Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor bangunkan platform halal, pusat rujuk pemain industri serta pengguna

SHAH ALAM, 6 MAC: Kerajaan Selangor merancang membangunkan aplikasi bagi memudahkan orang ramai mendapat maklumat menyeluruh berkaitan sektor halal dalam satu platform.

EXCO Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata pembangunan data bahan halal sedang dibincangkan bersama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Kita akui bahawa agak mencabar untuk kumpul semua maklumat berkaitan halal. Jadi dengan adanya data dalam bentuk digital, pengguna termasuk pengeluar, peruncit dan pengimport mudah untuk akses.

“Selain ramuan halal, aplikasi ini akan turut mengumpulkan jumlah permohonan sijil halal dan pemain industri,” katanya ditemui media selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Halal Selangor (Selhac) 2022 di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini hari ini.

Terdahulu, beliau dalam ucapan memaklumkan modul program pembangunan kapasiti halal Selangor yang sedang berjalan akan ditambah baik dari semasa ke semasa bagi memenuhi keperluan industri.

Selain itu, katanya program Halal Suri pula mampu meningkatkan produktiviti kaum ibu di negeri ini melalui penghasilan produk sejuk beku untuk dipasarkan kepada pelanggan dari rumah tanpa perlu bergerak jauh.

“Program ini membantu suri rumah mendapat sumber pendapatan kerana produk dihasilkan mereka seperti ayam dan kuih-muih sejuk beku sangat sedap dan bagus,” katanya.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Aplikasi semak status produk bakal dilancar sebelum persidangan antarabangsa halal

SHAH ALAM, 1 FEB: Kerajaan Negeri menjangka aplikasi halal bagi memudahkan pengguna menyemak status sesuatu produk secara dalam talian akan dilancarkan sebelum Mac ini.

EXCO Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni aplikasi itu akan disiapkan sebelum bermulanya Persidangan Antarabangsa Halal Selangor (Selhac) pada bulan tersebut.

“Ketika ini kita sedang berunding dengan pihak kejuruteraan. Insya-Allah ia akan mula dilancarkan sebelum Mac…sebelum bermulanya Selhac,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sesi ‘walkabout’ Ops Pematuhan SHMMP Tahun Baharu Cina bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor di Pasaraya NSK Trade City BMC Mall di sini semalam.

EXCO Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni bercakap kepada media selepas menyertai Ops pematuhan harga musim perayaan di NSK Trade City BMC Mall Mahkota Cheras, Kajang pada 31 Januari 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pada Disember tahun lalu, Mohd Zawawi mengumumkan Kerajaan Negeri bakal melancarkan aplikasi halal yang mesra pengguna bagi membolehkan mereka menyemak bahan sesuatu produk.

Tidak hanya memfokuskan kepada aspek halal dalam makanan sebaliknya ia turut memberi tumpuan semua produk antaranya farmaseutikal, dandanan diri dan kosmetik.

Pada 26 November ketika membentangkan Belanjawan #Selangor2022, Dato’ Menteri Besar mengumumkan peruntukan sebanyak RM2 juta untuk Hab Halal Selangor di Pulau Indah, Klang bagi meneruskan kelangsungan dan kecemerlangan industri halal negeri ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dana kepada taman perindustrian halal pertama di Malaysia seluas 700 ekar itu bagi memenuhi akreditasi kualiti di peringkat tempatan dan antarabangsa.