Categories
SELANGOR

AMK Ampang lapor polis provokasi poster ‘bebas Anwar’

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 17 MAC : Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Ampang membuat laporan polis berkenaan tindakan provokasi melampau pihak tidak bertanggungjawab terhadap papan tanda ‘Bebas Rakyat, Bebas Anwar’.

Ketuanya, Adam Rosly Abdullah, berkata ia melanggari prinsip perlembagaan apabila wujudnya sentimen hasutan kepada rakyat untuk mencetuskan keganasan.

“AMK Ampang dan Parlimen Ampang tegas dan komited mempertahankan papan tanda itu daripada dibakar Datuk Jamal yang jelas melanggar perlembagaan serta melambangkan simbolik keganasan kepada rakyat.

IMG-20160317-WA0001“Aduan ini dibuat bagi memastikan polis mengambil tindakan tegas terhadap Datuk Jamal dan kumpulannya kerana (provokasi) hanya menjejaskan keharmonian negeri dan Parlimen Ampang,” katanya.

Laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, semalam.

Papan tanda dengan gambar bekas Ketua Pembangkang beserta tulisan ‘Bebas Rakyat, Bebas Anwar mula dipamerkan di beberapa kawasan di Selangor, antaranya Ampang Jaya, Pandan, Kepong, Rawang, Petaling Jaya dan Damansara.

Bagaimanapun, pemimpin Umno Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos bersama kumpulannya menggantung kain rentang dengan tulisan Anwar kononnya ‘seorang peliwat’ dan membuat ugutan untuk membakar papan tanda terbabit.

Pada masa sama, Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata rakyat boleh menilai sendiri tindakan melampau pihak tidak bertanggungjawab itu.

“Mereka ini tidak perlu dilayan kerana saya pasti rakyat lebih terbuka dan dapat membuat penilaian sendiri,” katanya.

-AA-