Categories
AGENDA GLOBAL

Arab Saudi wajibkan pelawat ada insurans Covid-19

RIYADH, 3 MEI: Jemaah dan pelawat asing yang berkunjung ke Arab Saudi kini mesti mempunyai perlindungan insurans Covid-19.

Syarat terbaharu itu diumumkan Bank Pusat Saudi dan Majlis Koperasi Insurans Kesihatan pada Ahad, lapor Agensi Berita Saudi (SPA).

Langkah ini bertujuan untuk menyediakan rawatan kesihatan kepada individu yang dilindungi insurans jika dijangkiti Covid-19 sepanjang tempoh mereka berada di negara itu dan membolehkan pesakit mendapat akses segera kepada rawatan.

Ia juga menyediakan perlindungan insurans untuk menampung kos bagi kes yang dikesan serta kuarantin, selain kes kecemasan untuk pemindahan perubatan, tambah SPA.

-BERNAMA

Categories
AGAMA AGENDA NASIONAL

SOP laksana ibadah di tanah suci diperincikan

MAKKAH, 19 APRIL: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) akan memperincikan tatacara operasi piawai (SOP) berkenaan ibadah di tanah suci khususnya dalam menggariskan peranan syarikat pengelola jemaah haji dan pengendali umrah.

Ketua Setiausahanya Datuk Dr Noor Zari berkata SOP yang digariskan akan mengikut ketetapan semasa kerajaan Malaysia dan Arab Saudi.

Noor Zari berkata Motac selaku kementerian yang mengawal selia pengendalian pakej umrah atau ziarah, berperanan melihat aspek SOP bagi kedua-dua negara dan hal-hal kebajikan jemaah Malaysia semasa mengerjakan umrah apabila pihak kerajaan bersedia membenarkan semula pelaksanaan ibadah itu.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas menyertai delegasi Malaysia ke Arab Saudi bagi lawatan kerja Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang berakhir semalam.

“Para delegasi berpeluang untuk mengikuti pelbagai protokol yang telah ditetapkan kerajaan Arab Saudi dalam melaksanakan ibadah sama ada di Masjidilharam atau Masjid Nabawi.

“Di samping itu para peserta delegasi juga berpeluang untuk meneliti dokumen dan kenyataan rasmi yang dikeluarkan kerajaan Arab Saudi berkaitan kebenaran mengerjakan ibadah haji yang lalu dan umrah terkini,” katanya.

Noor Zari berkata Motac dan delegasi terlibat turut mengadakan perbincangan bagi menyediakan draf kerangka SOP untuk dipertimbangkan kerajaan Malaysia sebagai persediaan sekiranya kerajaan Arab Saudi membenarkan ibadah itu berlangsung apabila sempadan antara kedua-dua negara kembali dibuka.

Perbincangan yang dibuat meliputi beberapa perkara penting seperti proses-proses dan keperluan melibatkan peranan pelbagai pihak berkaitan pelaksanaan SOP yang perlu dipatuhi pada tiga jangka waktu termasuk sebelum berangkat, semasa mengerjakan ibadah di Tanah Suci dan setelah kembali ke Malaysia.

Kerajaan Arab Saudi telah memperkenalkan dasar-dasar baharu dan menguatkuasakan SOP yang ketat sejak membenarkan semula aktiviti umrah kepada umat Islam selain warganegara Arab Saudi pada 1 Nov 2020 lalu.

“Pindaan dari semasa ke semasa turut dibuat kepada SOP tersebut selaras dengan langkah-langkah pencegahan Covid-19 di negara itu dan Motac mengikuti rapat sebarang perkembangan baharu berhubung perkara tersebut,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Arab Saudi selesai buat persediaan terima jemaah umrah Ramadan ini

MEKAH, 6 APRIL: Pengurusan Hal Ehwal Dua Masjid Suci, Masjidil Haram dan Masjid Nabawi selesai melakukan semua persiapan untuk menerima jemaah umrah yang sudah divaksin pada Ramadan nanti, dengan protokol kesihatan dan langkah pencegahan yang ketat.

Agensi Berita Arab Saudi melaporkan perkara itu selaras dengan aplikasi Tawakkalna untuk kategori imunisasi (individu yang telah menerima dua dos vaksin Covid-19 / individu yang telah 14 hari divaksin dos pertama Covid-19 / individu yang telah sembuh dari jangkitan).

Menurut jurucakapnya Hani Hosni Haider pihak pengurusan mewajibkan semua pekerja yang terlibat turut disuntik vaksin bagi memastikan keselamatan mereka dan semua pengunjung Masjidil Haram.

Beliau berkata kerja pensterilan akan dilakukan secara kerap di Dua Masjid Suci itu dan dipergiat sempena kedatangan Ramadan.

Seramai 5,000 pekerja terbabit dalam operasi pensterilan dan pembasmian kuman. Pembersihan dan pensterilan di seluruh Masjidil Haram dilakukan sehingga 10 kali sehari.

Berkenaan umrah, jurucakap itu berkata pihak pengurusan memperuntukkan halaman Mataf untuk jemaah umrah sahaja, membuat 14 laluan maya untuk tawaf (tawaf), dengan mempertimbangkan jarak fizikal, dan tiga laluan paling hampir dengan Kaabah ditetapkan untuk warga emas dan orang kurang upaya.

Katanya, pihak berwajib akan memastikan semua langkah pencegahan akan dilaksana dengan teliti .

Beliau juga meminta semua jemaah untuk bekerjasama dan mematuhi langkah pencegahan serta jarak fizikal demi kesihatan dan keselamatan mereka.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Umrah fasa ketiga: Arab Saudi sambut jemaah Pakistan, Indonesia

KUALA LUMPUR, 2 NOV: Arab Saudi pada Ahad menyambut kumpulan pertama jemaah umrah warga asing dari Pakistan dan Indonesia selepas menggantung visa ibadah itu pada Februari lalu akibat penularan virus Covid-19 di seluruh dunia.

Menurut Kesatuan Agensi Berita Pertubuhan Kerjasama Islam OIC (UNA) dalam satu laporan berkata kumpulan tersebut yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz di Jeddah, disambut Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Muhammad Saleh Taher Benten bersama timbalannya Dr Abdulfattah Suliman Mashat dan pengarah lapangan terbang itu, Issam Nour.

Ketibaan jemaah berkenaan merupakan fasa ketiga kebenaran menunaikan umrah serta ziarah di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

“Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi menetapkan setiap jemaah warga asing perlu menjalani kuarantin wajib selama tiga hari di hotel tertentu sebelum dibenarkan melaksanakan ibadah umrah.

“Selain itu, kementerian turut menetapkan tatacara operasi piawai (SOP) yang dipersetujui Kementerian Kesihatan Arab Saudi untuk syarikat dan perkhidmatan umrah bagi memastikan tindakan pencegahan virus Covid-19 dapat dilakukan,” kata laporan itu.

Berdasarkan rancangan strategik yang disusun Kerajaan Arab Saudi, fasa ketiga itu dijangka menyaksikan kemasukan 20,000 jemaah umrah, 60,000 jemaah menunaikan solat di Masjidil dan Masjid Nabawi dengan 19,500 pengunjung setiap hari.

Pada 23 September lepas, Arab Saudi mengumumkan empat fasa secara berperingkat bagi menerima semula kemasukan jemaah umrah dengan perlu mematuhi SOP ditetapkan pihak berkuasa tempatan negara itu.

Fasa pertama bermula 4 Oktober lepas, membenarkan rakyat Arab Saudi dan penduduk di negara itu menunaikan umrah dengan 6,000 jemaah setiap hari, diikuti fasa kedua dalam kategori jemaah yang sama, ditingkatkan kepada 15,000 jemaah sehari.

Sementara fasa keempat, Arab Saudi akan membenarkan semua kategori jemaah menunaikan umrah dengan kapasiti 100 peratus daripada keluasan Masjidil Haram dan Masjid Nabawi berdasarkan SOP ditetapkan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Arab Saudi: Kumpulan pertama jemaah mula jalani ibadah umrah

RIYADH, 5 OKT: Selepas enam bulan sekatan akhirnya pada Ahad jemaah mula menjalani ibadah Umrah di Mekah dengan langkah-langkah pencegahan ketat berikutan pandemik Covid-19, lapor agensi berita Xinhua.

Kumpulan jemaah pertama menunaikan Umrah di Mekah dengan langkah berjaga-jaga untuk mencegah penularan Covid-19, tulis Ketua Umum Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi di Twitternya.

Sejak Arab Saudi membuka semula proses permohonan menunaikan Umrah pada 27 September, sejumlah 108,041 permit dikeluarkan pada 1 Oktober, menurut Kementerian Haji dan Umrah.

Sebelum ini, Arab Saudi mengumumkan akan membenarkan semula ibadah Umrah secara bertahap mulai 4 Oktober.

Untuk membendung penularan Covid-19 pada 27 Februari, Arab Saudi menangguhkan kemasukan jemaah asing di Mekah dan Madinah.

Pada 4 Mac, kerajaan turut menangguhkan Umrah untuk rakyat dan penduduk Arab Saudi.

Arab Saudi melaporkan 390 kes baharu dalam 24 jam lalu, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 336,387, umum Kementerian Kesihatan pada Ahad.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA GLOBAL

Arab Saudi benarkan semula umrah mulai 4 Oktober

SHAH ALAM, 23 SEPT: Kerajaan Arab Saudi membenarkan kembali jemaah menunaikan umrah secara berperingkat mulai 4 Oktober ini selepas ditangguhkan susulan pandemik Covid-19.

Dalam kenyataan diterbitkan Saudi Press Agency, Kementerian Dalam Negerinya memaklumkan kira-kira 6,000 warganya dan penduduk di situ dibenar menunaikan umrah setiap hari sebagai permulaan.

“Jemaah dari luar pula akan dibenar menunaikan ibadah itu mulai 1 November dengan kapasiti hingga 20,000 orang setiap hari,” katanya lapor Berita Harian.

Kementerian itu turut memaklumkan ibadah tersebut dibenarkan semula sepenuhnya selepas ancaman wabak pulih.

Sejak Mac lalu, Arab Saudi menangguhkan umrah dan mengehadkan kapasiti haji tahunan akibat bimbang penularan Covid-19 ke kota-kota sucinya.

 

Categories
AGAMA AGENDA NASIONAL

Malaysia sedia benarkan jemaah tunai umrah, bergantung situasi

PARIT, 6 OGOS: Tiada masalah untuk membenarkan jemaah Malaysia menunaikan umrah namun ia bergantung kepada situasi semasa penularan Covid-19 dalam negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata pihaknya menyambut baik segala keputusan yang bakal dilaksanakan Arab Saudi namun lebih mengutamakan kemaslahatan dan dari segi kesihatan.

“Jadi, kalau semuanya ok, saya rasa tidak ada masalah tapi buat masa ini dalam situasi kita masih berjaga-jaga, amat perlu kita mengambil langkah-langkah dalam mengawal penularan Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan bernilai keseluruhan RM25,000 daripada Jabatan Agama Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) kepada Maahad Tahfiz Al-Quran Masjid Lama, Kampung Lambor Kanan, di sini, semalam, yang terbakar baru-baru ini.

Zulkifli berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung laporan media Arab Saudi, yang menyatakan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi sedang menilai pembukaan semula Makkah untuk ibadah umrah.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan berlaku peningkatan kos dalam menunaikan ibadah umrah kerana mengambil kira penambahbaikan aspek keselamatan dan kesihatan kerana Covid-19.

Ia kerana kos tambahan dalam menunaikan umrah bagi rakyat Malaysia jika dibenarkan juga akan mengambil kira kos ujian saringan Covid-19 serta beberapa kos tambahan lain yang akan diperhalusi kemudian, katanya.

“Berdasarkan situasi semasa macam kita balik kampung balik raya ada peraturan seumpamanya, jadi tidak pelik kalau berlaku peningkatan kos.

“Namun saya lebih prihatin daripada sudut keselamatan kesihatan dan kepatuhan pada tatcara operasi piawai (SOP) yang sewajarnya untuk elak Covid-19,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jemaah haji dalam keadaan baik – Arab Saudi

MINA, 30 JULAI: Kementerian Kesihatan Arab Saudi berkata status kesihatan jemaah haji dalam keadaan baik dan setakat ini tiada kes Covid-19 dilaporkan dalam kalangan jemaah, lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA).

Pembantu Menteri Kesihatan dan jurucakap kementerian, Dr Mohammed Al-Abdulaali, berkata demikian pada taklimat media harian untuk musim haji tahun ini di Mekah.

Dr Al-Abdulaali merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Raja Arab Saudi Raja Salman Salman bin Abdulaziz Al Saud dan Putera Mahkota atas keprihatinan yang diberikan terhadap jemaah.

Beliau berkata tahun ini, kementerian bersiap sedia untuk memberikan perkhidmatan kesihatan sebaik mungkin dengan menyediakan beberapa kemudahan di kawasan suci itu.

Antara kemudahan itu termasuk enam hospital, 51 klinik, 200 ambulans, 62 pasukan petugas di lapangan serta hospital lapangan, klinik bergerak dan tiga klinik di kediaman jemaah.

Kementerian juga melantik seorang ketua kesihatan bagi setiap kumpulan jemaah.

Dr Al-Abdulaali juga menyeru jemaah dan petugas mematuhi semua langkah pencegahan, termasuk penjarakan sosial, memakai pelitup muka dan menjaga kebersihan diri.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Arab Saudi hadkan hanya 1,000 jemaah haji

SHAH ALAM, 21 JULAI: Kerajaan Arab Saudi mengehadkan hanya 1,000 jemaah haji yang bermula 29 Julai ini dengan tatacara operasi piawai (SOP) ketat bagi mengekang penularan Covid-19.

Pihak berkuasa negara itu berkata ibadah tersebut dilaksanakan dengan protokol kebersihan ketat dan akses terhad kepada jemaah di bawah 65 tahun serta tiada penyakit kronik.

“Kemuncak ibadah haji iaitu wukuf di Arafah jatuh ialah pada Khamis (30 Julai),” kata Saudi Press Agency (SPA) memetik laporan Berita Harian.

Menurut laporan itu, walaupun pegawai haji mengatakan ia terhad kepada 1,000 orang yang sudah berada di negara berkenaan, 70 peratus daripadanya adalah orang asing dan yang lain dari negara terbabit. Manakala beberapa laporan akhbar tempatan mengatakan 10,000 orang mungkin turut mengambil bahagian.

Penurunan jumlah jemaah ini secara tidak langsung memberi kesan kerugian besar kepada ekonomi negara tersebut selain penurunan harga minyak.

Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia kutuk serangan pemberontak Houthi ke atas Arab Saudi

KUALA LUMPUR, 25 JUN: Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan peluru berpandu dan dron oleh puak pemberontak Houthi di Yaman ke atas Arab Saudi sejak beberapa minggu yang lepas.

Wisma Putra berkata provokasi berterusan oleh Houthi adalah tidak produktif ke arah keamanan dan kestabilan di Yaman kerana tindakan pencerobohan selanjutnya hanya akan memburukkan lagi keadaan di negara itu.

“Selaras dengan sokongan Malaysia terhadap rayuan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 23 Mac 2020 mengenai gencatan senjata global di tengah-tengah pandemik Covid-19, Malaysia menggesa semua pihak di Yaman agar segera menamatkan provokasi ini,” menurut kementerian itu dalam kenyataan hari ini.

Dengan kerjasama rakan kongsi serantau, inisiatif Malaysia melancarkan pernyataan sokongan kepada rayuan Setiausaha Agung menerima sokongan lebih 170 negara anggota PBB, negara pemerhati bukan anggota dan pemerhati pada 23 Jun.

Malaysia akan terus menggesa semua pihak untuk bekerja secara konstruktif bagi penyelesaian politik untuk keamanan kekal di Yaman, menurut kenyataan itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Arab Saudi dijangka izin 1,000 jemaah tunai haji, cegah Covid-19

SHAH ALAM, 24 JUN: Kira-kira 1,000 jemaah sedia ada di Arab Saudi dibenarkan menunaikan haji tahun ini dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19, kata menteri hajinya.

Mohammad Benten berkata kerajaan akan bekerjasama dengan perwakilan diplomatik bagi memilih jemaah warga asing yang tinggal di negara itu dan memenuhi kriteria kesihatan ditetapkan, lapor AFP.

“Ia akan membabitkan kira-kira 1,000 jemaah, mungkin kurang, mungkin lebih sedikit. Bilangannya tidak akan menjadi puluhan atau ratusan ribu jemaah tahun ini,” katanya.

Beliau berkata keputusan tidak menerima kemasukan jemaah dari luar Arab Saudi adalah kali pertama dalam sejarah moden negara itu berbanding 2.5 juta jemaah tahun lalu.

Setakat ini, proses pemilihan jemaah untuk musim haji kali ini masih belum jelas.

Sementara itu Menteri Kesihatan, Tawfiq al-Rabiah, memaklumkan bahawa haji tahun ini hanya terhad kepada jemaah berumur bawah 65 tahun dan tiada menghidap sebarang penyakit kronik.

Katanya, jemaah terbabit akan melalui ujian saringan Covid-19 sebelum tiba di Makkah dan dikehendaki menjalani kuarantin di rumah selepas menunaikan ibadat haji.

Arab Saudi berdepan peningkatan jangkitan wabak yang kini mencecah lebih 164,000 kes iaitu tertinggi dalam kalangan negara Teluk dengan mencatatkan hampir 1,350 kematian.

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Arab Saudi hadkan jumlah jemaah haji

BEIRUT/ANKARA, 23 JUN: Arab Saudi tahun ini akan mengehadkan jemaah haji hanya untuk penduduk yang tinggal di negara itu, susulan penularan wabak Covid-19, sekaligus menutup pintunya kepada jemaah haji luar negara, lapor agensi berita Anadolu.

Kementerian Haji dan Umrah dalam satu kenyataan berkata hanya sebilangan kecil penduduk daripada pelbagai kerakyatan yang tinggal di Arab Saudi akan dibenarkan menunaikan haji tahun ini.

Kes Covid-19 di Arab Saudi melepasi 161,005 dengan lebih 1,300 kematian manakala lebih 105,000 sudah pulih.

Sejak pertama kali dikesan di China pada Disember lalu, Covid-19 sudah menular ke sekurang-kurangnya 188 negara dan wilayah.

Amerika Syarikat, Brazil dan Rusia antara negara paling teruk terjejas.

Wabak maut itu sudah meragut hampir 470,000 nyawa penduduk di seluruh dunia, dengan lebih sembilan juta kes disahkan dan lebih 4.47 juta pesakit pulih, menurut data Johns Hopkins University.

-BERNAMA