan itu esok.

“Bagi Klang pula, terdapat peningkatan permohonan sebanyak 30,000. Sehingga kini, seramai 1,000 pemohon disalurkan BSB RM1,000 setiap hari.

“Saya telah meminta supaya pegawai daerah lain bantu mempercepatkan proses di Klang untuk menggandakan pemberian bantuan kepada sehingga 2,000 dan 3,000 penerima setiap hari,” katanya lagi.

Sementara itu, Amirudin berkata Selangor mengalami kerugian berjumlah RM1.4 bilion akibat bencana tersebut dengan sebahagian besar membabitkan daerah Klang.

“Kalau ambil hitung kasar 100,000 rumah atau keluarga terjejas dengan nilai anggaran kerosakan paling minimum RM10,000. Fikir kereta dan rumah rosak, mungkin angkanya besar dalam RM1 bilion.

“Tetapi bagi pihak Kerajaan Negeri, (kerugian) infrastruktur lebih kurang RM400 juta,” katanya.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

MB, isteri rai Tahun Baharu Cina bersama kenalan di Sungai Tua

GOMBAK, 2 FEB: Dato’ Menteri Besar hari ini meluangkan masa mengunjungi rumah masyarakat Tionghoa di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua sempena Tahun Baharu Cina.

Lawatan selama sejam mulai 11.30 pagi tadi melibatkan kenalan Dato’ Seri Amirudin Shari antaranya ketua masyarakat Cina Kampung Laksamana Yong Ah Loy.

Beliau bersama isteri Datin Seri Masdiana Muhammad turut menziarahi kediaman aktivis Ah Lian dan rumah Ahli Majlis Perbandaran Selayang Loo Voon May.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tiga, kiri) mengunjungi rumah ahli majlis Majilis Perbandaran Selayang (MPS) sempena Tahun Baharu Cina di Taman Selayang Indah, Gombak pada 2 Februari 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Sambutan kali ini lebih baik dengan ramai ambil peluang ke kampung bertemu saudara. Disebabkan itu kita raikannya pada hari kedua untuk beri peluang mereka bersama keluarga,” katanya ketika ditemui.

Amirudin turut menggaul Yee Sang di setiap kediaman dan menikmati juadah yang disediakan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADN) Sungai Tua kemudian meraikan sambutan Tahun Baharu Cina bersama aktivis Cina Parlimen Gombak di Hotel rhr di sini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) mengunjungi rumah ahli majlis Majilis Perbandaran Selayang (MPS) sempena Tahun Baharu Cina di Taman Selayang Indah, Gombak pada 2 Februari 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: PKPS teraju usaha jamin bekalan makanan negeri

SHAH ALAM, 29 JAN: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) diyakini terus menerajui usaha menjamin bekalan makanan di negeri ini berbekalkan pengalaman selama 50 tahun.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pandemik Covid-19 yang melanda dua tahun lalu memperlihat kepentingan jaminan bekalan makanan untuk masyarakat.

Menurutnya, PKPS yang melalui evolusi daripada organisasi tertumpu kepada penanaman kelapa sawit kini meneroka pertanian moden melalui konsep pertanian tepat serta perladangan pintar.

“Inilah yang saya sering kali tekankan berkenaan keperluan beradaptasi dan terus cekal, bingkas dan tangkas dalam menjalani dunia yang serba ‘agile’ (tangkas) kini.

“Pandemik yang melanda baru-baru ini menyaksikan peri penting isu jaminan bekalan makanan ataupun ‘food security’,” katanya di Facebook hari ini.

Amirudin turut mengucapkan tahniah kepada PKPS atas sambutan jubli emas baru-baru ini, sebahagian sejarah penting kepada industri pertanian khususnya buat petani serta peniaga kecil.

PKPS ditubuhkan pada 2 Januari 1972, menggantikan Lembaga Pinjaman Padi Negeri Selangor untuk memajukan industri perladangan dan sosioekonomi selain melaksana projek komersial untuk faedah rakyat.

Selepas 50 tahun, agensi itu mengorak langkah ke arah pertanian moden dengan memanfaatkan tanah sedia ada menggunakan teknologi baharu termasuk membantu membangunkan usahawan tani.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kompleks kediaman jaga kebajikan pekerja, lindungi ancaman wabak

HULU LANGAT, 28 JAN: Lebih banyak kompleks kediaman pekerja akan dibangunkan Kerajaan Negeri bagi menjaga kebajikan golongan itu selain memudahkan pemantauan.

Dato’ Menteri Besar berkata pihaknya mengenal pasti tapak seluas 200 ekar yang akan dibina oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) pada tahun ini.

Jelas Dato’ Seri Amirudin Shari, kompleks itu bukan hanya menjaga kebajikan dan kesihatan pekerja khasnya warga asing tetapi mengawal penularan wabak seperti Covid-19.

“Ini menyahut saranan untuk membangunkan perumahan sistematik pekerja di Selangor, bantu proses pengawalan dan jaga kebajikan mereka mengambil iktibar penularan Covid-19.

“Garis panduan pembinaan disediakan Plan Malaysia yang akan digunakan sebaik mungkin, kita akan perbanyakkan lokasi selain dari 200 ekar disediakan PKNS sebelum ini,” katanya hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bergambar selepas menandatangani plat Majlis Perasmian Pecah Tanah Pusat Asrama Pekerja Asing di Kawasan Perindustrian Kampung Baru Balakong, Hulu Langat pada 28 Januari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Beliau yang ditemui pada Majlis Pecah Tanah Pusat Asrama Pekerja Asing di Kampung Baru Balakong menambah inisiatif menyediakan kediaman kondusif kepada pekerja turut disahut pengusaha industri.

Amirudin ketika membentangkan Belanjawan 2022 pada 26 November tahun lalu mengumumkan pembangunan Kompleks Perumahan Pekerja Selangor di lapan lokasi untuk menempatkan 60,000 pekerja.

Inisiatif itu memartabat hak asasi pekerja industri melalui penyediaan kediaman kondusif, sistematik, berpengurusan dan selamat dari aspek kesihatan menerusi sistem pengudaraan sesuai.

Selangor bakal menikmati manfaat melalui pengukuhan sektor ekonomi baharu, mengurangkan stigma terhadap pekerja asing, menyelesaikan isu sosial dan kesihatan.

Inisiatif dilaksanakan PKNS itu juga akan dilengkapi kedai dobi, restoran dan kedai runcit.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Projek cegah bah, sistem amaran bencana negeri dimuktamad Jun

KAJANG, 28 JAN: Cadangan projek untuk mengatasi bencana dan pembangunan sistem penyampaian amaran dimuktamad pertengahan tahun atau menjelang pembentangan Belanjawan Selangor 2023.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perkara itu akan dibincangkan dalam sidang khas Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) dalam masa terdekat.

Jelasnya, Kerajaan Negeri menerima pelbagai cadangan antaranya pembinaan terowong dan bandar terusan selain laporan universiti tempatan dan Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA).

“Dua perkara utama akan dibincangkan iaitu bagaimana untuk membangunkan sistem amaran awal bencana, kita berdepan banjir dan tanah runtuh selain air pasang besar dari Sepang hingga Kuala Selangor.

“Kita juga akan bincang penyelesaian jangka panjang dan teliti cadangan diterima,” katanya selepas merasmikan kaunter bersepadu di Menara MPKj di sini hari ini.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Pada 21 Disember tahun lalu, Kerajaan Negeri mengumumkan dana RM100 juta bagi permulaan program Selangor Bangkit susulan insiden banjir.

Selain pemulihan infrastruktur, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada waris korban banjir dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Hanya 30 minit mohon lesen di kaunter bersepadu MPKj

KAJANG, 28 JAN: Tempoh permohonan lesen bawah Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) disingkatkan antara 15 hingga 30 minit sahaja melalui inisiatif kaunter bersepadu.

Kemudahan bagi memohon 95 perkhidmatan lesen membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam melaksana sistem penyampaian cekap, kata Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

“Kita dapat lihat bagaimana kaunter bersepadu ini melancarkan permohonan lesen kepada 30 minit sahaja, paling cepat 15 minit sekiranya dokumen pemohon lengkap.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Majlis Perasmian Kaunter Bersepadu dan Sambutan Jubli Perak (25 Tahun MPKj) di Menara Majlis Perbandaran Kajang pada 28 Januari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Saya berharap MPKj dapat terus meningkatkan sistem perkhidmatannya untuk manfaat masyarakat,” katanya selepas merasmikan kaunter tersebut di Menara MPKj hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Selangor Dato’ Haris Kasim dan Yang Dipertua MPKj Najmuddin Jemain.

Amirudin juga berharap MPKj yang menyambut ulang tahun ke-25 tahun ini terus melaksana pelbagai inisiatif untuk menjadikan Kajang sebagai bandar lestari dan berdaya huni.

Tambahnya, pihak berkuasa tempatan itu berpotensi diangkat sebagai bandar raya susulan pertumbuhan beberapa penempatan moden, namun perlu memenuhi keperluan memajukan sesetengah kawasan.

“Pada masa sama harus pastikan menyedia kemudahan dan perkhidmatan terbaik,” kata menambah Sungai Lui dan Sungai Gabai yang menjadi tarikan pengunjung perlu dipadankan dengan pemodenan.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB sumbang RM5,000 imarahkan Masjid Al-Azhar Kuis

HULU LANGAT, 28 JAN: Sebanyak RM5,000 disumbangkan Dato’ Menteri Besar kepada Masjid Al-Azhar Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) untuk aktiviti pengimarahan.

Bantuan diserahkan sendiri oleh Dato’ Seri Amirudin Shari kepada nazir masjid berkenaan Dr Saifulah Samsudin berserta 500 bungkus makanan kepada pelajar.

Sebelum itu, beliau menunaikan solat Jumaat bersama Setiausaha Kerajaan Selangor Dato’ Haris Kasim dan Rektor Kuis Prof Madya Dato’ Dr Mohd Farid Ravi Abdullah.

Sementara itu, Dr Saifulah berkata sumbangan tersebut akan digunakan bagi mengimarahkan masjid dengan pelbagai aktiviti bermanfaat kepada pelajar.

“Kami berterima kasih atas sumbangan Dato’ Menteri Besar yang diharap dapat memberi keberkatan kepada semua,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Azhar Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis), Bangi pada 28 Januari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

 

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan sumbangan 500 bungkus makanan kepada pelajar Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis) di Masjid Al-Azhar Kuis, Bangi pada 28 Januari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI