Categories
AGENDA NASIONAL

Ambil iktibar insiden kanak-kanak tercampak dari kereta – Loke

PELABUHAN KLANG, 13 FEB: Insiden seorang anak kecil tercampak keluar daripada kereta dipandu bapanya di Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Senawang, Negeri Sembilan pada Isnin lepas sepatutnya dijadikan pengajaran kepada semua ibu bapa betapa pentingnya penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS).

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata penggunaan CRS dengan betul dapat memastikan kanak-kanak berada dalam keadaan selamat sepanjang pemanduan dan tidak tercampak keluar daripada kereta sekiranya berlaku kemalangan.

“Dalam insiden itu, kanak-kanak berkenaan bernasib baik kerana kereta di belakangnya sempat berhenti. Bayangkan jika (kereta) tidak sempat berhenti, tidakkah mereka (ibu bapa kanak-kanak itu) akan berasa kesal sepanjang hayat?

“Saya harap insiden ini akan beri pengajaran kepada semua mengenai kepentingan penggunaan CRS,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai insiden berkenaan hari ini.

Terdahulu, beliau melakukan lawatan kerja ke Terminal Boustead Cruise Center dan tapak pameran Pemeriksaan Awam Projek ECRL di Lembaga Pelabuhan Klang di sini.

Tambah Loke, walaupun kementeriannya sentiasa memberi penekanan terhadap penggunaan CRS, namun ia tidak bermakna pihaknya tidak melihat perkara lain yang boleh menjadi punca kemalangan termasuk memandu di bawah pengaruh alkohol.

“Kemalangan biasanya membabitkan pelbagai faktor. Warganet mempersoalkan mengapa saya hanya bercakap mengenai kerusi keselamatan kanak-kanak sedangkan kita juga akan memperketatkan undang-undang membabitkan pemandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah,” katanya.

Ditanya mengenai perkembangan cadangan kementeriannya untuk meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 berkaitan hukuman terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kemalangan maut, beliau berkata pihaknya sedang menunggu draf pindaan berkenaan daripada Pejabat Peguam Negara.

Katanya, draf berkenaan akan terlebih dahulu dibawa ke mesyuarat Kabinet sebelum dibaca untuk kali pertama.

“Selepas bacaan kali pertama, kementerian akan umumkan mengenainya. Bagaimanapun, saya tidak boleh beritahu bila tarikh bacaan pertama ini akan dibuat kerana ia melibatkan proses tertentu.

“Namun, apa yang ingin saya tegaskan adalah pindaan ini akan mengenakan hukuman lebih berat terhadap pemandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah jika mereka terlibat dalam kes yang menyebabkan kemalangan maut,” katanya.

Kebelakangan ini, masyarakat mendesak kerajaan meminda akta sedia ada dan mengenakan hukuman yang lebih berat terhadap pemandu mabuk sehingga mengakibatkan berlakunya kemalangan maut.

Sebelum ini, Loke dilaporkan berkata Kabinet bersetuju untuk meminda undang-undang sedia ada berkaitan kesalahan pemandu yang memandu kenderaan dalam keadaan mabuk, di bawah pengaruh dadah serta memandu secara berbahaya.

– BERNAMA

Categories
RENCANA WAWANCARA

Ambil langkah tidak popular demi keselamatan rakyat

Oleh Norshazlina Nor Azman & Muhammad Saufee Rosman

KUALA LUMPUR, 25 DIS: Penambahbaikan terhadap perkhidmatan dan penyediaan sistem pengangkutan awam, serta tidak ketinggalan tumpuan kepada aspek keselamatan di jalan raya sentiasa menjadi antara nadi dan tonggak Kementerian Pengangkutan dalam merencanakan agenda mensejahterakan rakyat.

Meskipun adakalanya usaha penambahbaikan dan perubahan yang diperkenalkan sejak peralihan kuasa kerajaan dilihat sebagai bukan pendekatan popular, namun kementerian itu enggan menoleh ke belakang dan bertekad mahu terus memampankan aspek keselamatan serta pengangkutan negara.

Memberi contoh kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS), Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kerajaan tetap dengan pendirian untuk mewajibkan penggunaannya di dalam kereta persendirian bermula Januari depan meskipun mendapat pelbagai tentangan dan reaksi negatif yang tidak bersetuju akan undang-undang tersebut.

Tegasnya, kerajaan tidak pernah berniat untuk menyusahkan atau membebankan ibu bapa, namun pengenalan langkah itu amat diperlukan bagi memberi kesedaran kepentingan melindungi nyawa anak-anak memandangkan terdapat banyak kemalangan yang menyaksikan mereka maut akibat kegagalan menggunakan CRS.

“Sebagai menteri yang menjaga hal ehwal pengangkutan dan keselamatan jalan raya, saya perlu ambil tindakan ini walaupun dikritik mengambil tindakan tidak popular dan sebagainya, tetapi untuk jangka masa panjang, saya yakin ini adalah langkah terbaik untuk keselamatan rakyat.

“Kami tahu banyak suara yang membantah dan mengadu kerana ia akan menambah beban, kos CRS mahal, menyusahkan dan sebagainya… kami tahu maklum balas itu akan berlaku kerana jika dilihat balik apa sahaja langkah keselamatan yang diperkenalkan sebelum ini mengambil masa untuk rakyat menerima dan menyesuaikan diri,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual khas baru-baru ini.

Loke berkata umpama pemakaian tali pinggang keledar dan juga topi keledar yang diwajibkan pada tahun 70-an, yang mana mulanya orang ramai membantah penguatkuasaannya tetapi kini kedua-dua peraturan itu menjadi norma dan tidak dipertikaikan kepentingannya.

“Pada zaman itu kereta tidak mempunyai tali pinggang keledar dan apabila diperkenalkan sudah tentu orang membantah… begitu juga topi keledar yang mana pemakaiannya di Malaysia kini sudah mencapai tahap pematuhan yang amat tinggi berbanding negara-negara di rantau ini… jadi kita faham apa sahaja langkah yang diperkenalkan pastinya pada permulaan akan ada bantahan,” katanya.

Beliau berkata meskipun penggunaan CRS itu diwajibkan bermula 1 Jan depan namun tiada saman atau tindakan keras akan dikenakan untuk enam bulan pertama bagi mendidik dan membiasakan rakyat dengan peraturan tersebut.

“Seringkali saya ulang bahawa tujuan saya bukan untuk dapatkan duit saman daripada rakyat, bukan untuk susahkan orang tetapi fokus utama adalah kita mahu rakyat tahu CRS adalah keperluan untuk keselamatan, maka sebab itu pendekatan ‘soft landing’ diambil untuk fasa pertama iaitu fasa pendidikan atau advokasi sebelum fasa penguatkuasaan dijalankan,” katanya.

Berhubung isu harga CRS yang dikatakan agak mahal hinggakan menjadi kerisauan orang ramai, Loke berkata beliau percaya ia akan mengalami penurunan harga apabila berlakunya peningkatan permintaan dan penawaran yang tinggi dalam pasaran selepas undang-undang itu digazetkan.

Bagaimanapun, katanya kerajaan tidak akan bersikap lepas tangan dan akan terus memantau harga CRS di pasaran, selain kementerian itu telah berbincang dengan Kementerian Kewangan untuk tidak mengenakan duti eksesais terhadap CRS supaya harga produk berkenaan dapat dikurangkan.

Dalam bergerak ke hadapan pastinya keselamatan jalan raya bukan satu-satunya perkara yang menjadi fokus utama, malah kementerian itu memasang harapan untuk terus menyediakan dan menambahbaik mobiliti yang lebih efisien kepada rakyat secara berterusan, dari darat hinggalah ke udara, sejajar dengan Dasar Pengangkutan Negara (DPN) 2019-2030.

“Kita adalah the ‘movement of goods and people,’ bukan sahaja menyediakan pengangkutan untuk rakyat tetapi dalam masa sama kita kena lihat sejauh mana keberkesanan pengangkutan barangan kerana ia melibatkan sektor logistik daripada pelabuhan, lapangan terbang dan pengangkutan darat.

“Semua itu merupakan ekosistem yang besar, maka kita harap dapat menyediakan satu persekitaran yang memudah carakan pergerakan barangan… kalau kita dapat melaksanakan itu dengan lebih efisien maka kos pengangkutan untuk barangan akan jadi lebih rendah dan akan diterjemahkan kepada penurunan kos barangan yang berhubung kait dengan kos sara hidup,” katanya.

Dalam menggalakkan masyarakat menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam pula, pas perjalanan My100 yang memberikan akses tanpa had untuk semua perkhidmatan di Lembah Klang yang disediakan oleh Rapid KL daripada monorel, LRT, MRT, Bas Rapid Transit (BRT) Laluan Sunway, bas perantara MRT dan semua bas ganti-ganti Rapid KL, telah diperkenalkan awal tahun ini.

Loke berkata pas eksklusif bulanan untuk warga tempatan itu merupakan inisiatif kerajaan yang dapat meringankan kos sara hidup dan sekali gus mengurangkan kesesakan lalu lintas di Kuala Lumpur.

“Kita mahu rakyat hidup lebih selesa, mudah dan ada masa lebih dengan keluarga…. dalam masa sama kita akan terus memberi penekanan terhadap penyediaan infra dan pelbagai projek pembangunan pengangkutan terutamanya di bandar-bandar besar selain di Lembah Klang supaya prasarana itu dapat terus dibangunkan secara berfasa,” katanya.

Ketika ditanya mengenai hala tuju untuk tahun 2020 yang bakal menghampiri dalam hanya beberapa hari sahaja lagi, Loke berkata, “Banyak rancangan dan inisiatif yang hendak kita laksanakan… kita mahu terus tambahbaik sistem penyampaian perkhidmatan awam khususnya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) yang berurusan dengan rakyat setiap hari.”

Katanya, transformasi perlu dilakukan bagi mendigitalkan perkhidmatan awam yang berkaitan supaya servis mereka dapat ditawarkan melalui ‘online’ agar dapat mengurangkan masalah pengguna yang terpaksa menunggu lama akibat ramai orang berurusan di kaunter, selain dapat mengurangkan penggunaan kertas yang dilakukan secara manual.

Beliau bagaimanapun mengakui bahawa dirinya masih belum berpuas hati dengan segala perubahan dan penambahbaikan yang diperkenalkan serta mahu melihat lebih banyak lagi perubahan positif dilaksanakan sekali gus memperbaiki kelemahan dan kelompangan yang masih wujud dalam sektor tersebut.

“Kita tidak boleh berpuas hati lagi kerana proses menambah baik dalam menyediakan persekitaran dan perkhidmatan yang baik untuk rakyat itu adalah berterusan… kita tahu ada kelemahan-kelemahan yang punya ruang untuk diperbaiki dan kita mahu rakyat sendiri merasai dan berpuas hati dengan semua penambahbaikan termasuklah sistem pengangkutan yang efisien dan murah,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Cadangan had laju motosikal kapcai perlu kajian teliti

KUALA LUMPUR, 20 DIS: Cadangan mengehadkan kelajuan motosikal berkapasiti kecil atau lebih dikenali sebagai kapcai kepada 70km/jam memerlukan kajian lebih teliti tentang implikasi pelaksanaannya kerana ia melibatkan kira-kira 10 juta pemilik motosikal berdaftar di negara ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, selain melibatkan isu keselamatan, kerelevanan cadangan itu juga perlu dilihat daripada pelbagai sudut dan sejauh mana ia dapat dilaksanakan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke. – Foto BERNAMA

“Kita tahu ada cadangan untuk mengehadkan (kelajuan) kapcai, tetapi dalam keadaan di Malaysia, ia melibatkan ramai pemilik kapcai di negara ini.

“Mungkin dalam lingkungan 10 juta (pemilik) motosikal …jadi ini adalah keputusan yang beri kesan sangat besar, saya bukan menolak cadangan itu tetapi daripada segi ‘practicality’ untuk melaksanakan cadangan itu perlu dilihat daripada pelbagai sudut,” katanya.

Ogos lalu, Menteri Kerja Raya, Baru Bian dilaporkan berkata, saranan mengenakan peraturan had laju kepada penunggang motosikal kapcai masih belum boleh dilaksanakan memandangkan ia memerlukan pemerhatian teliti untuk satu tempoh yang panjang.

Sebelum ini, The Safety First Group iaitu kumpulan prokeselamatan jalan raya, menggesa kerajaan untuk menguatkuasakan had laju 70km/j untuk motosikal kapcai selain meminta lebih banyak laluan khas motosikal dibina bagi mengurangkan kemalangan jalan raya membabitkan golongan itu.

Mengulas tentang cadangan supaya mewujudkan laluan khas penunggang motosikal di sebelah kiri jalan raya, Loke berkata ia akan dikemukakan kepada Kementerian Hal Ehwal Ekonomi untuk dijadikan sebahagian daripada Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Menurutnya cadangan itu merupakan konsep yang baik, bagaimanapun pelaksanaannya memerlukan perbelanjaan yang besar seperti membina struktur jalan dan sebagainya.

“Kita berharap dapat membina laluan khas motosikal ini dan juga menyediakan rekaan lebuh raya (yang sesuai) pada masa hadapan dengan mengambil kira perkara itu,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada rancangan wajibkan CRS pada bas, ambulans

KUALA LUMPUR, 20 DIS: Kerajaan pada masa ini tidak mempunyai perancangan mewajibkan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak atau ‘Child Restraint System’ (CRS) pada medium kenderaan lain termasuklah bas dan ambulans.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, buat masa ini kementerian hanya memberi fokus pada kereta persendirian sahaja.

“Dalam jangka masa panjang, kita harap ia dapat diperluaskan pada jenis kenderaan yang lain namun pada masa kini dan sebagai fasa pertama ini, kita hanya mahu mewajibkan kepada kereta persendirian terlebih dahulu.

“Ini kerana untuk melaksanakan langkah baharu, ia bukan mudah dan memang sukar …maka kita mahu menjayakan langkah yang dibuat untuk kereta persendirian ini dan kemudiannya kita akan melihat sejauh mana keberkesanan langkah tersebut,” katanya ketika ditanya mengenai pelan masa hadapan penggunaan CRS.

Berhubung isu harga CRS yang dikatakan agak mahal hinggakan menjadi kerisauan orang ramai, Loke berkata ia akan mengalami penurunan harga apabila berlakunya peningkatan permintaan dan juga penawaran.

“Kita ambil langkah mengurangkan kos untuk memiliki CRS termasuklah penglibatan daripada pihak swasta…namun sudah tentu apabila kita mewajibkan peraturan ini maka mewujudkan pasaran yang besar sebab setiap orang memerlukan kerusi ini dan kita akan lihat penurunan harga dan penawaran yang banyak,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

CRS: Tiada saman enam bulan pertama penguatkuasaan

KUALA LUMPUR, 20 NOV: Tiada sebarang saman akan dikeluarkan kepada ibu bapa yang gagal menggunakan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) dalam tempoh enam bulan pertama pelaksanaannya yang bermula tahun hadapan.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata kementeriannya mengambil pendekatan mendidik dahulu sebelum langkah penguatkuasaan diambil sepenuhnya.

“Saya faham mentaliti rakyat Malaysia…kalau kita cakap tak wajib, memang takkan ada ramai yang buat (laksana). Kajian Institut Penyelidikan Jalan Raya Malaysia (Miros) mendapati hanya 30 peratus sahaja pemilik kenderaan yang pasang kerusi keselamatan kanak-kanak.

“Apa yang penting kita beri kesedaran dan nasihat…kalau belum pasang (CRS), jangan saman dahulu, beri amaran dan peringatan,” katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2020 peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya di Dewan Rakyat.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada Oktober lalu mengumumkan kerajaan akan menguatkuasakan penggunaan CRS di dalam kenderaan berkuat kuasa 1 Januari tahun hadapan dalam usaha mengurangkan kes kecederaan serius atau kematian kanak-kanak sekiranya berlaku kemalangan.

Loke berkata pihaknya juga mendapat kelulusan untuk mengenakan sifar peratus duti import CRS selain pengurangan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) daripada 10 peratus kepada lima peratus daripada Kementerian Kewangan (MOF).

“Kementerian berharap dapat menetapkan kadar sifar SST, namun ia memerlukan kelulusan daripada pihak MOF,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru semua pihak terutama pengeluar kenderaan serta badan bukan kerajaan (NGO) dan swasta untuk membantu usaha kerajaan dalam mewajibkan penggunaan CRS.

Katanya, terdapat juga pihak swasta yang telah memberikan subsidi pembelian CRS kepada golongan kurang berkemampuan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Loke: Sistem jualan tiket KTMB perlu dirombak

PUTRAJAYA, 19 NOV: Sistem jualan tiket Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) perlu dirombak, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook susulan aduan mengenai sistem jualan tiket KTMB yang tergendala semalam.

“Kegagalan sistem tiket KTMB amat dikesali. Saya akan mengarahkan pihak KTMB untuk segera mengambil tindakan dan sistem tiket perlu dirombak semula untuk menjadikan ia user-friendly (mesra pengguna),” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Bas Rapid Transit (BRT) di sini hari ini.

Menurut laporan, sistem tiket dalam talian KTMB mengalami masalah semalam.

Loke dalam pada itu menyarankan operator pengangkutan termasuk Prasarana untuk menggunakan sistem tanpa tunai kerana ia bukan sahaja memberi manfaat kepada pengguna tetapi menjimatkan kos operasi operator.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

JPJ, MIROS lihat cara kawal selia basikal lajak

PUTRAJAYA, 5 NOV: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) akan melihat aspek cara mengawal selia basikal lajak, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Menurutnya, basikal lajak, yang fenomenanya menjadi satu masalah kepada orang awam serta membahayakan nyawa kanak-kanak dan pengguna jalan raya yang lain, pada masa ini tidak dikawal selia oleh mana-mana undang-undang dan ia turut dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet lepas.

Bercakap kepada media selepas perhimpunan bulanan kementeriannya di sini hari ini, Loke berkata perlu ada tindakan komprehensif yang meliputi pelbagai kementerian dan agensi untuk merangka satu peraturan dan rangka yang dapat mengatasi masalah basikal lajak itu.

“Kita kena lihat bagaimana untuk melaksanakan kawal selia itu, sama ada menggunakan undang-undang sedia ada, perlukan pindaan undang-undang atau undang-undang yang baharu.

“Belum sampai ke tahap itu (draf undang-undang),” katanya ditanya tentang perlunya wujud undang-undang untuk diambil tindakan terhadap pihak terlibat secara langsung mengubah suai basikal lajak.

Ditanya sama ada kawal selia itu turut membabitkan pindaan Seksyen 54 Akta Pengangkutan Jalan 1987, Loke berkata rangka penyelesaian masalah berkenaan perlu dilihat secara menyeluruh.

“Kebanyakan terlibat adalah kanak-kanak, bagaimana kita nak rampas basikal itu dan sebagainya, jadi kena lihat sama ada praktikal atau tidak. Itu sebabnya kita kena lihat keseluruhan akta itu dan juga apa lagi peruntukan atau pindaan yang diperlukan.

“Jadi rangka bagaimana untuk menguruskan dan mengawal selia termasuk tanggungjawab ibu bapa dan sebagainya perlu dilihat secara keseluruhan,” katanya.

Perbincangan dengan pelbagai kementerian dan agensi termasuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan dilakukan dan ia memerlukan masa untuk melihat hala tuju berkaitan basikal lajak itu, katanya.

Sementara itu, Loke berkata kerajaan komited mempertahankan kerusi Ahli Majlis Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) selepas berjaya mempertahankan kerusi Ahli Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) bagi penggal 2019-2022, untuk meningkatkan profil negara di arena antarabangsa.

Dengan kedudukan strategik Malaysia di Selat Melaka dan Laut China Selatan serta kepentingan sektor maritim menyumbang kepada ekonomi negara, Loke berkata adalah penting untuk Malaysia mempertahankan kerusi itu supaya dapat bersama-sama merangka undang-undang antarabangsa berkaitan maritim dengan ahli majlis.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kementerian Pengangkutan kaji cadangan bas e-hailing

SEREMBAN, 24 OKT: Kementerian Pengangkutan sedang melihat kepada konsep baharu dalam sistem pengangkutan awam termasuk mempertimbangkan perkhidmatan bas e-hailing.  

Menterinya Anthony Loke Siew Fook berkata kementerian itu baru-baru ini menerima satu cadangan untuk mewujudkan perkhidmatan bas e-hailing dan ia memandang serius cadangan berkenaan.   

“Dengan nama bas yang diminta, anda boleh meminta bas untuk datang, di mana lokasi pengambilan penumpang dan ke mana hendak dihantar tetapi berdasarkan kelulusan dan peraturan.

“Buat masa ini kami sedang melihat untuk mengkaji semula peraturan membenarkan bas mengambil penumpang dan menghantar mereka ke destinasi diminta dan bukannya di perhentian bas. Ini adalah idea dan cadangan yang kami sedang teliti,” katanya di sini malam tadi.

Loke berkata demikian dalam ucapan perasmian Majlis Makan Malam Tahunan Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) di sini.
 
Turut hadir Presiden FMM Tan Sri Soh Thian Lai dan Pengerusi FMM Negeri Sembilan Steven Aroki.

Loke berkata kementeriannya menyedari ada kawasan perumahan dan industri tidak diliputi sepenuhnya oleh sistem pengangkutan awam.

Beliau juga berharap perkhidmatan ini dapat dilancarkan tidak lama lagi bagi memastikan ia boleh memenuhi keperluan mereka yang tidak mendapat akses kepada sistem pengangkutan awam.   

“Peranan kami ialah memastikan perjalanan lancar untuk penduduk dan barangan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata jajaran baharu untuk Laluan Rel Pantai Timur (ECRL)  telah dimuktamadkan dan akan dipamerkan untuk orang awam awal bulan depan.   

Projek ECRL bermula dari Kota Bharu, Kelantan melalui Mentakab, Pahang; Kuala Klawang dan Nilai, Negeri Sembilan; Bangi/Kajang, Selangor; Putrajaya dan berakhir di Pelabuhan Klang. 

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Menteri cadang pengecualian parkir kurangkan kos rumah

KUALA LUMPUR, 18 OKT: Menteri Pengangkutan Anthony Loke mencadangkan syarikat pemaju pembangunan berorientasikan transit (TOD) mengurangkan harga rumah dengan memberi pilihan pengecualian tempat letak kenderaan kepada pembeli.

Katanya cadangan itu dilihat dapat mengalakkan pembeli rumah berdekatan dengan pengangkutan awam seperti stesen LRT dan MRT menggunakan pengangkutan awam dan secara tidak langsung mengurangkan kesesakan lalu lintas.

“Saya lihat ini sebagai serampang dua mata kerana pertamanya kita boleh galakkan orang ramai guna pengangkutan awam. Keduanya, pemaju dapat rendahkan kos harga rumah (dengan pengecualian parkir).

“Bagaimanapun, ini hanya cadangan dan terpulang kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang mempunyai kuasa menentukan perkara berkenaan,” katanya. 

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kempen Pemilikan Rumah-Expo Hartanah Malaysia (HOC-MAPEX) 2019 sini hari ini.
 
Sementara itu, Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) Datuk Soam Heng Choon berkata dengan akses mudah pengangkutan, pembangunan baharu mungkin tidak perlu menyediakan parkir berlebihan bagi setiap unit strata lagi, sekali gus mengurangkan kos pembinaan per unit dengan ketara.

Katanya ini akan memberi impak positif terhadap harga rumah kerana penjimatan kos boleh diterjemahkan kepada harga yang lebih rendah.

“Contohnya, kos untuk membuat tempat letak kereta di KL hari ini ialah RM50,000. Jadi pada masa ini jika kita membuat apartmen, keperluan untuk membuat dua parkir termasuk 10 peratus untuk pelawat.
Jadi jika kita mahu mengurangkan kepada satu parkir, kita boleh jimat RM50,000. Itulah impak yang ada pada hartanah. 

“Jadi saya berpendapat cadangan oleh Menteri (Anthony) adalah sesuatu yang sangat baik. Dengan mengurangkan keperluan bagi tempat letak kereta, kita sebenarnya boleh mengurangkan kos jadi ia sebenarnya adalah penjimatan berganda.

“Selepas ini, saya akan memaklumkan kepada rakan-rakan pemaju, jika mereka mempunyai projek berhampiran TOD, kami akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan, Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk melihat sama ada kita dapat mencari penyelesaian dan cadangan yang boleh memberi manfaat kepada rakyat akhirnya,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kajian pembinaan landasan baharu kereta api Port Klang dijalankan tahun depan

NILAI, 12 OKT: Kementerian Pengangkutan akan menjalankan kajian kebolehlaksanaan projek pembinaan landasan baharu kereta api ‘Serendah-Port Klang Rail Bypass’, pada tahun hadapan.

Menterinya Anthony Loke Siew Fook berkata, kajian itu dijangka akan selesai dalam tempoh enam bulan dan akan dicadangkan kepada kerajaan persekutuan bagi menentukan hala tuju projek tersebut.

“Ini satu projek strategik yang kita rancang dan sudah diberikan kelulusan untuk buat kajian kebolehlaksanaan dan kajian ini akan dimulakan tahun hadapan, kita jangka kajian ini boleh siap dalam masa enam bulan dan selepas ia (kajian) dilaksanakan maka kita akan cadangkan kepada kerajaan untuk tentukan hala tuju projek ini.

“Apabila ia (projek) dilaksanakan nanti, ia akan memudahkan pergerakan kereta api kargo antara utara negara ke Pelabuhan Klang yang merupakan pelabuhan utama,” katanya selepas merasmikan Stesen KTM Komuter Nilai, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Loke berkata projek ini juga dijangka akan menarik lebih banyak pengusaha kilang untuk menggunakan sistem kereta api ini untuk mengangkut barangan mereka ke Pelabuhan Klang.

Dalam pada itu, Loke berpuas hati dengan pembentangan Belanjawan 2020 semalam, memandangkan kerajaan telah memberikan perhatian terhadap cadangan-cadangan yang telah dikemukakan pihaknya sebelum ini.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng semasa membentangkan Belanjawan 2020 di Parlimen, semalam mengumumkan kerajaan memperuntukan RM50 juta untuk pembaikan dan penyelengaraan jalan raya ke Pelabuhan Klang.

Kementerian Pengangkutan juga akan melaksanakan kajian kebolehlaksanaan projek Serendah-Port Klang Rail Bypass serta kajian kebolehlaksanan Koridor Logistik Klang dan kedua-dua projek ini dianggarkan bernilai RM8.3 bilion.

Dalam perkembangan lain, Loke berkata projek Landasan Berkembar Lembah Klang Klang fasa satu (KVDT 1) melibatkan 16 stesen sedia ada yang dinaik taraf dijangka siap pada Julai tahun depan.

“KVDT1 iaitu sepatutnya siap pada tahun ini tetapi ada sedikit kelewatan di pihak projek dan kontraktor mohon diberikan lanjutan masa, jadi jangka tempoh siap Julai tahun hadapan dan Kita akan pantau perkara ini dan berharap projek ini siap mengikut jadual, jika tidak ianya akan memberi kesan kepada operasi.

“Bagi KVDT fasa dua yang melibatkan 28 stesen sedia ada yang akan dinaik taraf akan dimulakan tidak lama lagi,” katanya.

Loke berkata, KVDT1 dan KDVT2 merupakan jajaran yang berlainan melibatkan kerja naik secara berfasa bagi mengelakkan perkhidmatan keretapi terganggu bagaimana pun ianya masih tidak dapat dielakkan susulan terdekat landasan yang ditutup atas tujuan berkenan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Diskaun bayaran premium insurans kepada pemandu berhemah

SEPANG, 8 OKT: Pemberian diskaun bayaran premium insurans kenderaan kepada pemandu berhemah akan dilaksanakan Januari tahun hadapan, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Melalui inisiatif itu, pemandu yang tidak pernah memiliki rekod melakukan kesalahan jalan raya akan diberikan ganjaran seperti pengurangan premium insurans atau tambahan diskaun ke atas NCD yang tidak mempunyai tuntutan kemalangan, katanya.

Beliau berkata proses mengemaskini perkongsian maklumat pemandu daripada rekod sistem Mysikap milik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini di peringkat akhir.

Beliau berkata, perbincangan bersama Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) juga telah dilakukan yang turut bersetuju langkah tersebut dilaksanakan untuk meningkatkan tahap keselamatan di jalan raya.

“Semua mekanisme diperlukan bagi menikmati pemberian diskaun itu sudah di peringkat akhir penyediaan dan akan diumumkan hujung tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat agung tahunan Majlis Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MKJR) ke-60 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Loke berkata, kementeriannya akan mengawal selia perkhidmatan van sekolah tidak berlesen dengan pengenalan satu peraturan khusus berdasarkan kerangka yang disediakan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan JPJ.

Beliau berkata, pihaknya kini dalam proses menentukan mekanisme pelaksanaan peraturan itu yang mana antara kaedah yang mungkin dipertimbangkan ialah seperti pendekatan kementerian dalam mengawal selia pemandu e-hailing.

“Peraturan perlu praktikal kerana kerajaan sedar ramai ibu bapa memerlukan perkhidmatan itu terutamanya di kawasan luar bandar yang kekurangan bas sekolah berlesen untuk membawa pelajar ke sekolah,” katanya.

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa peraturan itu hanya terpakai bagi van sekolah dan bukannya kereta persendirian yang ada kalanya menumpangkan anak-anak jiran ke sekolah.

Semalam, sebuah akhbar melaporkan terdapat lebih 50,000 van, kenderaan pelbagai guna (MPV) dan kereta beroperasi secara haram mengangkut murid serta kanak-kanak kelas prasekolah di seluruh negara walaupun isu mengenainya telah kerap kali didedahkan.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tempoh tambahan tiga bulan pemandu e-hailing patuhi syarat operasi

PUTRAJAYA, 12 JUL: Kerajaan bersetuju memberi tempoh tambahan tiga bulan kepada semua pemandu e-hailing yang masih belum mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan termasuk mendapatkan Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata kerajaan bersetuju agar penguatkuasaan peraturan perkhidmatan e-hailing dilaksanakan melalui pendekatan ‘soft landing’.

“Untuk tempoh tiga bulan mulai hari ini, mana-mana pemandu yang memandu tanpa lesen PSV atau memandu kenderaan yang tidak memenuhi syarat kenderaan akan diberi nasihat, pendidikan dan amaran akhir supaya melengkapkan semua peraturan terlibat,” katanya pada sidang media di di pejabatnya di sini hari ini.

Loke turut mengingatkan 31 Syarikat Perniagaan Pengantaraan (EHO) untuk kadar komisen yang dikenakan kepada pemandu e-hailing adalah maksimum 20 peratus dan pemandu teksi yang beroperasi melalui aplikasi e-hailing pada kadar maksimum 10 peratus.

“Saya tahu ada syarikat EHO guna pelbagai helah dengan menggunakan nama lain. Ada yang dipanggil lima peratus fi. Ini tidak dibenarkan sama sekali. Kalau mereka mengenakan komisen tambahan, tindakan tegas akan diambil terhadap syarikat EHO berkenaan,” katanya.

Loke berkata penguatkuasaan peraturan dan pelesenan perkhidmatan pengendali ke atas EHO akan dilakukan sepenuhnya oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Ditanya faktor keputusan kerajaan memberi tempoh tambahan tiga bulan, beliau berkata ia berikutan ramai pemandu e-hailing sedang menjalani proses mendapatkan PSV dan Permit Kenderaan E-hailing (eVP) dan tidak mahu ada gangguan perkhidmatan kepada penumpang.

Ditanya adakah tiga bulan mencukupi untuk pemandu e-hailing melengkapkan semua peraturan yang ditetapkan, Loke berkata: “Kalau tanya mereka, tiga tahun pun tidak cukup, lebih baik jangan ada peraturan”.

Menurutnya, jumlah calon yang telah lulus ujian PSV adalah sebanyak 22,981 orang.

Daripada jumlah itu, seramai 19,891 calon lulus ujian PSV menerusi institut memandu di seluruh Malaysia manakala 3,090 orang lulus kursus yang dijalankan oleh EHO sendiri, katanya.

Menurutnya, sebanyak 17,596 eVP iaitu 4,216 eVP teksi dan 13,380 eVP kenderaan persendirian telah dikeluarkan.

“Kerajaan berharap semua EHO dan pemandu e-hailing mengambil perhatian serius untuk mematuhi semua peraturan e-hailing serta tidak melengahkan proses ini,” katanya.

Loke berkata beliau telah memaklumkan kepada Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Shaharuddin Khalid supaya penguatkuasaan dijalankan secara berhemah dan memberi peringatan dalam tempoh tiga bulan ini. – BERNAMA