Categories
AGENDA JENAYAH

APMM halau bot cuba seludup masuk 40 pendatang asing tanpa izin

SHAH ALAM, 19 OKT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Selangor telah memintas dan menghalau cubaan menyeludup masuk 40 pendatang asing tanpa izin, oleh sebuah bot dari Indonesia sekitar jam 4.00 pagi tadi.

Pengarah APMM Negeri Selangor Kepten Maritim Mohd Rosli Kassim berkata Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor telah menerima maklumat risikan berkaitan pergerakan sebuah bot telah keluar dari Tanjung Balai, Asahan, Indonesia sekitar jam 9 malam semalam dengan disyaki membawa lebih kurang 40 orang pendatang asing tanpa izin warga Indonesia dan dipercayai menuju ke perairan Selangor.

Beliau berkata pada jam lebih kurang 12.20 malam, radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) APMM yang berpangkalan di Area Command Centre (ACC) Klang, telah mengesan bot sasaran curiga tersebut sedang bergerak dari perairan Permatang Sedepa menuju ke perairan Morib.

“Berikutan itu bot Penggalang 10 APMM yang dalam tugasan Op Benteng Sektor 5 telah digerakkan bagi pemintasan sasaran dengan dibantu bot PR4 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya sekitar jam 2 pagi tadi, Penggalang 10 dan PR4 tiba di lokasi dan telah bertembung dengan bot yang disyaki membawa pendatang asing tanpa izin, lalu mengarahkan untuk berhenti, namun tekong bot itu bertindak agresif memecut laju dan melakukan pergerakan merbahaya yang bertujuan meloloskan dari ditahan serta berusaha merapat ke kawasan pantai.

“Penggalang 10 dan PR4 terus menghalang tindakan bot berkenaan dengan menghimpit dan membayangi secara kejar buru sehingga ke laut lepas, bagi menghindar daripada menuju dan mendarat di pantai,” katanya.

Mohd Rosli berkata dalam tempoh kejar buru hampir satu jam tiga puluh minit itu, bot tersebut masih berdegil untuk berhenti serta bergerak secara agresif dan merbahaya.

Katanya Penggalang 10 dan PR 4 seterusnya melaksanakan tugas pengusiran dengan membayangi bot berkenaan keluar dari perairan negara sepenuhnya sekitar jam 4 pagi, seterusnya dipantau rapat oleh radar SWASLA di ACC Klang.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

APMM: Sindiket transit pelarian Rohingya di Aceh sebelum masuki Malaysia

KUALA LUMPUR, 29 JAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) memberi tumpuan kepada pemantauan semua jenis bot yang melalui perairan negara dari Indonesia bagi menyekat kemasukan pendatang tanpa izin termasuk pelarian Rohingya ke Malaysia.

Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata sindiket membawa masuk pendatang tanpa izin ke dalam negara disyaki menggunakan bot nelayan, bot kecil dan bot perdagangan tukar barang.

Beliau berkata antara taktik yang digunakan sindiket dari Indonesia dan Malaysia untuk membawa masuk pendatang tanpa izin termasuk pelarian Rohingya ialah memuatkan mereka dalam bot kecil di kawasan sempadan sebelum mereka dibawa ke daratan.

“Pelarian Rohingya sering menjadikan negara ini sebagai destinasi akhir berdasarkan hasil siasatan kes penyeludupan pendatang tanpa izin di utara tanah air pada awal tahun lepas.

“Kita tahu mereka akan meneruskan perjalanan ke Malaysia kerana keluarga mereka telah berada di sini dan akan menggunakan pelbagai cara serta helah untuk sampai ke negara ini,” katanya kepada Bernama hari ini.

Mohd Zubil berkata, semua pintu masuk dan lorong tikus di kawasan persempadanan negara dikawal ketat menyebabkan sindiket pendatang tanpa izin Rohingya ini mengubah destinasi mereka ke Aceh, Indonesia dan menjadikan Aceh sebagai pusat transit.

Katanya, APMM sentiasa bersedia bagi menyekat kemasukan pendatang tanpa izin ke negara ini dengan menempatkan aset termasuk sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) di lokasi strategik.

Beliau mengulas laporan mengenai ratusan etnik Rohingya hilang dari kem pelarian di Indonesia dan dipercayai diseludup masuk ke Malaysia.

Katanya, APMM sentiasa bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia serta semua aset di bawah Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) menerusi Op Benteng untuk mengawal ketat kemasukan Rohingya dan pendatang tanpa izin dari negara jiran yang lain.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

APMM lancar operasi SAR kru kapal kargo hilang di perairan Selangor

SHAH ALAM, 22 OGOS: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggerakkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang kru kapal kargo warga China yang dilaporkan jatuh ke dalam laut di perairan Selangor, kelmarin.

Pengarah Maritim Negeri Selangor Kapten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata mangsa Yang Kai Kai, 29, disedari hilang kira-kira pukul 8.30 malam ketika kapal berkenaan dalam perjalanan melalui Selat Melaka dari Hong Kong ke Brazil.

“Mangsa disahkan jatuh ke dalam laut oleh nakhoda kapal berkenaan. Dia disyaki tidak memakai jaket keselamatan dan hilang pada kedudukan 17.2 batu nautika barat daya Pulau Ketam.

“Op SAR diaktifkan pada pukul 9.30 malam sebaik menerima maklumat berkaitan kehilangan mangsa daripada Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Mohammad Rosli berkata APMM menggerakkan bot Penggalang 31 dan helikopter AS365N3 Dauphin ke lokasi kejadian dengan dibantu aset Pasukan Polis Marin iaitu PC32 dan bot RHIB3 milik Tentera Laut Diraja Malaysia untuk mencari mangsa.

Beliau berkata operasi SAR dibahagikan kepada empat sektor merangkumi kawasan berkeluasan 182 batu nautika persegi dari perairan One Fathom Bank (OFB) hingga ke Beting Angsa di perairan Selangor.

Katanya, pencarian mangsa akan diteruskan sehingga kru kapal kargo itu dijumpai.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

APMM selamatkan sembilan mangsa di perairan Kuala Kedah

ALOR SETAR, 26 OGOS: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kuala Kedah menyelamatkan sembilan mangsa dalam dua kejadian berasingan di perairan Kuala Kedah apabila bot yang dinaiki mereka mengalami kerosakan dan hampir karam akibat cuaca buruk, Sabtu lepas.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata, dalam kejadian pertama, pihaknya menerima aduan pada pukul 8.17 malam yang memaklumkan terdapat sebuah bot persendirian mengalami kerosakan di bahagian enjin.

Bot itu dinaiki enam lelaki berumur antara 37 hingga 41 tahun pada jarak kira-kira 4.0 batu nautika dari Kuala Kedah.

“Semasa dalam perjalanan mencari bot persendirian tersebut, anggota APMM yang menaiki bot peronda secara kebetulan menjumpai sebuah bot lain yang dinaiki tiga nelayan yang turut mengalami kerosakan pada jarak kira-kira 3.0 batu nautika dari muara Kuala Kedah.

“Bot nelayan dinaiki mangsa yang berumur antara 24 hingga 37 tahun itu dipercayai hampir karam akibat dipukul ombak telah ditemui pada pukul 9.20 malam. Anggota APMM telah bertindak memindahkan tiga nelayan berkenaan dan membawa mereka ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, bot peronda tersebut kembali semula ke laut bagi mencari bot persendirian berkenaan dan mengambil masa 20 minit untuk sampai ke lokasinya.

Jelasnya, bot berkenaan ditemui pada pukul 11 malam dan kesemua penumpang berada dalam keadaan keletihan akibat berada terlalu lama di laut, bagaimanapun mereka tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kita minta orang ramai yang ingin melakukan sebarang aktiviti di laut untuk sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan dan sekiranya mempunyai sebarang aduan dan kecemasan di laut boleh melaporkan melalui talian MERS 999 Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

APMM Pulau Pinang tahan bot langgar syarat lesen

GEORGE TOWN, 20 Mei: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas B1 kerana menangkap ikan di kawasan Zon A di kedudukan kira-kira dua batu nautika (kira-kira 3.7 km) dari barat Pulau Rimau, dekat sini awal pagi ini.

Pengarah APMMM Pulau Pinang Kapten Hamizan Harun berkata, dalam kejadian pukul 3.30 pagi, pemilik bot nelayan berkenaan sanggup menunda dalam gelap demi mengaut keuntungan berganda di kawasan larangan sebelum ditahan APMM.

“Hasil pemeriksaan, tiga lelaki masing-masing seorang tekong dan dua awak-awak warga tempatan berusia 26 hingga 34 tahun berada dalam bot itu dan mereka telah melanggar syarat sah lesen,” katanya di sini hari ini.

Katanya bot itu bersama satu gulung pukat tunda, dua besi tunda serta hasil tangkapan kira-kira 200 kilogram ikan campur dirampas.

Kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menangkap ikan kurang dari lapan batu nautika (14.8 km) dari daratan terdekat. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

APMM tahan remaja lelaki seludup 1 tan gula

TAWAU, 21 APRIL: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan seorang remaja lelaki di kedudukan 1.5 batu nautika dari Sungai Pukol, Sebatik di sini, selepas cuba menyeludup keluar lebih satu tan gula bersubsidi ke Indonesia, pada Jumaat.

Timbalan Pengarah Zon (Operasi) Maritim Tawau, Komander Maritim Mohd Yusri Hussin berkata remaja tempatan berusia 18 tahun itu ditahan pada 5.15 petang selepas pihaknya yang dalam Ops Pluto terserempak bot jongkong dikendalikan suspek membawa muatan gula seludup itu sebelum periksa.

“Pemeriksaan awal mendapati bot jongkong tersebut membawa muatan gula bersubsidi tanpa dokumen yang sah daripada Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Tawau,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Yusri berkata, tahanan dan barang rampasan kira-kira RM50,000 itu ditunda ke Jeti Maritim Malaysia Tawau untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Menurutnya, pihaknya akan terus meningkatkan rondaan serta penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi membanteras dan mengurangkan perlanggaran undang-undang di Zon Maritim Malaysia.

Katanya, orang ramai disarankan untuk memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat mahupun aduan salah laku jenayah maritim menerusi Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-750116 atau MERS 999. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

APMM tahan bot atas pelbagai kesalahan di Tanjung Lipat

KOTA KINABALU, 9 MAC: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysian (APMM) Sabah menahan tiga bot nelayan dan satu bot pam kerana melakukan pelbagai kesalahan dalam operasi khas, pada Rabu lalu.

Pengarah APMM Sabah, Laksamana Muda Maritim Kamaruszaman Abu Hasan berkata, pihaknya turut menahan empat individu berumur antara 37 dan 54 tahun, semasa operasi di kawasan kurang tiga batu nautika dari Tanjung Lipat, dekat sini.

“Antara kesalahan yang dilakukan bot berkenaan adalah di bawah Enakmen Jabatan Dermaga Sabah dan Akta Perikanan 1983,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata, kesemua bot berkenaan kemudiannya dibawa ke jeti APMM Sepanggar untuk siasatan lanjut.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

APMM sekat aktiviti bom ikan di Perairan Semporna

SEMPORNA, 12 FEB: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menyekat aktiviti dua lelaki mengebom ikan di perairan Tanjung Tabu-Tabu dekat sini, semalam.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, bot peronda yang menjalankan tugasan rutin terserempak bot pam mencurigakan dinaiki dua lelaki, pada jam 3.35 petang sebelum bot memecut laju ke kawasan paya bakau dan suspek meloloskan diri.

“Tiada tangkapan dilakukan, namun pemeriksaan ke atas bot pam menemui lima kilogram ikan disyaki di bom,” katanya dalam kenyataan, lapor BERNAMA.

Katanya, sebanyak tiga kes bom ikan digagalkan di Zon Maritim Semporna dan satu kes, pada 2015.

Beliau berkata, pihaknya akan terus meningkatkan rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi mengekang perlanggaran undang-undang dan perlakuan jenayah di perairan Semporna.

Pada masa sama, Norrimi memohon kerjasama semua pihak supaya tidak takut menyalurkan maklumat dan aduan ke Zon Maritim Semporna di talian 089-782619 atau MERS 999.

*Sumber: BERNAMA

Categories
ALAM SEKITAR & CUACA SELANGOR

Bot terbalik: Seorang maut, seorang selamat

PELABUHAN KLANG, 4 JAN: Seorang mati lemas manakala seorang terselamat apabila bot fiber yang mereka naiki terbalik akibat angin kencang dan laut bergelora berhampiran Stesen Janakuasa Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor, Kpt Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.15 petang dan terus menghantar pasukan mencari serta menyelamat.

“Kami menemui seorang mangsa yang terselamat, Amir Hamzah Mohd Jani, 55, berpaut pada sebuah tong minyak manakala rakannya yang dikenali sebagai Syed Noor Masadi, 51, ditemui mati lemas pada jarak kira-kira 0.8 batu nautika dari Perepat, Kapar, dekat sini,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini, lapor BERNAMA.

Beliau berkata, mayat Syed Noor dan rakannya yang selamat, Amir Hamzah, dibawa ke jeti Pulau Indah untuk tindakan selanjutnya

Kedua-dua mangsa yang berasal dari Sungai Sembilang, Jeram, dekat sini, keluar memancing di laut, kira-kira jam 3 pagi, semalam, katanya.

Mohammad Rosli berkata, pihak APMM mengingatkan supaya komuniti laut sentiasa mengambil berat soal keselamatan ketika di laut terutama aspek pemakaian jaket keselamatan.

“Penggunaan jaket keselamatan sangat perlu tanpa menganggapnya sebagai satu beban kerana pemakaian jaket itu boleh menyelamatkan nyawa sementara menunggu ketibaan bot penyelamat,” katanya.

Categories
NASIONAL

APMM: Kapal Tangki MT Pratama disahkan hilang

KUALA LUMPUR 27 FEB: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengesahkan sebuah kapal tangki MT Pratama 128 hilang awal pagi, hari ini.

BH ONLINE melaporkan kapal berkenaan sebelum ini ditahan oleh APMM atas kesalahan mengikut Ordinan Kapal Dagang (MSO) 1952 sebelum dilabuhkan ke jeti Tanjung Piai, Johor.

Ketua Pengarah APMM Datuk Seri Zulkifli Abu Bakar berkata, pihaknya akan berhubung dengan pihak berkuasa Indonesia untuk memaklumkan keadaan semasa.

“Kapal berkenaan ditahan bersama lapan anak kapal dan kemudian dilabuhkan di jeti Tanjung Piai johor pada Jumaat lalu.

“Saya mengesahkan kapal berkenaan hilang. Pasukan penyiasat sedang mengambil keterangan pegawai bertugas,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Zulkifli berkata, setakat ini punca sebenar kapal berkenaan hilang masih dalam siasatan.

Difahamakan, APMM kini sudah menggerakkan asetnya termasuk aset udara bagi mengesan kapal berkenaan.

Kapal tangki MT Pratama 128 mula didaftarkan pada tahun 1977 dan sudah dua kali didaftarkan semula.

Kapal berkenaan juga pernah ditahan pasukan marin Indonesia kerana membawa minyak mentah secara haram 12 Januari lalu.

Categories
SELANGOR

Dua bot APMM terbakar

SITIAWAN 14 OKT: Dua bot milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) terbakar di Jeti Kompleks Perikanan Kampung Acheh di sini, awal pagi tadi.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan Tajul Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira jam 1.45 pagi sebelum lima anggota bersama sebuah jentera bergegas ke lokasi.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, sebuah bot sedang terbakar sehingga 90 peratus, manakala sebuah lagi hanya 5% kesan daripada terkena bahang bot tersebut.

“Bagaimanapun, semasa kejadian bot berkenaan kosong dan tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam insiden itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tajul berkata pihaknya mengambil masa hampir 15 minit untuk mengawal api dan operasi tamat sepenuhnya kira-kira 3.28 pagi.

SUMBER: BERNAMA

Categories
SELANGOR

Kembalikan hak penguatkuasaan Jabatan Perikanan

Oleh: LIZAWATI MADFA

KUALA LANGAT, 6 JUN: Kerajaan Pusat digesa mengembalikan semula bidang kuasa penguatkuasaan kepada Jabatan Perikanan bagi mengawal pencerobohan pukat tunda ke kawasan yang diwartakan kepada nelayan tradisi.

Pemangku Pengerusi Persatuan Nelayan Selangor, Mohd Jaman Haris, berkata tugas yang diberi kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dilihat gagal membawa kesan penguatkuasaan diharapkan.

Beliau berkata, pencerobohan pukat tunda juga semakin meningkat sementara penangkapan dilakukan semakin berkurangan berbanding sewaktu di bawah bidang kuasa Jabatan Perikanan.

apmm“Kalau dahulu di bawah Jabatan Perikanan tangkapan pencerobohan ini boleh mencapai kepada 400 tangkapan setahun, tetapi sejak diambil alih APMM terus berkurangan sehingga 100 sahaja dalam tempoh sama.

“Kita tidak salahkan APMM kerana faham mereka juga ada komitmen lain, apa lagi dengan kekangan anggota pasti sukar mahu memantau aktiviti perikanan. Jadi, kembalikan semula kepada Jabatan Perikanan seperti dahulu kerana lebih efisien,” katanya.

Terdahulu beliau menyertai sesi penerangan Program Pengezonan Semula Kawasan Penangkapan Ikan yang turut dihadiri Pegawai Perikanan Daerah Kuala Langat, Zainal Abidin Mohd Sukiman.

APMM dikatakan mula mengambil alih tugas penguatkuasaan di kawasan laut sejak tahun 2010 sementara Jabatan Perikanan pula hanya diberi kuasa untuk menjalankan penguatkuasaan di kawasan pesisiran pantai sahaja.

Sementara itu, Zainal Abidin menyokong gesaan itu sambil menambah kerajaan harus menggunakan kepakaran sedia ada dalam Jabatan Perikanan.

IMG_2884a“Kita ada kepakaran kerana ini bidang kita, jadi tahu bila waktunya aktiviti pencerobohan boleh berlaku. Kalau kita dapat kembali aset kita dengan anggota yang cukup, saya pasti kerja penguatkuasaan dapat terus diperkasakan.

“Cadangan ini bukan untuk kami, tetapi untuk nasib nelayan. Bagaimanapun segalanya terserah kepada kerajaan,” katanya.

Merujuk laman web rasmi APMM, badan yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) itu antara lain berfungsi bagi menguatkuasa undang-undang dan ketenteraman di bawah undang-undang persekutuan di zon maritim serta mencegah juga menyekat pelakuan kesalahan di kawasan berkenaan.

Selain itu, APMM turut berfungsi mencegah dan menyekat pelanunan serta pengedaran haram dadah narkotik di laut lepas.

-NFN-