Categories
NASIONAL

AMK Bidas Politik Rasis BN Pulau Pinang

 

SHAH ALAM, 9 DIS : Angkatan Muda Keadilan Pulau Pinang (AMKPP) menyelar tindakan Pengerusi BN Pulau Pinang, Teng Chang Yeow berhubung kenyataan rasisnya yang mempersoalkan peningkatan peruntukan hal ehwal Islam di negeri itu oleh Kerajaan Pakatan Rakyat (PR).

Naib Ketuanya, Dr Afif Bahardin dalam satu kenyataan media menyifatkan kenyataan Teng itu sekadar untuk meraih sokongan politik, sekaligus menonjolkan manifestasi sikap ‘Islamophobia’ di kalangan anggota MCA.

Menurutnya lagi, kenyataan itu bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah menujukkan kedangkalan Teng sebagai pemimpin.

“AMKPP mengecam sikap Teng yang cuba mewujudkan rasa tidak senang di kalangan masyarakat bukan Islam dengan kenyataan berbaur hasutan itu. Hakikatnya, sejak Pakatan Rakyat memerintah, nasib masyarakat Pulau Pinang, tak kira ras dan agama terus mendapat pembelaan sewajarnya daripada Kerajaan Negeri.

“Peningkatan belanjawan hal ehwal Islam membuktikan betapa tadbir urus ekonomi negeri di bawah Pakatan Rakyat adalah lebih baik sehingga mencatat lebihan. Maka dengan lebihan ini, lebih banyak dana dapat disalurkan kepada program pendidikan dan pembentukan jati diri rakyat bagi mewujudkan masyarakat yang madani di Pulau Pinang.

“Fakta ini membuktikan Kerajaan Negeri terdahulu, yang dipimpin BN sebagai pentadbir yang lemah dan gagal mentadbir ekonomi dengan baik,” katanya.

Afif juga mendakwa, kenyataan terbaru Teng itu jelas menunjukkan sikap sebenar pimpinan BN dan MCA yang bukan hanya rasis tetapi anti-Islam.

Tegasnya, AMKPP percaya bahawa rakyat Pulau Pinang jauh lebih bijak menilai dan tidak akan terpengaruh dengan politik rasis BN serta komponen mereka.

“Setiap sayap Umno tidak perlu takut untuk menegur komponen mereka sendiri kerana isu ini bukan hanya melibatkan soal masyarakat Melayu dan Islam, tetapi melibatkan soal kebajikan rakyat Pulau Pinang seluruhnya.

“Sikap diam diri Umno sehingga hari ini apabila berhadapan dengan komponen mereka, MCA, membuktikan betapa Umno sudah tidak lagi berdaya untuk mewakili kepentingan masyarakat Melayu Islam lagi.

“AMKPP percaya rakyat Pulau Pinang akan terus memberikan mandat yang lebih besar kepada Pakatan Rakyat untuk mentadbir negeri ini dan membentuk Kerajaan Pusat di Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti,” katanya lagi.