Categories
GLOBAL

Raja Salman pecat ketua turus tentera

GLOBAL 27 FEB: Pemimpin Arab Saudi, Raja Salman, memecat ketua turus tentera dan beberapa komander kanan lain, lapor media kerajaan, semalam, dalam perubahan mengejut ke atas badan pertahanan negara itu.

Pelantikan penjawat awam turut diumumkan, semalam termasuk seorang wanita, Tamadar Yousef al-Ramah sebagai timbalan menteri buruh dan pembangunan sosial, selain Putera Turki Talal – adik bilionair, Putera Al-Waleed Talal yang disiasat rasuah sebelum ini sebagai timbalan gabenor wilayah Assir.

Beberapa dekri diraja dikeluarkan lewat Isnin (waktu tempatan) itu menggantikan ketua tentera darat serta udara, selain pegawai kanan dalam kementerian dalam negeri.

Tiada sebab rasmi diberikan untuk tindakan berkenaan, tetapi ia menyusul ketika campur tangan tentera diketuai Arab Saudi di Yaman terhadap pemberontak Houthi disokong Iran yang kini menghampiri tahun keempat.

Agensi berita rasmi Saudi Press Agency (SPA) menyebut: “Perkhidmatan Jeneral Abdul Rahman Saleh al-Bunyan, Ketua Turus, ditamatkan dengan Fayyad al-Ruwaili dilantik menggantikannya.”

Pemecatan Abdul Rahman yang mengejutkan itu berlaku selepas dia merasmikan pameran besar minggu ini oleh Saudi Arabian Military Industries (SAMI), syarikat pertahanan milik kerajaan yang mengetengahkan usaha berterusan pembaharuan dalam sektor berkenaan.

SUMBER: AFP

 

Categories
GLOBAL

Arab Saudi bebas saki baki tahanan dari Hotel Ritz-Carlton

RIYADH 31 JAN: Pihak berkuasa Arab Saudi membebaskan semua saki-baki tahanan dari Hotel Ritz-Carlton, Riyadh yang digunakan sebagai pusat soal siasat dalam kempen membanteras rasuah, kata seorang pegawai tempatan semalam.

Ia membayangkan penyingkiran selama tiga bulan itu yang menyaksikan berpuluh-puluh pegawai kanan dan ahli perniagaan ditahan hampir berakhir.

Agensi Berita Antarabangsa REUTERS melaporkan beberapa pegawai penyiasat sebelum ini berkata, semua mereka ditahan dalam usaha pihak berkuasa untuk mendapatkan semula kira-kira AS$100 bilion (RM389 bilion) aset haram.

“Tiada lagi tahanan di Ritz-Carlton,” kata pegawai berkenaan kepada agensi berita Reuters.

Beliau bagaimanapun tidak menyebut bilangan suspek yang masih ditahan di lokasi-lokasi lain di Arab Saudi.

Sebahagian mereka dipercayai telah dipindahkan dari Hotel Ritz-Carlton ke penjara selepas enggan mengaku melakukan sebarang kesalahan dan membuat pembayaran kepada pihak berkuasa.

Pada minggu lalu, Peguam Negara Arab Saudi berkata, sebahagian besar tahanan bersetuju membuat pembayaran kepada kerajaan. Seramai 90 tahanan kemudian dibebaskan selepas tuduhan terhadap mereka digugurkan, manakala 95 lagi masih ditahan.

Sesetengah kes tersebut akan dibicarakan di mahkamah.

Antara ahli perniagaan utama yang ditahan termasuk Putera Al-Waleed yang merupakan pemilik firma pelaburan global, Kingdom Holding dan Waleed Al-Ibrahim yang menguasai media berpengaruh, MBC.

MBC berkata, siasatan mendapati Waleed tidak bersalah, manakala Putera Al-Waleed bertegas bahawa beliau tidak melakukan kesalahan.

Namun, beberapa pegawai Arab Saudi memberitahu, mereka bersetuju untuk membuat pembayaran.

Dalam satu wawancara dengan agensi berita Reuters di suite tempat beliau ditahan pada Sabtu lalu Putera Al-Waleed berkata, beliau dilayan dengan baik sepanjang berada dalam tahanan dan menyifatkan kes tersebut hanya salah faham.

Hotel itu mempunyai sebanyak 492 bilik dan suite tetamu berserta taman landskap seluas 21 hektar, demikian menurut laman webnya.

Menurut pihak pengurusan, hotel tersebut akan dibuka semula kepada orang ramai pada pertengahan Februari ini dengan bilik paling murah berharga AS$650 (RM2,533) untuk penginapan satu malam.

SUMBER: REUTERS

Categories
GLOBAL

Arab Saudi pintas peluru berpandu dilancar Yemen

DUBAI 21 JAN: Arab Saudi berjaya memintas serangan peluru berpandu balistik ke arah wilayah Najran di selatan negara itu oleh pergerakan Houthi Yemen, lapor stesen televisyen rasmi kumpulan berkenaan, al-Masirah dan jurucakap tentera Riyadh.

Menurut al-Masirah, serangan peluru jarak pendek itu disasarkan ke arah pangkalan tentera namun tiada kecederaan atau kerosakan dilaporkan, lapor Agensi Berita Antarabangsa REUTERS.

Pergerakan Houthi telah beberapa kali melancarkan peluru berpandu ke arah Arab Saudi sehingga mencetuskan lagi ketegangan antara negara itu dengan Iran.

Arab Saudi mendakwa Iran membekalkan bahagian peluru berpandu dan pakar kepada Houthi namun kedua-dua pihak menafikannya.

SUMBER: REUTERS

Categories
GLOBAL

Arab Saudi pintas peluru berpandu dilancar Yemen

RIYADH 6 JAN: Arab Saudi memintas peluru berpandu balistik yang dilancarkan dari Yemen semalam, lapor Agensi Berita Antarabangsa AFP.

Tentera gabungan diketuai Arab Saudi yang memerangi pemberontak Syiah Houthi di Yemen dalam satu kenyataan berkata, pertahanan udara negara itu memintas peluru berpandu tersebut sekitar jam 5.00 pagi waktu tempatan namun tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

Saluran televisyen Al-Masirah milik pemberontak Houthi melaporkan, kumpulan pemberontak mengaku bertanggungjawab melancarkan peluru berpandu di wilayah barat daya Arab Saudi di Najran menerusi kenyataan di laman Twitter.

Riyadh dan sekutunya mengatakan serangan itu membuktikan sokongan Iran terhadap pemberontak Houthi di Yemen.

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL

Gaji kakitangan awam Arab Saudi naik sehingga RM1,000

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

ARAB SAUDI 6 JAN: Raja Salman pada Sabtu mengeluarkan beberapa arahan dalam Perintah Diraja untuk membantu rakyat negara itu ekoran keputusan kerajaan sebelum ini menaikkan harga bahan api dan memperkenalkan cukai nilai tambahan (VAT).

ARAB NEWS melaporkan Raja Salman mengarahkan bayaran gaji bulanan kakitangan awam dinaikkan sehingga 1,000 riyal (RM1,067) untuk 12 bulan sebagai pampasan kepada peningkatan kos hidup efektif 1 Januari 2018.

Raja Salman juga mengarahkan bayaran 5,000 riyal kepada anggota tentera yang berkhidmat di barisan depan di Yaman.

Untuk membantu perbelanjaan hidup, penerima kebajikan dan pesara akan mendapat tambahan bulanan SR500 bulanan untuk sepanjang tahun.

Gaji kerajaan sekarang akan dibayar pada 27hb setiap bulan dengan semua bil perkhidmatan yang dikeluarkan seminggu kemudian.

Pelajar juga dibantu dalam keputusan raja dengan kenaikan 10 peratus dalam elaun selama 12 bulan akan datang.

Kerajaan Arab Saudi juga akan menanggung impak pelaksanaan VAT dengan menyerapnya untuk kebajikan rakyat khususnya dalam penjagaan kesihatan dan pendidikan swasta.

Terdapat juga berita baik untuk pembeli rumah pertama kali dengan kerajaan membayar VAT – tidak melebihi SR850,000 – pada pembelian.

Categories
GLOBAL

Arab Saudi, Jordan, Maghribi bantah hasrat Trump jadikan Baitul Maqdis ibu negara Israel

RIYADH 6 DIS: Raja Salman dari Arab Saudi, semalam memberi amaran tindakan Presiden Donald Trump memindahkan Kedutaan Amerika Syarikat di Israel ke Baitulmaqdis adalah ‘langkah bahaya’ yang boleh membangkitkan kemarahan umat Islam seluruh dunia.

“Memindahkan Kedutaan Amerika Syarikat (ke Baitulmaqdis) adalah langkah bahaya yang akan memprovokasi perasaan umat Islam seluruh dunia,” lapor Al-Ekhbariya TV memetik Raja Salman sebagai memberitahu Trump dalam panggilan telefon.

Trump memaklumkan Presiden Mahmud Abbas mengenai hasratnya memindahkan kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.

Pengumuman itu mencetuskan kritikan daripada pemimpin Arab.

Sementara itu di Amman, nada sama dilontarkan Raja Abdullah dari Jordan yang menyifatkan langkah itu memberi kesan bahaya kepada kestabilan rantau itu.

Trump menyatakan hasrat meneruskan keputusan memindahkan kedutaan AS ke Baitulmaqdis dalam panggilan telefon kepada Raja Abdullah, kata kenyataan istana.

Raja Abdullah dipetik sebagai membalas sebarang keputusan seumpama itu bahaya kepada kestabilan dan keselamatan rantau berkenaan serta menghalang usaha AS menyambung semula rundingan damai Arab – Israel.

Turut menyatakan bantahan terhadap tindakan Trump itu adalah Raja Mohammed VI dari Maghribi.

Dalam surat terbuka kepada Trump, Raja Mohammed meluahkan ‘kebimbangan mendalam’ dan ‘kebimbangan dirasakan negara Arab dan Islam dan penganutnya’ berhubung langkah mengiktiraf bandar raya itu sebagai ibu negara Israel dan memindahkan Kedutaan Amerika Syarikat ke situ.

SUMBER: AFP/Reuters

Categories
GLOBAL

4 negara Teluk gesa rakyat tinggalkan Lebanon

GLOBAL 11 NOV: Empat negara Teluk iaitu Arab Saudi, Kuwait, Emiriah Arab Bersatu (UAE) serta Bahrain menggesa rakyatnya meninggalkan Lebanon secepat mungkin dan mengelak mengunjungi republik itu.

Bahrain mengarahkan rakyatnya berbuat demikian pada Ahad lalu sebaik sahaja Perdana Menteri Lebanon, Saad al-Hariri mengumumkan peletakan jawatan manakala Arab Saudi dan Kuwait membuat gesaan sama diikuti UAE beberapa jam kemudian.

Agensi berita rasmi Arab Saudi, SPA memetik sumber Kementerian Luar memaklumkan, rakyat negara itu yang menetap atau mengunjungi Lebanon diminta meninggalkan negara itu secepat mungkin berikutan situasi politik di negara itu sekarang.

“Arab Saudi juga menasihat­kan semua rakyatnya tidak me­ngunjungi Lebanon,” lapor portal Al-Jazeera.

Beberapa jam kemudian Kuwait dan UAE turut menggesa rakyatnya meninggalkan Lebanon serta-merta.

Kementerian Luar Bahrain yang merupakan sekutu Arab Saudi telah mengeluarkan na­si­hat perjalanan dengan alasan ‘faktor keselamatan’.

Lebanon kini berdepan ke­melut politik selepas Hariri mengumumkan peletakan jawatannya semasa melawat Arab Saudi pada Sabtu lalu namun lokasi beliau sehingga kini masih belum diketahui.

Parti Pergerakan Masa Hadapan Lebanon pimpinan Hariri telah menuntut agar Perdana Menteri tersebut pulang ke negara itu serta-merta.

“Kepulangan Hariri penting bagi mengembalikan maruah dan penghormatan Lebanon di dalam dan luar negara,” kata bekas Perdana Menteri Lebanon, Fouad Siniora dalam satu kenyataan.

Wakil Al-Jazeera di Lebanon melaporkan bahawa Presiden negara itu, Michel Aoun akan meminta bantuan masyarakat antarabangsa termasuk Liga Arab, Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), China dan Rusia bagi merungkai punca peletakan jawatan Hariri.

Agensi berita Reuters pula melaporkan, seorang pegawai kanan Lebanon mendakwa, kerajaan negara itu tidak menerima sebarang dokumen rasmi peletakan jawatan Hariri justeru beliau masih berfungsi sebagai Perdana Menteri Lebanon.

SUMBER: AGENSI

 

Categories
GLOBAL

Riyadh nafi Putera Abdulaziz bin Fahd terkorban

RIYADH 8 NOV: Arab Saudi menafikan laporan bahawa seorang putera raja terbunuh dalam kempen antirasuah yang dilaksanakan terhadap golongan elit negara itu.

Ia susulan laporan bahawa Putera Abdulaziz bin Fahd, iaitu anak lelaki Allahyarham Raja Fahd, terbunuh ketika berada di dalam tahanan susulan beberapa siri tangkapan akhir minggu lalu, lapor AFP.

Berita itu turut viral di media sosial berikutan penyebaran #Putera Abdulaziz bin Fahd maut, sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi.

“Khabar angin mengenai Putera Abdulaziz bin Fahd yang tersebar di media adalah tidak benar sama sekali.

“Beliau masih hidup dan sihat,” kata jurucakap Kementerian Penerangan dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, puluhan tokoh, termasuk beberapa putera raja, menteri dan taikun, iaitu Al-Waleed bin Talal ditahan dalam beberapa siri tangkapan akhir minggu lalu, susulan penubuhan Suruhanjaya Antirasuah yang diketuai oleh Putera Mahkota Mohammed bin Salman.

Ia disusuli dengan berita kematian Putera Mansour bin Moqren, yang terbunuh selepas helikopter yang dinaikinya terhempas di sempadan Yaman. Punca kejadian itu tidak didedahkan.

=EZY=

Categories
GLOBAL

Arab Saudi beli sistem pertahanan udara THAAD RM63 bilion

GLOBAL 8 OKT: Kerajaan Amerika Syarikat (AS) meluluskan penjualan sistem Terminal Altitud Tinggi Kawasan Pertahanan (THAAD) bernilai AS$15 bilion (RM63 bilion) kepada Arab Saudi, kata Jabatan Pertahanan.

“Penjualan ini lanjutan daripada polisi luar dan keselamatan negara AS selain menyokong keselamatan bagi tempoh jangka panjang Arab Saudi dan rantau Teluk yang berdepan dengan Iran serta ancaman lain,” kata jabatan itu dalam satu kenyataan.

Pembelian itu merupakan sebahagian daripada keseluruhan AS$110 bilion (RM466 bilion) pakej persenjataan yang Presiden Donald Trump janjikan semasa melawat Arab Saudi pada Mei lalu, lapor Agensi Berita Antarabangsa AFP.

Lampu hijau bagi rundingan pembelian itu diumumkan sehari selepas Raja Salman menemui Presiden Rusia, Vladimir Putin dan menandatangani perjanjian pembelian sistem pertahanan udara, S-400 keluaran Moscow.

THAADSistem pertahanan THAAD sebelum ini telah dibekalkan kepada jiran Arab Saudi iaitu Qatar dan Emiriyah Arab Bersatu menjadikan AS sebagai pembekal utama sistem pertahanan peluru berpandu yang disertakan dengan kelengkapan sistem radar canggih.

AS sebelum ini menimbulkan kemarahan China selepas menempatkan THAAD di Korea Selatan bagi melindungi serangan Korea Utara kerana Beijing bimbang sensor sistem berkenaan mampu menembusi ke ruang udara China.

THAAD1Jabatan Pertahanan berkata, mereka telah menasihatkan Kongres bahawa sistem THAAD di Arab Saudi boleh menstabilkan keadaan di Teluk serta membantu tentera AS di wilayah berkenaan serta sekutu yang berdepan dengan kemajuan peluru berpandu Iran.

“Cadangan penjualan peralatan dan sokongan ini tidak akan mengubah keseimbangan asas ketenteraan di rantau ini,” katanya.

Para pegawai pemberitahu AFP bahawa penjualan itu akan diteruskan jika Kongres AS tidak membuat apa-apa bantahan dalam masa 30 hari.

=EZY=

Categories
GLOBAL

Arab Saudi beli peluru berpandu S-400, senjata dari Rusia

GLOBAL 7 OKT: Arab Saudi kini beralih kepada Rusia sebagai pembekal sistem persenjataannya bagi memperkukuh pertahanan negara itu apabila selama ini turut menjadi pengimport senjata daripada Amerika Syarikat.

Agensi Berita Antarabangsa AL-JAZEERA melaporkan Aras Saudi membeli sistem pertahanan udara iaitu peluru berpandu anti pesawat S-400, sistem peluru berpandu anti kereta kebal Kornet dan juga pelancar roket berbilang laras yang diumumkan ketika lawatan pertama kali Raja Salman Abdulaziz Al-Saud ke Rusia.

Perjanjian awal dimeterai di luar acara lawatan bersejarah Raja Salman yang bertujuan mengukuhkan hubungan kedua-dua negara dalam bidang pelaburan dan usaha sama.

Industri Ketenteraan Arab Saudi (SAMI) menerusi satu kenyataan menyatakan bahawa perjanjian itu secara tidak langsung dilihat memainkan peranan pembangunan dan kemajuan sistem ketenteraan di negara ini.

Delegasi Arab Saudi ke Moscow turut menyaksikan persetujuan perjanjian pelaburan bersama melibatkan jumlah berbilion dolar, sekali gus mampu memacu pertumbuhan ekonomi Rusia yang kini berdepan masalah akibat kejatuhan harga minyak mentah dan sekatan dari negara-negara Barat.

S400 1Dalam pada itu, Presiden Vladimir Putin menyifatkan kunjungan delegasi Arab Saudi itu sebagai satu peristiwa bersejarah.

“Ini merupakan kunjungan kali pertama keluarga diraja Arab Saudi ke Rusia dan saya percaya lawatan ini akan mengukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua negara,” katanya.

Raja Salman dalam reaksinya pula berkata, Arab Saudi mahu mengukuhkan hubungan dengan Rusia dalam aspek keamanan dan keselamatan dengan hasrat untuk membangunkan ekonomi dunia.

Baginda turut memberitahu Putin bahawa Iran perlu berhenti campur tangan dalam konflik di Asia Barat.

“Kami menegaskan bahawa keselamatan serta kestabilan negara-negara Teluk dan Asia Barat adalah satu desakan untuk mencapai keamanan di Yemen.

“Situasi ini akan mendesak Iran untuk melepaskan campur tangan dalam hal ehwal dalaman dan tindakan yang menyebabkan ketidakstabilan serantau,” katanya.

=EZY=

Categories
GLOBAL

Arab Saudi beri akses jemaah Qatar

RIYADH, 18 OGOS: Kerajaan Arab Saudi akan membuka sempadan Salwa bagi membolehkan jemaah haji dari Qatar diberi akses mengerjakan Rukun Islam Kelima musim ini tanpa memerlukan kebenaran elektronik.

Agensi berita Saudi, semalam turut melaporkan Pemerintah Saudi, Raja Salman Abdulaziz al Saud turut berbesar hati menaja jemaah haji dari Doha pada musim ini.

“Baginda menitahkan jet peribadi milik Saudi Airlines ke Lapangan Terbang Qatar untuk membawa kesemua jemaah,” menurut laporan itu lagi.

Di bawah perintah diraja sama, jemaah dari Doha itu akan dibawa ke Makkah dari Lapangan Terbang Raja Fahad dan Lapangan Terbang Ihsaa di timur Riyadh.

Sementara itu, Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman al Thani turut menyambut baik keputusan itu.

Bagaimanapun, beliau berpendapat haji tidak wajar dipolitikkan dan langkah itu juga perlu merangkumi penarikan semula sekatan politik serta ekonomi ke atas negara tersebut.

Lintasan sempadan Salwa ditutup selepas Saudi, Mesir, Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu memutuskan hubungan diplomatik serta dagangan dengan Qatar yang didakwa menyokong keganasan pada 5 Jun lalu.

Bulan lalu, kerajaan membenarkan rakyat Qatar mengerjakan haji, namun mereka dikenakan sekatan termasuk penerbangan dalam perjanjian dengan Saudi.

al-Jazeera

Categories
GLOBAL

Raja Salman arah buka sempadan Qatar untuk jemaah haji

SHAH ALAM, 17 OGOS: Pemerintah Arab Saudi, Raja Salman mengarahkan pembukaan semula sempadan negraa itu dengan Qatar bagi memudahkan urusan jemaah haji sebagai tanda awal redanya krisis diplomatik terburuk di rantau ini, lapor AFP yang dipetik media negara itu.

Makkah in Saudi ArabiaSempadan itu ditutup selepas pemerintah rantau Arab Saudi bersama Mesir, Bahrain dan Emiriyah Arab Bersatu memutuskan hubungan diplomatik juga perdagangan dengan Qatar selain menuduh negera berkenaan menggalakkan kumpulan ekstremis Islam, pada 5 Jun lalu.

Malaysia Insight melaporkan, pengumuman itu dibuat selepas Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman menerima utusan dari Doha, menurut agensi Agensi Akhbar Saudi, dalam pertemuan peringkat tertinggi yang pertama di antara negara itu selepas krisis meletus.

Raja Salman memerintahkan jemaah Qatar dibenarkan memasuki Arab Saudi menyeberangi sempadan untuk menunaikan haji, kenyataan yang disiarkan SPA.

Beliau juga mengarahkan jet peribadi milik syarikat penerbangan Arab Saudi dihantar ke lapangan terbang Doha untuk membawa semua jemaah Qatar dengan tajaannya.