Categories
PBT SELANGOR

MBSA tangkap 21 anjing liar, atasi kacau ganggu penduduk Elmina

SHAH ALAM, 27 JAN: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menangkap 21 ekor anjing liar sejak tahun lalu bagi mengelak kacau ganggu sekitar perumahan Elmina Garden dekat sini.

Sebanyak 15 tangkapan dibuat pada 2021 manakala enam lagi sepanjang bulan ini, kata Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya Shahrin Ahmad.

“Kesemua tangkapan haiwan liar dibuat hasil operasi Jabatan Kesihatan Persekitaran MBSA,” katanya.

Shahrin berkata MBSA juga menyelaras operasi untuk menyelesaikan isu gagak yang mengganggu penduduk selain mengatasi longgokan sampah bahan binaan dan sisa pukal.

“Usahasama dibuat dengan Pejabat Daerah dan Tanah Petaling untuk mengenal pasti status tanah memandangkan sampah berkaitan bawah rintis Tenaga Nasional Berhad,” katanya.

Berhubung isu landskap jalan utama yang didakwa menghalang pandangan pemandu jalan raya, beliau menjelaskan perkara itu dirujuk kepada Sime Darby selaku pemaju kawasan terbabit.

Pada 25 Januari, EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han bersama MBSA membuat lawatan tapak untuk meninjau beberapa masalah di perumahan tersebut.

Permasalahan itu turut mendapat perhatian Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Veterinar.

Categories
PBT SELANGOR

MPSJ catat sembilan kes digigit anjing liar tahun ini

SUBANG JAYA, 30 SEPT: Sebanyak sembilan kes gigitan anjing liar dilaporkan di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) sepanjang tahun ini.

Yang Dipertua Noraini Roslan berkata terbaharu kes berlaku pagi tadi di PSJ 7 dan pihaknya berusaha menangkap haiwan itu bagi memastikan keselamatan awam terjamin.

“Hujung tahun lalu kakitangan MPSJ diberi latihan mengendalikan cara menangkap anjing dari pakar luar negara yang dilantik Kerajaan Selangor.

“Sebanyak 75 peratus latihan itu dapat dikuasai namun cara memindahkan haiwan dari sangkar ke kenderaan agak sukar kerana kita perlu pastikan anjing tidak cedera. Teknik ini akan diperbaiki lagi,” katanya selepas Mesyuarat Penuh MPSJ Jaya hari ini.

Semalam, wanita warga emas berusia 65 tahun meninggal dunia akibat serangan jantung selepas dikejar anjing liar di simpang empat jalan masuk Kampung Baru Dengkil dan Taman Baiduri Dengkil pada jam 6.30 pagi.

Categories
PBT SELANGOR

MPS perkemas unit kawalan haiwan liar

RAWANG, 20 NOV: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) akan meningkatkan unit kawalan haiwan liar bagi memastikan aktiviti penangkapan anjing lebih berkesan di Bandar Tasik Puteri, di sini.

Pengarah Jabatan Korporatnya, Mohamad Zin Masoad berkata aktiviti kawalan, tangkapan dan pemasangan perangkap dijalankan bagi menyelesaikan isu berkaitan anjing liar di kawasan terbabit.

“Berdasarkan statistik dari Januari hingga Oktober lalu, sebanyak 38 aduan diterima dengan penangkapan 95 ekor anjing di sekitar Bandar Tasik Puteri.

“Operasi penangkapan anjing liar yang kita laksanakan mematuhi Tatacara Operasi Piawai ditetap daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan,” katanya.

Bagaimanapun, Mohamad Zin berkata pihaknya menghadapi cabaran apabila terdapat pihak yang melindungi haiwan itu daripada ditangkap dan memberikan makanan sehingga menyebabkan populasi anjing liar membiak tanpa kawalan.

“Selain itu, vandalisme ke atas perangkap anjing yang dipasang MPS menyumbang kepada masalah ini,” katanya.

Pada masa sama, beliau melahirkan rasa kesal dan mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan tidak bertanggungjawab individu yang menyebabkan kematian enam anjing jalanan dipercayai diracun di sini, baru-baru ini.

Susulan insiden itu, katanya pihaknya segera mengambil tindakan dengan membuat kutipan bangkai anjing dan pembersihan ke atas kawasan terbabit.