Categories
AGENDA NASIONAL

Cubaan seludup minuman keras lebih RM20 juta gagal

SHAH ALAM, 13 NOV: Cubaan menyeludup minuman keras dianggarkan lebih RM20 juta termasuk duti di Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Barat (PKFZ) gagal, kata Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan/Pematuhan) Malaysia, Datuk Abdul Wahabi Abdullah berkata minuman sebanyak 627,510 liter itu dirampas dalam tiga serbuan iaitu pada 21 dan 27 September serta 8 November, lapor Berita Harian.

“Serbuan pertama pada 21 September rampas minuman bernilai 18.54 juta, rempasan kedua pada 27 Septermber melibatkan RM2.11 juta dan terakhir pada Isnin lalu berjumlah RM1.6 juta.

“Seorang lelaki tempatan berusia 40-an turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang media di Wisma JKDM Pulau Indah, hari ini.

Abdul Wahabi berkata kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967, Akta Eksais 1976 Akta Zon Bebas 1990.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan mungkin perluas haram jualan arak di kedai runcit, serbaneka

KOTA BHARU, 21 NOV: Kerajaan tidak menolak kemungkinan memperluaskan pengharaman jualan arak di kedai serbaneka dan kedai runcit di negeri selain Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary berkata kerajaan menerima komen positif daripada masyarakat merentasi kaum berhubung langkah itu yang dijangka dilaksanakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bermula Oktober tahun depan.

“Hingga ke tarikh ini kita hanya mengehadkan pengharaman jualan arak ini di Wilayah Persekutuan, namun kita tidak menolak kemungkinan akan diperluaskan ke tempat-tempat lain,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Program Inspirasiku MyHaus di bawah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia hari ini.

Pada majlis itu, beliau menyerahkan kunci rumah kepada ibu tunggal Rashidah Semail, 48, dari Kampung Parang Puting, Pengkalan Chepa.

Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk berkata pihaknya juga menerima aduan daripada pekerja kedai serbaneka yang terpaksa menjual arak.

“Sebenarnya negara kita agak terkebelakang dari sudut pengawalan penjualan minuman keras ini dan jika kita tengok negara jiran kita seperti Singapura, undang-undang mereka lebih ketat dan ada had-had dan masa-masa tertentu.

“Bagaimanapun, ini permulaan yang sangat baik walaupun hanya dilaksanakan di Wilayah Persekutuan dahulu,” katanya, menambah langkah itu juga bukan agenda politik.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

22 kes kemalangan babit pemandu mabuk dari Jan hingga Mei

KUALA LUMPUR, 3 JUN: Sejumlah 22 kes kemalangan melibatkan pemandu mabuk dilapor dalam tempoh lima bulan tahun ini dan dalam tempoh itu juga seramai 822 orang ditahan kerana disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias mereka yang ditahan dalam tempoh Januari hingga Mei lepas itu terdiri daripada mereka yang berusia antara 15 hingga 41 tahun.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Polis akan meningkatkan operasi (mengesan pemandu) mabuk di seluruh negara. Saya minta agensi-agensi penguat kuasa yang lain untuk mengambil tindakan keras dan kawal penjualan arak yang sangat mudah dibeli dan diperoleh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azisman berkata daripada 22 kes kemalangan yang dilapor itu, 12 kes masih dalam siasatan manakala 10 kes lagi telah dituduh di mahkamah.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Polis rampas rokok, arak lebih RM3.4 juta di Selangor

KUALA LUMPUR, 17 FEB: Polis menahan lapan individu dan merampas rokok serta arak seludup dianggar bernilai lebih RM3.4 juta menerusi dua operasi di Klang Utara dan Shah Alam pada Sabtu lepas.

Dalam operasi itu, empat lelaki tempatan dan empat lelaki warga Bangladesh berusia 19 hingga 65 tahun ditahan anggota Pasukan Gerakan Khas, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman.

Pengarahnya, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata polis berjaya merampas 18,800 karton rokok serta 3,108 botol arak seludup pelbagai jenama.

“Polis turut merampas lima buah lori serta sebuah kenderaan pelbagai guna,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kesemua yang ditahan direman 12 hari sehingga 27 Februari untuk siasatan.

– BERNAMA

Categories
PBT SELANGOR

PBT perlu letak tanda peringatan meski tiada larangan minum arak

SHAH ALAM, 11 NOV: Kerajaan Negeri mengarahkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memasang papan tanda peringatan minuman keras di tempat awam walaupun tiada undang-undang melarang individu meminum arak di kawasan berkenaan.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru negeri, Ng Sze Han berkata, papan tanda peringatan itu bagi menjamin keselesaan dan ketenteraman orang ramai.

Menerusi langkah itu juga, katanya, PBT akan mengambil tindakan tegas kepada peminum mabuk yang menimbulkan kacau ganggu.

“PBT akan menjalankan rondaan pemantauan di lokasi awam bagi mengatasi masalah kacau ganggu yang berpunca daripada orang mabuk.

“Jika berlaku kacau ganggu akibat mabuk, mereka akan melaporkan terus kepada polis kerana polis mempunyai kuasa mengambil tindakan terhadap peminum arak itu jika berlaku perkara tidak diingini,” katanya.

Sze Han (PAKATAN-Kinrara) berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Chua Wei Kiat (PAKATAN-Rawang), di Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Pada sesi itu, Wei Kiat bertanyakan tentang tindakan Kerajaan Selangor dalam mengatasi kekecohan yang dilakukan peminum arak di kawasan awam.

Bagaimanapun, Sze Han berkata, pihaknya tidak pernah mewujudkan peraturan atau larangan untuk meminum arak di tempat awam seperti yang diwujudkan bagi larangan merokok.

“Ini selaras dengan ketetapan Undang-Undang Kecil Taman 2005 dan agak sukar dilaksanakan kecuali terdapat peruntukan undang-undang khusus berhubung perkara itu di peringkat persekutuan atau negeri,” katanya.

Sebelum ini, PBT mensyaratkan waktu operasi penjualan minuman keras mengikut waktu yang dibenarkan iaitu sehingga jam 9 malam dan memastikan pelanggan tidak minum minuman keras di depan premis serta tempat terbuka.

Categories
NASIONAL

Henti jual, promosi bir tanpa alkohol secara terbuka

KUALA LUMPUR, 14 JULAI: Sebarang promosi serta penjualan arak atau bir tanpa alkohol secara terbuka perlu dihentikan, kerana dikhuatiri memberi impak negatif pada masyarakat, khususnya anak muda.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohamad Raimi Ab Rahim berkata, penjualan minuman seumpama itu juga tidak sesuai dibuat secara terbuka, demi menjamin kemaslahatan seluruh masyarakat.

Katany,a mana-mana syarikat pengeluar minuman berkenaan, seharusnya mengambil kira aspek sensitiviti agama dalam promosi produk mereka, walaupun Malaysia adalah negara majmuk.

“Sepatutnya syarikat seperti Heineken perlu lebih sensitif dalam mempromosi produk mereka. Walaupun mereka nyatakan sasaran penjualan minuman itu adalah remaja bukan Islam, ia masih tidak wajar kerana mengelirukan,” katanya kepada Bernama.

Mohamad Raimi mengulas demikian serta menyokong penuh kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa hari ini, yang menegaskan pengeluaran produk sedemikian bukan sahaja mengelirukan umat Islam, malah ia satu tindakan tidak baik.

Mengulas lanjut, beliau berharap pihak berwajib memperkasa usaha, supaya larangan penjualan produk yang haram serta syubhah atau tidak jelas hukumnya antara halal dan haram, dapat dilaksanakan di kawasan komuniti yang majoriti penduduknya ialah umat Islam.

Mohamad Raimi berkata, umat Islam di negara ini turut dinasihatkan agar sentiasa menjauhi sebarang produk, khususnya minuman yang haram serta syubhah.

“Dalam senario masyarakat yang semakin mencabar dengan bermacam produk makanan dan minuman serta kaedah promosi yang menarik perhatian, sebagai umat Islam seharusnya berwaspada agar tidak mudah terpedaya.

“Paling utama jika kita tahu syarikat pengeluar sesuatu minuman itu adalah pengeluar arak, maka jauhilah. Penjualan produk dengan nama arak tanpa alkohol sememangnya amat mengelirukan,” katanya dengan harapan supaya promosi arak tanpa alkohol itu dapat dihentikan segera.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Jufitri Joha turut berharap lebih ramai dalam kalangan masyarakat sensitif dengan penjualan arak tanpa alkohol dengan tagline ‘Now You Can’ itu, kerana boleh mengelirukan.

“Khususnya kepada generasi muda, kerana tagline itu seolah-olah menyebutkan bahawa dahulu tak boleh tapi kerana sekarang tiada alkohol, maka sekarang boleh,” katanya.

MBM turut menggesa agar arak-arak murah tidak lagi dijual di kedai-kedai serbaneka, kerana dikhuatiri akan mudah dibeli dan diminum oleh sesiapa sahaja.

“Kita tidak mahu anasir negatif mempengaruhi generasi muda. Kita tidak mahu ia menjadi budaya dan ketagihan kepada generasi muda Islam dan bukan Islam. Arak sepatutnya dijual di kedai khas dan bukan dijual secara terbuka,” tambahnya.

Heineken Malaysia Berhad dalam kenyataan semalam menjelaskan produk minuman yang dikeluarkan itu adalah tidak halal dan hanya disasarkan kepada yang bukan Islam berusia 21 tahun ke atas.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Polis: Belum ada petunjuk siapa bekal ‘arak beracun’

SHAH ALAM, 25 SEPT: Polis Selangor masih belum dapat mengenal pasti pembekal arak yang mengorbankan 24 individu di negeri itu sejak kejadian dilaporkan pada 17 September lalu.

Sehubungan itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, pihaknya kini meningkatkan kerjasama dengan kementerian dan agensi berkaitan seperti Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kastam bagi memeriksa premis yang disyaki menjual arak terbabit.

“Selain itu, kita kena sahkan kesahihannya sama ada (arak) tulen atau diciplak. Arak-arak ini kebanyakannya tidak ada label Kastam.

“Kita juga masih menyiasat siapa pembekal arak-arak ini dan sama ada ia datang daripada sumber yang sama. Setakat ini kita masih belum ada sebarang petunjuk mengenai perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, hari ini.

Menurutnya siasatan dilakukan menurut Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kematian secara cuai.

Mazlan berkata setakat ini, pihaknya telah menahan 15 peniaga dan pekerja premis menjual arak terbabit merangkumi lapan warga tempatan serta tujuh warga asing berusia dalam lingkungan 20 hingga 30-an menerusi 17 serbuan di Shah Alam, Gombak, Sungai Buloh, Kajang dan Klang Selatan.

Katanya daripada serbuan itu, sebanyak 1,480 botol arak dan 1,670 tin bir pelbagai jenama telah dirampas.

“Jumlah kematian sehingga kini kekal 24 orang di Selangor, 17 masih dirawat dan 17 lagi telah dibenarkan keluar dari hospital.

“Mengenai laporan bedah siasat mangsa yang maut, kita masih belum menerima laporan rasmi daripada hospital dan Jabatan Kimia,” katanya.

Sejak 17 September lepas, lebih 30 orang yang terdiri daripada warga asing dan tempatan meninggal dunia dan berpuluh lagi dirawat di hospital sekitar Lembah Klang, Perak dan Negeri Sembilan akibat keracunan arak.

SUMBER: BERNAMA

Categories
SELANGOR

Arak beracun: Kematian semakin meningkat

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 23 SEPT : Kematian akibat keracunan arak dilaporkan meningkat kepada 36 orang di seluruh negara sehingga jam 2 petang tadi.

Memetik leporan BERNAMA, kes terbaharu dilaporkan berlaku di Perak, semalam.

EXCO Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia Perak, A Sivanesan berkata, kematian terbaharu itu membabitkan lelaki tempatan berusia lingkungan 33 hingga 40-an, yang sebelum ini berada dalam keadaan kritikal di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, meninggal dunia pada pagi Sabtu.

“Seorang lagi mangsa dilaporkan berada dalam keadaan kritikal di HRPB, manakala seorang lagi dijangka dibenarkan pulang dalam masa terdekat,” katanya memetik laporan BERNAMA.

Ia sekali gus menjadikan kematian akibat keracunan alkohol itu meningkat kepada 24 kes di Selangor, tiga di Perak, sembilan di Kuala Lumpur.

Terdahulu, arak yang dilaporkan menjadi punca kematian adalah arak daripada tiga jenama iaitu Mandalay Whiskey, King Fisher Beer dan Grand Royal Whiskey.

Bagaimanapun, Kerajaan Negeri Selangor pula sedang merancang mencari kaedah terbaik untuk menutup premis menjual arak haram, di sekitar negeri ini.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Negeri, Ng Sze Han berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat bersama agensi berkaitan, dalam masa terdekat.

“Kerjasama dengan agensi lain amat diperlukan kerana ia melibatkan pelbagai akta seperti Akta Kastam.

“Operasi bersepadu dengan agensi berkaitan juga perlu bagi mengelakkan perkara seumpama ini daripada terjadi,” katanya.

Categories
SELANGOR

Arak beracun: EXCO saran orang ramai lapor pihak berkuasa

OLEH SHEEDA FATHIL

PETALING JAYA, 21 SEPT : Orang ramai diminta melaporkan kepada pihak berkuasa jika mengetahui mana-mana premis menjual arak beracun, sekitar negeri itu, kata EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Negeri, Ng Sze Han.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri memandang serius isu berkenaan bagi mengelakkan lebih banyak lagi kejadian meragut nyawa daripada terus berlaku.

“Saya sarankan kepada orang ramai jika ternampak kedai menjual arak yang mencurigakan, mohon untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa tempatan berhampiran anda. Kerjasama semua pihak amat diperlukan.

“Selain itu, saya nasihatkan kepada orang ramai supaya jangan minum arak. Jika mahu membelinya, pastikan dari kedai yang berlesen atau boleh dipercayai serta elakkan beli di kedai ‘underground’ kerana kita tidak tahu puncanya dari mana,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Anggota Penguatkuasa Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ),di Dewan Sivik, MBPJ, di sini, hari ini.

Selain itu, Sze Han berkata, Kerajaan Negeri dan polis sedang mencari punca sebenar untuk menyelesaikan kes arak beracun itu.

“Operasi serbuan akan tetap diteruskan bersama agensi berkaitan. Jika terdapat premis yang tidak mempunyai lesen, maka kita tidak teragak-agak untuk menutupnya,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor mengesahkan seramai 20 orang mati akibat keracunan alkohol, di Selangor.

Tiga jenama minuman beralkohol yang disyaki mengandungi racun methanol ialah Grand Royal Whisky, Mandalay Whisky dan bir berjenama King Fisher.

 

Categories
SELANGOR

Polis sahkan 20 maut keracunan arak di Selangor

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 20 SEPT: Seorang lagi dilaporkan maut akibat keracunan alkohol pada malam 17 September lalu menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang meninggal dunia seramai 20 orang di Selangor sehingga jam 1 tengah hari tadi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, jumlah keseluruhan mangsa masih kekal 56 orang, sehingga hari ini.

“Seramai 20 orang yang meninggal itu terdiri daripada dua rakyat tempatan, lima (Nepal), sembilan (Myanmar), seorang (India), dua (Bangladesh) dan seorang lagi yang meninggal tiada maklumat.

“Selain 20 orang yang meninggal, 16 lagi masih mendapatkan rawatan manakala 20 mangsa sudah dibenarkan pulang,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Terdahulu, dalam kejadian bermula sekitar jam 7 malam itu, kesemua mangsa mengalami muntah teruk selepas disyaki mengambil arak daripada tiga jenama iaitu Mandalay Whiskey, King Fisher Beer dan Grand Royal Whiskey.

Bagaimanapun, Kerajaan Negeri merancang mencari kaedah terbaik untuk menutup premis menjual arak haram, di sekitar Selangor.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Negeri, Ng Sze Han berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat bersama agensi berkaitan, dalam masa terdekat.

“Kerjasama dengan agensi lain amat diperlukan kerana ia melibatkan pelbagai akta seperti Akta Kastam.

“Operasi bersepadu dengan agensi berkaitan juga perlu bagi mengelakkan perkara seumpama ini daripada terjadi,” katanya.

Categories
NASIONAL

Kes kematian keracunan methanol dijangka meningkat

OLEH NORHAYATI UMOR

PUTRAJAYA, 20 SEPT: Jumlah kematian akibat keracunan methanol meningkat kepada 21 orang selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerima maklumat tentang dua kematian di luar fasiliti KKM.

Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, jumlah kematian itu dijangka meningkat dan pihak KKM tidak dapat mengesahkan jumlah kematian yang berlaku di luar fasiliti kesihatan KKM, setakat ini.

“Kelmarin jumlah kematian sebanyak 19 dan meningkat kepada 21 orang berdasarkan maklumat dua kematian itu diberikan Polis DiRaja Malaysia (PDRM),” katanya.

Dr Dzulkefly berkata, tiga jenama minuman beralkohol yang disyaki mengandungi racun methanol ialah Grand Royal Whisky, Mandalay Whisky dan bir berjenama King Fisher.

Katanya, hasil analisis setakat ini mengesahkan minuman beralkohol jenama Grand Royal Whisky mengandungi methanol yang didapati tidak mematuhi Akta Makanan 1983.

“Di samping itu, produk berkenaan tidak mematuhi keperluan pelabelan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 di bawah Akta Makanan 1983 seperti tiada nama dan alamat pengilang, pengimport atau ejen,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, KKM sedang mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas produk minuman beralkohol terbabit dan produk minuman beralkohol jenama lain yang tidak mematuhi perundangan makanan.

“Sehingga Selasa lalu sebanyak 291 botol minuman beralkohol pelbagai jenama termasuk jenama yang terbabit disita.

“KKM akan bekerjasama dengan PDRM, Kastam DiRaja Malaysia, pihak berkuasa tempatan dan United Nations High Commissioner for Refugees (UNHCR), pihak majikan pekerja asing yang terbabit dan agensi yang berkaitan bagi mengawal serta memantau perkembangan situasi keracunan itu.

“Infografik, risalah dan pendidikan kesihatan dalam bahasa asing akan turut diedarkan kepada warga asing bagi meningkatkan kesedaran mengenai bahaya pengambilan minuman beralkohol yang mungkin mengandungi methanol,” katanya.

Dr Zulkefly berkata, wakil dari pihak pengeluar minuman beralkohol dan bir jenama berkenaan sudah tampil membantu KKM untuk membersihkan nama mereka.

“KKM tidak menolak kemungkinan minuman berkenaan bukan produk asli dan dihasilkan dari kegiatan pengeluaran haram.

“Siasatan juga dijalankan bagi menentukan sama ada minuman itu dicampur bahan lain atau minuman tiruan,” katanya.

 

Categories
NASIONAL

Arak metanol: KKM sahkan 19 maut, 14 kritikal

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 19 SEPT: Seramai 19 individu di sekitar Lembah Klang, maut selepas minum arak yang mengandungi metanol, manakala 14 orang kritikal dan sembilan lagi dimasukkan ke wad untuk pemerhatian.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, KKM menerima 51 notifikasi kes keracunan dengan 45 kes dilaporkan di Selangor, manakala enam kes dilaporkan di ibu negara.

“Tiga kes membabitkan rakyat tempatan manakala seramai 51 lagi membabitkan warga Myanmar, Nepal, Bangladesh dan India.

“KKM menjangkakan jumlah pesakit akan meningkat berikutan terdapat ramai pesakit datang bagi mendapatkan rawatan bagi kes keracunan metanol berkenaan.

“Semua mereka mempunyai sejarah pengambilan cecair beralkohol yang mengandungi bahan beracun berkenaan,” katanya satu kenyataan.

Noor Hisham berkata, semua terbabit menunjukkan tanda dan gejala seperti sakit perut, loya, muntah, sakit kepala, kabur penglihatan dan ada yang mengalami sesak nafas, kekejangan serta tidak sedarkan diri.

Katanya, gejala atau tanda awal itu dialami dalam tempoh satu atau dua hari selepas mengambil minuman berkenaan.

“Hasil siasatan dijalankan Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur, Jabatan Kesihatan Selangor dan Pejabat Kesihatan Daerah terbabit mendapati semua pesakit membeli minuman sebatian keras di premis sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

“Laporan polis sudah dibuat KKM bagi mengenal pasti pengedar serta pengilang minuman itu termasuk mengenal pasti punca keracunan seterusnya menyekat pembekalan sebatian minuman keras yang tercemar itu di pasaran,” katanya.

Pada masa sama, katanya, KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) sedang mempertingkatkan tindakan penguatkuasaan ke atas produk minuman beralkohol yang tidak mematuhi Akta Makanan 1983 serta yang tidak mematuhi keperluan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

“Mengikut Seksyen 13, Akta Makanan 1983, individu menyediakan atau menjual apa-apa makanan mengandungi bahan beracun, merosakkan atau memudaratkan kesihatan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau berkata, KKM menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil sebarang minuman beralkohol yang mungkin mengandungi metanol.

“KKM terus bekerjasama dengan polis serta agensi terbabit bagi mengawal serta memantau perkembangan situasi kejadian keracunan itu.

“Situasi terkini kejadian akan dimaklumkan kepada umum dari semasa ke semasa,” katanya.