Categories
NASIONAL

Kematian Pegawai PTD, AMK Gesa Siasatan Menyeluruh

SHAH ALAM 17 SEPT : Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa Kerajaan Pusat menjalankan siasatan menyeluruh berhubung insiden kematian seorang anggota pegawai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD) ketika menjalani latihan ketenteraan di Pekan, Pahang, semalam.

Ketuanya, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata Kerajaan Pusat juga perlu mendedahkan hasil laporan siasatan berhubung insiden itu.

Beliau turut mempersoalkan kewajaran bagi seorang PTD dikehendaki latihan ketenteraan dan kaitan latihan terbabit dengan tugas seorang pegawai PTD.

Semalam, Allahyarham Aldy Hasmi Abu, pegawai PTD meninggal dunia ketika menjalani latihan ketenteraan di Kem Wataniah Force 136 di Pekan, Pahang.

Sebelum ini di Banting, Selangor seorang PTD, Allahyarhamah Norhashimah Wahid maut ketika menjalani latihan ala-komando.

“Pegawai PTD dan seluruh anggota perkhidmatan awam merupakan aset penting dalam pentadbiran negara maka kerajaan seharusnya perlu bersikap tegas dalam menjamin keselamatan mereka tanpa mengira samada di premis kerja atau pun ketika sedang menjalani kursus dan program latihan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Shamsul menambah, AMK kesal dengan insiden itu memandangkan insiden sama pernah berlaku dua tahun lalu yang mana membabitkan kematian pegawai PTD ketika mengikuti kursus Diploma Pengurusan Awam (DPA).

Difahamkan bahawa latihan ketenteraan wataniah kini merupakan sebahagian daripada modul kursus DPA yang wajib dijalani oleh setiap pegawai PTD bagi tujuan latihan dan sebahagian daripada proses pengesahan dalam perkhidmatan awam.

Namun demikian, AMK mengalu-alukan dan menyambut baik langkah serta-merta Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa yang  mengarahkan pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) menghentikan semua aktiviti lasak melibatkan kursus berkenaan.

Categories
SELANGOR

Isu Gambar Dipijak : Siasat Penghinaan Terhadap Pemimpin Pakatan Juga


PETALING JAYA, 4 SEPT : Polis harus bersikap adil dalam siasatannya terhadap tindakan manghina pemimpin negara dengan menyiasat semua kes tidak kira Umno-BN atau Pakatan Rakyat.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata pihak berkuasa perlu menjalankan tanggungjawab dengan penuh amanah dan tidak hanya mementingkan pemimpin Umno-BN.

Katanya, beberapa pemimpin Pakatan dan NGO pernah dihina dengan gambar mereka dipijak, dikoyak dan dibakar oleh pihak tertentu yang tidak bersetuju dengan pendirian mereka.

“Hari ini dengarnya polis sebut nak tubuh pasukan khas.

?Saya nak cabar Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin tubuhkan pasukan khas untuk menyiasat semua sekali yang menghina pemimpin sama ada dalam kerajaan ataupun pembangkang.

?Adalah satu perkara yang tidak adil untuk sekadar buat satu siasatan nak jaga Perdana Menteri tetapi boleh menghina pemimpin-pemimpin yang lain. Ini tidak betul,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini hari ini.

Pasukan itu dilaporkan akan menyiasat tindakan beberapa individu yang memijak gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor pada himpunan ?Janji Demokrasi? di Dataran Merdeka Kuala Lumpur pada 30 Ogos.

Pada 1 September, bas ceramah Pakatan disimbah cat merah ketika program siri jelajah Merdeka Pakatan di Kota Baru.

Pada bulan Mei lalu, sekumpulan penyokong persatuan pro-ketuanan Melayu Perkasa, melakukan perkara yang sama terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Pada bulan Jun pula, sekumpulan aktivis pesara tentera melakukan senaman punggung di depan rumah pengerusi jawatankuasa gerakan Bersih Datuk Ambiga Sreenivasan.

Dalam ketiga-tiga kes pemimpin Pakatan, pihak berkuasa tidak memberi sebarang respons tentang tindakan yang mereka akan ambil melainkan sekadar ?menerima laporan polis?.

Shamsul Iskandar berkata, AMK tidak terlibat dan tidak mengetahui pihak yang terlibat dalam insiden pada ambang kemerdekaan itu.

Bagaimanapun, katanya, AMK turut sedia membantu bagi mengesan individu atau pihak yang terlibat itu.

“Saya tidak kenal tetapi saya dah minta pihak AMK Wilayah Persekutuan untuk menyiasat dan mencari mereka yang terlibat.

?Kita juga nak bantu tentang kes pijak gambar Perdana Menteri dan isteri ini.?

Categories
NASIONAL

Kekalkan Jalur Gemilang Tapi Sokong Aspirasi Anak Muda

PETALING JAYA, 3 SEPT : Umno-BN ‘buta sejarah’ apabila memperbesarkan isu pengibaran bendera “Sang Saka Malaya” oleh sekumpulan anak muda pada ambang kemerdekaan 30 Ogos lalu, walaupun bendera parti itu sendiri mempunyai elemen ?sang saka?.

Bendera Umno, iaitu ‘Sang Saka Bangsa’ yang digunakan sejak awal penubuhannya hingga hari ini mempunyai jalur merah dan putih seperti bendera ?Sang Saka Malaya?.

Ketua AMK Pusat, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata isu itu tidak sepatutnya di perbesarkan seolah-olah ia mengancam keselamatan negara.

Tegasnya, ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyeru generasi muda berfikiran terbuka adalah sesuatu yang dangkal apabila ada generasi muda celik sejarah ditekan hanya kerana mempunyai idea berbeza dalam mengiktiraf sejarah.

Menurutnya, tindakan juak-juak ‘laskar siber’ Umno-BN mengaitkan Sang Saka Malaya dengan pengaruh negara jiran adalah pelik.

“Barisan kepimpinan dan anggota AMK sebulat suara menyokong pendirian kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bertegas tidak ada sebarang cadangan bagi menukar ganti Jalur Gemilang dengan Sang Saka Malaya.

“Apa yang berlaku cuma manifestasi suara anak muda yang cerah fikiran dan tajam pengamatan sejarahnya dalam meraikan sumbangan dan semangat tokoh kemerdekaan yang ‘didiamkan’ oleh buku teks sejarah.

?Seperti Dr Burhanuddin Al Helmi dan Ishak Muhammad atau Pak Sako dan lain-lain,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan polis dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mahu menyiasat kumpulan itu kerana mengibarkan ?Sang Saka Malaya? pada himpunan Janji Demokrasi di Dataran Merdeka Khamis lalu.

Shamsul Iskandar juga menegaskan pihaknya menyokong segala aspirasi dan cetusan anak muda namun ia haruslah berpaksikan sejarah dan mempunyai asas yang kukuh.

Beliau selanjutnya berkata, manifestasi dicetuskan kumpulan anak muda itu kemungkinan tanda protes terhadap sambutan kemerdekaan negara yang terlalu dipolitikkan.

Beliua berkata tiada sebarang alasan bagi polis untuk mengaitkan AMK dengan isu ini.

Tambahnya lagi, isu itu juga tiada kaitan dengan Timbalan Ketua Penerangan AMK, Najwan Ali kerana apa yang dilakukannya sebelum beliau menganggotai AMK.

Berhubung seorang individu yang menulis di laman singaselatan.blogspot.com mengaku mengibarkan bendera ?Sang Saka Malaya? pada malam tersebut.

Individu itu berkata beliau tidak mewakili pihak kerajaan atau pembangkang.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Demonstrasi Bantah Catuan Air Syabas, Sokong Kerajaan Selangor Esok

SHAH ALAM 22 JULAI : Satu perhimpunan ‘anti-SYABAS’ daripada Angkatan Muda Keadilan (AMK) akan diadakan esok bagi mendesak Syabas supaya menyerahkan operasi air terawat kepada Kerajaan Selangor.

Naib Ketua AMK Azmizam Zaman Huri berkata demonstrasi itu juga supaya Syabas tidak lagi bermain tarik tali dengan menyusahkan rakyat terutama ketika Ramadan dan menjelang Syawal Ogos depan.

Himpunan di depan Wisma Rozali, Seksyen 13, pada 12 tengahari di sini akan melibatkan penyerahan memorandum kepada Syabas.

“AMK Selangor juga mengalu-alukan semua parti politik serta NGO dan badan tidak berkepentingan untuk menyertai bantahan itu,” katanya.

Mengikut satu perjanjian pada 2004, Syabas, sebuah syarikat swasta, dipertanggungjawabkan untuk mengurus operasi bekalan dan pengedaran air terawat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Kerajaan Negeri sedang di dalam proses mengambil alih operasi itu dari Syabas ekoran kegagalan Syabas untuk melaksanakan tugasnya yang menyebabkan ganguan bekalan air terawat di beberap kawasan di selatan Selangor.

Dua minggu lalu, Syabas dilaporkan meminta agar catuan air dilakukan di beberapa kawasan di Selangor. Tindakan itu dikritik Kerajaan Negeri yang berkata bekalan air mentah melimpah di tujuh empangan Selangor.

Categories
SELANGOR

Selangor Sedia Bantu Khalid Ismath Dapatkan Khidmat Guaman

SHAH ALAM, 12 JUN : Kerajaan Negeri Selangor sedia membantu mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM), Khalid Mohd Ismath sekiranya ingin membuat permohonan berhubung penggantungan pengajiannya selama tiga semester di institusi berkenaan.

Menurut Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar bantuan tersebut merangkumi pelbagai aspek antaranya kewangan dan khidmat guaman.

?Sekiranya ada permohonan daripada Khalid, saya sedia berbincang dengan Exco Kerajaan Negeri yang lain untuk pertimbangkan apa jua bantuan yang diperlukan Khalid termasuk kewangan,? katanya semasa sidang media di pejabatnya, di sini, semalam.

Dr Xavier juga mendakwa tindakan Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar adalah tidak adil dan berbaur politik serta meminta Khalid membuat rayuan supaya hukuman itu ditarik balik.

Beliau turut mendesak UiTM untuk menarik balik penggantungan penuntut jurusan undang-undang itu dan menasihatkan Sahol supaya memberi tumpuan bagi meningkatkan kedudukan universiti itu daripada kedudukan 601 kepada 100 terbaik di dunia.

?Hanya kerana dia beri komen atas perkara tertentu (ugut polis dalam akaun Facebook miliknya), dia digantung belajar. Ia boleh jejaskan pengajiannya. Biarkan dia habiskan pengajiannya, selepas itu dia boleh berhujah untuk diri sendiri,? katanya.

Tambahnya, sepanjang tahun 2008 hingga 2012, Kerajaan Negeri mengeluarkan pinjaman hampir RM9.7 juta kepada pelajar UiTM melibatkan 1,665 orang, manakala seramai 7,420 pelajar universiti itu mendapat hadiah RM1,000 selepas memasuki IPT berkenaan.

Sementara itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Azmizam Zaman Huri menyifatkan tindakan penggantungan pengajian Khalid adalah sebagai percubaan pihak berkepentingan yang takut dengan kebangkitan mahasiswa.

Menurutnya, sekiranya penggantungan pengajian Khalid tidak ditarik balik, AMK tidak teragak-agak untuk mendedahkan isu tersebut kepada orang ramai menerusi siri jelajah mahasiswa di seluruh Selangor.

Katanya, siri pertama akan dijalankan di Taman Setia, Jalan Johan Setia, Klang, pada 17 Jun ini.

?Saya ada bukti yang menunjukkan kebanyakan program di UiTM lebih cenderung untuk sokong BN. Malah, ada program motivasi yang diadakan menyatakan, sekiranya BN jatuh pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13), UiTM juga akan jatuh. Itu semua tidak benar, malah kami akan pertahankan UiTM,? katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

AMK Adakan Hotline Mangsa Keganasan Polis BERSIH 3.0

PETALING JAYA 6 MEI : Angkatan Muda Keadilan (AMK) mengadakan sebuah hotline bagi membantu 49 peserta BERSIH 3.0 yang dikhendaki oleh pihak polis agar mereka boleh mendapat nasihat guaman.

Hotline tersebut juga akan dibuka kepada peserta BERSIH 3.0 yang dipukul atau dikasari oleh polis semasa mereka mengambil bahagian di dalam himpunan gergasi itu pada Apr 28.

Ketua AMK Shamsul Iskandar Mat Akin mengalukan 49 individu yang gambar mereka dipaparkan di dalam surat khabar agar menghubungi hotline tersebut bagi mendapatkan nasihat guaman.

?Kalau mereka memerlukan bantuan dan tidak tahu siapa nak hubungi, kita tawarkan perkhimatan kerana ramai yang menghubungi saya, perlu kah berjumpa polis??, kata Shamsul Iskandar dalam satu sidang media di ibu pejabat PKR di sini hari ini.

Shamsul Iskandar turut mendesak polis agar menjelaskan apa kesalahan yang dilakukan oleh 49 individu tersebut sehingga muka mereka disebarkan dalam surat khabar.

?Tolong maklumkan apa kesalah mereka? Itu soalan yang saya minta polis tolong jawab.

?Saya yakin mereka tidak melakukan sebarang kesalahan dan kalau merempuh barricade itu satu kesalah, tolong tunjuk peruntukan mana, undang-undang apa??

Hotline tersebut boleh dihubungi melalui emel [email protected] dan sms kepada talian 012 654 1514.

Pada Mei 4, akhbar pro-Umno-BN mengeluarkan gambar-gambar 49 peserta tersebut dengan kenyataan dari Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohamad Salleh agar mereka menyerah diri di mana-mana balai polis.

Mohamad berkata mereka ini diminta bagi ?membantu siasatan? dalam insiden keganasan semasa himpunan BERSIH 3.0.

Shamsul Iskandar juga berkata PKR dan parti Pakatan Rakyat sedang mengumpul semua aduan dan keterangan daripada ahli mereka dan peserta lain yang mendakwa mereka dianiayai polis semasa BERSIH 3.0.

PKR kemudian akan berjumpa dengan NGO lain seperti SUARAM, Majlis Peguam dan Lawyers for Liberty bagi menyelaraskan tindakan undang-undang yang bakal diambil terhadap polis dan kerajaan pusat atas tuduhan memukul dan mencederakan peserta BERSIH 3.0.

?Beberapa peguam kita seperti YB Sivara (MP Subang Sivara Rasiah) dan Lateefa Koya sedang mengatur strategi untuk menyelaraskan usaha-usaha ini.?

Setakat ini PKR telah mendapat maklum balas dari seramai 117 individu yang mendakwa mereka dikasari atau dipukul polis semasa himpunan tersebut, tambah Shamsul Iskandar.

ends

Categories
NASIONAL

Dataran Masih Renggang, Demo Anti-PTPTN Mula Selepas Solat Zohor

Liputan Khas oleh Afix Redzuan, Lizawati Madfa dan Nazli Ibrahim.

KUALA LUMPUR 14 APR : Sekumpulan pelajar institusi pengajian tinggi dan peserta dilihat berkumpul di perkarangan Masjid Jamek di Kuala Lumpur bagi bersiap sedia untuk himpunan anti-Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Difahamkan mereka berkumpul di kawasan itu dan akan bergerak ke Dataran Merdeka selepas solat Zohor.

Himpunan yang akan bermula pada sekitar pukul 2 petang di Dataran Merdeka dijangka menarik seramai 5,000 peserta yang turun untuk mendesak kerajaan pusat memansuhkan pinjaman tersebut.

Demonstrasi yang dianjurkan oleh Solidariti Mahasiswa Malaysia itu, bakal dihadiri peserta dari Kelantan, Terengganu dan Johor, selain dari institusi di Lembah Klang.

Anggota dan pemimpin Angkatan Muda Keadilan (AMK) juga dijangka akan menyertai himpunan tersebut.

Sebelum ini, Pengerusi SMM Safwan Anang berkata kumpulan mahasiswa pro-Umno juga bakal hadir di dalam himpunan tersebut.

Tinjauan krew TVSelangor di sekitar Dataran mendapati keadaan masih lengang dengan beberapa pasukan polis, Jabatan Pertahanan Awam, Penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan RELA meronda kawasan sekitar Dataran Merdeka.

TVSelangor akan memulakan liputan terus dari Dataran Merdeka mulai 2 petang.

Berita lanjut menyusul.

Categories
NASIONAL SELANGOR

AMK: PTPTN Di Jadikan Isu Perkauman Oleh UMNO

SHAH ALAM, 11 APR : Isu perkauman yang cuba ditakut-takutkan oleh Kerajaan Umno-BN jika PTPTN dimansuhkan jelas sekali membuktikan  Umno-BN ketandusan isu dan tidak mengkaji Perlembagaan Malaysia.

Ketua Angkatan Muda KeAdilan (AMK), Shamsul Iskandar Md Akin berkata kenyataan yang dibuat oleh Umno-BN jika memansuhkan PTPTN akan menyebabkan orang-orang Melayu semakin mundur dan ketinggalan adalah tidak masuk akal.

” Isu pemansuhan PTPTN telah menjadi modal politik Umno-BN untuk mencetuskan isu perkauman dikalangan orang Melayu dan membelakangkan Perlembagaan Persekutuan Malaysia,” jelas beliau ketika dihubungi hari ini.

Menurut Perkara 153 Perlembagaan Malaysia, menjadi tanggungjawab kepada Yang di-Pertuan Agong menjaga hak keistimewaan Bumiputera.

Sehubungan itu, artikel ini juga menyebut, Kerajaan Pusat ditugaskan untuk melindungi kepentingan Bumiputera dengan mendirikan kuota kemasukan ke dalam perkhidmatan awam, biasiswa dan pendidikan awam.

Justeru itu, telah menjadi tanggungjawab Kerajaan Pusat untuk menyediakan pendidikan yang sepatutnya dinikmati oleh golongan Bumiputera.

Beliau turut berkata, sistem pendidikan yang digunapakai sekarang ini jelas membebankan pelajar kerana dibebani hutang  yang tinggi selain akan turut mempengaruhi masa depan pelajar terbabit.

” Pelajar akan dibebani hutang sehingga 20 tahun kerana melanjutkan pelajaran sedangkan matlamat pendidikan itu sendiri untuk menyediakan setiap rakyat yang mempunyai ilmu pengetahuan,” tambahnya lagi.

Selain itu, beliau turut menyatakan AMK akan menyokong Perhimpunan amam Mansuhkan PTPTN yang akan berlangsung di Dataran Merdeka pada 14 April ini.

“Seluruh jentera AMK di Selangor, Perak dan Negeri Sembilan akan bersama mahasiswa untuk menyertai perhimpunan  aman ini,” katanya.

AMK Kerah Seluruh Jentera Turun Demo Anti-PTPTN

SHAH ALAM 08 APRIL : Angkatan Muda Keadilan (AMK) akan memberi sokongan penuh pada demo Anti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang akan diadakan pada 14 April depan.

Ketuanya, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata AMK akan mengerakkan seluruh jenteranya sendiri bagi menyokong mahasiswa dan ?mangsa? hutang pinjaman PTPTN itu.

“Dalam perbincangan bersama aktivis mahasiswa Adam Adli Abd Halim semalam, kami membuat keputusan untuk turun padang bersama mahasiswa dan mangsa PTPTN itu sendiri sebagai rangsangan terhadap mereka,” katanya.

Demo Anti PTPTN itu akan diadakan di Dataran Merdeka bermula jam 2 petang.

Sebelum ini, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) mensasarkan 5,000 mahasiswa dan ?mangsa? hutang pinjaman PTPTN akan turun berhimpun menuntut pemansuhan pinjaman itu bulan depan.

Tambah Shamsul, AMK akan mengadakan perbincangan dengan Dewan Pemuda PAS (DPP) sebelum demo itu bagi membincangkan mengenainya.

Katanya, AMK juga akan bergabung tenaga dengan DPP dalam demo itu nanti.

“Dataran itu akan dijadikan sebagai medan perhimpunan untuk memberi tekanan kepada kerajaan berhubung pemansuhan pinjaman PTPTN.

“Ia sebagai satu simbolik kepada kerajaan, bahawa mereka tidak lagi dipercayai, untuk membawa agenda pendidikan percuma dan mansuhkan PTPTN,” katanya.

Perhimpunan itu juga bagi menuntut kerajaan memberikan pendidikan percuma kepada rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama, bermula tadika sehingga PhD.