Categories
AGENDA NASIONAL

Membaca, belajar perkara baharu resipi kejayaan pelajar terbaik Kuis

KAJANG, 2 DIS: Sering membaca dan belajar malam antara resepi kejayaan Aida Shafinaz Mohamed Shafit yang diumum penerima Anugerah DiRaja Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor.

Graduan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) berjaya meraih gelaran tersebut menerusi Majlis Konvokesyen Kuis kali ke-23 yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuis semalam.

Aida Shafinaz Mohamed Shafit

Terkejut namanya diumum sebagai penerima anugerah tertinggi, Aida Shafinaz, 24, berkongsi hobinya yang sering meluangkan masa lapang dengan membaca buku berunsurkan fiksyen, biografi dan fantasi.

Sifat sentiasa ingin tahu membuatkan graduan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Penyiaran) itu menerokai perkara baharu dan bercita-cita menjadi diplomat antarabangsa pada masa akan datang.

Berhasrat melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana di Kuis dan Ijazah Doktor Falsafah di luar negara, gadis kelahiran Amerika Syarikat itu turut menjadikan ibu bapa dan adik beradiknya sebagai pendorong kejayaan.

“Ibu saya seorang guru bahasa Inggeris dan bapa pula doktor, manakala kakak, abang juga doktor dan adik pula bakal doktor. Mereka pembakar semangat saya untuk terus belajar dan meraih kejayaan.

“Walaupun adik beradik saya semuanya doktor tetapi ia tidak menjadi penghalang untuk saya meneruskan dalam bidang komunikasi kerana yang penting kita minat dengan apa yang kita lakukan dan tidak perlu mengikut orang,” katanya kepada SelangorKini.

Sejak kecil sentiasa dididik untuk meluangkan masa sekurang-kurangnya tiga jam belajar pada waktu malam dan sehingga kini ia menjadi kebiasaan buat Aida Shafinaz malah masa akan dipanjangkan sedikit apabila tibanya hari peperiksaan.

Menurutnya, selain membaca beliau turut menghabiskan masa terluang dengan menonton filem dan bermain bola jaring.

“Semua aktiviti ini juga boleh buatkan minda saya cergas, sebagai contoh dengan membaca dan menonton filem pada masa sama sebenarnya kita belajar dan dapat pengetahuan baru,” katanya yang menetap di Seri Kembangan.

Aida Shafinaz turut berterima kasih kepada pensyarah dan rakannya yang banyak memberi tunjuk ajar dan sokongan sepanjang belajar di Kuis.

“Pensyarah banyak membantu dalam bidang akademik dan memberikan sokongan moral sepanjang pengajian saya di sini,” katanya.

Mengulas Kuis menjadi pilihan, beliau berkata institusi itu amat bagus dan mempunyai pelbagai kelengkapan pembelajaran yang memudahkan pelajar menuntut ilmu.