Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

Ibu sebak terima ijazah anak meninggal akibat batuk kering

KUALA SELANGOR, 5 FEB: Perasaan sedih terpancar pada wajah ibu arwah Nursafiq Hafizan Jafri, yang mewakilinya menerima Ijazah Sarjana Muda Sains Maklumat (Pengurusan Perpustakaan) secara anumerta pada Istiadat Konvokesyen Ke-15 Universiti Selangor (Unisel) hari ini.

Jamiah Wahab, 51, yang dipimpin anak keduanya, Nur Lily Shafiqah Jafri, 21, naik ke atas pentas menerima ijazah yang disampaikan oleh Canselor, Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Alhaj Raja Tun Uda Alhaj.

Jamiah Wahab

Ketika ditemui, beliau mengakui berbangga dengan pencapaian anak sulungnya itu, namun tidak dapat menahan sebak mengenangkan anaknya sudah meninggal dunia akibat batuk kering pada 4 Mei tahun lalu.

“Saya berasa amat-amat bangga, cuma terkilan dia sudah tiada. Harapan saya kini pada adik-adik arwah yang berjanji akan menyambung dan mengikuti jejak abang mereka.

“Sebelum meninggal dunia, arwah berulang kali menyatakan hasrat untuk membantu keluarga, beli rumah, bawa naik kereta tetapi itulah sudah ketentuannya,” katanya.

Seramai 2,868 graduan Unisel dirai pada Istiadat Konvokesyen Ke-15 yang berlangsung hari ini sehingga 9 Februari ini.

Istiadat konvokesyen yang diadakan di Dewan Canselor Kampus Bestari Jaya di sini diadakan secara fizikal selepas dua tahun ditangguhkan akibat Covid-19.