Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Tsunami: Malaysia sedia bantu ringankan beban rakyat Indonesia- Wan Azizah

KUALA LUMPUR, 23 DIS: Malaysia sedia membantu meringankan beban rakyat Indonesia berikutan tsunami yang melanda sekitar pantai di Selat Sunda, Indonesia, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Terkesan mendengar berita tsunami melanda Banten, Indonesia yang sekurang-kurangnya telah mengorbankan 20 nyawa.

“Saya doakan Indonesia terus tabah menghadapi ujian ini. Malaysia sedia membantu meringankan beban saudara kita di Indonesia. @jokowi #PrayForIndonesia,” katanya di laman Twitter beliau, hari ini.

Seramai 20 orang dilaporkan maut akibat tsunami yang berlaku sekitar 9.27 malam tadi (10.27 malam waktu Malaysia) dipercayai berlaku akibat letusan gunung berapi Anak Krakatau.

Ketua Pusat Data Informasi dan Hubungan Masyarakat Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB) Sutopo Purwo Nugroho berkata mangsa yang terkorban khususnya berlaku di Kabupaten Pandeglang, Lampung Selatan dan Serang.

Setakat 4.30 pagi tadi (Waktu Indonesia Barat), 20 maut, 165 orang cedera, dua dilaporkan hilang dan puluhan bangunan rosak akibat kejadian itu.

SUMBER: BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA GLOBAL

20 maut kejadian tsunami letusan gunung berapi Anak Krakatau

JAKARTA, 23 DIS: Seramai 20 orang dilaporkan maut akibat tsunami di sekitar pantai di Selat Sunda, tsunami yang dipercayai berlaku akibat letusan gunung berapi Anak Krakatau.

Ketua Pusat Data Informasi dan Hubungan Masyarakat Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB) Sutopo Purwo Nugroho berkata mangsa yang terkorban khususnya berlaku di Kabupaten Pandenglang, Lampung Selatan dan Serang.

“Sehingga jam 4.30 pagi tadi (Waktu Indonesia Barat) tercatat 20 orang meninggal dunia, 165 orang cedera, dua orang dilaporkan hilang dan puluhan bangunan rosak akibat kejadian itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata tsunami berlaku sekitar jam 9.27 malam tadi (Sabtu malam) dan pihak berkuasa Indonesia masih menyelidik punca berlakunya tsunami itu.

“Faktor penyebab tsunami masih dalam penyelidikan oleh Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofisika (BMKG) untuk mengetahui secara pasti.

“Kemungkinan disebabkan berlaku pergerakan tanah di bawah dasar laut akibat letusan gunung Anak Krakatau dan berlaku gombang air pasang dan kombinasi itu menyebabkan berlakunya tsunami secara tiba tiba,” katanya.

Sutopo berkata pihak berkuasa Indonesia terdiri daripada BNPB, tentera, polis dan agensi-agensi berkaitan sedang menangani situasi itu.

“Jalan raya yang menghubungkan Serang-Pandeglang terputus akibat tsunami. Jumlah korban juga dikhuatiri meningkat,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
GLOBAL

Gunung Anak Krakatau meledak 156 kali, zon larangan 2km

JAKARTA 4 OKT: Gunung berapi Anak Krakatau di Selat Sunda, Selatan Lampung meledak 156 kali sepanjang dua hari ini, demikian menurut Agensi Meteorologi, Kaji Cuaca dan Geofizik Pusat (BMKG) Indonesia.

Walaupun ia pernah meledak September lalu, agensi geologi Indonesia tidak menaikkan tahap amaran, sebaliknya mengenakan zon larangan sekurang-kurangnya dua kilometer di sekeliling gunung berapi itu.

Pegawai BMKG, Deny Mardiano yang memantau Anak Krakatau melaporkan terdengar beberapa bunyi seakan guruh diikuti gegaran kecil ketika ledakan itu.

“Walau berlaku gegaran dan ledakan, gelombangnya kelihatan lebih tenang,” kata agensi itu.

SUMBER: AGENSI