OLEH ERMIZI MUHAMAD
SHAH ALAM, 6 MAC: Barisan Nasional (BN) hanya bijak menabur janji bulan dan bintang, namun gagal memahami aspek kebajikan menyeluruh rakyat Selangor.
Setiausaha Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor, Syed Badli Shah Syed Osman berkata, setelah 50 tahun Umno mentadbir Selangor, parti itu gagal membawa perubahan positif jangka panjang kepada rakyat.
“Segala taburan janji bulan dan bintang ditebar kepada rakyat hanyalah bersifat retorik dan langsung tiada nilai selain bertujuan memancing undi semata-mata.
“Ketua Umno Sungai Besar, Dato’ Seri Jamal Md Yunus kelihatan terpaksa menagih undi dengan berjanji retorik memberikan rumah percuma dan lesen percuma.
“Hakikatnya di zaman pemerintahan BN di Selangor, setitis air pun gagal diberikan percuma,” katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun katanya, pentadbiran Pakatan ditunjangi Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali tampil melaksanakan dasar bermanfaat.
“Pelbagai bentuk inisiatif yang menguntungkan akhirnya memberi manfaat besar buat rakyat di Selangor.
“Pelbagai bentuk inisiatif dari peringkat bayi sehingga ke liang lahad, semuanya tidak terlepas dari menerima habuan kebaikan yang dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk pelbagai manfaat,” katanya.
Justeru katanya, pentadbiran Umno-BN disaran supaya tidak bermain retorik politik dan berpijak di bumi nyata bahawa BN memang gagal mentadbir Selangor sebelum ini.
“Wajarlah pengundi di Selangor terus menolak BN dan mengekalkan status mereka sebagai pembangkang sepanjang zaman,” katanya.