Categories
BUDAYA RENCANA

Daging

Oleh : A’riff Mustaffa Hamzah

Ilustrasi :Fahmi Mustaffa

Di meja makan di sebuah apartmen, tiga orang gadis kelihatan sedang asyik menikmati stik daging. Misa menghirisnya dengan hati-hati sebelum menyuap ke dalam mulut. Pisau berlaga dengan pinggan mewah. Jus terembes. Sos lada hitam cair menjadi gandingan sempurna. Isinya lembut, mudah dikunyah. Medium rare. Ketulan daging menyusuri kerongkong. Sedikit demi sedikit. Klimaks meletus dalam dada.

Dua teman karibnya, Jenab dan Ros tidak banyak cakap. Kedua-duanya dipukau hidangan paling lazat seumur hidup mereka. Kenikmatan tidak tertanding oleh daging-daging lain yang pernah melewati perut selama ini. Ini kali ketiga dalam tempoh seminggu mereka sama-sama menyantap stik yang disediakan Misa.

“Oh my goat. Stik hari ni is better than semalam,” puji Jenab. Ros ingin bercakap sesuatu, tetapi disebabkan mulutnya penuh, dia hanya mengangguk setuju. Misa tersenyum ringan. Dia tidak laparkan pujian. Stik dihabiskan perlahan-lahan. Pinggan licin dijilat. Tiada sisa tertinggal.

“Mana kau dapat daging ni, Misa? Must be expensive, kan? Daging import? Wagyu? Rusa? Llama?” tanya Jenab. Ros turut inginkan jawapan.

“Shhh.. Rahsia menjadikan seorang perempuan itu perempuan,” terang Misa. Jari telunjuk dirapatkan ke bibir. Dia memetik ayat popular Vermouth, salah satu karakter dalam Detective Conan.

It’s okay, babe. I know mesti mahal. But paling penting, halal,” kata Jenab sebelum menyuap hirisan kecil daging enaknya.

Selesai mengemas meja makan, mereka bertiga bersandar kekenyangan di sofa. Misa mengambil alat kawalan jauh. Televisyen dihidupkan. 

[Persatuan pembekal memberi jaminan bekalan daging babi untuk seluruh negeri menjelang perayaan ini mencukupi. Sebanyak 350,000 tan metrik…]

Siaran beralih.

[Berita terkini. Seorang lelaki berusia 28 tahun dilaporkan hilang sejak minggu lepas. Kali terakhir mangsa dilihat berhampiran sebuah apartmen…]

Siaran berubah.

[Masa diberikan ialah 45 minit. Anda perlu menyiapkan hidangan berasaskan daging dengan hanya menggunakan bahan yang ada di rak. Adakah anda sudah bersedia?]

Siaran bertukar lagi.

[Mentadak mentadu betina albino itu terus agresif menyerang pasangannya yang cedera parah. Mentadak mentadu jantan tidak berdaya lagi. Ia bakal menjadi santapan tengah hari…]

Televisyen terus melayarkan imej ketika masing-masing mencapai telefon bimbit yang menyedut mereka ke dalam media sosial. Jari dan mata meluncur seragam. Mereka membaca cerita-cerita yang terpapar dalam media sosial. Status terkini kenalan dan manusia asing. Perkongsian demi perkongsian. Video-video tular. Berita palsu dan benar saling bercampur dan bergaul sebati. 

“Kau orang tengok ni,” kata Misa sambil menghulurkan telefon bimbit. Dua rakannya itu berebut-rebut melihat skrin. 

“Aku dah agak. Sepatutnya dari dulu lagi Sue dengan jantan tu putus.” Ros memberi komen.

So stupid. Dah tahu perangai boyfriend dia macam tu, but still bersama,” balas Jenab. Dia mencungkil sisa daging yang melekat pada gigi dengan kuku merahnya.

“Dasar buaya. Lelaki memang tak boleh percaya. Semua sama,” balas Ros, sambil membuat muka jengkel. Asap perisa tembikai susu berkepul-kepul keluar dari rongga mulut Ros sebelum rokok elektronik dihulurkan semula kepada Misa.

“Aku rasa, Sue lagi suka bila putus. Dia dah habis perah segala harta lelaki tu. Selama ni dua-dua saling memanfaatkan sesama sendiri. Alah, Sue pun bukannya baik sangat,” sambung Ros lagi.

“Yeah. Your bestfriendlah tu, Ros.”

“Ah, kau.”

But betul, kan? Kau rapat dengan dia since zaman kolej dulu. Sekolah pun sekali, kan?”

“Mana ada. Tak serapat yang kaufikir. Tapi itu cerita dulu. Cerita sekarang, aku dengar orang cakap, dia tak balik kampung masa emak dia mati bulan lepas.”

Wh.. What? Useless daughter.”  Jenab memberi reaksi terkejut yang berlebihan.

“Mana taknya, sibuk menyundal sana-sini. Pantang jumpa laki dahi licin muka K-Pop. Eww.. I tak suka lelaki muka K-Pop. By the way, Sue tukar boyfriend macam tukar underwear. But sesuailah tu, dev.. div.. emm… syaitan jumpa syaitan,” sambung Jenab. Dia mengangkat bahu serentak dengan kening runcingnya. 

“Wah, ayat… Dahsyat. Mana kau tahu?” Misa mencelah. Matanya masih tertumpu pada skrin telefon.

I knowlah. Zaman now mana ada rahsia yang boleh sembunyi. Aku kenal sangat jantan tu. Playboy besar. Ramai girls yang jadi mangsa dia. Aireen, Suzie, Karina, Ayu. Siapa lagi? I lost count.”

Jenab berapi-api geram. Misa senyum kelat. 

“Jantan keji, tak guna. Sue pun sama. Tak guna. Kau kecamlah sikit di IG dia. Ada gambar baru dia pergi melancong. Kononnya tengah menenangkan fikiranlah tu.” Ros memberi cadangan. 

“Yeah. Wait and see. Beach like her kena ajar sikit, baru sedar diri.”

Mereka senyum puas sesama sendiri tanda setuju sebelum kembali mendayung di lautan maya. 

Jenab klik untuk memainkan video. Iklan yang tidak dapat dilangkau mendahului video yang ingin ditonton. Dengan berat hati dia menanti iklan itu habis.

[Lapisan daging yang empuk, dilimpahi sos lada hitam asli. Resipi terbaru yang pastinya membuatkan anda terbayang-bayang dalam mimpi. Cubalah sekarang.]

Bunyi daging dipanggang atas kuali membuatkan air liurnya kembali kecur. Dia membayangkan rasa daging itu seperti yang dijamahkan sebentar tadi. Rasa daging yang sungguh luar biasa. 

Jenab masih sedang mengeluarkan sisa daging di gigi. Perutnya memang sudah penuh, tetapi keinginan terhadap daging yang dinikmati masih berkocak dalam jiwa. Tidak cukup dengan kepingan stik sebesar tapak tangan itu. Dia mahukan lagi. Jika perlu dibayar dengan harga mahal, dia sanggup asalkan dapat merasai semula daging sesedap dan selazat itu.

Kau tak ada ais krim ke, babe? Kenyang macam ni lagi heaven kalau ada desert.. emm des.. dessert,” tanya Jenab.

Misa mengisyaratkan kepala ke arah peti ais. Jenab faham. Dia segera ke dapur langsung membuka pintu peti ais. Pandangannya membatu sebelum jatuh terduduk. Lututnya lembik. Wajahnya seperti terserempak penanggal. 

Di sebelah bekas ais krim vanila dalam bahagian sejuk beku, tersusun kemas sesuatu yang mengejutkan. Ada seketul kepala, beberapa bahagian organ yang tidak dapat dikenal pasti dan kepingan-kepingan daging yang dipotong setebal satu inci.

“Ga.. gapo dio mu wi aku make ni?” tanya Jenab separuh menjerit. Muka pucat.

Misa mengangkat kepala. Ros tertanya-tanya lalu segera menuju ke arah Jenab yang bersimpuh atas lantai. 

“Mi.. Misa!” Giliran Ros pula terjelepuk longlai.

Misa senyum sumbing. Dia bersandar sambil melepaskan asap rokok elektronik dengan penuh gaya, seakan bersedia dengan seribu jawapan.

Categories
BUDAYA RENCANA

Battle Royale

one two som
kau atau dia harus mati.

pemenang mendaki menara. setingkat
demi setingkat. seseorang bersedia
dengan pistol, pisau atau penumbuk,
bakal memangkah namamu
demi menyambung nadi sendiri.

kerana nyawa adalah habuk roti
atas meja, manusia saling menumpahkan
merah. dam haji, ting ting, congkak –
sebutlah apa saja permainan, kau
sekadar hiburan antik
para penguasa.

kautiba di puncak menara.
lawanmu sang pengatur permainan.
lontarkan dadu, majukan buahmu.
ke petak nasib mana akan kauhenti,
atau tali-temali masih menarikan
anggota tubuh, menyusun segala
kemungkinan tingkahmu?

A’riff Mustaffa Hamzah

Categories
BUDAYA RENCANA

Aci sembunyi

Oleh A’riff Mustaffa Hamzah

Ilustrasi Matarojit

5, 4, 3, 2, 1…

Sudah atau belum?

Kita sepasang anak kecil yang belum selesai bermain aci sembunyi. Usai hitungan, aku berlari ke sini-sana mencari kemungkinan. Barangkali yang lainnya telah senyap-senyap pulang untuk menuntut janji makan malam di restoran kota, atau risau badan bakal berbirat lantaran pulang melangkahi batas senja. Barangkali sedari mula, hanya kita berdua. Mereka ialah teman-teman imaginari yang menjelma dari sunyi.

Pada waktu begini, aku terus mencarimu dan masih saja kutemui patung kayu yang sengaja disorok entah siapa di sebalik semak, pohon, batu, tangga, jendela, pintu – namun kelibatmu belum terlihat meski segaris bayang di kaki atau cahaya dari selendang birumu. 

Ah, apakah jingga atau ungu? Aku hanya dapat meneka warna pakaian, juga rambut dan matamu.

Dan – adakah kaudengar dengus nafas juga tap-tap-tap dari jingkit langkahku? Tuhan, alangkah beruntung diri andai deria telingaku dapat menangkap debar jantungnya yang sedang bersembunyi. 

Sebentar, aku sedang memburumu, tetapi tak kutahu apa namamu, bagaimana rupamu – mata, telinga, hidung, bibir, kulit – segalanya tentangmu, kabur. Aku memburu dan mencari tanpa ada tanda pasti selain keinginan tiada tara untuk menemuimu di suatu ruang.

Lampu-lampu menyala. Burung-burung melayang ke sarang. Siang ditawan senja, kau belum ada depan mata. Dari jihat yang entah mana, ledak suara menerajang jaring mega, memanggil-manggil namaku. Ibu. Kuheret pulang bau rumput bercampur lumpur yang melekat pada seluar sesudah dihambat rotan dan suaranya. Sesekali kutoleh ke kanan kiri, memercik sedikit harapan bertemumu, sementara ia sekadar menunda kecewa.

Malam itu, sehabis makan dan seisi rumah kembali bungkam di kamar sendiri, sepi mengurung kamar kecilku. Aku terlentang di ranjang. Kipas semakin usang, bising dan menakutkan, seakan bakal jatuh lantas mengisar tubuhku. Dinding adalah kotak misteri yang memantul segala bunyi seni – titis air dari sinki tandas, erang peti ais yang gigih mengeringkan kasut sekolah, nyanyi hantu di jurai angsana, perlumbaan jarum pada litar jam meja – selebihnya sunyi yang merebak dan menjangkiti ruang sebelum hujan luruh dari langit langsung merebas ke tanah.  

Dalam kesendirian seorang pemburu, getar jantungmu tetap tiada terdengar. Aku menanti jejak yang mungkin tiba-tiba muncul di lantai kamar, tetapi hampa.

Permainan kita belum selesai. Aku tahu itu hingga terus-terusan terganggu oleh pencarianku yang gagal tadi petang. Aku tak ingin berkongsi resah kepada sesiapa. Tidak kepada kakak. Tidak juga kepada ibu atau nenda. Aku cuma anak kecil jujur yang berhati-hati menyembunyikan gelisah di bawah bantal tidur, berharap ia akan pupus hapus bersama waktu.

Kutilik bintang kamar, berkira-kira tempat yang mungkin adanya engkau seorang diri dalam gelap – ketakutan, menanti ditemukan. Di pinggir hutan, di manor terbiar, di gudang lama – semua tempat itu mengembangkan bimbang dalam dadaku. Aku tak ingin kau dibinasakan oleh kejahatan manusia. 

Adakah kau telah pulang ke rumah serentak dengan teman-teman imaginariku? Tetapi hatiku kuat mengatakan kau masih bersembunyi di suatu ruang yang tidak kulalui atau tak sempat kulewati, dan harapnya kau sejahtera di situ, hingga sampai saatnya aku memenangi permainan ini.

Kita sepasang anak kecil yang belum selesai bermain aci sembunyi, meski lewat begini – meski aku telah hilang hitungan waktu, kecuali kiraan yang masih saja berlangsung, sesekali ganti-berganti dengan suara yang bukan milikku.

Aku tenggelam dalam buih mimpi lalu terlentang di tengah lautan bunga. Sempadannya tak terlihat. Tiada sesiapa selain aku serta seinfiniti lili lelabah merah. Sekuntum kupetik dan kudekatkan ke dada. Harumnya bermukim di deria, mencanduiku dalam ruang tanpa batas waktu.

5, 4, 3, 2, 1…

Sudah atau belum?

10, 9, 8, 7, 6…

Sebilah suara membelah warna bunga – lembut, tenang, keanak-anakan. Ia datang dari sebatang pohon maple berdiri teguh di padang merah darah. Aku berlari menujunya, melangkahi kuntum-kuntum lili. Suara semakin jelas sewaktu aku mendekat, tetapi tubuhku tersedut semula ke dalam buih-buih mimpi berlatar hitam pekat.

Setelah mata terbuka, aku di kamarku semula tanpa sempat aku lihat siapa sang pemilik suara yang mengira riang dan penuh harap di balik pohon yang mengguyurkan daun jingganya itu. 

Ketika fajar menjalar, sejambak harum mekar di kamar –  mirip yang kuhidu dalam tidur. Ia nyata dan berbau asli. Petunjuk menujumu sudah tentu, satu-satunya. Tanpa nama, rupa juga rahsia yang sedikit pun tak terbuka, mencarimu hampir mustahil, kecuali takdir menentukan sebaliknya – dan bau ini ialah takdir yang ditunggu-tunggu. 

Mendiamlah di situ. Aku akan tiba sebentar lagi.

Aku berguling turun dari ranjang, merangkak dan menapak dan berjalan dan berlari dan berlari dan berlari lagi menuruti bau yang melentok di udara, menyusuri lembah, padang dan kota, menjelma sebagai remaja, bertukar dewasa lalu dibelit serabut dunia hingga akhirnya kupulang semula ke rumah asalku, di pintu kamar yang kutinggalkan tadi – atau bertahun lalu – atau, waktu telah menyesatkan aku dalam selirat labirinnya.

Pintu kamar dibuka dengan keinginan yang menggegar indera. Susunan katil, almari dan figura yang menghiasi meja masih seperti dulu meski telah berdebu dan bersawang.

Aku kini di hadapan cermin, melihat tubuhku yang kembali anak, dan dari pantulan diri, ada seseorang yang lain. Aku melangkah masuk ke dalam kaca itu, memasuki dimensi keterbalikan duniaku. Aneh dan asing, tetapi mengirim rasa akrab dalam masa yang sama.

Terlihat kelibat gadis kecil di suatu penjuru di dalam cermin kamar.  Suara dan bau itu seperti yang kuburu selama ini. Ternyata kau tidak bersembunyi – bukan juga aku. Kau sedang menekup mukamu, menutur angka sepuluh sampai satu yang kauulang jutaan kali. Waktu bergelung dalam kiraanmu. Cukup, kekasih. Ke marilah. Aku telah ada di sini.

Categories
BUDAYA RENCANA

Biri-biri dan pengembala


Oleh Ariff Mustaffa Hamzah

kota sebuah lembah tempur
sekalian biri-biri biru.

mereka harus menang
dalam siri survival berdarah
licik menipu, bijak manipulasi,
memijak sesama sendiri
mendaki tangga hierarki
demi usia sehari lagi
banyak yang kalah
diludah, tak bermaruah
menjadi stik atas meja
atau pakaian mewah
manusia-acah-raja.

leher terikat tali
pelbagai warna dan harga
mereka taat pada kurungan waktu:
siang berperang nasib di padang
senja berlumba pulang ke kandang
malamnya tidur tanpa peduli
musuh misteri menyusup
dengan pisau siap diasah.

cerita berkumandang segenap jihat
tentang angka korban, kehilangan
dan pertambahan bilangan.

penggembala – sang pemangsa apeks
bersila panggung di puncak menara
menyusun khabar angin esok
sementara di luar pejabatnya
serigala putih mengetuk pintu
datang menuntut bulu biru gebu.

Categories
BUDAYA RENCANA

Lanskap kota pada suatu duha

 

Penghuni kota perlahan-lahan kembali
meriuhkan kehidupan pada suatu duha
mengisi ruang yang ditinggalkan semalam
cahaya tenteram gugur ke segenap kota
hinggap di lampu, papan tanda, skrin mega
juga mengepung gelap keinginan di dada
menjelmalah malaikat, hamba atau raja
bertopeng dan tersenyum di sebaliknya.

Di antara pejalan kaki yang bersesakan
seorang gadis memikul beban di bahu
“ini ialah peninggalan masa silam
kubawa bersama ke kekelabuan,”
katanya, kini tanpa air mata di pipi
beban jelas kelihatan di belakang
namun tak dipedulikan manusia
sibuk mengejar dan mengutip
cebis kesempatan di jalanan.

Matahari bertukar sekuntum bunga putih
mekar di atas kepala para penghuni kota
yang tertinggal roh dalam potret malam.

 

Ariff Mustaffa Hamzah
Melaka