Categories
AGENDA NASIONAL

Jambatan runtuh, 20 pelajar pergi sekolah naik bot askar

JELEBU, 10 JAN: Pengalaman pertama kali menyeberangi sungai menaiki bot tempur Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada hari permulaan sekolah mengujakan pelajar yang tinggal di Kampung Bemban, dekat sini.

Laluan utama ke sekolah berkenaan yang terletak di Kampung Jerang itu terputus akibat banjir besar baru-baru ini apabila jambatan yang menghubungkan kedua-dua kampung itu musnah dan kini dalam kerja pembinaan semula oleh pihak Jabatan Kerja Raya.

Seawal 6.30 pagi, anggota ATM telah bersedia dengan sebuah bot bagi membawa kira-kira 20 pelajar berkenaan ke sekolah dengan menyeberangi Sungai Triang menaiki bot pada hari pertama pembukaan sekolah hari ini.

Anggota tentera membawa pelajar sekolah dari Kampung Bemban, Simpang Durian, Jelebu menaiki bot tempur untuk menyeberangi sungai yang terputus hubungan jalan darat akibat banjir pada 19 Disember 2021 yang lalu. Foto Bernama

Bot tempur sepanjang 12 kaki itu dilengkapi jaket penyelamat untuk kegunaan pelajar dari Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Tipus, SK Simpang Durian, SK Sungai Buloh dan Sekolah Menengah Kebangsaan Triang Hilir.

Biarpun tidak sampai lima minit menyeberangi Sungai Triang itu, Nur Syuhada Zainal, 10 tahun berasa seronok dan bersemangat untuk ke sekolah bersama rakan-rakan.

Sebelum jambatan itu rosak, dia menaiki kereta dipandu ibunya dan permulaan sesi persekolahan hari ini adalah pengalaman pertama menaiki bot ke sekolah serta pulang ke rumahnya di Kampung Bemban.

“Ini merupakan pertama kali saya naik bot ke sekolah, sangat seronok…selalunya ayah hantar saya menaiki motosikal, kali ini sangat berbeza, ini pengalaman yang sangat menyeronokkan,” kata Ahmad Nuzul Haikal Mohd Rosdi, 4.

Dalam pada itu, Guru Besar SK Durian Tipus Masrawati Mat Ali serta beberapa guru lain dan pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Jempol dan Jelebu turut bersama-sama memastikan keselamatan kira-kira 15 pelajar menyeberangi sungai itu setelah tamat waktu persekolahan.

Ibu bapa pelajar terbabit menunggu di seberang sungai seawal 12 tengah hari untuk membawa pulang anak masing-masing.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

750 anggota ATM bantu hospital di Lembah Klang kendali kes Covid-19

KLANG, 8 OGOS: Seramai 750 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) digerakkan di hospital-hospital sekitar Lembah Klang bagi membantu petugas kesihatan mengendalikan kes-kes berkaitan Covid-19.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata khidmat anggota pertahanan itu diperlukan, antaranya bagi membantu membawa tong-tong oksigen kepada pesakit yang berkenaan.

“Dulu ada timbul isu tenaga kerja untuk memberi bantuan oksigen. Itu memerlukan tenaga kerja dan ATM menyediakan 750 anggota untuk membantu hospital di seluruh Lembah Klang termasuk 90 anggota ATM di tempatkan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini.

“Sebab satu balang itu boleh beri oksigen selama lapan jam, jadi selepas habis oksigen itu kita mahu terus bagi yang baharu, jadi kita tak nak ada ‘lagged’ (kelewatan) yang boleh membahayakan pesakit,” katanya.

Terdahulu, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan mendengar taklimat kira-kira sejam bersama kepimpinan HTAR, Klang di sini mengenai status pengoperasian dan rawatan kepada pesakit Covid-19 dan pesakit bukan Covid-19.

Ismail Sabri berkata ini antara perkara yang ditambah baik dan beberapa perkara lain akan ditambah baik lagi, termasuk prosedur perolehan untuk pembelian ubat-ubatan serta peralatan perubatan lain.

“Jadi kalau boleh kurangkan birokrasi dan kurangkan birokrasi perolehan, kerana ini boleh dianggap sebagai kecemasan…jadi boleh diketepikan sedikit prosedur, jika tidak ia akan memakan masa…ini saya akan bincang dengan Kementerian Kewangan,” katanya.

Selain itu, katanya van-van ambulans seperti Pertubuhan Bulan Sabit Merah dan Saint John mungkin akan diberi token atas khidmat bakti yang diberikan.

“Sekarang memang mereka membantu kita tetapi secara sukarela, jadi mungkin kita boleh bincang kalau ada peruntukan boleh beri sedikit token kepada mereka untuk membantu mengambil pesakit dengan segera dari rumah,” katanya

Sementara itu, Ismail Sabri berkata HTAR telah melakukan penambahan 578 katil termasuk 100 katil di hospital medan untuk menampung peningkatan pesakit Covid-19.

“Setakat hari ini, hospital ini mempunyai 1,264 katil iaitu 900 untuk pesakit Covid-19 manakala selebihnya katil bagi pesakit bukan Covid-19,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

42,120 anggota ATM terima vaksin Covid-19 fasa pertama – menteri

SEREMBAN, 20 FEB: Seramai 42,120 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di seluruh negara akan menerima suntikan vaksin Covid-19 pada fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang dijadualkan bermula 26 Februari ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pemberian vaksin itu melibatkan 84,240 dos dengan setiap anggota menerima dua dos suntikan vaksin.

“Saya percaya Mac nanti (anggota) kita akan terima (vaksin) memandangkan tentera juga adalah barisan hadapan. Ini termasuk juga anggota yang mengawal sekatan jalan raya dan Op Benteng bersama polis.

“Jadual (pemberian vaksin) akan ditetapkan dan dimaklumkan pada pihak ATM,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT), Markas 1 Briged, Kem Sikamat, di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata untuk ketibaan vaksin Pfizer-BioNTech Covid-19 esok, ATM juga akan dilibatkan bagi kawalan keselamatan mulai esok hingga waktu suntikan diberikan kepada orang awam.

Esok, Malaysia akan menerima 312,390 dos vaksin Pfizer-BioNTech Covid-19 yang akan diterbangkan dengan penerbangan pesawat penumpang Malaysia Airlines ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dan diasingkan sebelum dihantar ke pelbagai tempat penyimpanan vaksin di seluruh negara.

Sementara itu, ditanya sama ada ATM mempertimbang menjadikan hospitalnya antara pusat simpanan vaksin, Ismail Sabri berkata ATM bersedia membantu kerajaan dalam sebarang keadaan selain mempunyai keanggotaan yang mencukupi.

“Insya-Allah, kita bersedia berbincang dengan Hospital Angkatan Tentera lagi pun ATM juga banyak terlibat dalam urusan Covid-19 termasuk menyediakan Hospital Medan ATM di Sabah sebelum ini,” katanya.

Terdahulu, Ismail Sabri menjelaskan, lawatannya ke RKAT itu adalah sebahagian daripada lawatan ke formasi-formasi Tentera Darat Malaysia.

“Di sini saya juga telah meluluskan pembinaan dewan serbaguna bernilai RM5 juta yang akan dibina sama ada tahun ini atau awal tahun hadapan dan turut sempat menziarahi empat rumah bagi menyantuni waris dan anggota yang menghidapi penyakit,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Aset ATM berada di tahap memuaskan – Affendi

KUALA LUMPUR, 27 JAN: Aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ketika ini berada di tahap kesiagaan yang memuaskan, kata Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang.

Beliau berkata ia dapat dibuktikan dengan penglibatan ATM dan penggunaan asetnya secara berterusan bagi melaksanakan tugas hakiki seperti rondaan, pemantauan, pengumpulan maklumat dan tugas-tugas sokongan.

“Aset-aset diatur gerak untuk penugasan seperti Operasi Benteng (Op Benteng) dan Operasi Penawar tanpa henti termasuk penerbangan sokongan dan pengoperasian Hospital Medan sepanjang menguruskan pandemik Covid-19 ini.

“Selain itu, rancangan perolehan aset dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) telah diluluskan Kementerian Pertahanan dan dengan perolehan aset-aset ini, tahap kesiagaan akan dipertingkatkan sekali gus dapat menyumbang kepada kejayaan operasi yang sedang dilaksanakan,” katanya dalam perutusan khas sempena tahun baharu 2021 di laman rasmi Facebook ATM hari ini.

Dalam pada itu, Affendi berkata penubuhan Bahagian Siber dan Elektromagnetik ATM pada tahun lepas bakal melengkapkan keupayaan domain peperangan siber dan elektromagnetik negara.

“Keupayaan ini akan terus diperkasakan agar ATM berupaya menangani sebarang ancaman siber kerana kita berada dalam dunia tanpa sempadan dan di persada Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) yang amat bergantung kepada kelangsungan beroperasi dalam domain siber,” katanya.

Affendi juga berharap ATM menjadikan perubahan teknologi yang pesat dan IR4.0 yang diuar-uarkan sejak 2011 sebagai petanda aras untuk menjadi warga ATM yang mahir teknologi.

“Sekali gus, mampu mengoperasikan segala peralatan dan sistem dengan lebih efisyen. Pada masa sama, mereka juga mampu menghasilkan sendiri program atau perisian yang diperlukan tanpa perlu bergantung kepada pihak luar,” katanya.

Sementara itu, Affendi mengingatkan warga ATM agar pembudayaan norma baharu dan tatacara operasi piawai (SOP) terus dipatuhi meskipun vaksin bagi Covid-19 akan diperoleh seawal Februari ini.

“ATM perlu memperkukuh dan memperkemaskan pelaksanaan Op Benteng bagi menghalang pendatang tanpa izin membolosi sempadan negara kerana dikhuatiri risiko penyebaran semula virus boleh berlaku yang akan menggagalkan usaha kerajaan untuk menghentikan pandemik ini,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

ATM berkuasa tahan individu ingkar PKP – menteri

KUALA LUMPUR, 18 JAN: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkuasa menahan individu melanggar tatacara operasi piawai (SOP) semasa pelaksanaan Ordinan Darurat, namun penekanan lebih diberi kepada penugasan operasi benteng (Op Benteng), kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata sehingga kini tugas ATM sama seperti biasa termasuk membantu polis memastikan SOP dipatuhi orang awam dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Untuk itu ATM masih membantu polis cuma dalam Op Benteng yang diterajui kami sebelum ini, kuasa menangkap pendatang tanpa izin adalah terbatas.

“Jadi bagi tempoh darurat ini, ATM diberikan kuasa sama seperti polis dengan tumpuan Op Benteng di kawasan sempadan negara terutamanya di lorong-lorong tikus bagi mengurangkan kemasukan pendatang tanpa izin di negara ini,” katanya pada sidang media perkembangan PKP di sini.

Ismail Sabri berkata sebelum Ordinan Darurat berkenaan dikuatkuasakan, kuasa ATM amat terbatas sewaktu mengekang kemasukan pendatang tanpa izin dalam Op Benteng kerana tiada kuasa menahan mereka.

Sebelum ini, Bernama melaporkan bahawa pegawai dan anggota ATM kini mempunyai bidang kuasa menahan dan mengambil tindakan terhadap mereka yang didapati melanggar PKP.

Perkara itu terletak di bawah pelaksanaan Ordinan Darurat, bidang kuasa tentera dan polis adalah sama dan ini akan memudahkan pengurusan Covid-19 dengan lebih baik.

Dalam perkembangan lain beliau berkata pihak polis menahan seramai 590 indvidu kerana mengingkari PKP semalam.

“Sejumlah 553 daripada mereka dikompaun sementara 35 lagi direman sementara dua inidvidu dijamin semalam. Mengenai Op Benteng pula, seramai lapan pendatang tanpa izin ditahan manakala 12 kenderaan darat dirampas semalam,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai penghantar makanan yang bekerja di restoran atau kedai makan persendirian sama ada dibenar melalui sekatan jalan raya (SJR), Ismail Sabri berkata mereka dibenarkan melalui SJR sepanjang tempoh PKP.

“Bagaimanapun pengusaha makanan perlu memaklumkan kepada pihak polis serta mengeluarkan surat pengesahan majikan kepada pekerja terlibat manakala bagi penghantar makanan persendirian pula mereka boleh memaklumkan dan memohon sendiri kepada pihak polis,” katanya.

Mengenai kebenaran melanjutkan operasi kedai makan kepada pukul 10 malam, Ismail Sabri berkata perkara tersebut masih dalam peringkat perbincangan dan penelitian dari pelbagai aspek.

“Kerajaan mengambil maklum dan prihatin mengenai rungutan dalam kalangan orang ramai yang dan bekerja tidak sempat membeli makanan untuk bawa pulang ke rumah pada waktu operasi sedia ada,” katanya.

Ditanya cadangan untuk mengetatkan SOP susulan kes Covid-19 masih membimbangkan selepas tujuh hari pelaksanaan PKP, Ismail Sabri berkata perkara itu akan dinilai dan diputuskan berdasarkan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum PKP tamat Selasa depan.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan menekankan penguatkuasaan terhadap majikan dalam memastikan semua pekerja asing terutama di kilang dan tapak bina menjalani saringan Covid-19 serta mematuhi syarat SOP penginapan ditetapkan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

ATM sahkan rangkaian datanya digodam

KUALA LUMPUR, 29 DIS: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan telah berlaku serangan siber terhadap rangkaian data miliknya semalam.

Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang berkata, insiden itu telah dikesan Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (BSEP) serta Pusat Operasi Pertahanan Siber (CDOC) ATM.

Bagaimanapun, beliau berkata serangan itu hanya melibatkan segmen tertentu yang telah diletakkan di luar rangkaian sejak awal lagi, dan tidak menjejaskan operasi portal sebenar.

“Sebaik serangan bermula, BSEP dan CDOC telah melaksanakan pengasingan trafik data bagi tujuan mengaburkan lokasi sebenar data-data berdarjah, seterusnya melindungi rangkaian yang menjadi sasaran penggodam.

“ATM juga menyedari wujudnya cubaan serangan siber yang berterusan terhadap rangkaian maklumat yang dimiliki oleh pihak Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan ATM,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Affendi menegaskan aspek keselamatan siber ATM sentiasa bersiap sedia bagi memastikan segala ancaman yang mengganggu rangkaian komunikasi pertahanan, dapat dikesan awal seterusnya ditangani sebaiknya.

“ATM sentiasa memantau dan mempertingkatkan aspek keselamatan siber dari semasa ke semasa, terutama melalui peranan BSEP dan CDOC, yang bukan hanya memperkukuhkan rangkaian pemantauan dan pertahanan komunikasi ATM, malah melindungi rangkaian komunikasi strategik pertahanan negara,” katanya.

Semalam, portal web ATM dipercayai telah digodam oleh pihak tidak bertanggungjawab, dengan mempamerkan gambar tidak senonoh di portal terbabit kira-kira 12 tengah hari.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM, ATM buka hospital sementara di Penjara Pokok Sena

KUALA LUMPUR, 17 OKT: Sebuah hospital sementara dibuka dalam Penjara Pokok Sena, Kedah bagi merawat pesakit Covid-19 termasuk menempatkan pesakit dari penjara di sekitar Kedah.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Adham Baba berkata dua blok bangunan bengkel sedia ada dalam kawasan penjara itu sedang ditukar fungsi untuk dijadikan kemudahan sementara bagi tujuan berkenaan.

“Ia termasuk (mereka) yang memerlukan bantuan oksigen, selain mampu menempatkan sehingga 250 orang jika perlu. Kemudahan ini juga boleh menempatkan pesakit dari penjara-penjara di sekitar Kedah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Memperincikan lanjut, Dr Adham berkata hospital sementara yang dijangka beroperasi sepenuhnya pada Selasa ini lengkap dengan kemudahan kategori tiga dan kategori empat iaitu mempunyai kemudahan Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi pesakit yang memerlukan bantuan oksigen, sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

Hospital berkenaan adalah hasil kerjasama strategik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selepas kejayaan mewujudkan hospital medan di Tawau, Sabah.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jumlah anggota ATM bantu kuat kuasa PKP kekal lebih 7,000

KUALA LUMPUR, 15 MEI: Jumlah anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terlibat membantu agensi penguatkuasa lain menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kekal lebih 7,000 anggota, kata Panglima ATM, Jen Tan Sri Affendi Buang.

Beliau berkata jumlah berkenaan kekal walaupun PKP telah memasuki fasa baharu iaitu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Sehingga kini pihaknya banyak membantu penugasan sekatan jalan raya, membantu pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuat saringan Covid-19 dan menghantar bantuan peralatan, kelengkapan, pakaian perlindungan diri (PPE) di Sabah serta Sarawak.

ATM turut membantu dalam memasang kawat duri di kawasan dikenakan PKPD (Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan) dalam memudahkan pihak KKM melakukan saringan di kawasan misalnya di Pasar Jalan Othman iaitu kawasan PKPD Kelapan yang masih berjalan,” katanya dalam program ‘Selamat Pagi Malaysia’ di Radio Televisyen Malaysia (RTM), di sini, hari ini.

Affendi berkata, khidmat ATM akan terus dikerah selagi mana ia diperlukan dalam bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi lain sepanjang tempoh PKP ini.

“Kini masuk ke fasa PKPB, ATM terus melaksakan tanggungjawab sama dalam membuat sekatan, rondaan serta memastikan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dipatuhi,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Seorang veteran ATM meninggal dunia akibat Covid-19

KUALA LUMPUR, 25 MAC: Seorang veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) meninggal dunia pada Selasa akibat jangkitan Covid-19, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata veteran berkenaan telah menunjukkan gejala lima hari sebelum dimasukkan ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, di sini, pada 16 Mac lepas.

“Allahyarham kemudiannya dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur pada 18 Mac 2020,” katanya dalam sidang media khas di Wisma Pertahanan, di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata kesihatan Lt. Kol bersara itu semakin merosot dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi untuk bantuan pernafasan dan disahkan positif Covid-19 pada 21 Mac lepas.

“Allahyarham disahkan meninggal dunia semalam pada 7.40 malam dan jenazah telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Keramat, di sini,” katanya.

Beliau berkata bagi pihak kementeriannya, bayaran khairat kematian sebanyak RM3,000 akan dimasukkan ke dalam akaun waris pada hari ini.

“Balu Allahyarham juga layak menerima pencen terbitan setiap bulan yang akan diuruskan dengan segera.

“Saya mengucapkan takziah kepada waris Allahyarham,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

7,500 anggota ATM bantu polis laksana Perintah Kawalan Pergerakan

KUALA LUMPUR, 22 MAC: Seramai 7,500 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di seluruh negara diatur gerak setiap hari bagi membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan dalam usaha membendung wabak Covid-19.

Panglima ATM, Jen Tan Sri Affendi Buang berkata jumlah keanggotaan berkenaan merangkumi ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM iaitu laut, udara dan darat yang disifatkan mencukupi serta tiada keperluan penambahan keanggotaan ATM setakat ini.

“Ia bergantung pada tugas-tugas yang akan datang, jika ada tempat diperlukan untuk diperbesarkan kawasaan jagaan kami akan memperkasakan dan tambah mengikut keperluan keadaan.

“Mereka ini bekerja dan diletak di satu-satu kawasan sekatan jalan raya dari pukul 12 tengah hari hingga 12 tengah malam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau anggota-anggota ATM yang bertugas dalam membantu polis di sini, hari ini.

Menurut Affendi, kesemua anggota ATM berkenaan dikehendaki bertugas secara bergilir-gilir mengikut shif yang ditetapkan sehingga selesai tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

“Anggota ATM ini ada yang dibekalkan dengan senjata ringan (M4) yang fungsinya hanya untuk memeriksa kenderaan bagi memastikan bahawa yang dibenarkan sahaja boleh melakukan perjalanan, selain untuk keselamatan anggota,” katanya sambil menambah tiada niat untuk menakutkan orang awam.

Affendi berkata sehingga kini selain membantu dalam sekatan jalan raya, anggota keselamatan itu turut akan mengadakan rondaan menggunakan kenderaan ronda tentera dan tiada keperluan menggunakan kenderaan atau senjata berat milik ATM.

“Tiada keperluan untuk itu (menggunakan kenderaan berat) kami hendak memperkasakan Perintah Kawalan Pergerakan jadi tidak perlu pakai senjata berat. Kami bukan melawan musuh, kami jalankan tugas ketenteraman awam sahaja,” katanya.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media sebelum ini berkata tentera mula dikerahkan bagi membantu polis melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan pada 12 tengah hari.

Selain itu, menteri kanan itu berkata tentera akan membantu polis di sekatan jalan raya dan rondaan serta di kawasan pasar dan pasar raya bagi memantau pematuhan penjarakan sosial.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

ATM mula tugas bantu polis laksana Perintah Kawalan Pergerakan

KUALA LUMPUR, 22 MAC: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mula diatur gerak bagi membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memastikan rakyat mematuhi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung wabak Covid-19 hari ini.

Menerusi tinjauan Bernama setakat 3 petang mendapati beberapa anggota ATM kelihatan ditempatkan di beberapa jalan utama sekitar ibu kota termasuk Jalan Sentul Pasar, Manjalara, Jalan Segambut dan Balai Sri Murni, di sini.

Terdahulu, mereka telah diberikan taklimat oleh Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner S. Shanmugamoorthy Chinniah mengenai penugasan membantu pihak polis dalam sekatan jalan raya selain disediakan sarung tangan serta penutup mulut dan hidung.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media sebelum ini berkata tentera mula dikerahkan bagi membantu polis melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan pada 12 tengah hari.

Selain itu, menteri kanan itu berkata tentera akan membantu polis di sekatan jalan raya dan rondaan serta di kawasan pasar, pasar raya bagi memantau pematuhan penjarakan sosial.

Penglibatan tentera itu melibatkan ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM akan bekerjasama membantu PDRM memantau dan memastikan orang awam mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuat kuasa kerajaan mulai 18 Mac sehingga 31 Mac.

Tinjauan Bernama hari ini di sekitar bandar raya Kuala Lumpur mendapati kadar pematuhan masyarakat terhadap perintah itu semakin meningkat apabila dilihat hanya segelintir sahaja yang masih berada di tempat tumpuan awam.

Jalan raya di sekitar ibu negara hanya kelihatan kelibat teksi, bas awam dan khidmat penghantaran makanan.

Sekatan-sekatan polis turut dijalankan di jalan utama sekitar ibu negara bagi memastikan rakyat mematuhi perintah kawalan itu.

Dalam pada itu, premis-premis makanan segera juga turut mengamalkan langkah keselamatan iaitu dengan mewajibkan pelanggan mereka menggunakan cecair pembasmi kuman dan mengambil suhu badan sebelum dibenarkan masuk ke dalam premis tersebut.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Perintah Kawalan: ATM nafi atur gerak aset tentera untuk ambil alih

KUALA LUMPUR, 20 MAC: Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Affendi Buang hari ini menjelaskan atur gerak aset tentera darat di jalan-jalan tertentu seperti yang tular di media sosial, sebenarnya adalah untuk latihan ketenteraan dan bukan untuk mengambil alih situasi terkini negara.

Beliau menegaskan penularan video yang menampakkan atur gerak aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu adalah hebahan maklumat yang tidak tepat.

“Berita bahawa ATM atau tentera telah mula bersiap sedia untuk mengambil alih situasi terkini negara adalah berita palsu.

“Semua pihak terutama mereka yang tidak bertanggungjawab dinasihatkan untuk berhenti menyebarkannya serta merta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Affendi berkata berita yang tular itu tidak tepat kerana atur gerak aset tentera darat tersebut sebenarnya adalah untuk latihan ketenteraan dan diperintahkan untuk kembali semula ke kem masing-masing atas ketetapan Perintah Kawalan Pergerakan.

Sehubungan itu, beliau berkata kepimpinan tertinggi ATM memutuskan untuk beberapa perkara berkaitan operasi, latihan dan kursus, eksesais, pentadbiran dan logistik diperhalusi berdasarkan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Justeru, perkara yang melibatkan latihan ketenteraan ditangguh buat sementara. Bagaimanapun perkara melibatkan operasi dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan negara tetap akan dilaksana seperti biasa,” katanya.

Beliau seterusnya menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan sebarang berita yang boleh mencetuskan kebimbangan dan panik dalam kalangan masyarakat.

Tular di media sosial keberadaan beberapa kenderaan perisai ATM di jalan tertentu yang dikatakan untuk mengambil alih situasi terkini negara.

-BERNAMA