Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Golongan antivaksin wajar dikenakan tindakan undang-undang

KUALA LUMPUR, 24 JAN: Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM) menggesa agar golongan antivaksin yang menyebarkan maklumat salah mengenai suntikan vaksin dikenakan tindakan undang-undang.

Presidennya Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata sekiranya tindakan undang-undang diambil, sudah tentu ia dapat mengurangkan penyebaran fakta salah mengenai aktiviti vaksinasi yang menimbulkan ketakutan dan kebimbangan orang ramai.

“Saya setuju golongan antivaksin ini didakwa …mereka sering menyebarkan fakta-fakta salah, biasanya di media sosial mengenai keburukan vaksin serta menyalahkan kerajaan (kerana mengadakan Program Imunisasi Kebangsaan atau NIP), ini merupakan hasutan jahat kepada masyarakat.

“Sekiranya Kementerian Kesihatan kata tindakan golongan ini salah dan membahayakan masyarakat (kerana menyebarkan fakta salah mengenai vaksin), polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) boleh lakukan tugas mereka mengikut peruntukan akta terhadap golongan antivaksin,” katanya kepada Bernama selepas majlis Resolusi Perbincangan Meja Bulat Berkaitan Vaksinasi: ‘Wajarkah Imunisasi Kanak-kanak Dijadikan Undang-undang Mandatori?’ semalam.

Beliau berkata sedemikian ketika diminta mengulas mengenai resolusi ke-5 persidangan itu yang mencadangkan kerajaan mengambil tindakan tegas berdasarkan undang-undang dan dasar sedia ada terhadap golongan antivaksin.

Dalam pada itu, Dr Zainal turut menyarankan kerajaan terutamanya KKM untuk mencipta dan menghasilkan vaksin sendiri untuk mengurangkan kebergantungan terhadap produk luar negara.

“Sebenarnya kita ada kepakaran itu (menghasilkan produk vaksin sendiri), contohnya kita ada Institut Penyelidikan Perubatan. Sudah tentu ini lebih bagus dan jimat untuk kita hasilkan sendiri di sini,” katanya.

Melalui sidang meja bulat yang disertai 22 pertubuhan bukan kerajaan kesihatan itu, 10 resolusi dikeluarkan, antaranya menggesa kerajaan mewajibkan imunisasi kepada kanak-kanak di seluruh negara melalui undang-undang mandatori yang khusus.

Menurut Dr Zainal resolusi itu akan diserah kepada perdana menteri untuk tindakan susulan oleh pihak kerajaan.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tindakan doktor sokong antivaksin bawah bidang kuasa MMC

KLANG, 13 MEI: Sebarang tindakan terhadap mana-mana doktor yang dikesan menyokong kumpulan antivaksin adalah di bawah bidang kuasa Majlis Perubatan Malaysia (MMC), kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Bagaimanapun kata beliau, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa memantau perkembangan kumpulan tersebut dan mengambil pendekatan untuk terus berdialog dengan golongan itu bagi menimbulkan kesedaran mengenai kepentingan vaksin kepada semua bayi serta kanak-kanak.

“KKM memang sentiasa memantau sebarang kempen yang dianjurkan golongan anti vaksin ini. Jika mereka mempunyai pendapat mereka (berkaitan suntikan vaksin), kita juga ada hujah kita sendiri.

“Mereka tidak boleh sekadar menyatakan pendapat mereka secara ‘satu hala’ saja, mereka perlu berdialog dengan kita dan kita bersedia untuk berkongsi pentas dengan mereka bagi bercakap mengenai isu ini jika mereka mahu,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan rasmi ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, hari ini.

Ditanya berkenaan bilangan doktor perubatan yang dikesan oleh KKM menyokong gerakan antivaksin itu, Dr Dzulkefly berkata pihaknya tidak ada membuat pemantauan mengenai isu berkenaan.

Namun katanya, masyarakat digalak melaporkan kepada MMC jika mendapati wujudnya dalam kalangan doktor yang menyokong kumpulan antivaksin berkenaan supaya pihak majlis dapat mengambil tindakan sewajarnya, jika perlu.

Mengulas berhubung kertas cadangan KKM yang mahu mewajibkan bayi dan kanak-kanak diberi suntikan vaksin, beliau berkata ia kini berada pada peringkat akhir sebelum dibentangkan kepada Kabinet.

“Saya dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan (Datuk Dr Noor Hisham Abdullah) bahawa jawatankuasa terlibat telah membentangkan kertas cadangan itu kepadanya dan beliau pula akan bentangkan kepada saya, sebelum saya membawanya kepada Kabinet.

Perkara ini tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa. Banyak aspek yang perlu kita lihat dan ada beberapa isu kritikal yang saling berkait juga perlu diteliti. Apa yang penting adalah kita mahu anak-anak kita selamat dan tidak dijangkiti oleh orang yang tidak divaksin,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan mengenai penubuhan pasukan petugas khas bagi merealisasikan cadangan dan dasar untuk mewajibkan suntikan imunisasi vaksin di negara ini akan dikemukakan kepada Kementerian Kesihatan (KKM), akhir April lepas.

Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) sebelum ini juga dilapor mendesak kerajaan mewajibkan suntikan vaksin bagi mengurangkan penyebaran penyakit yang dapat dielakkan menerusi vaksin di negara ini.

-BERNAMA