Categories
AGENSI SELANGOR

Shah Alam juara pertandingan futsal AMK Selangor

AMPANG, 30 JAN: Pasukan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shah Alam mengungguli kejohanan futsal Piala AMK Selangor yang diadakan di Galacticos De Futsal di sini semalam.

Kemenangan itu membolehkan mereka membawa pulang wang tunai RM3,000 beserta trofi. Naib juara pula disandang Junior FT yang menerima RM1,500 manakala RM1,000 untuk pemenang tempat ketiga, Galacticos FC.

Sebanyak 32 pasukan dari seluruh negeri menyertai kejohanan berkenaan.

Ketua AMK Selangor Chua Wei Kiat berkata pertandingan itu adalah kejohanan pertama dianjurkan pihaknya selepas negara dilanda Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kejohanan ini melibatkan penyertaan anak-anak muda berumur 18 hingga 35 tahun, penganjur sentiasa mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Kementerian Kesihatan,” katanya yang merasmikan pertandingan itu.

Turut hadir Naib Ketua AMK Selangor, Muadzam Shariff; Setiausaha AMK Selangor Jashir Khan dan Presiden Penggerak Belia Selangor (PeBS), Akmal Halim.