AMPANG, 7 MAC: Anak muda Selangor digesa menyertai aktiviti kesukarelawanan bagi memperkasa sahsiah diri serta masyarakat.
Dato’ Menteri Besar berkata pembabitan dalam kegiatan seperti itu mampu membentuk warganegara yang prihatin, bertanggungjawab, saling membantu tanpa mengira agama, kaum dan warna kulit.
“Malah program sukarelawan juga dapat membantu usaha kerajaan mencegah perebakan Covid-19 dan kejayaan ini dibuktikan di beberapa negara.
“Contohnya kumpulan tersebut di Thailand diberi tugas khusus membantu kerajaan, sebab itu ia antara negara yang berjaya mengekang wabak dengan berkesan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika berucap pada Majlis Perasmian Relawan Lembah Maju di Ampang Avenue semalam.
Beliau berkata inisiatif penubuhan sukarelawan Lembah Maju perlu menjadi contoh kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor.