Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

EXCO: Peruntuk lebih RM2 juta bantu pusat kebajikan, NGO

SHAH ALAM, 10 DIS: Kerajaan Negeri membelanjakan lebih RM2 juta bagi menyantuni 103 pusat kebajikan dan badan bukan kerajaan (NGO) sepanjang tahun ini, kata EXCO kebajikan masyarakat.

V Ganabatirau berkata sumbangan disalurkan menerusi program Dana Sukarelawan Kebajikan, Program Sinergi Prihatin, Program Lestari Kebajikan, Program Santuni Pusat Kebajikan dan Geran Pusat Penjagaan Warga Emas.

“Inisiatif ini membabitkan pusat kebajikan yang berdaftar antaranya pusat penjagaan warga emas, orang kelainan upaya (OKU), rumah anak yatim dan rumah perlindungan serta pemulihan.

“Kebanyakan program baharu dilaksana tahun ini bagi menggantikan beberapa program yang tidak dapat dianjur secara bersemuka akibat kekangan pandemik Covid-19,” katanya.

Beliau berkata kepada media selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Program Santuni Pusat Kebajikan Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Ganabatirau berharap penyelia pusat kebajikan memberi pengurusan rapi kepada penghuni yang memerlukan perhatian dan penjagaan kendiri.

“Terima kasih kepada semua pusat kebajikan di Selangor terhadap keprihatinan dan keikhlasan dalam memberi perkhidmatan dan perlindungan kepada golongan memerlukan penjagaan dan kasih sayang,” katanya.