Categories
AGENDA NASIONAL

Jumlah mangsa banjir turun di Selangor, tiga negeri

KUALA LUMPUR, 24 DIS: Bencana banjir yang melanda negara menyaksikan penurunan jumlah mangsa di Selangor, Kelantan, Pahang dan Melaka, manakala di Negeri Sembilan merekodkan sedikit peningkatan sementara di Perak pula jumlah mangsa kekal, setakat pagi ini.

Di Selangor, Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) memaklumkan negeri itu merekodkan penurunan jumlah mangsa banjir iaitu 17,915 dari 4,407 keluarga melibatkan 101 pusat pemindahan sementara berbanding 18,126 orang di 103 PPS malam tadi.

Setakat 4 pagi tadi, Polis Selangor memaklumkan 10 jalan telah dinaiki air dan ditutup untuk laluan kenderaan di negeri tersebut melibatkan lapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri itu.

Jalan yang ditutup adalah Lorong Ikan Haruan, Kg Bukit Lanchong, Putra Heights (IPD Subang Jaya); Jalan Olak Lempit ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) (IPD Kuala Langat); Jambatan FT 31 Dengkil – Banting (IPD Sepang) dan Jalan BRP 7/2 Bukit Rahman Putra (IPD Sungai Buloh).

Turut ditutup Jalan Sg Panjang – Tanjung Malim (IPD Sabak Bernam); Jalan Kuala Selangor – Meru dan Jalan Kuala Selangor – Bestari Jaya (IPD Kuala Selangor) manakala jambatan menghala ke Lapang Sasar, Subang ditutup ekoran rosak serta Jalan PJU 7, Hadapan MRT, Mutiara Damansara ditutup kerana berlubang (IPD Petaling Jaya).

JPS memaklumkan aras air Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat yang berada pada paras bahaya semalam kini di paras amaran dengan ketinggian 4.15 meter.

Jumlah mangsa banjir di Kelantan mencatatkan penurunan apabila 1,389 orang daripada 472 keluarga pagi ini berbanding 1,666 orang daripada 572 keluarga, semalam, melibatkan lapan pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka kesemuanya di jajahan Pasir Mas.

Sementara itu, portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui https://publicinfobanjir.water.gov.my , melaporkan tiada sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya yang mana hanya dua sungai sahaja berada pada paras amaran iaitu Sungai Kelantan di Rantau Panjang, Pasir Mas dan Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir di Pahang pagi ini sedikit menurun kepada 34,390 orang yang ditempatkan di 245 PPS kini berbanding 34,487 di 246 PPS semalam, menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sementara itu, Lebuhraya Pantai Timur menerusi catatan Twitter memaklumkan laluan di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1, melibatkan Chenor ke Temerloh sudah dibuka namun Temerloh ke Karak masih tidak boleh dilalui kedua-dua hala.

Di Melaka pula, jumlah mangsa menurun kepada 110 mangsa daripada 27 keluarga setakat 8 pagi ini dan kesemua mangsa ditempatkan di dua PPS yang masih dibuka di daerah Alor Gajah dan Jasin.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata daripada jumlah itu, sebanyak 42 mangsa dari 13 keluarga masih ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lubok China di Alor Gajah.

“Di daerah Jasin pula, jumlah mangsa masih kekal iaitu sebanyak 68 mangsa daripada 14 keluarga ditempatkan di PPS SK Parit Penghulu Benteng,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, jumlah mangsa di Perak setakat 8 pagi ini masih kekal dengan 153 mangsa dari 44 keluarga di dua PPS di daerah Hilir Perak.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) dan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Perak berkata sebanyak 105 mangsa ditempatkan di PPS Dewan Bandaran Teluk Intan manakala 48 mangsa lagi berada di PPS Dewan Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib.

Beliau berkata cuaca pada pagi ini dilaporkan baik dan cerah namun air banjir yang belum surut sepenuhnya menyebabkan mangsa masih belum dibenarkan pulang sejak ditempatkan di kedua-dua PPS Ahad lepas.

Di Negeri Sembilan, Pengarah APM negeri Lt Kol (PA) Mohd Syukri Madnor berkata mangsa banjir di negeri itu adalah 309 individu daripada 84 keluarga dengan empat PPS masih dibuka di Jelebu setakat pagi ini.

Dalam pada itu, daerah terkesan bencana kini beralih ke fasa pascabanjir dengan dengan bantuan kerja-kerja pembersihan dilakukan oleh agensi penguat kuasa dan badan bukan kerajaan (NGO).

Menurut aplikasi Info Bencana JKM, sebanyak 56, 904 jumlah mangsa direkodkan di seluruh negara dan terdapat 363 PPS dibuka setakat 9 pagi ini.

Sementara itu, menurut JPS, lima sungai utama di seluruh negara berada di paras bahaya setakat 7 pagi ini, iaitu Sungai Pahang di Water Front; Lubuk Paku; Kuala Sungai Chini dan Sungai Bera serta Sungai Kundang di Pahang.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Nadma, APM bantu Selangor tingkat pendaftaran suntikan vaksin

SHAH ALAM, 25 MAC: Kerajaan Persekutuan akan menyediakan kakitangan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) membantu Selangor meningkatkan pendaftaran pengambilan vaksin Covid-19.

Menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berkata kumpulan berkenaan akan bergerak bersama jentera Kerajaan Negeri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ke rumah penduduk serta membuka kaunter di kawasan tumpuan sebagai langkah mendidik masyarakat mengenai kepentingan vaksin.

“Selangor merupakan negeri tertinggi pemberian vaksin fasa ini untuk dos pertama. Dari segi pendaftaran juga mencatat bilangan tertinggi dengan nisbah 38.4 peratus berbanding sasaran peringkat kebangsaan 26.9 peratus.

“Maknanya rakyat negeri ini sedar kepentingan vaksin,” kata Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada sidang media bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari selepas menghadiri Mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) di Dewan Annex di bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.

Sementara itu Khairy menjelaskan jemaah menteri turut mengarahkan program imunisasi terbabit diutamakan kepada Selangor memandangkan negeri ini merupakan pemacu ekonomi negara selain memiliki kawasan industri yang besar.

“Jadi kita akan jalin kerjasama dengan sektor perindustrian untuk laksanakan suntikan di kilang atau asrama pekerja. Menerusi pendekatan ini, mereka tidak perlu keluar ke kawasan orang ramai sekali gus mengundang risiko penularan jangkitan,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kawalan pusat kuarantin ditingkat, elak kes curi berulang

MELAKA, 13 FEB: Kawalan keselamatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di seluruh negara akan ditingkatkan bagi mencegah sebarang kejadian tidak diingini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

Beliau berkata ini termasuk menambah jumlah anggota Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang bertugas di 391 pusat yang masih beroperasi dan aktif.

Katanya, usaha itu juga bagi mengelak imej PKRC tercalar dengan isu negatif susulan kejadian kecurian yang dilaporkan oleh media baru-baru ini.

“Apabila terdapat ramai orang di situ, pelbagai masalah boleh timbul, jadi apa yang kita boleh lakukan ialah meningkatkan kawalan keselamatan di pusat-pusat tersebut.

“Dengan kehadiran lebih anggota APM di situ, mungkin rondaan boleh dilakukan sekerap mungkin,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan program penyampaian Kit Bantuan Makanan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) di Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Sungai Udang hari ini.

Pada program tersebut, sebanyak 1,000 kit makanan disumbangkan kepada penduduk kawasan Parlimen Tangga Batu dalam usaha meringankan beban golongan yang terkesan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Khamis lalu, polis menahan dua lelaki selepas disyaki mencuri empat unit telefon bimbit milik pesakit di PKRC Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di Selangor dalam kejadian kira-kira 10.30 malam itu.

Dalam pada itu, Mohd Redzuan berkata kerajaan menerusi Nadma akan menubuhkan Program Sukarelawan Pemerkasaan Komuniti bagi membendung penularan Covid-19.

Program dijangka melibatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pemimpin setempat dan anggota masyarakat dalam program pendidikan dan penguatkuasaan tatacara operasi piawai (SOP) serta pematuhan pencegahan Covid-19.

“Dengan adanya sukarelawan tersebut dalam kalangan komuniti, ia dilihat akan memberi kefahaman secara lebih luas tentang norma baharu serta bahayanya virus Covid-19 ini,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

APM sasar 20,000 sukarelawan baharu, tingkat upaya hadapi bencana

ALOR GAJAH, 6 DIS: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menyasarkan pengambilan 20,000 anggota sukarelawan baharu pada tahun depan dalam usaha meningkatkan keupayaan agensi itu untuk menghadapi bencana.

Ketua Pesuruhjaya APM Datuk Roslan Wahab berkata pengambilan anggota baharu itu difokuskan kepada komuniti di kawasan kerap berlaku bencana supaya mereka dapat memberi bantuan awal sekiranya berlaku kecemasan sebelum bantuan susulan daripada pelbagai agensi keselamatan lain tiba.

“Bagi pengambilan anggota baharu tahun depan, kami akan memfokuskan kepada komuniti di kawasan berisiko termasuk banjir, tanah runtuh atau ribut dan melatih mereka bagi memastikan anggota baharu ini bersedia untuk berhadapan pelbagai kecemasan di kawasan tempat tinggal mereka.

“Ini kerana kebiasaannya mereka akan lebih tahu apa yang berlaku di tempat asal mereka,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat Pejabat Daerah Pertahanan Awam Alor Gajah, di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah APM Melaka Lt Kol (PA) Effendy Ali.

Mengulas lanjut, Roslan berkata orang ramai yang berminat untuk menyertai pasukan sukarelawan APM bagi pengambilan baharu tahun depan boleh melayari laman web APM iaitu www.civildefence.gov.my atau hadir ke pejabat APM yang berdekatan.

Sementara itu, beliau berkata APM menerima peruntukan RM25 juta bagi menggantikan ambulans agensi itu yang uzur secara berperingkat bermula tahun depan.

Katanya, buat permulaan RM5 juta akan dibelanjakan untuk membeli 20 ambulans baharu, manakala RM10 juta masing-masing untuk tujuan sama pada tahun 2022 dan 2023.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

1,800 anggota ditugas pastikan SOP cegah Covid-19 dipatuhi

KOTA KINABALU, 15 OKT: Sebanyak 248 pasukan terdiri daripada 1,800 anggota pelbagai agensi ditugaskan bagi memastikan tatacara operasi piawai (SOP) mengekang Covid-19 dipatuhi di seluruh Sabah, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali.

Beliau berkata antara agensi terlibat adalah Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Imigresen dan pihak berkuasa tempatan.

Menurut beliau, sehingga kini lebih 1,800 tangkapan dibuat dan 1,454 kompaun dikeluarkan terhadap pelbagai kesalahan ingkar SOP mengekang Covid-19 antaranya tidak memakai pelitup muka, berkumpul beramai-ramai dan tidak melakukan penjarakan fizikal.

“Kita tidak akan berkompromi untuk membuat tangkapan atau mengeluarkan kompaun terhadap kesalahan ingkar SOP (mengekang Covid-19),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebanyak 660 kes baharu Covid-19 dilaporkan dengan Sabah masih mencatat jumlah tertinggi iaitu 429 kes.

Sementara itu, Hazani berkata polis sedang menyiasat satu pesanan suara tular di media sosial sejak dua hari lepas, menuduh rakyat Sabah menjadi punca penularan Covid-19 di Johor susulan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini.

Beliau menyeru orang ramai agar tidak terpengaruh dengan pesanan suara tersebut.

“Ia (percakapan itu) agak kasar dan tidak gambarkan budaya kita sebagai bangsa Malaysia. Tiada laporan polis dibuat, namun kami tetap akan jalankan siasatan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

APM sedia gerak lebih anggota bantu proses saringan Covid-19 di KLIA, klia2

PUTRAJAYA, 28 SEPT: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bersedia menggerakkan lebih ramai anggota bagi membantu penyelarasan proses saringan Covid-19 untuk individu yang tiba dari Sabah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata 50 anggota APM kini bertugas di KLIA dan klia2 dan dengan keanggotaan lebih 4,000 orang, lebih ramai boleh digerakkan ke dua terminal berkenaan.

“APM sebagai barisan hadapan sedia membantu dan jika diperlukan kita akan tambah bilangan anggota kerana kita ada sumber manusia yang mencukupi,” katanya mengulas aduan dan laporan berhubung kesesakan di terminal lapangan terbang ketika proses saringan Covid-19 terhadap individu yang tiba dari Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada Sabtu mengumumkan peraturan yang mewajibkan semua individu yang baru tiba dari Sabah menjalani saringan Covid-19 di pintu masuk bermula 27 Sept hingga 10 Oktober.

Bercakap dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) Bil 1/2020 hari ini, Mohd Redzuan berkata APM juga boleh membantu menghantar pesakit dalam siasatan (PUI) dan pesakit bawah pengawasan (PUS) ke hospital atau pusat kuarantin.

“Jika ada yang dari Sabah ini dikesan sebagai PUS atau PUI, kita akan bantu hantar mereka ini menggunakan aset sedia ada,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

APM jadi tenaga pelatih utama program baharu ganti PLKN, BTN

MELAKA, 20 OGOS: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) akan menjadi tenaga pelatih utama bagi mengendalikan program baharu menggantikan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Biro Tata Negara (BTN) yang masih dalam perancangan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata langkah itu bagi memastikan tenaga kerja sedia ada digunakan sebaiknya dan ia akan dibantu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan beberapa kementerian lain seperti Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“Kita sedang memperhalusi skop pembentukan program baharu tersebut, lebih merangkumi semua kaum, paling utama adalah untuk memahami sejarah, patriotisme dan menjadi pemimpin masa depan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan Bersama Warga APM Melaka, malam ini.

Menurutnya, pihaknya sedang menunggu maklum balas daripada kementerian terlibat sebelum perancangan berkenaan dibawa ke Kabinet dalam masa terdekat untuk diluluskan.

Pada majlis itu, seramai 31 orang terdiri daripada ahli akademik dan profesional menerima watikah Pegawai Kehormat dan Bersekutu Pertahanan Awam.

Majlis berkenaan turut dihadiri Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Roslan Wahab.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

APM tingkat latihan pengendalian bot di laut

PONTIAN, 4 MEI: Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) sedang meningkatkan latihan dan pendedahan kepada pegawai dan anggotanya mengenai pengendalian bot di laut, bagi membiasakan mereka dengan tugas di lautan.

Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Roslan Wahab berkata, latihan itu perlu kerana tugas di laut turut membabitkan pelbagai perkara seperti pengendalian bot yang berbeza dengan keadaan di sungai, di samping perlu mengambil kira soal undang-undang antarabangsa dan sebagainya.

“Johor (contohnya) terletak berdekatan dengan perairan Indonesia-Singapura, kalau tidak biasa (tiada latihan)… susah,” katanya kepada pemberita dalam Ekspedisi Latihan Pengendalian Bot bersama APM Johor di sini, hari ini.

Ekspedisi yang juga bertujuan menguji kekuatan aset APM itu disertai 50 pegawai dan anggota APM negeri dengan kerjasama Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim).

Dua aset Sealegs dan sembilan bot berukuran 14 kaki digunakan dalam ekspedisi berkenaan yang meliputi sembilan batu nautika iaitu 17 kilometer dari Jeti Jabatan Laut Sungai Pulai dekat Gelang Patah menuju ke Jeti Tanjung Piai Resort.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

APM bantu buang cincin terlekat pada jari kanak-kanak

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 11 DIS: Seorang kanak-kanak perempuan terpaksa mendapatkan bantuan pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Hulu Selangor bagi membuang sebentuk cincin yang dipakai di jarinya.

Mangsa pada awalnya dipercayai bertindak menyarung cincin bersaiz kecil, pada jari manis menyebabkan jari tangan kanannya semakin sakit.

APM Hulu Selangor melalui kenyataan di facebook berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian yang terletak di Kuala Kubu Bharu setelah menerima panggilan.

“Anggota bertugas memulakan kerja operasi menanggalkan cincin dalam tempoh 10 minit sehingga ia berjaya dikeluarkan,” katanya.

Categories
SELANGOR

APM Kuala Langat cari sukarelawan

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 6 JULAI: Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kuala Langat kini membuka peluang kepada orang ramai yang berminat menjadi anggota sukarelawan mereka.

Anggotanya, Mohd Afizi Zoolkefeli berkata, pihaknya memerlukan lebih ramai sukarela memandangkan aduan semakin bertambah.

“Sehingga kini, kami mempunyai 100 anggota di Kuala Langat dan sasaran untuk mencari anggota sukarelawa bagi APM ialah kira-kira 1,000 orang.

“Antara keistimewaan yang boleh diperolehi anggota sukarela APM, termasuk pengalaman bagi kerja penyelamatan dan pembayaran elaun RM6 setiap satu jam juga uniform secara percuma,” katanya kepada SelangorKini.

Mohd Afifi berkata, antara syarat kelayakan bagi membuat permohonan ialah warganegara Malaysia berusia 18 tahun ke atas serta sihat tubuh badan.

“Paling penting mereka yang membuat permohonan perlu berminat menjalankan tugas secara sukarela. Kursus asas selama dua hari juga akan dibuat bagi pemohon yang berjaya, sekaligus melayakkan mereka menerima sijil dari APM.

“Sebarang pertanyaan, boleh terus hubungi APM Kuala Langat di talian 0331802320,” katanya.

Categories
SELANGOR

APM Selangor sedia 1,000 anggota sempena Aidilfitri

OLEH NADIAH ZAMLUS

KAJANG, 4 JUN: Angkatan Pertahanan Awam Negeri Selangor (APM Selangor) bersiap sedia dengan 1,000 anggota bagi menghadapi sebarang kes kemalangan atau bencana, menjelang Aidilfitri.

Pengarah Pertahanan Awam Selangor, Kolonel Ghazali Abd Rahman berkata, pihaknya melancarkan Ops Selamat dan Ops Bantu yang turut mendapat kerjasama anggota keselamatan lain.

“Sepanjang Ops Selamat dijalankan, beberapa anggota APM dan ambulan akan ditempatkan di beberapa laluan utama antaranya di Jalan Persekutuan Kajang-Semenyih, Rawang – Kuala Kubu Baruserta Sabak Bernam – Kuala Selangorjuga dua laluan lagi di Daerah Kuala Langat dan Klang.

“Kawasan ini adalah kes kemalangan sering berlaku dan APM menempatkan anggota di kawasan itu bertujuan membolehkan tindakan kecemasan segera dilakukan tanpa memakan masa lama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Berbuka Puasa bersama anggota APM Selangor di Dewan Gemilang Mercu Idaman, German Malaysia Institute (GMI), di sini.

Ghazali turut merakamkan ucapan terima kasih kepada petugas yang terpaksa berkorban kerana tidak dapat bersama keluarga meraikan hari lebaran demi tugas serta tanggungjawab yang dipikul.

“Saya juga ingin menasihatkan pengguna supaya berhati-hati di jalan raya untuk pulang beraya dan memastikan kenderaan berfungsi dengan baik serta rehat yang cukup ketika perjalanan pulang ke kampung,” katanya.

Categories
SELANGOR

Ular sawa batik 50kg baham kucing

OLEH SABIRAH AZIZ

KLANG, 30 OKT: Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) berjaya menangkap seekor ular sawa batik seberat 50 kilogram (kg) di dalam kandang kucing, di Jalan Kebun, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian pukul 9 pagi itu, reptilia sepanjang tiga meter didapati berada pada posisi melingkar kekenyangan selepas dipercayai baru sahaja membaham seekor kucing jantan baka kampung milik seorang warga emas berusia 64 tahun.

Pegawai APM Daerah Klang, Kapten (PA) Shaiful Azril Zainal berkata, empat anggota dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan jam 9.31 pagi.

“Sebaik tiba 10.25 pagi didapati ular terbabit sedang berlingkar di dalam kandang terbabit dalam keadaan kenyang.

“Kita mengambil masa 15 minit bagi menangkap ular sawa batik itu menggunakan peralatan khas,” katanya lapor Kosmo Online.