Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Zakat Selangor terima anugerah Syarikat Terbaik Untuk Bekerja di Asia 2021

KUALA LUMPUR, 30 DIS: Lembaga Zakat Selangor (LZS) dinobatkan sebagai antara penerima anugerah Syarikat Terbaik Untuk Bekerja di Asia 2021 (edisi Malaysia) anjuran HR Asia dalam satu majlis berprestij baru-baru ini.

LZS adalah antara 43 syarikat yang menerima anugerah itu daripada keseluruhan 270 penyertaan syarikat tempatan dan antarabangsa yang beroperasi di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Saipolyazan M. Yusop yang menerima anugerah itu berkata ia merupakan pengiktirafan kepada LZS serta institusi zakat di Malaysia secara amnya.

Beliau berkata penganugerahan itu secara tidak langsung membuktikan keupayaan syarikat berkenaan mengurus secara profesional dan bertaraf antarabangsa, sekali gus meningkatkan keyakinan pengeluar zakat untuk terus menunaikan zakat di Selangor.

“Pengiktirafan ini juga ditujukan khas kepada warga kerja LZS atas kerja keras dan kesungguhan mereka memberikan yang terbaik kepada asnaf dan juga pengeluar zakat terutama dalam waktu pandemik ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anugerah Syarikat Terbaik Untuk Bekerja di Asia itu merupakan program tahunan yang dianjurkan HR Asia bagi mengiktiraf organisasi di benua itu dalam bidang kecemerlangan pengurusan sumber manusia, penjenamaan majikan dan libat urus warga kerja.

Syarikat yang menyertai program itu perlu melalui proses penilaian berdasarkan kaji selidik berteraskan Total Engagement Assessment Model (TEAM) kepada warga kerja yang dipilih secara rawak.

Menurut kenyataan itu, LZS turut membentangkan inisiatif yang diusahakan sebagai sebuah organisasi prihatin kepada masyarakat dan warga kerja ketika tempoh COVID-19 kepada panel penilai, sebelum dipilih sebagai pemenang.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MBSA rangkul anugerah bandar lestari alam sekitar

SHAH ALAM, 28 OKT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berjaya merangkul anugerah bandar lestari alam sekitar dari pihak Asean Working Group for Environmentally Sustainable Cities (AWGESC) Indonesia.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Shahrin Ahmad berkata pengiktirafan The 5th Asean Environmentally Sustainable Cities itu diterima secara dalam talian pada 21 Oktober lalu.

“Beberapa bandar di Malaysia turut tercalon termasuk MBSA yang diiktiraf sebagai bandar yang memiliki udara, air dan tanah bersih.

“Anugerah ini juga sebagai tanda penghargaan menjadikan bandar Asean sebagai bandar lestari dan pada masa sama dapat berkongsi amalan tempatan terbaik dalam memastikan bandar bersih, hijau dan berdaya huni,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut Shahrin proses pencalonan MBSA itu dibuat dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Kementerian Alam Sekitar.

Kriteria untuk pemilihan calon bandar di Malaysia adalah melibatkan petunjuk yang diguna menerusi Sistem Penggredan Pihak Berkuasa Tempatan dan Rangkaian Petunjuk Nasional Luar Bandar Bandar Malaysia untuk Pembangunan Mampan (MURNInets 2.0) di bawah KPKT dan PLANMalaysia.

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong kurnia gelaran Tun kepada Tengku Maimun, Dr Arshad Ayub

PUTRAJAYA, 17 OGOS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mengurniakan Darjah Seri Setia Mahkota (SSM) yang membawa gelaran Tun kepada Ketua Hakim Negara Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat dan Pro-Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Tan Sri Dr Arshad Ayub.

Dua tokoh itu mendahului senarai 31 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2020 bersempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong pada istiadat pengurniaan hari pertama yang berlangsung di Istana Melawati di sini hari ini.

Tengku Maimun, 61, yang dilantik sebagai Ketua Hakim Negara pada 2 Mei 2019, adalah wanita pertama di Malaysia memegang jawatan tertinggi badan kehakiman negara.

Sementara itu, Arshad, 91, yang dilantik sebagai Pro-Canselor UiTM sejak 2000 turut memegang jawatan sebagai Canselor Universiti Islam Malaysia (UIM) sejak 2019.

Beliau juga pernah menerima anugerah Tokoh Merdeka pada 2014 dan dinobatkan sebagai Tokoh Melayu Terbilang pada 2012.

Turut berangkat ke istiadat itu ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Istiadat pengurniaan hari pertama itu juga menyaksikan empat individu dikurniakan Darjah Panglima Mangku Negara (PMN) dan 12 individu menerima Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM), masing-masing membawa gelaran Tan Sri.

Penerima Darjah PMN ialah Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali, Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Seramai 12 penerima Darjah PSM ialah Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Rohana Yusuf, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Zamrose Mohd Zain dan Panglima Tentera Udara Jeneral Datuk Sri Ackbal Abdul Samad.

Turut dianugerah PSM ialah bekas Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor, Presiden Majlis Olimpik Malaysia Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, Ketua Pegawai Eksekutif The Lotus Corporation Bhd Datuk R Doraisingam, Pengerusi Petroliam Nasional Berhad (Petronas) Datuk Ahmad Nizam Salleh, Presiden Kumpulan Sunway Group Berhad Datuk Chew Chee Kin, Pengarah Urusan Platinum Victory Holdings Sdn Bhd Datuk Seri Gan Yu Chai dan Pengasas dan Pengarah Urusan SENA Group of Companies yang juga Pengasas dan Pengarah Optimax Holding Berhad Datuk Tan Boon Hock.

Yang di-Pertuan Agong turut mengurniakan Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran Datuk kepada Ketua Audit Negara Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid, Hakim Mahkamah Rayuan P Ravinthran, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datuk Amar Jaul Samion dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Safar Untong.

Turut dianugerahkan Darjah PJN ialah Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob, Ketua Pengarah Pelajaran Dr Habibah Abdul Rahim, Ketua Pengarah Keselamatan Negara Mohd Rabin Basir, Naib Pengerusi CRSC Holdings Berhad Datuk Mohamed Salleh Bajuri dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Low Yat Group Low Gee Teong.

Pada istiadat pengurniaan hari ini, Al-Sultan Abdullah turut mengurniakan Darjah Panglima Setia Diraja (PSD) yang membawa gelaran Datuk kepada Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Jabatan Perdana Menteri Mohammad Ismail, Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri Roziah Abudin, Doktor Peribadi Yang di-Pertuan Agong, Dr. Mahathar Abd Wahab dan Doktor Peribadi Raja Permaisuri Agong, Dr. Zanariah Hussein.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Plus Bhd syarikat lebuh raya pertama raih anugerah AMEC 2020

KUALA LUMPUR, 25 JULAI: Syarikat konsesi lebuh raya, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memenangi anugerah emas dalam kategori pengurusan krisis dan reputasi pada Majlis Anugerah Sidang Kemuncak Persatuan Antarabangsa untuk Pengukuran dan Penilaian Komunikasi (AMEC) 2020.

Majlis tersebut berlangsung di United Kingdom baru-baru ini dan pencapaian itu menjadikan PLUS sebagai syarikat lebuh raya pertama di dunia yang menerima anugerah daripada AMEC.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Perhubungan Korporat, Komuniti dan Awam PLUS Syed Mohammed Idid Syed Ahmad Idid berkata anugerah itu adalah bukti bahawa sokongan kepimpinan tertinggi merupakan kunci kepada kejayaan komunikasi.

“Kami gembira dengan anugerah ini yang dicalonkan oleh Isentia, syarikat pemantauan dan analisis media serantau kami, dinilai sebagai pemenang mengatasi dua jenama antarabangsa lain, Fullintel yang memenangi perak dan LexisNexis dengan gangsa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Wawasan Isentia Asia Prashant Saxena berkata pasukannya berjaya mempertahankan kecemerlangan pada Majlis Anugerah AMEC yang berprestij tersebut.

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memenangi anugerah emas dalam kategori pengurusan krisis dan reputasi pada Majlis Anugerah Sidang Kemuncak Persatuan Antarabangsa untuk Pengukuran dan Penilaian Komunikasi (AMEC) 2020. Foto: PLUS

“Pada 2020, kami menghantar penyertaan untuk enam kategori dan hasilnya kami meraih empat (anugerah) emas dan satu perak. Terima kasih kepada pasukan kami di Malaysia kerana telah membantu PLUS dalam projek pengukuran reputasi mereka yang masih berjalan,” katanya.

Sidang Kemuncak Global AMEC adalah program penghargaan tahunan yang mengiktiraf usaha dan pencapaian penyelidikan luar biasa, pengukuran dan analisis untuk kempen komunikasi syarikat perniagaan dan kerajaan.

AMEC, yang mempunyai lebih 160 ahli di 86 negara, adalah organisasi penyelidikan dan wawasan media profesional terbesar di dunia yang mewakili organisasi dan pengamal media yang menyediakan penilaian media dan penyelidikan komunikasi.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB ucap syabas Air Selangor terima anugerah

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SHAH ALAM, 12 MAC: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari, mengucapkan syabas kepada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) kerana dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Cemerlang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan 2018 (kategori kemudahan air).

Katanya, dengan anugerah itu, ia akan menjadi pemangkin kepada Air Selangor dalam memberi perkhidmatan cemerlang kepada pengguna.

“Syabas kepada Air Selangor, dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Cemerlang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan 2018 (kategori kemudahan air).

“Saya berharap ini akan menjadi pemangkin buat Air Selangor dalam memberi perkhidmatan cemerlang kepada pengguna,” tulisnya dalam Twitter, pagi tadi.

Air Selangor melalui pejabat Wilayah Gombak dipilih sebagai pemenang dalam anugerah anjuran Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (NCOSH) itu.

Anugerah terbabit bertujuan mengiktiraf organisasi yang mempamerkan rekod pencapaian cemerlang dalam melaksanakan sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan, di tempat kerja.

 

 

Categories
AGAMA BERITA UTAMA SELANGOR

MBI terima Anugerah Abdul Rahman Auf

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 12 APR: Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) menerima Anugerah Khas Abdul Rahman bin Auf daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) ekoran komitmen anak syarikat Kerajaan Negeri itu menunaikan zakat perniagaan termasuk menguruskan wakalah agihan, pada tahun 2017.

Ketua Jabatan Tanggungjawab Sosial dan Korporat MBI, Mohd Jaafarudin Md Ali berkata, pemerbadanan itu bukan sahaja membayar zakat secara konsisten, malahan turut menjalin kerjasama baik dengan bahagian agihan zakat LZS.

“Kita akan terus menyokong LZS memandangkan zakat salah satu daripada rukun Islam dan ikut mana pun wajib bayar zakat. MBI bukan sahaja mementingkan pertumbuhan duniawi kerana selaku entiti yang menjurus pelaburan, maka kita bukan hendak melabur di dunia sahaja tetapi mahu melabur di akhirat juga.

“Kita turut berkempen dengan LZS untuk menerangkan kepada masyarakat berhubung kebaikan, keberkatan dan kesan yang diperolehi daripada pembayaran zakat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada SelangorKini pada Majlis Penghargaan LZS 2017, di Grand Bluewave Hotel, di sini, baru-baru ini.

Jaafarudin berkata, MBI turut mewajibkan kakitangannya yang beragama Islam membayar zakat pendapatan melalui potongan gaji.

Katanya, langkah itu diterima baik kakitangan Islam di MBI selepas diberikan penerangan berhubung kebaikan, keberkatan dan kesan yang diperolehi daripada pembayaran zakat.

“Pemotongan itu bukan banyak tetapi hanya 2.5 peratus daripada gaji tetapi keberkatan yang kita dapat terlalu banyak,” katanya.

Sementara itu, pemenang anugerah khas lain pula, Universiti Putra Malaysia iaitu penolong amil Institusi Pengajian Tinggi LZS menerima Anugerah Muaz bin Jabal dan Mimos Berhad menerima Anugerah Umar Abdul Aziz.

Selain tiga anugerah khas, sebanyak 12 anugerah lain turut disampaikan kepada pemenang.

Anugerah disampaikan Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS merangkap Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Bakhtiar Hussin.

Categories
PBT SELANGOR

SMK SUBANG Jaya ungguli Anugerah Sekolah Sejahtera MPSJ 2017

OLEH SABIRAH AZIZ

SUBANG JAYA, 10 JAN: SMK Subang Jaya mengungguli Anugerah Sekolah Sejahtera Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) 2017, hari ini.

Anugerah disampaikan Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan pada Majlis Penutup Anugerah Sekolah Sejahtera 2017 di Swan Convention Centre, di sini.

Pada majlis itu, SMK Subang Jaya membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000, piala dan sijil.

Sekolah itu turut memenangi dua anugerah khas bagi kategori Kelestarian Alam Sekitar serta Kesihatan dan Kebersihan.

Sementara itu, Noraini berkata, pelaksanaan anugerah itu bertujuan mewujudkan persekitaran sekolah yang sejahtera meliputi kesihatan dan kebersihan, kelestarian alam sekitar, landskap juga keceriaan.

“MPSJ memilih tema ‘Melentur Buluh Biar dari Rebungnya’ bersesuaian objektif program bagi memperkasakan pelajar iaitu ejen perubahan kepada generasi komuniti masa kini.

“Ia juga bagi memupuk amalan terbaik pengurusan sisa, penggunaan semula sumber dan membina generasi komuniti peka dengan kebersihan persekitaran serta kelestarian alam sekitar,” katanya.

Noraini berkata, sebanyak 54 dari 79 sekolah mengambil bahagian meliputi 40 sekolah rendah dan 14 sekolah menengah.

“Diharapkan, usaha ini akan memberi impak maksimum dalam mendidik komuniti dari pelbagai peringkat,” katanya.

Program sekolah sejahtera diperkenalkan pada 2014 dan diperkasakan dengan penjenamaan semula sebagai Anugerah Sekolah Sejahtera MPSJ, pada tahun 2017.

 

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MPS terima Anugerah Majikan Prihatin

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 2 MEI: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menerima penganugerahan Majikan Prihatin pada Sambutan Hari Pekerja Cuepacs 2017 yang diadakan di Auditorium Kompleks Islam Putrajaya, semalam.

Anugerah itu diterima di Peringkat Kebangsaan dalam kategori Badan Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan 2017.

Yang Dipertua MPS, Suliman Abd Rahman berkata, pihaknya sentiasa berusaha memastikan kebajikan pekerja diutamakan.

“Pelbagai usaha dan kemudahan diberikan kepada kakitangan agar kebajikan dan keselesaan ketika bekerja diberi keutamaan.

“Dengan keprihatihan pengurusan terhadap pekerja, mutu dan kualiti perkhidmatan akan meningkat,” katanya dalam kenyataan.

Suliman berkata, MPS sentiasa memastikan semua kakitangannya menjadi ahli Kesatuan Kebangsaan Pekerja Penguasa Tempatan Semenanjung Malaysia kerana yakin melaluinya kebajikan dan kepentingan hak pekerja dapat diperjuangkan.

Katanya, MPS juga telah menetapkan ganjaran kepada staf yang mencapai sasaran kerja sama ada individu, kumpulan atau jabatan.

Tambahnya lagi, beliau juga berbangga atas penganugerahan itu dan mengucapkan terima kasih kepada CUEPACS yang telah menganjurkan penganugerahan ini.

“Penganugerah ini akan menjadi penyuntik semangat kepada Ahli Majlis, pengurusan dan staf MPS untuk meningkatkan mutu perkhidmatan,” katanya.

Difahamkan anugerah disampaikan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia, Dato’ Seri Zainal Rahim Seman dan Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Persatuan Penduduk Apartment Idaman gondol RM30,000

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 6 JAN: Persatuan Penduduk Apartment Idaman muncul menerima Anugerah Khas Juri, sekali gus membawa pulang RM30,000 dalam Anugerah Sustainable Community oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Anugerah disampaikan Datuk Bandarnya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain dalam majlis yang diadakan di Hotel Royale Chulan, Damansara, baru-baru ini.

Azizi berkata, pengiktirafan itu berdasarkan inisiatif pembangunan mampan dan bertujuan untuk meningkat kreativiti serta kemahiran merancang projek dalam kalangan komuniti bagi memikirkan idea baru yang boleh diketengahkan.

“Langkah positif ini mendapat penyertaan 53 berbanding 25, pada tahun 2014.

“Kali ini, MBPJ turut memperkenalkan kategori baru di bawah program belia memandangkan golongan ini merupakan modal insan yang akan membentuk masa depan generasi,” katanya.

mbpj-anugerah-komuniti-1Azizi berkata, sebanyak 1,160 inisiatif atau projek pembangunan mampan terhasil daripada komuniti ini, sejak tahun 2000.

“Evolusi positif ini mengesahkan impak pelaksanaan yang dijalankan perunding Universiti Malaya, pada tahun 2015.

“Anugerah Komuniti Mampan merupakan ‘platform’ paling berkesan dalam membina kapasiti komuniti Petaling Jaya,” katanya.

Turut menerima anugerah ialah KRT SS24 Taman Megah Fasa2 (RM30,000) dan Persatuan Penduduk Blok 3 Desa Mentari (RM30,000) bagi kategori alam sekitar.

Persatuan Kebajikan Penduduk Petaling Perdana (RM30,000-kategori ekonomi); Persatuan Penduduk Apartment Idaman (RM30,000-budaya dan komuniti); Persatuan Penduduk SS20 Zon Sentral (RM30,000-habitat).

Manakala, Persatuan Pemilik dan Penghuni Rumah Damansara Jaya (RM30,000-kategori urus tadbir).

Bagi kategori belia pula, Search and Destroy Aedes Junior (RM10,000-johan); Kelab Belia DJROA (RM5,000-naib johan) dan Jiran Muda Flat PKNS Taman Dato’ Harun (RM3,000-ketiga).

-NFN-

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Naib Presiden ABIM juara Penulisan Muda Kemanusiaan 2016

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 29 DIS: Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Global Peace Mission (GPM) Malaysia, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin menjuarai Pertandingan Penulis Muda Kemanusiaan 2016 bertemakan ‘The Power of Humanity.’

Beliau yang juga aktivis Malaysian Life Line for Syria (MLLFS) memenangi tempat pertama dalam kategori bukan wartawan (Bahasa Melayu).

Serahan dibuat Timbalan Ketua Delegasi Serantau ICRC, Claire Servoin di Wisma UOA, Kuala Lumpur.

abimPemenang tempat pertama menerima peralatan elektronik bernilai RM1,500 manakala pemenang tempat kedua bakal membawa pulang peralatan elektronik bernilai RM1,000.

Pertandingan itu dilancar pada 8 Mei lalu sempena sambutan Hari Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Sedunia dianjur ICRC dan Kelab Akhbar Kebangsaan Malaysia (NPC) dengan kerjasama Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM).

Panel hakim yang terdiri daripada ahli akademik, pengamal dan pakar dalam bidang komunikasi, undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta hal ehwal kemanusiaan memilih enam pemenang yang menunjukkan pemahaman asas yang amat baik berkaitan isu dan cabaran kemanusiaan.

Terdahulu, pada 2015, artikel tulisan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Life Line for Syria (MLLFS), Syahrir Azfar Saleh (Syahrir Azfar Al-Halabi), ‘Allah, Suriah, Hurriyah Bas’ yang tersiar dalam Sinar Harian memenangi tempat kedua dalam pertandingan sama.

-NFN-

Categories
SELANGOR

ABASS terima Anugerah MyCarbon Award 2015

SHAH ALAM 5 APR: Konsortium ABASS Sdn Bhd (ABASS) menerima Anugerah MyCarbon Award 2015 anjuran Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dengan kerjasama United Nations Development Programme (UNDP) baru-baru ini.

Pengarah ABASS, Ir. Abas Abdullah, berkata anugerah itu secara tidak langsung mengiktiraf kekuatan syarikat dalam menyediakan inventori gas rumah hijau dan pencapaian laporan mengikut piawai antarabangsa.

Katanya, ia juga membuktikan komitmen syarikat dan peranan dimainkan dalam menguruskan gas rumah hijau dengan lebih berkesan dilaksanakan dengan jaya malah mampu menjadi contoh kepada syarikat lain.

“ABASS melaksanakan pelbagai inisiatif dalam usaha memastikan pengurangan gas rumah hijau daripada semua operasi dan pengurusan syarikat.

“Kita menguruskan penggunaan tenaga dalam operasi, menjalankan kerja menaiktaraf peralatan kepada peralatan mempunyai kadar penggunaan elektrik lebih efisien dan program galakan budaya kerja hijau di semua peringkat pengurusan,” katanya.

MyCarbon Award 2015 adalah anugerah terulung dalam merangsang dan menyokong pembangunan lestari berlandaskan pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan sosial dan perlindungan alam sekitar.

Menurut Ir. Abas, ABASS juga mengadakan kerjasama erat bersama Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) serta menubuhkan Pasukan Penjagaan Pencemaran Sungai.

Ia bagi memastikan pengaliran air ke Sungai Semenyih sentiasa dipantau supaya tiada pencemaran berlaku dan kualiti air sentiasa terjaga serta bebas dari sebarang bahan kimia.

“Kejayaan mengekalkan Indeks Kualiti Air Mentah pada tahap dua memastikan penggunaan bahan kimia optimum dan pengeluaran enap cemar terkawal sekaligus meningkatkan kecekapan operasi dan mengurangkan kadar pelepasan gas rumah hijau,” katanya.

Selain anugerah ini, ABASS juga menerima pengiktirafan seperti Anugerah Prime Minister Hibiscus Award, MSOSH, Anugerah Kecemerlangan Keselamatan dan Kesihatan Kebangsaan, MSC Malaysia HR Achievement dan The Malaysian Book of Records.
EZY

Categories
SELANGOR

Tiga pensyarah UNISEL diiktiraf National Outstanding Educator Award 2015

SHAH ALAM, 19 MEI: Tiga pensyarah Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM) Universiti Selangor (Unisel) dipilih sebagai finalis National Outstanding Educator Award 2015.

Dr Suziyanti Marjudi, Dr Mohd Fahmi Amran dan Faudzi Ahmad turut menerima sijil pengiktirafan dalam satu majlis yang diadakan di Kolej Antarabangsa Kirkby, baru-baru ini.

“Kejayaan membanggakan ini turut menaikkan nama Unisel di seluruh negara.

1e8a5361b0a2cf1c41f9a657f956af7f“Ia juga diharap mampu menjadi pembakar semangat buat seluruh warga universiti dalam mencapai kejayaan di pelbagai bidang,” kata satu kenyataan dikeluarkan Pejabat Komunikasi Korporat Unisel.

Program anjuran Koperasi Pendidikan Swasta Malaysia Berhad itu menyaksikan kira-kira 30 finalis di pilih, manakala 18 lagi pemenang pelbagai kategori.

Ia adalah usaha meraikan pendidik institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) seluruh negara sempena Hari Guru, pada 16 Mei lalu.

Seramai 250 wakil pelbagai IPTS menghadiri majlis itu yang turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri Pendidikan II, P Kamalanathan.

-NFN-